Friday, December 30, 2011

Diet ...


Setelah beberapa hari balik dari bercuti barulah hari ni aku berkesempatan nak pergi ke supermarket untuk mencari sayur dan barang-barang lain keperluanku yang telah habis dan tinggal sedikit. Setelah bersiap-siap dan nak keluar, muncul pula kakak bersama-sama cucunya menziarahiku. Kenalah layan cucu sedara dulu sebelum keluar. Dah terlanjur begitu, aku pun mengajak kakak pergi ke supermarket sekali. Sebelum tu, kami makan dulu di Old Town White Coffee, sambil melayan cucu sedara yang comel tu. Lihat jerlah betapa comelnya si dara kecil ni ...

Comel ...
Bulatnya mata

Makan macam orang tua ... semua dia nak
Selesai menjamu selera, kami pun masuk ke Jusco untuk membeli keperluan masing-masing (lupa pulak nak snap gambar si kecik ni naik trolley, dan menolak trolley). Aku pun memboronglah sayur-sayur organik yang ada dijual di situ. Nasib baik Jusco ni ada jual sayur organik. Sayur organik ni pun tak boleh juga beli banyak-banyak, sebab simpan lama cepat rosak pula. Tapi, tak apa sebab tempat ni dekat dengan rumahku.  Kalau tak kenalah aku pergi ke Bangsar Shopping Complex, Alamanda atau Mega Mall - jauh. Kakak dah tak larat nak layan kerenah cucunya, dan balik dulu. Aku pula singgah di kedai NHF (Natural Health Farm) untuk membeli supplements, antioxidants dan barang-barang lain yang rasanya perlu untukku. Alhamdulillah, ada kedai ni kat sini. 

Sejak habis kemo ni, aku rasa risau juga dengan pemakanan hari-hari. Yelah, sebelum ni bila makan tu, ada rawatan kemo lagi rasa confident sikit. Bila anak tegur, aku akan cakap "tak pe, lepas ni racun ubat kemo bunuh balik". Tapi sekarang kalau makan tak menentu, cari nahas jawabnya. Tak bolehlah makan nak mengikut nafsu dan kena disiplin jaga makan. Exercise pun belum betul-betul buat lagi ni ... cuma berkemas rumah dan buat exercise ringan lebih kurang 15 atau 20 minit saja pada waktu pagi. Ish, ish ... tak boleh jadi ni. Tahun baru kena azam betul-betul exercise dan makan banyak makanan anti-kanser!

Selama lepas kemo ni, tiap-tiap pagi aku minum teh susu atau milo, dan telur bersama-sama roti atau nasi goreng. Rasanya tak berapa bagus juga tu. Ada teh hijau dan teh herba, tak cuba lagi (sebelum ni minum teh organnik keluaran Amway). Aku pun belilah Oat Milk Energy untuk aku ambil pada waktu pagi nanti, atau bila-bila masa nak alas perut. Selain itu, untuk rasa lebih confident sikit aku beli Bio Rex, yang menurut kata pemilik kedai tu, ia merupakan antioxidant untuk sel dan tisu (membuang toksik pada tisu dan sel). Setakat ni, aku mengambil Bio Organix saja sebagai antioxidant kolon (pembersih/buang toksik dalam kolon dan menjadi supplement juga). 

Sekarang pun, dah lama juga aku tak minum jus epal + carrot + celery tiap-tiap pagi. Hey, kena buat balik! Tak boleh malas-malas dah. Kang relapse, padan mukaku kena buat rawatan kemo lagi; lebih-lebih kalau berlaku rebakan ke bahagian lain organ pulak (metastasis)! Huish, janganlah ... tak sanggup lagi nak pergi ulang-alik ke hospital, kena bedah dan kena cucuk sana-sini! Harap-harap apa yang aku makan, minum dan exercise, dapat mencegah berlakunya relapse. Setakat ini, makanan dan minuman yang aku ambil ini harap-harap memberikan kebaikan kepadaku. Selamat beradulah sel-sel kanser, dan jangan bangun lagi!
Baru nak cuba ni. Harap-harap kena dengan selera
Dah beli sebelum ni, tapi tak minum lagi
Dah amalkan minum air campuran tiga serangkai ni beberapa bulan
Jus untukku
Dah lama juga tak minum ni ... kena minum balik
Baru nak cuba biskut ni 
Dah beberapa bulan juga gunakan manisan ni, pengganti gula
Supplement dan juga pembuang toksik dalam kolon
Baru nak cuba, antioksidant membuang toksin dalam sel dan tisu
Nak cari telur ayam kampong susah, kena ambil telur ni
Minyak masak untukku
Sayur-sayurku ... yang organik
Antioksidant semula jadi dan buah-buahanku 

Pemilik kedai HNF tu mencadangkan aku mengambil Spirulina untuk mendapatkan lebih protein pengganti daging. Aku tak beli dan tak nak cuba lagi, sebab rasanya dah banyak benda-benda yang aku ambil, kang overdose pulak. Nantilah ... Selain daripada bahan-bahan yang aku paparkan di atas tu, aku juga mula mengambil black seed, yang diberi oleh sahabatku (terima kasih Shimah), dan black seed oil daripada sahabat juga, yang dititiskan dalam minuman (terima kasih Dr. Nik).

Sebelum ni pun mak sedara ada memberiku buah Raja Satong untuk direbus dan diminum airnya, yang menurutnya memang anti-kanser. Daripada pencarianku di internet memang buah ini bagus untuk pesakit kanser, dan penyakit-penyakit lain (tak ingat penyakit apa). Sahabatku Has juga mencadangkan aku mengambil daun Bismillah (daun afrika), daun pecah beling, daun pegaga dan beberapa herba yang lain. Sebelum ini, memang aku selalu minum air rebusan daun Bismillah dan teh daun pecah beling. Tetapi, apabila aku menjalani rawatan kemo, aku berhenti mengambilnya. Kenapa? Sebab pada kemoku yang terakhir hari tu sel darah putihku rendah - takut berlaku interaksi herba dengan ubat kemo, yang mungkin boleh memudaratkan. Memandangkan telah sebulan aku selesai rawatan kemo, mungkin aku boleh mula mengambilnya semula.

Semua ini hanyalah sebagai ikhtiar, dengan harapan semua itu akan membantuku 'menidurkan' sel-sel kanser, dan tidak memudaratkanku lagi ... Tapi, yang paling penting lagi ialah aku tidak boleh berputus asa dengan rahmat Allah; sentiasa memohon dan menghadapkan diri kepada Allah SWT, kerana semua yang berlaku atas kehendak dan izin-Nya jua. Segala yang berlaku ada hikmah dan rahmat-Nya, insyaallah ...

Wednesday, December 14, 2011

Wajah-wajah Tersayang ... Alhamdulillah

Sejak aku didiagnosis kanser pada bulan Januari 2011, diam tak diam dah hampir setahun rupanya aku menjadi cancer survivor. Rasanya terlalu besar cabaran dan ujian yang telah aku dan keluargaku lalui. Apa tidaknya, semasa menjalani pembedahan, kami sekeluarga berkelana selama sebulan di Kota Bharu, Kelantan, dengan aku keluar masuk wad menjalani pembedahan dan pemulihan selepas pembedahan. 

Dalam tempoh tersebut, anak lelakiku (Zafhri) terpaksa tinggal di KL seorang diri kerana ada urusannya sendiri. Anak ketiga (Yana) pula telah mengorbankan kuliahnya selama 2 minggu untuk bersama-samaku menjalani saat-saat kritikal itu, tetapi terpaksa balik juga ke KL selepas aku agak stabil. Tinggallah suami (Abah), anak sulung (Wati) dan anak bongsu (Wani) yang bergilir-gilir menjagaku, terutamanya semasa di wad. Wati menjagaku pada waktu malam, dan Wani dan Abah menjagaku pada waktu siang supaya Wati dapat berehat; kesian melihat Wati yang tiap-tiap malam tidur di lantai hospital beralaskan tilam toto yang kecil sahaja, dan tak boleh lena kerana melayanku yang tidak selesa dengan ileostomy, dan untuk buang air kecil.

Abah pulak lebih kepada menjadi runner daripada menjagaku. Apa tidaknya, pagi-pagi telah muncul bersama-sama Wani di wad untuk menggantikan Wati, yang berjalan kaki balik ke Rumah Tamu. Kemudian kena keluar semula mencari breakfast untuk Wani dan Wati. Kemudian, masa lunch kena keluar pula membeli makanan untuk lunch, dan malam untuk dinner

Selepas berpindah ke Min Camp,  pagi-pagi Abah dan Wani datang ke wad untuk mengambil Wati dan menghantarnya balik ke Min Camp untuk berehat, dan Wani tinggal menjagaku. Kemudian, Abah datang semula dengan breakfast untuk Wani. Tengah hari keluar lagi untuk membeli lunch untuk Wani dan hantar ke Min Camp untuk Wati. Petang Abah kena ambil Wati semula balik ke wad dan membeli makanan untuk dinner. Begitulah kehidupan kami sehari-harian - aku duduk wad, Abah jadi runner/penjaga dan Wati dan Wani menjadi penjaga sehinggalah aku keluar wad dan kami balik ke KL. Nasib baik Abah dapat cuti lagi. Aku kesian melihat Abah, Wani dan Wati yang tidak teratur kehidupan dan makan minum sehari-harian mereka, sehinggakah suatu ketika Wati sakit perut dan tak sihat. Nasib baik masa tu aku dah boleh keluar wad.

Setelah balik KL, Abah mesti balik ke laut untuk bertugas semula selepas begitu lama bercuti, dan tinggallah aku dengan anak-anak sahaja. Masa tu juga Wani kena pergi PLKN dan aku meneruskan rawatan kemo dan radio di HKL; Wati jugalah yang menemaniku di wad, tetapi HKL memberi cuti hujung minggu semasa terpaksa duduk wad menjalani radioterapi selama 5 minggu dengan dua kitar kemo. Masa balik cuti itu juga yang sepatutnya digunakan untuk berehat, tetapi digunakan untuk mengunjungi Wani di PLKN. Nasib baik kemnya di Hulu Selangor, kalau tidak maka tak dapatlah kami nak menjengahnya. Ketiadaan Abah semasa aku dalam keadaan tidak sihat menanggung kesan rawatan tu serba sedikit menjejaskan emosiku dan anak-anak yang terpaksa menguruskanku, dan seterusnya menjejaskan prestasi kesihatanku juga. Aku yakin Abah juga tidak tenteram di tengah laut sana. Nak buat macam mana ... hanya berserah sahaja kepada Allah agar diringankan ujian buat kami sekeluarga. Semuanya adalah ketentuan daripada-Nya jua. Walaupun ujian penyakit padaku, tetapi sebenarnya keseluruhan ahli keluarga semua diuji. Kami bersyukur kerana semuanya telah selesai, cuma diharapkan tidak berlaku recurrance

Sesungguhnya aku amat bersyukur kerana Allah telah menganugerahiku suami dan anak-anak yang sangat baik. Mereka semua telah menjagaku dengan sebaik-baiknya, dan amat perihatin dengan kesengsaraan yang ku tanggung - mereka sentiasa cuba mewujudkan suasana yang selesa untukku. Alahamdulillah ...  Pengorbanan mereka amat aku hargai. Setiap detik yang kami lalui tetap terpahat di dalam hatiku. Aku bersyukur ke hadrat Allah kerana kami sekeluarga telah berjaya melepasi ujian dan saat-saat yang kritikal. Walaupun kami merasakan ujian kami itu amat besar, tetapi sebenarnya ramai orang lain yang diuji dengan ujian yang lebih hebat. Allah itu Maha Besar dan Maha Mengetahui ... Dia memberikan ujian kepada hamba-Nya mengikut kemampuan hamba-Nya.

Wajah-wajah kesayangan, yang begitu banyak berkorban untukku ...

Keluargaku pendorongku untuk terus kuat dan tabah

Abah, yang sentiasa prihatin - penjaga dan runner
Wati, my care taker, banyak bersama-samaku di saat kritikal dan tidak kritikal 

Zafhri (Abang), yang sentiasa risau dengan keadaanku

Yana, yang selalu risau melihatku tetapi cuba melindungi perasaannya

Wani, yang cuba nak menjagaku sebaik-baiknya, tetapi kadang-kadang tak tahu nak buat macam mana

"Ya Allah, berikanlah sebaik-baik balasan terhadap mereka ini yang telah banyak berkorban untukku dengan ikhlas dan sepenuh hati"


Dan, akhirnya wajah yang paling tersayang, tersayang ... taraaaa ...

Just humble me, AsiahRSC

Aku tidak lupa juga atas segala doa, sokongan dan dorongan adik-beradik, kaum keluarga dan sahabat handai terhadapku ... Ibu mertua setiap malam mendirikan solat hajat untukku! Kakakku Kamaliah setiap hari memanjatkan doa untukku! Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa baik itu semua ...

Monday, December 12, 2011

Akhirnya, Selesai Kemo ... Alhamdulillah

Hari Sabtu, 3 Disember 2011, ialah hari terakhir aku menjalani kemo kitar yang keenam dan terakhir. Kebetulan hari Sabtu day care centre tak buka, maka aku terpaksa menjalani kemo di wad. Pada hari Jumaat, selepas kemo, aku mendaftar untuk masuk wad bagi kemo pada keesukkan harinya. Selepas mendaftar di tempat pendaftaran untuk masuk wad, aku mendaftar di wad yang telah ditetapkan (kelas 3; kelas 2 dan 1 tak ada kosong, tak kisahlah ... janji cepat selesai dan sekejap jer). Sepatutnya aku perlu terus tinggal di wad selepas mendaftar, tetapi aku telah mohon cuti balik rumah dan datang pada keesokkan harinya. Huish ... tak sanggup lagi nak duduk wad dah. Beberapa hari sebelum kemo, memikirkan nak pergi hospital dan menjalani kemo tu pun dah cukup stress dibuatnya. Apabila selesai semuanya, aku pun balik - melepek!!!

Keesokkan harinya, hari Sabtu, pagi-pagi lagi aku telah keluar dari rumah bersama-sama Wati dan Zafhri (sebagai pemandu kami). Memandangkan hari tu hari cuti, jalan tidak jam maka kami cepat sampai ke HKL, dan dapat pula parking di dalam kawasan hospital yang berhampiran dengan Jabatan Onkologi tempat aku menjalani kemo. Aku dan Wati terus pergi ke wad. Zafhri pula terus pergi parking, dan menunggu kami di dalam kereta.

Sampai di wad, aku minta agar kemoku dijalankan seperti yang dijalankan di day care centre, iaitu melalui pam/suntikan, dan bukan melalui drip yang akan mengambil masa yang lama - aku tak sabar dan stress sangat rasanya untuk menyelesaikan kemo yang terakhir tu.  Petugas terus menyuntik saline solution untuk flush chemoport dan ubat lain (aku pun tak tahu namanya). Kemudian, aku perlu berehat selama setengah jam. Ya Allah, lamanya nak tunggu setengah jam tu - aku zzzz, sebab aku pun bukan fit sangat dan letih/lembik sepanjang menjalani kemo kali ni.

Selepas setengah jam, petugas datang untuk mengambil tekanan darah dahulu sebelum ubat kemo disuntikkan. Mungkin disebabkan aku terlalu stress, tekanan darah tinggi sedikit, iaitu melebihi 150. Petugas minta aku relax dan berehat sekejap. Apabila diambil tekanan darah sekali lagi, ia menunjukkan dalam lingkungan 140. Petugas pun menyuntik ubat kemo. Setelah selesai, petugas mencabut jarum saluran pada chemoport, maka selesailah kemoku yang terakhir tu ... MERDEKA daripada rawatan!!! Walau bagaimanapun, chemoport masih tidak dikeluarkan lagi.

Ya Allah, janganlah sakit ini berulang lagi, yang menyebabkan aku perlu menjalani rawatan seperti yang telah ku lalui selama ini. Memikirkan nak pergi hospital pun badanku dah mula letih!!! Tidak hairan, ada seorang penghidap kanser payudara di kampung mengatakan nak pergi hospital buat kemo tu pun dah muntah dah - belum sampai hospital dan buat kemo lagi. Dan ada seorang penghidap tu cakap, apabila duduk wad, dengar bunyi troli tu pun dah membuatkannya muntah - so buat kat day care centre, dan ada ketikanya buat sendiri kat rumah (dah beli alat-alat untuk buat kemo sendiri! Allahuakbar).

Selesai kemo, aku berasa amat letih sekali, tetapi aku gagahkan juga berjalan ke kereta. Masuk dalam kereta, aku terus booom ... letih, lembik. Dalam perjalanan aku tertidur seketika. Bila tersedar, perut berasa lapar tetapi selera rasa terbantut pula. Memandangkan anak juga dah lapar dan letih, kami singgah juga sebentar di restoran untuk mengisi perut. Aku memesan roti canai, tetapi tidak mampu menghabiskannya. Terlentok aku atas meja di restoran tu. Selesai anak makan, kami pun bergerak balik ke rumah.

Sampai di rumah, apa lagi ... aku pun terus kejar katil dan boom. Akan tetapi, perut pulak rasa lapar walaupun selera terbantut. Dalam lapar tu, perut pun tak selesa kerana kesan kemo; seperti kena gastrik. Apa nak buat hah? Aku teringat kawanku Has berkata yang beliau dan suaminya makan durian lepas kemo, bestWhy not I give a try, dan kebetulan masa tu kat rumah ada durian. Aku pun bangun dan ... nah! Habis sebuah durian aku makan sorang. Yesss ... memang betul kata-kata Has. Aku rasa kenyang dan perut tak meragam sangat akibat kesan kemo tu, Alhamdulillah. Malamnya, dah boleh makan sikit, tapi keletihanku tak boleh tahan.

Pada petang tu pula, sahabatku dari Singapura (Zilla), yang kebetulan ada tugas di KL, datang melawatku sebentar - just to say hello kerana beliau tidak mahu menggangguku yang sedang lembik tu. Thanks Zilla for your courtesy to visit me - I appreciate that very much. Bila Zilla dah balik, aku boom semula...

Pelik, apabila aku berbaring aku seolah-olah tak ada apa-apa, tetapi bila bangun dan duduk, rasa nak rebah dan mata rasa tak boleh buka ... apa lagi berdiri - macam dunia ni bergoyang-goyang jer. Terpaksalah aku berbaring sahaja, walaupun rasa penat asyik berbaring tu. Sampailah 3 hari aku berkeadaan begitu, barulah aku boleh bangun walaupun badan tu rasa 'toing, toing' lagi. Alhamdulillah, aku tidak diserang sakit kepala dalam keadaan begitu - cuma rasa berat atau bengal sikit kerana asyik berbaring jer.

Pada hari keempat, aku dah boleh melakukan exercise yang ringan dan berkemas rumah supaya lembik tu cepat hilang. Selalunya, jika sel darah putih rendah, kita lakukan exercise dan makan makanan berkhasiat, insyaallah sel akan meningkat. Akan tetapi, sekerat jalan kemas rumah aku rasa letih sangat dan terpaksa berehat. Hari-hari seterusnya, Alhamdulillah ... Aku rasa ok, cuma cepat penat bila banyak bergerak. Hari ni, aku dah super duper, walaupun sesekali penat juga lepas aktif sikit tu. Sesekali, berlaku juga cirit-birit. Alhamdulillah ... dah boleh balik kampunglah pada hari Jumaat, dan bercadang lagi balik kampung pada hari Ahad ... Durian dan rambutan kat kampung memanggil-manggil ... tak boleh tahan. Lagi pun kena jengah orang tua kat kampung tu yang selalu risaukan keadaanku.

ALHAMDULILLAH, ALHAMDULILLAH ...

... Hanya itulah ucapan yang dapat aku lafazkan kerana aku telah selesai menjalani semua kitar kemo yang mesti aku jalani untuk rawatan susulan selepas pembedahan. Harap-harap dengan pembedahan dan rawatan kemo dan radio yang telah ku lalui, sel-sel kanser di dalam tubuhku ini telah hancur semuanya, dan tidak akan hidup kembali. Tak sanggup lagi rasanya nak menempuh rawatan tu semua.

Kitar yang terakhir ini amat mencabar rasanya. Selalunya, semasa kemo aku ok sahaja, dan cuma rasa letih sedikit selepas selesai pada hari kelima (satu kitar kemoku terdiri daripada 5 kali kemo setiap hari berturut-turut). Akan tetapi, kemo pada kali ni setiap hari aku lembik selepas kemo (kecuali pada hari kedua sahaja aku ok). Semasa perjalanan pergi dan balik hospital pun aku perlu berbaring dalam kereta, dan bila sampai rumah, melepek terus atas katil. Mungkin keadaan ini berlaku disebabkan sel darah putihku rendah sedikit.  Dan, darah putih menjadi lagi rendah selepas kemo adalah perkara biasa; kesannya letih ... wallahualam. Mungkin juga badanku sendiri telah begitu lemah dan letih kerana kena kemo setiap selepas 3 minggu. Lagipun, aku diuruskan oleh anak-anak sahaja; suami masih di laut. Itu pun rasanya memberi kesan psikologi terhadap diriku.

Rasanya, kalau ada lagi kitar kemo yang mesti ku lalui, aku lari!!! Hahaha, tak sanggup lagi nak menempuhinya. Biarlah aku usaha dengan rawatan alternatif dengan mengambil herba dan makan makanan anti-kanser sahaja ... Memang TAK SANGGUP LAGI!!! Memang ada kes pesakit lari dari menjalani kemo di day care centre tu. Agaknya terlalu sengsara nak menempuhinya. Dengan itu, aku boleh mengucapkan tahniah kepada diriku yang dapat menempuhinya hingga selesai. Tak boleh ku bayangkan mereka yang terpaksa menjalani kemo yang berat, seperti yang dilalui oleh pesakit kanser payudara dan kanser darah contohnya - kemo mereka berat dan mengambil masa yang lama baru selesai. Kemo yang aku jalani adalah yang paling ringan (sebagai precaution sahaja), pun aku dah tahan dah.

Walau bagaimanapun, sepanjang aku menjalani rawatan kanser ini, saat yang paling sengsara ialah ketika aku kena guna stoma bag (ileostomy). Dan, satu lagi ialah selepas aku menjalani 25 kali radioterapi tempoh hari. Ya Allah, tidak boleh dibayangkan aku menepuhi saat-saat itu - so miserable! Walau bagaimanapun, aku sentiasa mengingati dan berdoa kepada Allah agar diringankan penderitaanku itu, dan sentiasa ingat bahawa ia adalah sementara sahaja.

DAN ...

Banyak nilai murni yang ku pelajari sebagai pesakit kanser dan mengenali pesakit kanser yang lain. Banyak perkara yang selama ini aku ambil ringan, kini menjadi perhatian dan tumpuanku. Setiap kali aku berasa sengsara, aku selalu berkata dalam hati "DALAM DUKA ADA SUKA, DALAM SENGSARA ADA BAHAGIA"... Ramai orang yang lebih menderita daripadaku. Sesungguhnya Allah maha pengasih dan mengasihani akan hamba-Nya ... Aku rasa amat bertuah kerana mendapat sokongan dan perhatian yang padu daipada keluarga, sedara-mara dan sahabat. Selepas ini, aku perlu berhati-hati dengan pemakanan, dan selalu melakukan senaman supaya sel-sel kanser tidak berpeluang untuk muncul semula dan memudaratkan diriku lagi.

"Ya Allah ... sembuhkanlah aku sepenuhnya daripada penyakit yang ku hidapi ini dan penyakit-penyakit lain. Lindungi dan hindarilah penyakit ini daripada berulang. Lindungi dan hindari aku daripada penyakit kanser yang lain. Hancurkanlah sel-sel kanser yang terdapat di dalam tubuhku ini. Hindari keluargaku, sedara-maraku dan sahabat-sahabatku daripada menghidapi penyakit ini dan penyakit-penyakit lain. Sembuhkan mereka yang menghidapi pelbagai penyakit ... Amin ..."

Wednesday, November 30, 2011

Kemo Oh Kemo ... yang Terakhir

Oh ya ... dalam posting sebelum ni, lupa ... Hari Isnin cuti Awal Muharram. Nak menyenangkan hati lagi, maka aku, Wati dan Wani pergi ke saloon menemani Wani dan Wati nak potong rambut, cuci dan buat treatment - Rambut Wani dah rosak sebab buat rebonding dulu!!! Kena buat treatment. Wati pulak bahagian hujung rambutnya rosak - kuning dan pecah-pecah. Bila jalan-jalan macam ni, dapat ke meredakan gelisah hatiku nak menempuh kemo ni? Sikit-sikit tu bolehlah. Untuk menghilangkan hati 'sesak' sangat, kena banyak-banyaklah beristighfar dan berdoa ...

Semalam, pagi-pagi lagi aku dan abang (anak lelakiku) telah keluar dari rumah ke HKL. Abang kena hantar kali ni kerana ada masalah parking di tempat yang kami selalu parking, dan abang terpaksa tunggu dalam kereta nanti - Wati takut ... (Sebelum tu hari Jumaat dah ambil darah untuk ujian, konon-kononnya nak cepat selesai pada hari pertama kemo. Minggu lepas, lama sangat tunggu keputusan ujian darah, nak jumpa doktor dan baru kemo. Dah tunggu lama-lama macam tu kena tangguh lak bila darah putih rendah sangat! Harap-harap kali ni tak macam tu.

Selalunya bila cuti sekolah, jalan tak jam tapi jangkaanku meleset. Rupa-rupanya jalan sesak jugak! Dah jam dan boring sangat, aku sempatlah snap gambar dalam perjalanan tu ... Al-maklumlah, badan rasa segar. Belum tahu lagi lepas kemo ... Aku memang menjangkakan akan melepek lepas kemo pada hari pertama, kerana daripada pengalaman sebelum ni, hari pertama aku memang melepek. Sebab apa? Kerana terlalu lama menunggu nak jumpa doktor, baru dapat menjalani kemo. Tambahan pula, selalunya hari pertama pesakit  memang ramai di day care tu.

Dalam perjalanan, jam
Sambil tu sempat snap gambar suasana KL
Sampai HKL lebih kurang pukul 8.15 pagi. Pukul 12.00 baru dapat jumpa doktor ... Ya Allah lambatnya. Aku dah mula lapar, lembik dan kepala mula berdenyut!! Alhamdulillah, aku dapat meneruskan kemo pada kali ini kerana darah putih 3.1. Pada masa yang sama aku memaklumkan kepada doktor tentang keputusan ujian darahku yang tidak baik pada liver. Doktor menyuruh ambil darah sekali lagi untuk mengetahui keadaan liverku. Lepas selesai ambil darah, baru dapat kemo. Pukul 2 pm baru selesai. Kesian abang yang begitu lama menunggu di parking. Masuk jer kereta aku terus boom, sampai ke rumah. Sampai rumah, lepas solat Zohor aku terus sambung boom lagi.

Petangnya bangun, ya Allah kepala lagi sakit dan selera pun tak ada. Tapi aku makan jugalah sedikit sup yang telah disediakan oleh Wati, dan sambung boom balik lepas solat Maghrib. Memang aku rasa tak larat dan lembik sangat. Bangun-bangun, tengok dah pukul 9.30 malam. Lama juga aku tidur. Aku solat Isya', makan dan tidur balik selepas makan ubat yang dibekalkan oleh doktor. Dah lama tidur, susah pulak nak lena. Bangun semula minum susu suam, dan tak tahu pukul berapa lena. 

Hari ni ... Rabu, 30 November 2011, aku bangun dengan perut lapar dan kepala berdenyut lagi ... badan pun lemah lagi. Ya Allah, bagaimanalah aku nak menempuh kemo pada hari ni dalam keadaan badanku yang begini. Selepas solat subuh, cepat-cepat isi perut dan makan ubat, tetapi badan masih lemah dan lembik. Bersiap dan pergi jugalah untuk sambung kemo hari ni. Pada hari ni, abang dan Wati yang menghantarku ke HKL. Ingatkan keluar lewat sikit taklah jam sangat, tapi rupa-rupanya sama juga seperti semalam. Sampai di HKL pukul 9.15 am, dan mereka terus menjalankan kemo untukku. Dalam pukul 10 am dah siap!!! Alhamdulillah, cepat selesai.

Semasa menjalani kemo tu, sempat berborak dengan seorang cancer survivor yang telah menghidap kanser payudara lebih setahun lamanya. Mak cik ni datang dari Segamat, dan akan menjalani kemo lebih 10 cycles. Yang mengkagumkan aku ialah semalam beliau datang dari Segamat dan menginap di rumah sedara di KL. Beliau menyatakan selepas kemo, beliau suami isteri akan naik train dan teksi ke stesen bas, kemudian naik bas ke balik Segamat. Katanya dia tak ada anak nak hantar dan ambil, maka suami isteri sahajalah. Aku kagum dengan kekuatannya menempuhi kemo dengan badan yang begitu fit sehinggakan boleh balik ke Segamat naik bas!!! Allahuakbar, Allah itu maha megasihani akan hamba-Nya yang dalam kesusahan ... Sesungguhnya aku amat besyukur dengan keadaanku ... ramai orang yang lebih teruk dan susah lagi ...

Balik, kami singgah di Old Town White Coffee di Bangi sebab kami dah kelaparan - Yana dan Wani datang join. Kami pun menjamu selera ...
Makan roti dan teh tarik jer, tak berapa fit tu. Muka poyo!
Selepas tu kami menjamu mata pula ke kedai Al-Ihsan. Hai, maklumlah aku tak lembik macam semalam, walaupun kepala ni 'toing' toing' jugak sikit-sikit tu - tak boleh layan. Jamu-jamu mata pun beli jugak kasut idaman Wani, dan aku pulak kena selipar sepasang!!! Taraaa ...

Selipar untukku dan kasut untuk Wani
That's all for today. Harap-harap besuk pergi HKL tak jam dan aku tak lembik ... unpredictable ... macam biskut ... sekali ok, sekali ko!!!

Sebelum Kemo - Kunjungan Dr. Nik, dan Senang-senangkan Hati ...

Dua tiga hari sebelum kemo, hatiku dah mula gelisah. Untuk menyenangkan hati, aku dan anak-anak 'merayap-rayap' di sekitar Sungai Long dan Bangi. Abah pulak masih 'di laut' lagi ... Sebelum tu pada  hari Sabtu 26 November 2011, sahabatku Dr. Nik Hazlina, yang telah banyak membantuku semasa menjalani rawatan pembedahan di HUSM dulu, dan keluarganya dari Kota Bharu datang berkunjung ke rumahku (kebetulan Dr. Shaiful, suaminya, menghadiri meyuarat di PD pada esuk harinya). Tidak terkira gembiranya hatiku dengan kunjungan beliau, kerana telah lama sangat kami tidak bersua ...

Mengabadikan gambar kenangan semasa kunjungan Dr Nik

Pada mulanya, kami sekeluarga nak ke PD mengunjungi beliau di hotel, tetapi memikirkan bila lagi Dr. Nik akan berkunjung ke rumahku, lebih baik Dr. Nik sahaja yang singgah ke rumahku, semasa perjalanan beliau dari KLIA ke PD. Sempatlah Dr. Nik merasai nasi ayam dan pengat durian masakanku ... hehehe ... entah apalah rasanya tu! Dr. Nik kata sedap, maka sedaplah tu. Dan lagi, aku rasa gembira kerana Dr. Nik suka dengan suasana rumahku. Itulah seadanya ... our simple life.

Esuknya, aku dan Wati 'merayap-rayap' ke Jusco Sungai Long untuk membeli sayur dan Bio Organix Fiber, yang dah habis stok untukku dan Wati. Anak-anak yang lain balik kampung. Selesai, kami pun balik. Tetapi sebelum balik, singgah di kedai piano (Piano Store) nak 'merisik' piano yang sesuai untuk Wani, yang sedang belajar piano - nak beli yang second hand jer, sebab nak beli yang baru tak mampu apa lagi Wani baru beginner. Tengok punya tengok terjumpa brand Wagner yang nampak seperti baru dan in a very good condition. Rasa-rasa nak book jer, tapi Wani kena tengok dulu.

Lepas Wani balik dari kampung, kami pergi semula ke kedai tu. Wani nampak perkenan dan ok, maka terus beli. Miskin aku RM2,500.00 tapi keadaan piano memuaskan, dan lagi Wani memang memerlukan sangat ...
Inilah pianonya ... Cantik dan nampak baru kan?
Brand Wagner
Sementara mereka menengok-nengok dan bercerita dan melihat kelas piano yang dan alat muzik lain yang ada ditawarkan di situ, aku duduk sahaja di tingkat bawah. Sambil duduk-duduk, terperanjat tengok sesuatu ... Eh. eh, patung ke tu? Tiba-tiba, nampak tali pada leher, dan 'benda' tu bergerak. Rupa-rupanya anjing tuan kedai, jenis Lion Dog, breed dari luar negara. Pertama kali aku tengok dan cantik sangat ... betul-betul macam bear. Tak berani usik, ambil gambar sahaja. Kalau kucinglah macam tu, memang dah gomol-gomol dah.

Eh, patung ke tu? Teddy bear atau singa?
Rupa-rupanya anjing species Lion Dog 
Tengok ... muka macam bear, dan badan macam singa!
Hari Selasa petang, orang kedai hantar piano ke rumah. Hai .. Wani pun apa lagi, melekatlah kat piano tu. Aku pulak lembik lepas kemo, dan tak sempat nak tengok pun ...

Punya sayang ... tutup!!!
Body guard piano Wani, Snowy ... hehehe ...
Abang pulak, dah dapat kereta dia. The old was total loss after the accident, two weeks after Aidul Adha. Alhamdulillah ... dia dan rakan-rakannya (2 orang) semua selamat ...

Before ... Honda Civic
Total loss ...
Now ... Satria jer
Senang hati, hal anak-anak dah selesai, cuma kolej Wani tahun depan lagi. Sekarang, aku perlu menumpukan perhatianku terhadap kemo yang bermula pada hari Selasa, 29 November 2011. Anakku cakap "wani dapat piano, abang dapat kereta ... mak dapat kemo" huhuhu ... Tak apalah kemo yang terakhir.

Saturday, November 26, 2011

Oops ... Apa Dah Jadi Denganku?

Semalam ... dengan keputusan ujian darah yang kurang memuaskan pada liver, fikiranku agak kacau juga, sehinggakan tindakanku tidak selari dengan fikiran ... Semalam, sememangnya aku tahu dah hari tu hari Jumaat, dan akhir tahun ini dalam kalender Islam ialah pada hari Sabtu. Kenapa aku mengambil perhatian sangat tentang perkara ini? Sebab aku ingin mengadap Illahi, menadah tangan membaca doa akhir tahun selepas Asar (hampir masuk Maghrib), dan membaca doa awal tahun selepas Maghrib, pada hari Sabtu.

Tetapi, apa yang berlaku semalam hampir Maghrib aku dengan penuh taksub mengangkat tangan membaca doa akhir tahun, dan terus solat Maghrib apabila masuk waktu. Seterusnya, membaca doa awal tahun, diiringi dengan doa-doa lain, dengan harapan Allah akan mendengar dan mengabulkan permintaanku ... Semoga Allah menyembuhkan penyakitku serta keluarga dan rakan-rakan yang menghidap pelbagai penyakit ... Semoga Allah memberikan hidayah dan kesejahteraan dalam kehidupan keluargaku, saudara-mara dan rakan-rakan ... Aku siap mengingatkan anak-anak supaya membaca doa awal tahun dan akhir tahun ... Apa dah jadi denganku? 

... dan ...

Pada hari ni, jauh di lubuk hati, aku masih memikirkan keputusan darah yang tidak baik - ujian pada liver. Semalam, sahabatku Has serba salah juga nak menyampaikan berita bahawa keputusan itu merupakan petanda yang tidak baik pada liver (memang telah ku jangka) - damaged liver. Mungkin ada clog pada liver, dan beliau menyarankan aku menjalani ultrasound pada liver dengan segera. Cadangan itu sangat baik, tetapi aku harus buat di hospital yang mempunyai radiologist yang arif tentang kanser. Nak buat di HKL, akan mengambil masa 2 atau 3 minggu, dan akan menggangu jadual kemoku. Maka, aku bercadang nak bertanya di Hospital NCI (Nilai Cancer Institute) - bila ultrasound boleh dibuat dan berapa bayarannya. Aku juga menelefon oncologist yang merawatku untuk bertanyakan situasiku. Beliau memberitahuku bahawa porsedur ultrasound boleh dibuat dan boleh juga jika tidak dibuat, kerana ia perkara biasa bagi pesakit kanser yang menjalani rawatan kemo/radio mengalami gangguan pada organ dalaman sebagai kesan sampingan rawatan - rasa lega sikit! 

Aku juga dimaklumkan oleh sahabatku, ubat kolesterol yang aku ambil pun boleh juga memberi kesan sampingan terhadap liver. Oh ... terkejut aku dibuatnya kerana doktor telah prescribed aku ubat tu beberapa lama, dan tidak memberikan apa-apa kesan terhadapku melalui ujian darah yang aku buat dari semasa ke semasa. Mungkin sebelum ini aku sihat, tetapi bila dah didiagnosis kanser dan menjalani rawatan yang melibatkan pembunuhan sel-sel ini, ubat itu memberikan kesan - agaknyalah. Sahabatku Has menyuruhku mengambil banyak asparagus, yang baik untuk liver - belum beli lagi!!! hehehe ...

... dan lagi ...

Pada hari ini, aku sangat happy kerana salah seorang sahabatku dari Kota Bharu, Dr. Nik dan keluarga, yang telah banyak membantuku semasa menjalani rawatan pembedahan di HUSM dulu, telah berkunjung ke rumahku. Aku amat teruja dengan kunjungan beliau sekeluarga, sehinggakan malam tadi aku agak gelisah tak dapat tidur kerana terlalu excited! Teruknya aku ... Pagi-pagi lagi aku telah bersiap sedia untuk masak pengat durian dan nasi ayam. Hajat hati nak masak rendang 'nogoghi' kesukaan beliau, tapi rasanya tak sempat. Tak mengapalah ... nanti bila dah sihat, kami sekeluarga akan ke Kota Bharu dan boleh masakkan rendang ayam untuk sahabat di sana.

Betapa sukanya hatiku dapat menjamu tetamu yang sangat aku rindui itu, walaupun masa mencemburui kami dan beliau terpaksa beredar selepas selesai makan. Selesai berkemas dan solat Zohor, aku mengambil kesempatan untuk berehat dan tidur, kerana mataku berasa amat berat bila tak cukup tidur malam tadi. Badan pun terasa letih. Memang sejak aku sakit dan menjalani rawatan ini, aku mudah rasa letih. Menurut salah seorang doktor yang merawatku semasa di HUSM dulu, kesan rawatan kemo ini, iaitu rasa letih, boleh mencecah selama 6 bulan. Memang aku dapat merasainya, terutamanya semasa travelling ... Apabila sampai ke destinasi, aku rasa letih sangat dan perlu tidur dulu - kalau dulu segar jer dan boleh travelling pergi-balik dalam masa satu hari; sekarang kena bermalam untuk berehat dulu.

Malam ni, aku terkejut apabila ada posting doa hujung tahun dan awal tahun oleh anakku di Facebook pada hari ini. Oops ... baru aku perasan rupanya hari ni baru akhir tahun kalender Islam dan ... aku dah miss membaca kedua-dua doa akhir dan awal tahun (aku baca semalam! Astagfirullah ...). Tak mengapalah ... aku akan terus berdoa setiap hari ... Aku sentiasa ingat pesan suamiku supaya berdoa setiap kali lepas solat, kerana jika tidak kita menjadi umat yang sombong di sisi Allah!!! Aku pun lupa nak menelefon NCI. Tak mengapalah ... aku sentiasa ingat bahawa segala apa yang berlaku adalah izin dan kehendak Allah jua ... semua apa yang berlaku itu ada hikmahnya ... kita jer yang tak tahu ... Allahuakbar ... Insyaallah, esuk harap-harap aku tak lupa nak menelefon NCI dan mencari asparagus untuk dijadikan 'ubat' ....

... Salam Ma'al Hijrah kepada semua ... 

Mohon maaf zahir batin atas segala salah silap, tingkah laku, perbuatan dan tutur kata ... dan ... halalkan segala makan dan minum. Semoga kita semua sentiasa dapat hidayah daripada Allah SWT ... Amin ...

Friday, November 25, 2011

Darah ... Darah ...

Argghh ... hari ni pagi-pagi lagi dah gerak ke HKL untuk ambil ujian darah. Kalau ujian darah ok, terutamanya sel darah putih (WBC), hari Selasa bolehlah diteruskan buat kemo yang tertangguh; tersangkut dek kekurangan sel darah putih (kalau  tak, hari ni dah hari terakhir kemo tu). Harap-harap kali ni oklah, supaya cepat habis kemo ... Letih dah nak memikirkan dan nak menempuhi kemo. Nasib baik 6 cycles jer ... kalau 12 cycles (kalau tak silap ditentukan semasa di KB) macam manalah agaknya? hohoho ... tak nak fikir benda tu ...

Gerak dari rumah lebih kurang pukul 7.30 pagi. Abah tak ada ni, teman setia dan yang sentiasa mengiringiku ke hospital atau menjalani rawatan, tak lain tak bukan ialah Wati. 'Orang' yang melihat kami keluar ialah kucing kami yang sangat comel dan manja, Kitty ...

Tengok comelnya dia kan
Bye, bye ...

Dalam perjalanan, kesesakan lalu lintas di kawasan Kajang, Bangi dan tol Sungai Besi tidaklah teruk sangat; mungkin disebabkan cuti sekolah. Kami seronok sebab jalan tak tersangkut-sangkut, dan terus masuk jalan Smart Tunnel. Tapi, hampir sampai ke hujung Smart Tunnel, rupa-rupanya kami tersangkut juga dalam tunnel tu! Ish, bila keluar dari tunnel, tengok jalan kat atas  (luar tunnel) lagi teruk jam!!! Nasib baik juga kami ikut jalan dalam tunnel.

Sampai HKL dalam pukul 8 lebih. Wati 'cicir'kan aku di klinik onkologi dan terus pergi parking kereta. Selalunya, kalau untuk ambil ujian darah jer tak lama. Aku terus masuk ambil nombor. Yeah ... nombor 3, dan petugas sedang memanggil nombor 2. Tak lama kemudian, nombor 3 di panggil dan aku pun masuk; dalam hati janganlah ada masalah darah tak keluar bila dicucuk nanti. Aku cakap kepada petugas yang darahku ni dah selalu merajuk nak keluar dah. Dah penat darah tu agaknya asyik kena sedut jer! 

Bila petugas cucuk di pelipatan lengan, darah tak keluar langsung! Terpaksa cabut jarum semula dan tutup dengan plaster. Petugas cuba cucuk di tangan pula. Selalunya cucuk kat tangan ni sakit sikit, tapi bertahan jerlah. Alhamdulillah ... keluar juga darah bila disedut tu, walaupun lembap sikit. Well, it's done ...

Bila dah selesai, aku menelefon Wati yang baru nak parking supaya 'mengutip'ku balik di klinik onkologi. Kami terus balik. Sampai di Kajang (Sungai Ramal), kami singgah di klinik keluarga kami untuk melihat dan mengambil ujian darah yang aku buat di sana pada hari Selasa, sehari selepas aku buat ujian darah di HKL masa tak jadi kemo tu. Hatiku berdebar-debar juga memikirkan bagaimanalah keputusan ujian darahku itu. Ok ke tak ok ESR, WBC count, dan kolesterol, terutamanya WBC count ... Doktor memberikan komen kolesterol tinggi dan keputusan pada liver menyebabkan tanda tanya, tapi doktor tak dapat memberikan pandangan yang terperinci, cuma ... something is wrong. Tak apalah, yang penting aku tahu keputusan terperinci ujian darah. Nanti aku boleh bertanya kepada oncologist.

Selepas selesai di klinik, kami terus ke Bandar Baru Bangi nak mengisi perut kerana dah tengah hari. Kami singgah di Old Town White Coffee. Aku memesan mi kari dan teh tarik, dan Wati memesan mi hoon goreng, sup Wan Tan dan honey lemon tea. Nyum ... nyum ...

Nyum, nyum...mi kari
Semasa masih dalam rawatan ni, aku berani jugalah nak makan 'sebarangan' tu sikit. Dah selesai rawatan nanti, aku mesti menjaga disiplin pemakananku, dan rajin bersenam. Mudah-mudahan dah sihat nanti aku tak lupa diri tentang makan, supaya kanser tidak berulang balik. Lepas makan, kami pun terus balik. Aku pun dah keletihan. Sampai rumah ... booom sekejap sebelum masuk waktu Zohor.

Selepas solat Zohor, aku meneliti keputusan ujian darah yang baru aku ambil dari klinik tadi, dan membandingkan dengan yang sebelum ni. Aku melayari internet untuk memahami implikasi setiap item daripada keputusan ujian itu.

Bila tengok, blood test as at 22 November 2011 (berbanding dengan yang sebelum ni as at 12 September 2011) ... Semua nampak ok, kecuali yang berikut ...

Haematology:
  •  ESR ok, iaitu 20 mm/hr berbanding sebelum ni, iaitu 40 mm/hr (normal, 0-20 mm/hr).              
  •  Platelet count ok, iaitu 256 berbanding sebelum ni, iaitu 403 (normal, 150-400). 
  •  WBC masih rendah, iaitu 3.5 tetapi lebih baik daripada sebelum ni, iaitu 2.9 dan minggu lepas di HKL 0.4, sampai tak jadi kemo ( normal, 4.0-11.0).
Kidney Function Test:
  • Uric acid tinggi sikit, iaitu 0.35, tetapi rendah sedikit daripada sebelum ni, iaitu 0.41 (normal, 0.14-0.34).
Lipid Profile:  Woo ... Woo ... tinggi!
  • Total cholestrol tinggi, iaitu 5.8 mmol/l berbanding sebelum ni, iaitu 4.4 mmol/l (normal, <5.2 mmol/l).
  • HDL tinggi, iaitu 1.41 mmol/l; sebelum ni pun tinggi, iaitu 1.08 mmol/l (normal, <1.04 mmol/l).
  • LDL tinggi, iaitu 3.1 mmol/l, berbanding sebelum ni, iaitu 2.3 mmol/l (normal, <2.6 mmol/l).
  • Triglycerides tinggi, iaitu 2.9 mmol/l; sebelum ni pun tinggi, iaitu 2.3 mmol/l (normal, <1.7 mmol/l).
  • Total/HDL Ratio ok, iaitu 4.1, sama dengan sebelum ni (normal, <5.0).
  • hs-Reactive Protein ok, iaitu 3.0 mg/l, berbanding sebelum ni, 5.4mg/l (normal, <4.7 mg/l).
Liver Function Tests: Woo ... Woo...ada yang tinggi!!
  • Total protein, Albumin, Globulin, A/G ratio dan total Bilirubin, semua ok,
  •  Alkaline Phosphatase tinggi, iaitu 164 iu/l, berbanding sebelum ni, iaitu 95 iu/l (normal, 39-117 iu/l
  •  SGOT (AST) tinggi, iaitu 85 iu/l, berbanding sebelum ni, iaitu 30 iu/l (normal, 0-40 iu/l).
  •  SGPT (ALT) tinggi, iaitu 103 iu/l berbanding sebelum ni, iaitu 12 iu/l (normal, 0-53 iu/l).
Apabila dibuat analisis ... 
  • ESR tidak merisaukan kerana apabila aku melayari internet aku mendapati "woman over 50 years should be <30 mm/hr. Yeah ... aku 20 mm/hr). 
  • Daripada Lipid Profile tu, memang dari dulu lagi tinggi, dan doktor telah pun subscribes Lipitor 10 mg untukku. 
  • Alkaline Phospatase tinggi yang memberi petunjuk (daripada internet), eating fatty meal for O and B blood group (kumpulan darahku tu). Ia juga memberi petunjuk kemungkinan liver disease/liver cancer!!!  Ya Allah, jauhkanlah liver cancer ...
  • SGOT tinggi pun disebabkan oleh liver or heart damage. Ish ... 
  • SGPT yang tinggi pula disebabkab high blood lipid level dan taking cholesterol lowering pil
Daripada hasil ujian kedua-dua untuk kolesterol dan liver tu, memang salah aku yang banyak mengambil makanan yang tinggi karbohidrat dan lemak. Untuk liver tu, kalau disebabkan lebih ambil kabohidrat atau mengambil ubat lain ok lagi. Yang merisaukan ialah kalau-kalau sel kanser dah merobek liver aku pulak, sebab bagi penghidap kanser kolorektal, matastasis yang pertama ialah liver!!! huhuhu ... Ikhtiar, berubat, berdoa dan tawakkal jerlah ... Semuanya adalah atas kehendak dan izin Allah juga.

Thursday, November 24, 2011

Exercise and Going Organic

Pada hari Isnin, apabila kemo ditangguhkan hingga ke minggu depan, serba sedikit ia menggembirakanku kerana perasaanku agak kalut dan tidak bersedia untuk menempuhi kemo pada kali ini, berbanding dengan yang lalu-lalu. Aku sendiri tak tahu kenapa aku jadi begitu, sedangkan sebelum ini prosedur rawatan yang kulalui lebih berat dan kesannya lebih teruk; seperti selepas pembedahan dan radioterapi yang lalu ... Abah cakap, aku bukan kalut nak menempuhi kemo tu, tetapi terlalu memikirkan kesan sampingannya nanti - badan sihat, tetapi macam saja-saja mencari sakit bila buat kemo!! Memang ada benarnya apa yang Abah cakapkan tu. Sebenarnya, prosedur kemo tu sendiri pun merimaskan ... kena cucuk dan ada jarum yang mencucuk kat chemoport dengan wire yang menempel kat dada. Tak apalah, kalau buat kemo kat KB atau duduk wad ... macam mana ... lagi berat rasanya. Regim kemoku ni pun yang ringan.

... Apa-apalah ...

Apabila balik, hatiku berasa agak cemas kerana memikirkan count darah putihku terlalu rendah, iaitu 0.4, sedangkan julat count yang normal ialah 4.0 - 11.0!! Aku tak tahu di mana silapnya, kerana dari segi makan, tiada masalah dan berat pun  bertambah. Mesti ada sesuatu yang tak kena pada tubuhku ini. Rasa-rasanya aku ni kurang bersenam selepas kemo yang lalu dan tidak menjaga sangat pemakanan - kurang makan sayur dan buah. Aku banyak makan makanan yang tinggi karbohidrat, sedangkan pergerakan fizikal kurang! Perutku pun naik, badan rasa berat, cepat penat dan sukar nak tidur ... Tubuhku memberikan isyarat kepadaku supaya mengambil perhatian terhadap tubuhku. Sahabatku Has menjangkakan mungkin terdapat gangguan pada sistem penghadamanku, tetapi aku tidak pula mengalami sembelit atau cirit-birit. Has menasihatiku supaya membuat ujian darah yang lebih terperinci, kurangkan pengambilan karbohidrat, makan telur penyu/ayam kampung dan lakukan senaman. 

... Sesuatu mesti dilakukan ... 

Aku berazam untuk melakukan senaman semula setiap pagi dan menjaga pemakanan dengan mengambil makanan organik, dan banyakkan makan sayur dan buah-buahan. Sebagai permulaan, pagi semalam aku minum air kosong segelas, dan mula melakukan senaman - pernafasan, stretching, Qi Gong dan lain-lain. Dapatlah 15 minit ... 15 minit jer! hehehe. Selepas itu, aku berkemas rumah yang menjadikanku berpeluh - menyapu, mengemop ... Kemudian, aku mengambil sarapan dengan 2 biji telur dan kopi susu. Memang rasa badan segar sedikit. Selepas itu, aku ke klinik untuk membuat ujian darah yang lebih terperinci, dan dijangkakan keputusannya dapat pada esuk hari atau lusa. 

Mengidam nak beli ni, tapi tak mampu ... jalan kat padang jerlah ...
Pada hari ni pun aku melakukan rutin seperti semalam, diikuti dengan membasuh kereta yang tidak kotor! Tujuannya, supaya badan bergerak dan berpeluh. Wah, memang menitik-nitik peluh dibuatnya ... mudah-mudahan keluarlah bahan toksik daripada tubuhku melalui peluh, dan lagi segarlah badanku. Kemudian, aku dan anak-anak pergi ke Jusco Saujana Impian untuk membeli sayur (of course organic)  dan buah (none is organic). Tempat tu tak ramai orang. Kalau tidak, aku sendiri tak berani juga berkunjung ke sana dengan status kesihatanku sekarang.

Sampai di Jusco, kami pergi ke Celcom booth dulu untuk update package Celcom Wati, dengan bantuan anak sedara yang bekerja di sana. Sambil-sambil tu menelek jugalah HP yang ada di situ. Ish ... terliur pulak tengok Samsung Galaxy Note, dan rasa nak beli jer ... Urut dada ... sabar, sabar, jangan ikutkan nafsu!

Canggih dan sesuai untuk orang veteran sepertiku - besar
Memandangkan hari pun dah tengah hari, kami lunch dulu di Old Town White Coffee. Aku taklah lapar sangat; cuma Wati dah terigin nak pekena kopi kat situ lagi ... ikutkan ajelah.  Lepas makan, barulah kami masuk ke supermarket ...

Semasa nak balik, opps ... nanti dulu ... ternampak pulak sebuah kedai, Natural Health Farm (NHF); ada poster organic foods. Aku dan Wati pun masuk meninjau apa yang ada. Memang kedai tu menjual makanan organik yang pelbagai - roti, cereals, jus, susu, supplements dan lain-lain. Aku pun belilah prun, jus dan kicap organik. Tuan kedai pulak menasihati aku menjadi ahli seumur hidup, yang membolehkan aku membeli produk dengan potongan harga sebanyak 10-21%. Memandangkan bayaran untuk membership sebanyak RM30.00 sahaja, dan melihat barang-barang di kedai itu memenuhi keperluanku dari semasa ke semasa serta dekat pula dengan rumah, maka aku pun jadilah ahli. Apabila menjadi ahli, dapatlah katalog dan  supplemet Bio Organix, iaitu sejenis fibre cum supplements yang baik untuk colon, secara percuma

Kedai organik, yang akan menjadi tempat kunjunganku nanti tu ...
Supplement, fibre yang baik untuk colon
Bila dah jadi ahli, dapatlah aku membeli produk organik ni dengan potongan sebanyak 10%.
Saja beli untuk mengunyah sambil tengok TV
Dah lama juga nak cari lemon juice organik (diminum dengan campur air)
Rangkaian 3 jenis jus yang dicampurkan untuk diminum (campur air)  pada waktu pagi
Kicap organik 

Monday, November 21, 2011

Upset, Happy ... ???

Both ...

Hari ni, pagi-pagi dah keluar ke HKL untuk menjalani kemoterapi kitar ke-6, dan yang terakhir. Kalau ikutkan hati, rasa nak lari dan malas nak pergi. Walau bagaimanapun, untuk kebaikan maka aku kuatkan juga semangat pergi ke hospital, selepas membuat ujian darah pada hari Jumaat hari tu. Dalam perjalanan jam teruk juga walaupun cuti sekolah. Selalunya, kalau cuti sekolah jalan lengang.

Sampai di HKL, aku perlu buat ujian darah sekali lagi kerana menurut pihak day care, ujian darah yang dibuat pada hari Jumaat hari tu tidak termasuk ujian CEA. Alahai, kena sedut lagi darahku. Alhamdulillah, prosedur 'sedut' darah berjalan dengan lancar, dan darah keluar senang jer. Dengan itu, terpaksalah aku menunggu keputusan ujian darah dulu sebelum dapat berjumpa doktor dan menjalani kemo ... Sekejap aku tidur kat kerusi tu, sekejap aku baca buku Adibah Amin, "Glimpses". Dalam keadaan begitu, otak pun tak dapat menghayati apa yang dibaca ... apa lagi Adibah punya English is a bit bombastic ... I just continue reading to kill off the time.

Bila keputusan ujian darah dah sampai, nak tunggu doktor tengok pulak dulu. Masa dah pukul 12 tengah hari lebih; perut dah mula 'menyanyi'. Seorang petugas memberitahu "darah akak tak comei, tapi tunggu apa doktor kata". Aku dah menjangkakan kemo tak akan dapat dijalankan pada hari ni. Jangkaanku tepat, apabila doktor memberitahuku bahawa sel darah putihku hanyalah 0.4, terlalu rendah, dan kemo perlu ditangguhkan hingga minggu depan. Padanlah, akhir-akhir ni aku mudah rasa letih.

Aku bertanyakan doktor, apakah yang harus aku lakukan untuk menaikkan bilangan sel darah putih. Doktor suruh aku makan jer, dan jangan makan aprikot. Rasa hairan juga aku kerana aku tiada masalah makan. Selain itu, aku mengambil multivitamin dan ubat tambah darah, yang menurut doktor ok. Agaknya kurang bersenam kot, entahlah ...

Apa nak buat ... hari Jumaat kena pergi buat blood test lagi, dan buat kemo hari Selasa hingga hari Sabtu, sebab pada hari Isnin ialah cuti umum - awal Muharram. Nampak gaya, hari Sabtu aku kenalah buat kemo dalam wad, ishhhh ... Tak apalah ... dah nak baik, ikut jerlah. Mudah-mudahan tak ada masalah nanti. Adalah hikmahnya tu ... Dah Abah pun balik ke laut hari Selasa, maka Wati yang akan jadi 'pengiring'ku pergi dan balik hospital nanti.

Aku upset ke dengan apa yang aku lalui pada hari ni? Mmmm ... sikit-sikit tu adalah, sebab aku memang rasa macam tak bersedia nak menjalani kemo pada hari ini; kalau tangguh hingga minggu depan kan bagus ... Eh, rupa-rupanya suara hatiku jadi kenyataan ... meaning that, I was not upset with what I had been through today, just tired of waiting ... Balik rumah, apa lagi ... ada durian bawa dari kampung semalam, belasah dengan Wani. Dalam keluarga kami, aku dan Wani saja 'hantu durian' ... Ada lagi, nak makan untuk esuk pulak. Dah habis nanti, balik kampung lagi ambik, sebab durian kat kampong sekarang sedang gedebuk-gedebak gugur. Sape-sape nak makan durian, jom ikutku balik kampung ...

huhuhu ...