Wednesday, February 6, 2013

My New Classic Beauty - Kumbang Merah

Semasa masih bekerja, memang telah menjadi kebiasaan penghuni di bandar raya KL ini sentiasa bergerak cergas untuk mengejar masa, dan paling ketara untuk mengatasi kesesakan lalu-lintas. Kebanyakan pasangan suami isteri dengan anak-anak sekalipun mempunyai kenderaan sendiri, kerana rata-rata masing-masing mempunyai haluan dan destinasi sendiri. Sebagai salah seorang penghuni, aku tidak terkecuali dan sejak bekerja telah beberapa kali aku bertukar kereta. Akhir sekali aku memiliki Mitsubishi Lancer GT warna merah, yang kami gelar 'jerung merah'. Melurulah aku setiap pagi dan petang, mengejar masa dan cuba mengatasi kekesakan lalu-lintas pergi dan balik kerja. Setelah aku jatuh sakit dan cuti panjang, 'jerung merah' jatuh ke tangan Wani yang perlu berulang-alik ke UNITEN, dan aku pun bersara.

Apabila bersara, tidak terlintas dalam hatiku nak memiliki kereta lain lagi. Suatu hari, Abah (suami) mengatakan kawannya ada sebuah kereta VW Beetle yang masih cantik untuk dijual. Abah teringin nak beli, tetapi aku tidak bersetuju. Suatu hari, Abah menunjukkan gambar kereta tersebut ...

Depan
Belakang
Dalam
Enjin 1.6 cc

Whoaaa ... apabila aku melihat gambar-gambar tersebut, aku terus jatuh cinta dengan kereta ni! Aku lantas nak Abah beli 'kumbang' ni - jadi hadiah sempena dengan persaraanku! hehe. Tanpa dirancang, Abah terus mengesahkan kepada kawannya akan hasrat kami nak beli kereta tersebut. 

Semasa pergi ke JB minggu lepas, kami nak singgah di rumah kawan Abah melihat 'kumbang' ni, tapi tak sempat. Kami bercadang nak pergi lain kali dan mengambilnya. Akan tetapi, menurut kawan Abah, 'kumbang' ni akan dihantar oleh anaknya sendiri, kerana beliau tidak yakin ia boleh 'terbang' dari Batu Pahat ke KL kerana ada wayar yang telah rosak dan road tax pun dah mati pada Januari 2013 (beliau tidak perasan sebelum ni). Semalam,  Selasa 5 Januari 2013, aku amat teruja apabila 'kumbang' ini sampai ...

'Kumbang' merahku dah sampai!

Hua, hua ... tak terkata aku melihat 'kumbang' merahku dah sampai dan diturunkan dari lori! Memang masih cantik lagi, tetapi perlukan upgrading. Apabila diperiksa, ia perlukan bateri baharu dulu. Zafhri minta aku serahkan kepadanya untuk dibuat segala-galanya. Aku nak Zafhri cari barang-barang original beetle klasik ini supaya betul-betul menjadi classic beauty tetapi dengan prestasi yang bagus. 

Pagi ni, Abah memanggil kawannya dari workshop untuk membantu menghidupkan enjinnya dan memeriksa benda-benda lain. Seronoknya mendengar bunyi enjinnya apabila dihidupkan, dan nampak seronok sangat nampak Abah cuba pandu. Inilah keretaku nanti, yang mungkin bukan 'kumbang' merah tetapi 'kumbang' warna lain, tak pasti lagi ...

haha ... 'Kumbang' merahku di depan rumah

Tahun depan Abah pulak bersara dan kami nak jadikan 'kumbang' ini sebagai kereta kami, pasangan otai, berjalan-jalan ke sana sini. Untuk berjalan sekeluarga, kami tetap akan menggunakan 'gajah' Abah yang akan kami upgrade juga, isya-Allah. Rasa-rasanya cukuplah kehidupanku selepas bersara ini ... mendekatkan diri kepada Illahi, melakukan perkara-perkara yang aku suka dan meneroka alam ciptaan Illahi dengan apa yang kami ada ...

Dulu ... 'Jerung' merah untuk berkejar pergi dan balik kerja!

Sekarang ... 'Kumbang' merah untuk pasangan otai bersantai!