Friday, June 13, 2014

Demam oh Demam

Pada hari Selasa, sehari selepas harijadiku, seperti biasa aku ke kebun bersama-sama Abah, dengan Yana dan kawannya juga. Pada hari tu, kami mengerjakan kawasan semak yang agak tebal. Sudah menjadi kebiasaan bagiku, semasa mengerjakan kebun tidak terasa penatnya, tetapi setelah balik baru terasa sangat penat dan malamnya akan tidur begitu lena sekali.

Namun, pada hari itu aku terasa kepenatan dan sakit-sakit badan yang luar biasa sedikit. Semasa nak tidur pun terasa badan berat, namun ku abaikan sahaja. Selalunya, bangun dari tidur rasa berat badan dan kepala hilang, tetapi kali ni apabila bangun dari tidur kepalaku masih terasa berat. Mengikut jadual, aku dan Abah memang tak kebun pada hari Rabu kerana hari tu ialah hari kuliahku di madrasah.

Walaupun kepala sakit dan badan rasa berat, aku kuatkan juga semangat ke madrasah kerana dah 2 minggu aku tak hadir kuliah. Semasa kuliah, kepalaku bertambah sakit dan aku rasa sangat letih dan mengantuk; sampai tertidur sekejap semasa ustaz memberikan kuliah. Terasa begitu seksa menahan mengantuk, sakit badan dan kepala. Sampai rumah aku terus tidur. Memang aku rasa satu jihad betul nak mencari ilmu Allah kali ni! Semoga Allah memberkatiku, aamiin.

Aku hanya bangun untuk solat dan mengalas perut sahaja. Tidak ada rasa demam, tetapi kepala dan badan terasa begitu berat dan sakit-sakit. Aku makan panadol sahaja. Dalam keadaan begitupun, Alhamdulillah ... aku dapat tidur dengan lena kerana kepenatan dan berharap pada esuknya aku akan segar semula dan dapat ke kebun lagi kerana kami dah merancang untuk mengemaskan dahan kayu yang telah dipotong, dengan bantuan seorang adik iparku.

Perancanganku tak kesampaian apabila aku merasai sakit-sakit badan dan kepala yang makin teruk dan berasa lemah pula. Badan pun mulai rasa panas. Untuk mengatasinya, aku memakan ubat demam yang ada di rumah dan dan tidur sepanjang hari. Rasa tak larat sangat. Abah terpaksa juga pergi ke kebun kerana ada beberapa urusan yang mesti diselesaikan.  

Semasa Abah balik pada petangnya aku memang dah tak larat sangat. Malamnya, pergi ke klinik pun terpaksa dipegang semasa berjalan. Doktor mengatakan aku mengalami demam virus dan membekalkan antibiotik dan ubat demam. Jika dalam masa 3 hari masih tidak baik, doktor terpaksa mengambil darah untuk pemeriksaan lanjut.

Balik rumah, aku terus makan ubat yang diberi dan tidur. Alhamdulillah, apabila aku terjaga pada tengah malamnya, sakit kepala dan badan berkurangan walaupun masih berasa lemah. Seleraku juga datang maka dapat aku menikmati nasi dan lauk yang masih ada. Nampaknya, tak dapat aku nak melakukan lebih sikit amalan di malam nisfu Syaaban kali ni. Semua atas kehendak dan izin Allah jua. 

Hari ni, aku semakin pulih dan segar walaupun terasa bayang-bayang sekali sekala apabila berjalan. Selera pun dah seperti biasa, namun aku banyakkan berehat lagi. Kang tumbang balik, kan ke naya! Semoga aku sihat kembali untuk meneruskan aktivitiku bersama-sama keluarga, aamiin ...

Selamat Hari Jadi, Asiah ...



Setahun ... 

umurku meningkat
aku mengembara dalam kehidupan yang sementara
aku menghampiri destinasi akhir, alam baka 


Pada hari itu, 9 Jun 2014, genaplah umurku 56 tahun. Alhamdulillah, Allah telah mengizinkanku untuk terus bernafas dan menikmati hidup dalam alam ciptaan-Nya ini hingga ke tahap ini. Dengan itu, genap juga 3 tahun 6 bulan aku hidup sebagai pesakit kanser usus. Dan ... genap juga 1 tahun 6 bulan aku menjadi pesara. Alhamdulillah ...

Setakat ini, tiada sesuatu yang serius berlaku berkaitan dengan penyakitku, namun aku harus sentiasa ingat yang sihatku berpenyakit. Mengharungi hidup sebagai seorang pesara merupakan sesuatu yang indah buatku, apa lagi Abah juga telah bersara. Kami sama-sama menghabiskan masa menguruskan tanah kami di kampung untuk dibangunkan menjadi kebun dengan sebuah rumah idaman kami, insya-Allah.

Tiada apa-apa sambutan yang istimewa buatku pada hari jadiku ini. Kehidupan diteruskan seperti biasa, iaitu berkebun bersama-sama Abah dan menggoreng pisang pada petangnya selepas penat menebas. Sungguh nyaman, dengan suasana yang nyaman di tepi sungai. Aku juga mengharapkan anak-anak pun tidak membelikan kek harijadi buatku. Sudah-sudahlah mengikut cara Barat menyambut hari jadi dengan kek dan meniup lilin. Hasratku setelah rumah siap dan kebun selesai nanti, harijadi anggota keluarga disambut dengan bacaan Yassin, tahlil dan doa selamat; lebih berkat lagi. Insya-Allah, moga Allah kabulkan niat yang baik itu.


Menggoreng dan menikmati pisang goreng di tepi sungai

Hasrat utamaku sekarang adalah supaya aku dan Abah dapat menunaikan haji. Semoga Allah menjemput kami menjadi tetamu-Nya. Semoga Allah memudahkan kami, memberikan kami kesihatan yang baik dan ilmu yang meluas untuk itu. Semoga Allah memberikan kami haji yang mabrur kelak, aamiin ... 


Jika Allah mencabut nyawaku... 
semoga dipermudahkan aku menghadapi sakaratulmaut, 
kembali kepada-Nya dalam keadaan redha-Nya,
dipermudahkan perjalananku di alam kubur dan hari akhirat
diberi syafaat Rasulullah SAW
dikumpulkan bersama-sama orang-orang yang beriman
diberi tempat di syurga-Nya bersama-sama ibu-bapaku dan keluargaku
Aamiin

Sunday, June 8, 2014

Pemeriksaan Darah

Pada hujung bulan Jun 2014, aku perlu pergi membuat pemeriksaan susulan ke Institut Kanser Negara (IKN) di Putrajaya. Dalam pemeriksaan susulan yang lalu, doktor onko menyuruhku menghantar keputusan pemeriksaan darah lebih awal untuk penelitian mereka. Dengan itu, pada awal minggu ini, aku ke klinik untuk 'penyedutan darah' bagi tujuan pemeriksaan menyeluruh, terutamanya cancer markerSemalam, aku telah memperoleh keputusannya ...

Blood analysis

Alhamdulillah, darah ok jer, kecuali ESR tinggi sedikit bacaannya daripada reference range. Walau bagaimanapun, ia lebih rendah daripada sebelum ini. Memandangkan ia merupakan petanda bagi sebarang keradangan yang berlaku di dalam tubuhku, diharapkan keradangan itu bertambah baik dengan penurunan bacaan itu. 

Uric acid ... alamak, tinggi juga. Doktor menasihatkan jangan banyak sangat makan protein, mmm... Glukos sangat tinggi berbanding dengan sebelum ni. Ishh ... kena banyak kurangkan pengambilan gula ni. Macam mana aku nak berhenti minum teh susu ni? Watch out Asiah, kamu dah tergolong dalam kumpulan penghidap diabetes pula ni! 

Keputusan liver function test sebenarnya menakutkanku juga kerana sebelum ni bacaan Alkaline Phosphates selalunya tinggi, tapi kali ni Aspartate Transaminase dan Gamma-Glutamyl Transferase pulak tinggi. Doktor kata mungkin disebabkan oleh fatty liver. Kalau fatty liver tak apalah, jangan keradangan disebabkan oleh sel kanser, huh. Cuba makan liver tonic dulu dan tengok blood test yang akan datang ...


Sekarang yang menjadi amaran keras kepadaku ialah tingginya bacaan kolesterol. Aduhhh ... macam mana ni? Orang nogori mana boleh tinggal masak lomak lado padi? Tapi, secara saintifiknya santan kelapa tidak menyebabkan kolesterol naik, wallahualam. LDL ni jahat betul! Hey Asiah ... jangan salahkan LDL tu, jaga dan tengok apa yang kamu makan, ok! Hai ... hai ...

Heee ... menakutkan!

Last but not least, cancer marker. Alhamdulillah, CEA yang khusus untuk penanda kanser kolorektal memberikan bacaan yang kurang daripada referance range. Untuk kanser-kanser lain pun, bacaannya dalam lingkungan yang selamat juga. Walau bagaimanapun, sebenarnya CEA itu merisaukanku juga kerana selama ini bacaan selalunya 0.5, tiba-tiba kali ni 1.0 pula. Ya Allah, janganlah aktif semula sel-sel kanser ... tak sanggup aku nak menempuhi rawatannya ... Lagipun, cancer marker bukan penentu total yang seseorang itu  tidak aktif sel kansernya. Allahuakbar, semoga Allah melindungiku. 


Tengoklah apa kata doktor onko dalam pemeriksaan susulanku yang akan datang. Prosedur colonoscopy pulak akan dijalankan pada bulan Ogos nanti. Aku fobia nak menjalaninya, tapi bila tengok bacaan ini, alangkah eloknya kalau prosedur itu dijalankan sebelum aku menemui doktor onko ni. Tak apalah, doktor onko pun ada sebut akan diadakan CT/PETScan nanti.

Sebenarnya, aku rasa confident semuanya ok kerana aku selalu melakukan exercise yang intensif dengan berkebun bersama-sama suamiku. Apabila begitu, badan pun letih dan selera pun selalu terbantut, cuma mungkin kualiti makanan tidak dijaga. Dan lagi, dalam dua bulan kebelakangan ini, aku berhenti mengambil supplements yang biasa ku ambil dan menguji satu produk herba yang kononnya baik untuk kesihatan - menurunkan gula dalam badan (yang menjadi puaka jika berlebihan, dan menjadi punca kebanyakan penyakit).  

Memang, akhir-akhirnya aku memang rasa badan tak berapa betul bila aku meninggalkan supplements yang diambil selama ini. Ternyata, badanku memang tidak memberikan reaksi yang positif terhadap produk-produk kesihatan alternatif untuk mengatasi penyakit kerana dah beberapa produk aku cuba, memang tak jalan. Sekarang, aku tak boleh mengada-ngada lagi mengambil produk-produk yang sebegitu dan mesti terus tetap dengan supplements yang telah ku amalkan selama ini. Mungkin produk-produk tersebut baik untuk orang lain, tetapi tidak kepadaku. Now, bye bye dengan produk tu semua ... 

Apa-apa pun, back to basic ... 

Apa-apa yang berlaku adalah kehendak dan atas izin Allah jua 
Kita hanya berikhtiar dan Allah yang melaksanakannya

Saturday, June 7, 2014

Pertemuan yang Tidak Disangka - Ayu/Azli


Azli, Ayu dan dua orang anak mereka

Khamis, 5 Jun 2014, seperti biasa aku dan abah pergi ke kebun untuk menebas. Kali ini Yana anakku turut serta. Memandangkan kami tidak bersarapan berat di rumah, maka apabila sampai di kampung, kami singgah di gerai tepi jalan di persimpangan ke rumah Abah di kampung untuk membeli makanan. Sambil menunggu pekedai membungkus nasi lemak, aku disapa oleh seorang perempuan muda yang mendukung anak kecilnya. Aku tidak pernah menemui atau mengenali beliau, maka tercenggang juga aku dibuatnya.

Walau bagaimanapun, jauh di sudut hatiku berkata yang beliau ialah salah seorang ahli kumpulan whatsapp Cancer Survivor II yang di uruskan oleh seorang survivor Zue, iaitu Aryurose atau Ayu. Ayu ialah isteri kepada seorang pesakit kanser usus yang mengikuti blog milikku bersama-sama suaminya, Azli. Memandangkan dalam kumpulan whatapps Cancer Survivor itu tiada yang menghidap kanser usus, maka kami sering berkomunikasi melalui whatsapp secara private tentang perkongsian pengalaman yang telah ku lalui semasa menjalani rawatan dahulu dengan apa yang ditempuhi oleh suaminya sekarang yang sedang menjalani rawatan. Dan, mereka suami isteri memang teringin menemuiku dan aku sendiri pun ingin menemui mereka. Allah maha pengasih, maka ditemukan-Nya kami di gerai tepi jalan dalam perjalananku ke kebun dan perjalanan mereka nak balik  ke kampung, Alhamdulillah.

Terlanjur, aku mengajak mereka ke kebunku supaya nanti senang mereka nak datang lagi apabila ada kelapangan untuk menikmati alam semula jadi di kebunku. Sambil anak-anak beliau bermain air, dapatlah kami berborak panjang tentang pegalaman kami sebagai pesakit kanser menempuhi rawatan. Sharing is caring, aku memberikan sedikit penduan kepada Azli yang sedang menjalani rawatan (kemo dan radio) sekarang ini, di samping memberikan semangat dan motivasi agar Azli kuat dan tabah menghadapi kesan rawatan yang sangat menyiksakan itu. 

Berbual panjang sambil bersantai 

Ceria ... sihat yang sakit

Hanya Allah sahaja yang mengetahui penderitaan yang ditanggung oleh mereka suami isteri. Apabila seorang anggota keluarga sakit, tambahan sakit kronik, semua ahli keluarga akan menanggung sakit itu juga. Insya-Allah, semua yang ditempuhi itu adalah sementara sahaja, dan untuk kesembuhan. Doaku semoga Azli tabah dan sembuh sepenuhnya nanti. Sebagai isteri, semoga Ayu juga tabah setabah suaminya, aamiin ... 

Terima kasih bertandang ke kebun kami
Panjang umur kita bertemu lagi