Tuesday, December 11, 2012

Pemeriksaan Susulan Ke-5

Setiap kali nak ke hospital membuat pemeriksaan susulan merupakan sesuatu yang agak menekan jiwa. Akan tetapi, pada 23 November 2012, aku mesti pergi menjalani pemeriksaan susulan yang kelima. Seminggu sebelumnya, aku telah menjalani Ct Scan di HKL juga. Seperti biasa, beberapa hari sebelum itu juga aku telah membuat pemeriksaan darah. Menunggu keputusan pemeriksaan itu merupakan perkara yang selalu membimbangkanku, dan kali ini aku amat bimbang untuk melihat keputusan CT Scan.

Keputusan pemeriksaan darah adalah seperti yang berikut:

Blood count
Renal Profile dan Cholesterol
Liver Functions

Keputusan ujian darah kali ini lebih baik daripada keputusan-keputusan sebelum ini, terutamanya pada bacaan kolesterol. Cuma, glukos agak tinggi, GGT dan Alkaline Phosphatese pun tinggi. Rasanya bacaan glukos yang tinggi tu memang dijangkakan sebab akhir-akhir ni aku melampau sikit makan cokelat dan aiskrim. Apabila aku semak semua hasil ujian darah sebelum ini, bacaan Alkaline Phosphatese tinggi sejak lepas menjalani radioterapi. Hai, ini petanda kemungkinan berlakunya kecederaan pada liver dan adanya fatty liver. Untuk itu, aku telah mengambil Milk Thistle dan juga Lecithin. selain itu, aku perlu menjaga diet dan lebih kerap melakukan exercise. Untuk menjaga diet, aku cuba banyakkan berpuasa secara berselang-seli (dah banyak juga ponteng ni!) dan mengurangkan pengambilan karbohidrat. Mudah-mudahan ikhtiarku ini akan berhasil memulihkan kesan sampingan rawatan atau apa-apa kecederaan yang telah berlaku di dalam tubuhku.

Keptusan Ct Scan pula nampak ok, Alhamdulillah. Tiada berlaku kejadian kanser berulang. Harap-harap aku akan sembuh daripada penyakit ini sepenuhnya ...

Keputusan Ct Scan

Friday, November 16, 2012

Maal Hijrah, CT Scan

SALAM MAAL HIJRAH 1433


Sempena dengan tahun baharu ini, aku sentiasa memanjatkan doa kepada Illahi semoga Allah mengampuni segala dosa dan salah silap yang telah aku lakukan selama ini, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Seterusnya, aku memohon agar Allah melindungi diriku daripada mengulangi dosa-dosa dan kesilapan itu, juga dosa-dosa dan kesilapan yang lain. Semoga Allah melanjutkan usiaku lagi dengan memberi hidayah dan bimbingan agar aku sentiasa tidak berputus asa untuk sentiasa menghadapkan diri dan memohon kepada-Nya, juga tidak tidak berputus asa dengan segala limpah kurnia, rahmat, kasih sayang dan belas kasihan-Nya. Semoga apabila sampai masanya nanti, aku dijemput dalam keadaan bersih daripada dosa dan noda, serta bebas daripada fitnah, bida'ah dan tipu helah dunia ini ... Kembali ke pangkuan Penciptaku dalam keadaan suci dan bersih ...

Pada tahun ini, aku menyambut tahun baharu dengan perasaan sedikit hiba. Tak tahu kenapa ... mungkin memikirkan pada usia yang meningkat ke hujung nyawa ini aku perlu terus berjuang dengan tabah menghadapi penyakit yang dihidapi. Apa yang akan berlaku tidak dapat dijangka, hanya Allah sahaja yang tahu perancangan-Nya. Kebetulan pula, pada malam tahun baharu abah perlu balik ke Terengganu untuk naik ke platform pada hari esuknya. Apa yang agak merisaukan, abah terpaksa naik bot kali ni kerana masalah helikopter yang selalu membawa staf ke platform ... Sekarang musim tengkujuh dan ombak besar! Semoga semuanya selamat ...

Selain  itu, hatiku juga tidak keruan memikirkan aku perlu ke HKL untuk menjalani CT Scan dan pemeriksaan susulan pada minggu berikutnya nanti. Memang sejak selesai rawatan dulu, aku memang rasa fobia dan tidak keruan setiap jika hendak menjalani pemeriksaan di hospital. memikirkan nak ke hospital tu pun, alahai ... Apa taknya ... kali ni kena puasa, memikirkan tangan nak kena cucuk untuk memasukkan cecair kontras masa scanning tu dan sebelum tu kena teguk air banyak. Pada malamnya dan pagi sebelum pergi pun kena telan 8 biji pil steroid (Prednisolone 5 mg) untuk menahan alahan daripada cecair kontras yang akan digunakan semasa scanning. Aku terpaksa mengambil drug ni kerana semasa rawatan di HUSM dulu aku tidak dapat meneruskan satu rawatan kerana alahan, sebab badan dah lemah ...

Untuk menghiburkan hati, semalam aku dan anak-anak keluar ke The Curve. Aku membeli supplements yang dah habis dan menambah supplements lain yang diperlukan. Wani dan Yana pula membeli blouse dan t-shirt. Agak-agak shopping sakan jugalah kami, walaupun tak seberapa ... lebih kepada mencuci mata. Yana siap ambil cuti sehari! Bila lapar, kami menjamu selera di The Little Penang. Dah malam baru balik.

Hari ini, sampailah masanya aku nak mengadap HKL. Janji temu adalah pada pukul 8.15 pagi. Daripada pengalaman yang lalu, nak ke HKL memang terpaksa melalui kesesakan lalu lintas yang teruk. Malam tadi, aku dah siapkan semua dokumen yang perlu dibawa supaya pada pagi ini kami boleh keluar awal walaupun dijangkakan tidak berapa jam sebab sekarang musim cuti sekolah dan rasanya ramai yang bercuti kerana semalam hari cuti umum dan esuk hari Sabtu.

Pagi-pagi tadi pukul 6.30 aku dah keluar. Dah semestinya, Wati jadi peneman dan driver. Alhamdulillah, memang tidak jam di jalan raya. Dalam Smart Tunnel pun, yang selalunya melekat, kami laju jer sebiji kereta! Lebih kurang pukul 7.30 pagi kami dah sampai ke HKL, dan parking pun banyak yang kosong walaupun jauh parking di luar. Alhamdulillah, Alhamdulillah ... Sampai-sampai terus pergi ke tempat buat scanning, di klinik kecemasan. Semasa lalu di klinik onkologi, wah ... dah ramai yang beratur di pintu untuk mengambil nombor. Padanlah selama ni aku sampai ke klinik onkologi dapat nombor yang banyak, dan kena panggil berjumpa doktor sekitar waktu lunch.

Sampai di tempat scanning, tak ramai pesakit dan aku dapat nombor 2. Bila kena panggil untuk dicucuk tangan, hati dah mula berdebar-debar takut tak dapat saluran. Alhamdulillah saluran cantik. Kemudian, kena minum 'air sirap' sebotol (setengah liter rasanya). Kepala pulak rasa pening, mungkin kesan drug yang diambil sebab mak cik kat situ tu pun menghadapi perkara yang sama.   Sementara dipanggil untuk buat scan, sempat jugalah bercerita-cerita dengan penghidap yang lain ...

Seorang pakcik tu menghidap kanser kolon tahap 4, berumur 73 tahun. Alhamdulillah, aku melihat beliau seperti orang yang tak sakit! Hai, memang begitulah kebanyakan kami pesakit kanser ni ... nampak sihat tapi sebenarnya sakit. Memang kami kuat dan perlu berjuang untuk sihat, tetapi hakikatnya penghidap sahaja yang tahu bagaimana keadaan dan penanggungannya sama ada rohani atau jasmani. Tapi, ramai antara kami tergolong dalam golongan orang yang sangat bersyukur dengan ujian yang ditimpakan ... banyak hikmahnya (terutamanya diriku ini). We are the chosen ones, huhu ...

Kemudian, bercerita pula dengan seorang mak cik yang berumur 58 tahun. Beliau baru habis kemo 6 kitar, dan kitar yang terakhir ialah 4 hari yang lepas. Katanya masih terasa letih dan lemah. Mak cik ni didiagnosis 2 tahun yang lepas dengan  kanser kolon (lebih kuang samalah denganku) tetapi kali ni kanser dikesan dah pergi ke liver sebab tu kena kemo. Kecut juga perutku mendengar ceritanya, namun beliau pun nampak bersemangat, Alhamdulillah. Semoga penghidap ni semua akan sembuh sepenuhnya. Tidurlah sel kanser senyap-senyap ... jangan bangun dan menyusahkan orang!!

Cerita punya cerita aku dipanggil masuk untuk buat scan. Alamak macam ribut jantungku berdebar. Bukan tak pernah menempuhi ujian yang dan rawatan yang lebih teruk, tapi sebab dah tempuh banyak tulah yang jadi begitu! Masa berbaring atas katil scan tu lamanya rasa, tambah pula tak tahan rasa nak kencing sebab dah banyak minum cecair! hahaha ... seksa pun ada, kelakar pun ada. Dah scan, lama pulak telentang atas katil tu, tunggu untuk pengesahan ... Lepas scan dan salin baju, berlari ke toilet sampai tak sedar darah menitis-nitis dari tempat jarum dicabut.

Dalam pukul 10 pagi dah kelaur dari HKL. Aku dan Wati terus ke The Mines menunggu Wani dan Yana datang untuk makan ... Satu perkara tak keruan dah selesai, aku dan anak-anak menjamu selera di Kenny Rogers. Ingatkan nak jalan-jalan juga lagi, tapi kepala masih toeng, toeng ... lebih baik balik dan berehat. Sampai rumah, lepas solat terus booom ...  Alhamdulillah ...

Wednesday, November 7, 2012

Supplements

Sejak bulan puasa hingga hari raya puasa dan raya haji, disiplin pemakananku agar tergelincir. Apa lagi semasa bulan puasa dan raya puasa aku tidak ke gym. Selepas raya puasa aku ke gym sekali sekala sahaja. Lantas, badan dan fikiranku pun huru-hara juga jadinya, tambahan mendengar pula berita penghidap kanser meninggal atau kanser yang berulang. Ada pula seorang sahabat yang sudah menjalani pembedahan dan kemoterapi, tetapi kansernya seperti tidak surut - bacaan CEA masih tinggi dan kemo perlu diulangi lagi. Apabila  dilakukan pemeriksaan darah, doktor mengatakan darahnya tidak elok - bilangan hemoglobin dan platelet kurang - maka kemo perlu ditunda.

Semuanya itu seolah-olah menjadi lampu amaran kepadaku agar aku mengambil langkah berjaga-jaga dalam masa remission period ini. Silap haribulan, nah sel-sel kanserku mengganas semula! Ya Allah, janganlah. Memikirkan nak menempuhi rawatan itu menjadikanku sangat fobia. Sekarang ni, memikirkan nak pergi ke hospital menjalani pemeriksaan susulan sahaja pun aku tidak keruan dibuatnya! Huh, nak buat macam mana ... Sekurang-kurangnya apabila pergi pemeriksaan susulan itu dapat juga ditentukan status penyakit yang dihidapi ini. Setakat ini, insyaallah semuanya baik-baik sahaja ... harap-harap begitulah sampai bila-bila. Cuma pemeriksaan darah yang terakhir tempoh hari, liver ada yang tak kena sikit ... lantas aku mengambil langkah mencari supplements yang aku harap dapat membantu serba sedikit.

Dari dulu, selepas kemo aku memang mengambil Bioorganix dari NHF untuk membantuku mendapatkan serat. Setakat ini, rasanya bekalan serat daripada dietku tidak mencukupi. Walau bagaimanapun, pembekal menasihatkanku supaya mengambilnya bersama-sama ProBio dari NHF juga, iaitu produk yang membekalkan bakteria yang bagus untuk kolon ...


Seorang sahabat penghidap pula mencadangkan aku mengambil French Pine Bark dari GNC, yang katanya baik untuk diambil oleh penghidap. Lantas aku terus pergi ke The Curve untuk mendapatkan produk ini (tak sanggup nak turun ke Midvalley di KL). Semasa aku mengunjungi GNC , sememangnya health consultant di sana mengatakan perkara yang sama, iaitu produk ini seperti 'memperbaiki' sel-sel yang telah rosak, terutamanya bagi kami penghidap kanser yang telah menjalani banyak rawatan radiasi dan keracunan daripada ubat kemo. Memandangkan aku telah lama selesai menjalani rawatan, aku hanya perlu mengambil sebiji sehari, tetapi jika masih menjalani rawatan kemo, ia perlu diambil 2 biji sehari supaya sel-sel yang rosak 'dibaiki' dengan lebih cepat...


Untuk lebih berkesan lagi, consultant tu mencadangkan aku mengambil French Pine Bark bersama-sama Time Release Triple C ...


Untuk melengkapkan pakej, consultant mencadangkan aku mengambil Vitamin E juga ...



Apabila aku consult pak cik Google, sememangnya French Pine Bark is a powerful antioxidant yang boleh membantu meningkatkan sistem imun di dalam badan. Ini dibantu oleh Vitamin C Time Release tu.

Berkaitan dengan liver pula,  doktor menasihatiku mencari vitamin untuk liver. Sahabatku mencadangkan aku membeli Milk Thistle dari GNC. Health consultant di GNC itu pun mencadangkan produk yang sama ...


Yang seronoknya, aku berkejar ke The Curve untuk mengunjungi GNC di sana. Beberapa hari selepas itu, semasa aku selesai melakukan work out di gym di The Mine Shopping Center, tiba-tiba ternampak ada GNC di The Mines rupanya! Hush ... lega, nanti nak beli produk yang dah habis tak perlu pergi jauh-jauh ke Damansara atau KL. Consultant di GNC The Mines mencadangkan juga aku mengambil Shark Cartilage, tetapi apabila aku baca profil produk ia tidak sesuai bagiku yang telah menjalani pembedahan walaupun produk itu sangat baik.

Sebelum itu, doktor tempat selalu aku sekeluarga mendapatkan rawatan umum mencadangkan aku mengambil Grape Seed capsul. Grape seed ini memang baik diambil oleh penghidap kanser. Sahabatku juga mencadangkan aku mengambil Clenx Tea untuk lawas buang air besar (sangat penting bagiku yang sering sembelit) dan minyak kelapa dara ... 


Pengambilan supplements ini adalah sebagai satu ikhtiar untuk membantu badanku bertahan terhadap penyakit yang dihidapi ini. Ia hendaklah disokong dengan pemakanan yang baik dan senaman untuk melengkapkan pakejnya. Setiap diri kita mempunyai rentak yang berlainan, maka terpulanglah kepada diri sendiri untuk merasai kesesuaian sesuatu produk itu untuk diri sendiri. Dalam semua hal aku memegang prinsip berikhtiar, berdoa dan bertawakal ... itulah sebaik-baik tindakan. 

Sekarang, aku cuba mengamalkan puasa berselang-seli (intermittent fastings) atau puasa Nabi Daud, seperti yang disarankan oleh sahabatku. Insyaallah, aku dapat merasai peningkatan yang positif terhadap kesihatan minda dan fizikal - terasa badan ringan dan perut yang mula naik dulu dah nampak surut sedikit. Perkara ini penting aku berikan perhatian supaya lemak di perut (viseral fat) yang memudaratkan itu hilang.

Selain itu, sahabatku juga mencadangkan aku mengamalkan ketogenic diet yang diasaskan oleh Elaine Cantin. Hohoho ... yang ini aku tak mampu nak buat lagi, kerana dietnya melibatkan lemak, sayur-sayuran dan buah-buahan, tanpa protein dan karbohidrat. Tengoklah nanti ...  Cara exercise di gym juga perlu disemak semula kerana teknik exercise yang tidak betul akan sia-sia sahaja ... wallahualam ...

Tuesday, October 16, 2012

Pemeriksaan Susulan Keempat

Hari Rabu, 10 Oktober 2012, aku ke HKL untuk menjalani pemeriksaan susulan keempat selepas aku selesai menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi. Sebelum itu, aku ke klinik biasa untuk membuat ujian darah supaya aku tidak perlu lagi mengambil darah di HKL dan menunggu keputusannya (akan mengambil masa yang lama). Sehari sebelum ke HKL (9 Oktober), aku mendapat keputusan ujian darah...

Blood count.
Renal and Lipids.
Liver functions.
Daripada keputusan ujian, blood count ok jer dan Renal pula memberikan keputusan uric acid yang tinggi sedikit, dan doktor memberikan ubat Allopurinol 300 mg. Dalam ujian Lipids, walaupun LDL agak tinggi tetapi HDL juga tinggi, maka itu tidak merisaukan. Yang agak merisaukan ialah Liver functions. Doktor mengatakan ia berkaitan dengan kesan ubat kolesterol yang aku makan, maka doktor menasihatiku mengambil vitamin untuk liver. Doktor juga mencadangkan aku mengambil grape seed capsules. Hai, risau juga dibuatnya dengan keputusan itu, sebab bagi kanser kolon metastesis yang pertama ialah ke liver! Apa-apa pun dengar apa pula kata pakar onkologi di HKL.

Daripada pengalaman yang lalu, jika lewat sampai di klinik onkologi memang lewatlah dapat berjumpa doktor. Aku dan anak (Wati dan Yana - abah belum balik lagi) keluar awal juga dan sampai ke klinik dalam pukul 9.30 pagi (janji temu pukul 10.00 pagi). Sesampainya, aku terus ke kaunter pendaftaran dengan harapan dapat nombor awal sedikit. Akan tetapi, petugas mengatakan nombor akan diberikan pada pukul 10.00, ya Allah ... tak guna juga kalau sampai lebih awal.

Dari situ, aku dah menjangkakan memang lewatlah aku akan berjumpa doktor. Sementara tu, aku pergi ke day care untuk flush chemoport. Hai chemoport pun dah terjungkit macam nak terbalik, sampai kena cucuk 2 kali baru dapat! Tahan jerlah, dan selesai juga buat flushing. Seterusnya ... lemau badan menunggu giliran dipanggil berjumpa doktor.

Aku hanya dipanggil untuk menemui doktor kira-kira pukul 1.00 tengah hari! Doktor onko berpuas hati dengan keputusan ujian darah dan mencadangkan aku mengambil perhatian terhadap liver. Selepas memeriksa perut, selesailah pertemuan dengan doktor. Ingatkan boleh terus balik dan nak mengisi perut yang berkeroncong, tetapi kena buat booking untuk CT scan pada bulan November. Berkejar pula ke Jabatan Radiologi untuk buat booking. Pukul 3.30 barulah semuanya selesai! Keluar hujan turun dengan lebatnya. Redah ajerlah ... kang KL banjir lagi masalah lagi nak balik!

Dalam basah kuyup tu aku terus ke Alamanda nak 'makan tengah hari' dengan adik Nasir (adik kepada sahabat karibku semasa di sekolah dulu, dah jadi macam adik-beradik) sekeluarga. Kebetulan semasa menunggu nak berjumpa doktor, aku terserempak dengan adik Nasir dan amat terkejut apabila dimaklumkan dia menghidap kanser prostat, ya Allah hai ... Aku nampak kerisauan dan kecelaruan fikiran terbayang pada air mukanya yang selama ini sentiasa ceria. Setiap ujian Allah itu ada hikmahnya. Semoga adik Nasir dan keluarga tabah dan kuat menghadapi ujian Allah ini.

Selesai makan, aku ajak adik Nasir dan keluarga singgah di rumah dan memberikannya sebiji buah raja satong, teh pecah beling, sedikit cendawan susu harimau dan dahan pokok Bismillah untuk ditanam - semua itu diketahui boleh membantu suppress sel kanser. Kejadian kanser kepada adik Nasir serba sedikit mengganggu juga emosiku. Tak sangka dia menghidapnya.

Beberapa minggu sebelum ini pun, aku dikejutkan juga dengan jemputan bacaan tahlil untuk  Pn. Aida (orang kuat KanWork, UPM) yang telah menyahut seruan Illahi akibat kanser payu dara yang dihidapinya. Aku tidak mengenali sangat beliau, tetapi 2 kali aku melihatnya (beliau menggunakan kerusi roda), aku rasa kagum dengan kejernihan wajahnya dan ketabahannya menerima ujian Allah itu. Akan tetapi apakan daya, ajal maut di tangan Allah ... Setelah lebih kurang 10 tahun survived dengan kanser payu dara, akhirnya Allah menjemputnya. Semoga rohnya ditempatkan bersama-sama roh orang-orang yang beriman dan diberikan tempat di syurga-Nya ... Aamiin ... 

Semasa menghadiri majlis tahlil yang diadakan di rumah ibu Prof. Maznah (orang kuat KanWork dan CaRE, UPM juga) itu, aku mendapat kejutan lagi apabila mengetahui Prof. Maznah telah menjalani pembedahan kanser di payu dara yang sebelah lagi selepas lebih kurang 10 tahun  free of cancer dan akan menjalani 6 kitar kemo! Ya Allah, segala apa yang berlaku atas kehendak dan izin-Mu jua ... 

Oh ya, semasa di HKL... semasa menunggu untuk berjumpa doktor, sempat jugalah aku berborak dengan pesakit kanser yang lain. Sempat berbual dengan seorang mak cik, ingatkan dia yang sakit tapi rupa-rupanya anak dia. Mak Cik tu menceritakan anaknya menghidap kanser tiroid sejak sekolah dan kini dah berusia hampir 30 tahun, iaitu sudah berjaya survived lebih kurang 20 tahun! Itulah kuasa Allah, kerana menurut mak cik tu doktor telah mengesahkan anaknya hidup beberapa bulan jer lagi, tetapi hingga kini masih dapat bernafas lagi (beliau menjalani pemeriksaan susulan setahun sekali sahaja). 

Seterusnya, berbual juga dengan seorang kakak yang nampak begitu sihat tetapi menghidap kanser yang sangat rare. Menurutnya, itu kes pertama yang dijumpai oleh doktor di HKL. Aku pun meminta keizinan kedua-dua pesakit ini agar dapat berkongsi pengalamannya di majalah Dewan Kosmik DBP. Insyaallah, mudah-mudahan editor Dewan Kosmik akan dapat menguruskannya nanti. Kes aku telah diterbitkan dalam isu bulan Oktober ini ... Semoga pembaca mendapat maklumat berkaitan penyakit yang sangat digeruni ini, wallahualam ...

Petikan artikel di Majalah Dewan Kosmik (Oktober 2012) tentang pengalamanku.

Sunday, August 26, 2012

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Syawal 1433H.

Beraya di kampung yang permai ...

Pada 19 Ogos 2012, semua umat Islam di Malaysia menyambut hari lebaran setelah sebulan berpuasa. Pagi-pagi lagi kami semua bangun awal untuk bersiap dengan pakaian baharu. Semua adik-beradik balik kampung, kecuali Pak Uda sekeluarga yang beraya di rumah mertuanya dahulu. 

Sementara anak-anak dan suami-suami mandi, kami kaum ibu membuat persediaan untuk hidangan pagi sebelum ke surau. Mak Long pagi-pagi kena buat kuah lodeh. Aku menyediakan ketupat untuk hidangan sarapan dan menyediakan bekalan mak nak bawa ke surau. Mak Zie menyediakan air dan kuih-muih di atas meja. Mak Cu melayan dua orang anak yang masih kecil. Bila semua dah siap, masing-masing bersedia ke surau. Ada yang bersarapan dahulu dan ada yang nak bersarapan di surau sahaja. Apabila semua dah pergi, barulah kami kaum ibu dapat menyiapkan diri kami dan bersarapan pula.

Pada hari raya kali ini, aku tidaklah seghairah tahun lepas menghadapi makanan dan juadah. Disebabkan masa puasa aku banyak mengambil sayur-sayuran, maka aku tidaklah begitu galak  memakan daging dan makanan yang lebih karbohidrat dan lemak itu. Walau bagaimanapun, kadar aku memakan semua itu lebih sedikitlah daripada biasa. Apabila semua dah balik dari surau, maka sampailah masanya kami semua menjalani sesi bergambar. Masing-masing mengabadikan gambar sekeluarga masing-masing, dan tetamu pun dah mula berkunjung ...


Menyambut Syawal dengan syahdu.

Aku tidak ghairah sangat nak berjalan pada raya ni. Kami pergi mengunjungi kakakku di kampung berdekatan, bapa sedara suami di Seremban (Acu Li) dan kakak ipar di Seremban juga. Seterusnya, kami terus balik ke rumah di Semenyih sebentar untuk menjengah kucing kami dan membasuh baju yang telah digunakan. Selepas solat Maghrib, kami gerak untuk balik kampung, tetapi singgah berkunjung ke rumah kakakku di Salak Tinggi. Kemudian, kami terus balik kampung semula ... penat ...

Hari raya kedua, kami hanya berkunjung ke rumah Pak Li. Wati pulak balik ke Semenyih dulu kerana terlalu banyak kerja yang perlu disiapkan. Malamnya, Zafhri pula balik Semenyih. Aku, abah, Yana dan Wani tidur di kampung lagi. Pada raya ketiga pagi barulah kami semua balik ke Semenyih kerana abah nak balik ke Terengganu pada malamnya. Setakat ini, itu sahajalah raya kami sekeluarga. Setelah abah balik ke Terengganu, aku dan anak-anak duduk di rumah sahaja ...

Pada raya kelima malam pula, kami mengadakan rumah terbuka untuk kawan Wani. Tak sangka lebih kurang 30 orang kawan Wani yang datang. Kami hanya dapat menghidangkan sphagetti, sanwic, goreng hot dog, buah dan kuih raya sahaja kerana ia tidak dirancang. Air pula ialah puch dan teh o limau panas ... Alhamdulillah semuanya ok.

Makanan
Kuih raya

Pada hari Ahad, 26 Ogos 2012, pula kami balik kampung kerana ada majlis berkampung untuk persediaan majlis nikah kak Fadzillah yang akan diadakan pada 1 September nanti. Aku volunteer buat sambal tumis untuk lauk pulut yang akan mak kukus. Pada malamnya, kami mengacau dodol pula. Dodol belum masak lagi aku dan anak-anak balik semula ke Semenyih - sempat makan dodol cair sahaja.

Ngacau 2 kawah dodol untuk kenduri kawin kakak nanti.
Kemeriahan hari raya terserlah dengan lampu jalan di Seremban.

Menjelang Raya Aidilfitri 2012 (Syawal 1433H). Hari Mantai

Sabtu, 18 Ogos 2012, ialah hari mantai. Hari ini ialah hari kami sekeluarga membuat lemang, rendang dan ketupat. Kerana penat membuat persediaan sebelum mantai, aku tidur semula selepas solat Subuh. Bangun-bangun, aku tengok Mak Zie dan mak sedang menyediakan santan dan bersedia nak memasukkan beras dalam buluh lemang. Aku pun mengambil tempat untuk membantu juga ...

Menyediakan santan untuk lemang.
Memasukkan beras dan santan ke dalam buluh.

Aku, anak-anak dan anak sedara pula memasukkan beras ke dalam sarung ketupat ...

Beramai-ramai memasukkan beras ke dalam sarung ketupat.
Beras diisi lebih kurang 3/4 penuh dan 'dikunci'.
Ketupat dah sedia hendak direbus.
Lemang juga sudah dilanggai.

Bila dah selesai memasukkan beras dan santan ke dalam buluh, kelapa dan santan tidak cukup untuk merendang daging dan ayam. Terpaksalah abah dan Anyen kupas kelapa dan Anyen kena kukur kelapa. Ucop tukang perah kelapa ...

Abah dan Anyen kupas kelapa.
Perah kelapa

Akhirnya ...

Mak jaga api lemang yang hampir masak.
Rendang pun dah mula kering.

Malamnya, masih ada kerja-kerja kahir yang perlu disiapkan untuk raya esuknya. Bila dah berbuka dan selesai semuanya, langsir perlu digantung dan bahan untuk masak kuah lodeh dan kuah kacang perlu disediakan ...

Menyediakan bahan untuk kuah lodeh.
  Besuk hari raya ...

Lemang Untuk Raya Aidilfitri 2012 (Syawal 1433H). Persediaan Hari Mantai

Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini jatuh pada 19 Ogos 2012, hari Ahad. Hari ini ditunggu-tunggu oleh umat Islam yang telah berjaya menunaikan ibadah puasa selama sebulan. Seperti orang lain juga, aku turut menunggu hari ini kerana pada akhir-akhir puasa kali ini aku berasa begitu penat dan tidak berdaya sekali menjalani ibadah puasa, walaupun rasa sayu dengan pemergian Ramadhan yang mulia dan penuh barakah. 

Seperti biasa, telah menjadi amalan masyarakat di Negeri Sembilan (rasanya di negeri-negeri lain juga begitu) menempuhi "hari mantai" sehari sebelum hari raya. Pada hari ini, di merata tempat orang sibuk dengan penyembelihan untuk buat lauk, tertutamanya rendang dan sup, buat lemang dan ketumpat, untuk juadah hari raya. Kami sekeluarga tidak ketinggalan untuk hari mantai ini, mentelahan pula Abah ada di darat, aku masih bercuti MC dan Wani pun dah mula bercuti.

Walaupun hari mantai ialah pada hari Sabtu, tetapi hari Jumaat kami sekeluarga dah balik kampung. Abah pagi-pagi lagi dah balik untuk membantu membuat persediaan awal; aku dan anak-anak pula balik petang. Aku rasa nak berehat dulu dan balik bila hampir berbuka puasa. Sampai di kampung aku lihat abah dah siap menganyam sarung ketupat, dan disambung oleh anak-anakku pada sebelah malamnya. Pada tahun ini, kami tak nak merebus ketupat dalam plastik yang dijual di kedai tu, tetapi merebus ketupat dalam sarung yang dibuat daripada daun pucuk kelapa. Mak, dengan dibantu oleh Abah, Pak Pon dan Pak Dik pula telah menyediakan buluh dan daun pisang untuk buat lemang. Mereka juga telah menyediakan daun pisang untuk buat tapai. Daging, tulang dan ayam juga telah disediakan untuk dipotong.

Sarung ketupat yang telah dianyam oleh abah.

Pada malamnya, apabila semua telah selesai, kami semua keluar untuk membuat persediaan awal supaya pada esuknya tidak overload sangat dengan kerja sebab nak masak lemang dan rendang mengambil masa yang lama. Masing-masing dah mengambil tugas masing-masing. Wati menganyam ketupat lagi, aku menyiang daging, abah menyiang ayam dan Pak Dik memotong buluh dan mengupas kelapa. Pak Pon tukang basuh daging dan ayam dengan Abah. Mak Ju pun datang untuk membantu mak membungkus tapai sementara aku menyiang daging (tak ada gambar pulak). 


Baru sedikit kelapa yang dikupas.
Banyak lagi kelapa yang nak dikupas.

Lepas mak selesai membungkus tapai dengan Mak Ju (aku bantu juga sikit bila dah selesai siang daging), mak menyiapkan buluh lemang pula. Buluh lemanag perlu dialas dengan daun pisang sebelum dimasukkan beras dan santan (akan dilakukan esuknya). Daun pisang perlu dipotong mengikut kesesuaian saiz buluh, digulung menggunakan pelepah pisang dan dimasukkan ke dalam buluh.

Buluh yang telah dikerat.
Memotong daun pisang untuk mengalas buluh.
Menggulung daun untuk dimasukkan ke dalam buluh.
Yana tolong masukkan daun ke dalam buluh.
Buluh yang telah siap untuk diisi beras.

Sementara mak menyediakan buluh untuk lemang, kami merebus tulang untuk dibuat sup. Agak-agak pukul 1 pagi agaknya barulah aku dapat meletakkan kepala di bantal ... bersedia untuk bersahur nanti dan kerja-kerja pada hari esuknya pula ...

Tuesday, August 21, 2012

Cerita Puasa 2012, Ramadhan 1433H

Alhamdulillah ... pada tahun ini aku dapat lagi ketemu Ramadhan yang penuh barakah dan dinanti-nantikan oleh umat Rasulullah SAW. Aku sekeluarga gembira kerana sepanjang bulan Ramadhan, Abah  berada di laut selama seminggu sahaja. Selebihnya sehingga Syawal Abah bersama-sama kami menunaikan ibadah puasa.

Sebelum bulan puasa cuaca selalu mendung, tetapi sebaik sahaja Ramadhan bermula cuaca agak panas dan kering hinggalah menjelangnya Syawal. Walaupun begitu, aku begitu teruja menghadapi Ramadhan kali ini dengan azam untuk mengkhatamkan bacaan Al-Quran. Pada Ramadhan tahun lepas, aku gagal dan sedikit sahaja lagi hendak khatam. Insyaallah, aku berjaya khatam pada tahun ini, iaitu pada malam 27 Ramadhan. Pada malam itu juga, ramai yang meramalkan ia malam LailatullQadar, wallahualam ... Pada malam itu juga, aku mendapat selsema yang agak teruk dan sedikit mengganggu amalanku. Walau bagaimanapun, semuanya adalah kehendak dan izin yang Maha Berkuasa jua. Aku hanya menyerahkan segala-galanya kepada-Nya mengikut apa yang telah dirancangkan-Nya untukku.

Apa yang pasti ialah pada bulan puasa tahun ini aku merasai keletihan yang agak melampau. aku sendiri tidak tahu mengapa, sedangkan pada Ramadhan tahun lepas aku baru 2 minggu pulih daripada kesan radioterapi namun aku steady jer! Kerana itu, banyak masa aku ialah duduk membaca Al-Quran dan berbaring apabila kepenatan. Nasib baik Abah ada dan anak-anak semua dah besar, maka aku pun jadi 'mem' dilayani mereka.  

Satu perbezaan yang ketara kepada diriku pada bulan puasa kali ini ialah transformasi diriku terhadap diet. Kebanyakan hari menempuh iftar aku hanya mengambil air rebusan kurma dan sayur. Kalau ada carbs pun aku ambil sedikit sahaja. Aku sendiri terkejut yang aku boleh melakukannya kerana sebelum ini apabila aku mencubanya, aku gagal dan berasa cemburu apabila rakan survivor boleh hidup dengan banyak mengambil sayur dan buah sahaja. Alhamdulillah, apabila aku dah boleh melakukan ini, dan aku tidak begitu bernafsu melihat pelbagai hidangan makanan di depan mata. Aku berazam akan meneruskan diet sebegini selepas selesai Ramadhan. Mungkin dengan diet aku begitu juga menjadikan hasil pemeriksaan darahku amat baik sekali.

Selalunya, pada akhir-akhir Ramadhan aku rasa tak sabar nak menunggu Syawal. Akan tetapi, pada tahun ini aku begitu seronok dan tidak ghairah menunggu Idulfitri, hinggalah di saat-saat akhir semasa di kampung. Itu pun kerana aku keletihan sangat, tetapi rasa sayu Ramadhan bakal berlalu. Nasiblah semasa di kampung keadaan begitu meriah apabila kami bersama-sama anggota keluarga yang lain meriah membuat lemang, ketumpat dan rendang beramai-ramai, maka hilanglah rasa sedih dan letih itu.

Sebenarnya, di samping rasa sedih Ramadhan bakal berlalu, masa-masa begitulah aku amat teringat dan merindui ayah bonda yang telah pergi. Hanya doa yang dapat kuiringkan kepada mereka setiap kali aku selesai menghadapkan diri kepada Yang Maha Esa semoga roh mereka ditempatkan bersama-sama orang yang beriman dan diberikan tempat di syurga Allah. Pernah aku terbaca artikel yang menyatakan pada hari akhir puasa, elok dibacakan Yassin dan buatkan tahlil kepada mereka yang telah pergi ... Insyaallah, setakat ini aku tidak ketinggalan melakukannya. Dalam aku melakukan semua itu, hati ini sentiasa berkata bilalah agaknya giliranku dipanggil Illahi dan sering merasai maut begitu hampir denganku, wallhualam ...

Apa yang aku harapkan, setiap hari aku memohon agar Allah sentiasa memberikan limpah kurnia, rahmat, taufiq dan hidayah-Nya kepada aku dan keluarga. Semoga  kami sentiasa meningkatkan amal ibadah kami dari sehari ke sehari dan semuanya itu kekal hingga ke hayat kami. Semoga Allah sentiasa memberikan bimbingan-Nya kepada kami untuk sentiasa mendekatkan diri kepada-Nya dan kami sentiasa membuat amal dan kebajikan ... Semoga suatu hari nanti kami dijemput dalam keadaan beriman dan taqwa, aamiinn ...

Thursday, August 9, 2012

Pemeriksaan Susulan Ketiga

Minggu lepas, 3 Julai 2012, aku ke klinik untuk mengambil darah bagi persediaan untuk pemeriksaan susulan yang ketiga selepas aku selesai menjalani rawatan kanser. Semalam, aku telah mendapat keputusan ujian darah daripada Pathlab dan Alhamdulillah ... semua bacaan yang tinggi dan merungsingkan aku sebelum ini telah banyak yang turun. Kolesterol, walaupun masih tinggi, tetapi telah banyak berkurang berbanding dengan 3 bulan yang lepas. Cuma, HDL dan LDL seperti sama-sama naik pula! Mungkin semasa menjalani ibadah puasa ini, aku menjaga diet dengan banyak mengurangkan pengambilan carbs. Itupun masa puasa ini aku tidak pergi ke gym. Rasa-rasanya jika pergi ke gym, mungkin keputusan ujian itu lebih baik lagi. Insyaallah selepas Idilfitri nanti, aku akan aktif semula ke gym, dan akan terus menjaga pemakanan.

Pada hari ini, janji temu dengan doktor onkologi di HKL ialah pada pukul 10.00 pagi. Aku keluar dari rumah dengan abah (suami) kira-kira pukul 8.00 pagi. Kesesakan lalu lintas agak teruk dan kami sampai ke HKL kira-kira pukul 9.30 pagi. Tempat parking yang selalu kami park kereta telah ditutup untuk public dan dikhaskan untuk staf sahaja. Alahai ... dah melilau pula mencari tempat parking awam. Untuk mengejar masa, abah menurunkan aku dahulu dan abah pergi park kereta.

Musim puasa ini, aku menjangkakan orang tidak ramai di klinik dan cepatlah aku dapat berjumpa doktor kerana biasanya temu janjiku pukul 10.00 dan aku akan selesai berjumpa doktor pukul 12.00 lebih ... jenuh dan begitu bosan menunggu. Bila sampai dan masuk ke klinik onkologi, ya Allah ... ramainya pesakit yang telah sedia menunggu! Aku terus mendaftar, dan sudah tentu dapat nombor yang jauh ke belakang. Dalam hati berfikir, rasa-rasanya aku hanya dapat berjumpa doktor petang kot ...

Untuk menjimatkan masa lagi, setelah mendaftar aku terus pergi ke day care untuk flush chemoport (idealnya perlu dibuat sebulan sekali). Selesai buat flushing, bermulalah episod bosan menunggu. Buku yang dibawa, habis selesai aku baca tetapi nombor masih belum dipanggil. Sempat juga aku terlentok sekejap kat kerusi. Abah pun berdengkur menunggu! haha ...

Akhirnya, pada pukul 2.00 petang barulah nomborku dipanggil. Doktor meneliti keputusan ujian darahku dengan terperinci. Alhamdulillah, tiada apa-apa yang meragukan. Aku bertanyakan doktor juga adakah aku perlu menjalani kolonoskopi ataupun tidak, dan doktor kata tak perlu kerana aku tiada masalah buang air besar dan kecil, Alhamdulillah. Apa yang perlu ialah aku perlu datang untuk pemeriksaan susulan lagi pada 10 Oktober 2012, menjalani CT scan pada bulan November dan mengeluarkan chemoport pada hujung tahun nanti. Semoga semuanya akan baik-baik sahaja dan aku akan sembuh sepenuhnya; kanser tidak akan berulang ... tidurlah sel-sel kanser dengan lena, jangan bangun-bangun lagi! 

Untuk itu, aku mesti terus menjaga pemakanan, melakukan aktiviti fizikal dengan kerap dan tidak stres. Insyaallah, walaupun tidak hari-hari, aku tidak lupa untuk membuat jus sendiri (karot+epal merah+limau kasturi) untuk diminum - semua itu adalah antikanser dan antioksidan yang bagus. Daripada bacaanku, epal merah baik untuk kanser kolon. Selain itu, aku terus meminum air rebusan raja satong, yang hanya tinggal stok beberapa biji sahaja lagi. Dah habis nanti kena beralih kepada teh pecah beling pula. Untuk menghalang sembelit, aku meminum Cleanx tea (organik). Musim puasa ini, aku tidak mengambil antioksidan bioorganix untuk kolon sebab ia merupakan serat dan perlu minum banyak air jika mengambilnya. Last but not least, aku tidak berputus asa untuk menghadapkan diri kepada Illahi, dan memohon doa sebanyak-banyaknya dengan harapan Allah akan menyembuhkan aku sepenunya dan penyakit kanserku ini tidak berulang lagi... 


Friday, July 20, 2012

Lemang untuk Menyambut Puasa

Semua umat Islam telah dimaklumkan puasa akan bermula pada Sabtu, 20 Julai 2012. Dalam keluarga kami, telah menjadi rutin bahawa setiap kali hendak menyambut puasa, telah menjadi kemestian kami membakar lemang, dan merendang daging dan ayam. Pada kali ini, semuanya bekerja. Kebetulan abah sedang berada di darat dan aku masih bercuti sakit, maka kami sekeluargalah yang in charge untuk membantu mak buat lemang dan rendang di kampung. 

Kami bercadang nak balik kampung semalam, tetapi memandangkan Wani ada kelas pada hari ini, kesian pula nak meninggalkan dia pada malam tadi. Jadi, pagi-pagi tadi kami bertolak selepas berkemas-kemas dan masak untuk abang (Zafhri) yang tidak dapat balik kampung kerana berniaga pada hari ini. 

Sampai di kampung, mak dah mula memasukkan beras dan santan ke dalam buluh. Aku dan Yana potong daging dan buat persediaan untuk masak rendang. Memandangkan mak dah siap isi beras ke dalam buluh, maka kami bakar lemang dahulu, kemudian barulah masak rendang daging dan ayam.
                                         
Lemang baru nak dilanggai
Dah hampir masak
Ayam baru nak ditenggek kat tungku
Lemang bawa balik ke KL
Rendang, bawa balik sikit jer

Bila lemang dah masak, kami makan masa panas-panas ... nyum, nyum ... Bila semua dah selesai barulah Wani dan adik bongsu sekeluarga balik. Selesai rendang daging, aku pun dah longlai, penat  dan panas... terus booom ... Dah lewat petang, kami balik KL. Hajat hati nak pergi Tarawih, tapi masing-masing semua dah terlalu kepenatan ... terpaksa dibatalkan ...

Hari ni rasa risau juga sebab aku dah melanggar pantang makan daging lebih sikit! Tak tahan melihat rendang daging tu sangat menggoda. Bila sampai rumah di KL, aku minta Wati blend carrot dengan limau kasturi untuk diminum. Mudah-mudahan jus ni dapat meneutralkan dan membuang kembali bahan-bahan yang tidak sesuai dengan diriku, yang telah ku makan tadi. Kejap lagi nak tidur, minum air rebusan raja satong, dan clenx tea ...

Besuk puasa. Mudah-mudahan kami sekeluarga dapat menunaikan ibadah puasa ini dengan sebaik-baiknya. Semoga Allah menerima semua ibadah kami dan semua umat Islam, dibulan yang penuh barakah ini. Semoga segala amal ibadah kami yang ditingkatkan pada bulan yang mulia ini akan berkekalan dan berterusan ... Aamiin ...