Thursday, January 1, 2015

SELAMAT TAHUN BAHARU, 2015

KHAMIS, 1 JAN 2015




Pada hari ini, Khamis 1 Januari 2015 Masehi, ialah sambutan tahun baharu. Sayogia, semakin bertambahlah kiraan pada kalender tetapi semakin kurang pula kiraan umur kita. Tidak ada sambutan besar-besaran memandangkan beberapa buah negeri di negara ini mengalami bencana alam, iaitu banjir yang luar biasa di negeri-negeri pantai Timur. Semoga mereka yang menjadi mangsa banjir tabah menghadapi keadaan yang agak kritikal ini. Ada yang mengatakan ia merupakan bencana dan ada pula yang mengatakan ia merupakan ujian Allah terhadap umat-Nya. Bagiku, apa-apa pun yang berlaku adalah kehendak dan izin Allah jua.

Mengimbau tahun 2014, bagiku ia agak istimewa kerana Abah bersara pada awal tahun 2014. Sempena dengan itu, kami suami isteri menunaikan Umrah, sebagai tanda kesyukuran dan penyerahan diri kepada Pencipta melalui penghijrahan suci itu. Dengan persaraan Abah juga, kami dapat menunaikan ibadah puasa sepenuhnya bersama-sama, Alhamdulillah. Selepas hari raya, barulah Abah naik semula ke platform sebagai pekerja di bawah kontrak syarikat. Sebelum ini Abah pasti di platform selama dua minggu tempoh puasa dan ada suatu ketika berhari raya di platform

Aku juga tidak menghadapi masalah yang besar dari segi kesihatan. Pemeriksaan susulan hanya dilakukan dalam tempoh 6 bulan sekali, memandangkan penyakitku tidak menimbulkan apa-apa keraguan, Alhamdulillah. Aku juga telah menjalani prosedur kolonoskopi sebagai langkah pemantauan. Walau bagaimanpun, aku tetap berhati-hati dan berjaga-jaga agar penyakitku tidak muncul semula. Dengan itu, aku terus mengambil supplements dan melakukan senaman. Di samping itu, aku pergi juga cuba mencuci darah memandangkan kolesterol, asid urik dan glukos dalam darahku tinggi. Darahku juga tidak kurang tingginya, hingga suatu ketika aku terpaksa mula mengambil ubat sebagai langkah pencegahan. 

Selain daripada itu, memandangkan aku ada banyak masa selepas bersara maka dapat jugalah aku menghadirkan diri dalam kelas agama. Aktiviti ini akan aku teruskan pada tahun ini dan tahun-tahun mendatang. Insya-Allah, aku berazam hendak menghayati ilmu agama dan Al-Quran serta menguasai bahasa Arab. Semoga Allah mengizinkan dan mengabulkan doa dan harapanku itu. Aku juga berharap Allah akan mengizinkan aku dan suamiku dapat menunaikan ibadah haji pada tahun ini, aamiin.

Bermula pada hari ini juga, aku terus berdoa semoga aku sekeluarga seniasa dirahmati dan diberkati. Semoga kami sentiasa dalam perlindungan Allah, diberi kesihatan baik untuk dimanfaatkan ke arah mendekatkan diri kepada-Nya, dimurahkan rezeki yang halal, disembuhkan serta dilindungi daripada penyakit rohani dan jasmani, dan dipermudahkan urusan dan hidup kami sehari-harian. Semoga Allah sentiasa memberi hidayah dan bimbingan kepada kami dalam segala apa yang dilakukan. Doa dan harapan yang sama juga mengiringi keluarga, saudara-mara dan sahabat handaiku, aamiin ...