Thursday, February 4, 2016

Hari Kanser Sedunia 2016

HARI INI 24 FEBRUARI 2016 


Iringan doa bagi kaum keluarga, saudara-mara dan sahabat handai survivors, yang didiagnosis, sedang menjalani rawatan dan under remission ... Semoga tabah dan kuat semangat menghadapi ujian penyakit ini, dan semoga Allah memberikan kesembuhan sepenuhnya.

Kepada mereka yang telah menyahut seruan Illahi kerana penyakit ini, semoga Allah mencucurkan rahmat-Nya ke atas roh mereka dan mereka ditempatkan bersama-sama roh orang-orang yang beriman, soleh serta solehah dan beri syurga Allah, aamiin.

Wednesday, February 3, 2016

JAN 2016, Ulang Tahun Ke-5 Pembedahan

Mengimbau kembali tahun-tahun kebelakangan dan segala apa yang telah kutempuhi, tanpa kusedari rupa-rupanya sudah lima tahun aku bergelar cancer survivor. Terkenang kembali saat-saat aku belum didiagnosis  ...

Diriku sebelum didiagnosis

Aku seorang yang prihatin dengan hal-hal kesihatan dan selalu mengambil supplements. Aku juga seorang yang workoholics dan sentiasa on the move apabila berkaitan dengan hal-hal kerja. Tidak dapat dinafikan, stres suasana kerja memang tidak dapat dielakkan, namun aku sangat 'mencintai' karierku. Allah maha penyayang ... mungkin sedikit petunjuk penyakit yang datang aku abaikan, maka didatangiku dengan penyakit kanser yang sangat digeruni semua, dan pastinya tidak boleh kuabaikan begitu sahaja!

Lantas pada 24 Januari 2011, aku menjalani pembedahan anterior resection di Hospital HUSM Kota Bharu. Memang semua itu tidak pernah terlintas dalam fikiranku dan keluarga, tentang kejutan yang datang secara mendadak; bahawa aku dihinggapi penyakit kanser dan akan menempuhi rawatan yang begitu besar. Namun, itulah hakikat yang mesti kami sekeluarga terima, yang pastinya mengubah gaya hidup kami. Aku menjalani pembedahan 3 dalam 1, membuang tumor pada mid-rectum, menanam chemoport, dan memasang stoma bag. Aku terpaksa memakai stoma bag sementara.


Keadaan baru selesai pembedahan

Lebih kurang seminggu selepas pembedahan, aku keluar wad dan duduk di Homestay Min Camp untuk menunggu luka baik dan menjalani reverse eliostomy, iaitu menutup kembali tempat stoma bag dipasang; lebih kurang tiga minggu selepas menjalani pembedahan utama. Alhamdulillah, selepas sebulan duduk di Kota Bharu, dengan ditemani suami dan anak-anak, aku boleh balik ke KL semula. 

Balik KL selepas sebulan menjalani rawatan di KB

Perjalanan balik agak menyeksakan, dengan luka pembedahan yang masih perit dan keadaanku yang masih lemah. Namun, hatiku tidak sabar nak balik ke rumah. Di pertengahan perjalanan, kami bermalam semalam di Awana Kijal untuk berehat, sebelum meneruskan perjalanan pada keesukannya. Akhirnya, wellcome home sweet home ...

 

Aku duduk rumah beberapa bulan sebelum rawatan seterusnya dimulakan. Kerana urusan pertukaran rawatan dari HUSM ke KL, maka rawatan kemoterapi dan radioterapi hanya bermula kira-kira pertengahan tahun 2011 di HKL. Sehingga bulan Disember 2011, barulah selesai semua rawatan kemoterapi (6 cycles, 5 hari berturut-turut bagi setiap satu cycle) dan radioterapi (25 kali; setiap minggu, Isnin hingga Jumaat). Seksanya menjalani rawatan menanggung kesan rawatan tersebut, hanya mereka yang telah menempuhnya yang faham. Sepanjang rawatan, aku hilang kira-kira 10 kg ...

Susutnya badanku semasa menjalani rawatan

Setelah selesai rawatan, barulah lega rasanya. Walaupun rawatan telah selesai, kesannya agak lama juga. Aku cepat berasa letih apabila melakukan sesuatu. Rasanya setahun, tahun 2012, adalah tahun yang meletihkan dan tahun berehat bagiku; sabar jerlah. Rasanya, sebab itulah kakitangan kerajaan diberi kelonggaran mendapat kemudahan cuti sakit selama dua tahun apabila didiagnosis penyakit kanser; memang penat menanggungnya dan memerlukan kekuatan fizikal, mental dan emosional. Dalam masa beberapa tahun itu, aku sentiasa berhati-hati dengan pemakanan. Aku cuba mengelakkan makanan yang boleh trigger sel-sel kanser aktif kembali, di samping mengambil antioksidan. 

Tahun berehat-rehat

Semasa mula-mula menjalani rawatan, aku dimaklumkan bahawa jika dalam tempoh lima tahun aku tidak mengalami apa-apa masalah, aku boleh dianggap bebas kanser. Memandangkan aku telah sampai tempoh itu, dan tiada apa-apa petanda yang mencurigakan setiap kali menjalani pemeriksaan susulan, aku berharap penyakitku tidak akan berulang lagi. Walaupun dikatakan bebas kanser, namun jauh di lubuk hatiku tetap beringat yang penyakit ini mungkin boleh timbul kembali bila-bila masa sahaja. Aku sentiasa ingat dalam hati bahawa di dalam badanku ada time bomb yang boleh meletup bila-bila masa sahaja. Aku sentiasa berdoa semoga perkara ini dijauhi. Apa-apa yang berlaku dan ku tempuhi, diharapkan ia menjadi kenangan semata-mata dan janganlah menjadi realiti kembali. Biarlah gambar-gambar ini menyimpan cerita buatku ...

 

Dan akhirnya ...


Itulah aku ... sejak didiagnosis dan telah menempuhi pengalaman sebagai cancer survivor selama lima tahun ini, aku ingin menghabiskan sisa-sisa hidup ini bersama-sama keluarga, mendekatkan diri kepada Allah, tanpa menjerumuskan diriku kepada stres yang boleh menggugat emosi, kesihatan dan kehidupanku. 

Keluargaku, nyawaku

Semoga Allah merahmati hidupku
bersama-sama keluarga
di dunia dan akhirat

AAMIIN