Monday, May 29, 2017

SELAMAT BERPUASA ...

Marhaban ya Ramadhan
Sabtu, 27 Mei 2017
1 Ramadhan 1438 


Semoga Allah mempermudahkan urusan dan menerima ibadah kami sekeluarga
AAMIIN

Sunday, January 29, 2017

ULANG TAHUN KE-6 SURVIVOR

Bulan ini, Januari 2017 atau lebih tepat lagi 24 Januari 2017, telah 6 tahun aku melalui kehidupanku sebagai cancer survivor (rectosigmoid, di tengah-tengah rektum). Alhamdulillah, setiap kali aku pergi follow up di hospital (pemeriksaan rutin setiap 6 bulan dan colonoscopy setiap tahun), keputusannya adalah stabil dan tiada apa-apa tanda yang menunjukkan sesuatu yang meragukan. Semoga kesihatanku sentiasa dalam keadaan yang baik dan penyakit yang digeruni ini tidak akan berulang semula. Tak sanggup rasanya nak menmpuhi kembali saat-saat sengsara menghadapi rawatannya. 

Walaupun setakat ni semua ok, namun aku tidak boleh alpa dan berasa selesa dengan keadaan ini. Aku tetap beringat bahawa penyakit ini boleh timbul bila-bila masa (janganlah!) dengan izin Allah. Sememangnya, itulah hikmahnya apabila ditimpa penyakit ini, diri akan sentiasa beringat. Dari segi pemakanan, memang tidak bolehlah nak makan ikut tekak dan sesuka hati saja, apa lagi apabila umur telah meningkat ada makanan yang sebelum ini boleh diambil sesuka hati tanpa apa-apa kesan tetapi sekarang terasa ia memberi mudarat dan perlu dihindari. Supplements tetap diambil secara berterusan, terutamanya antioksidan agar sistem imun badan tetap kuat dan dapat membantu badan menghindari penyakit. Al-maklum, badan memang telah lemah akibat kesan rawatan yang telah dilalui dahulu maka kemungkinan penyakit-penyakit lain pun mudah hinggap. Apabila terasa makan agak berlebih-lebih tu, maka perlu jugalah detox. Apa lagi dalam kes aku yang melibatkan terus sistem penghadaman, aku hendaklah memastikan setiap hari buang air besar agar toksin tidak terkumpul di dalam perut, dan mungkin boleh trigger sel-sel kanser untuk aktif kembali. Selain memberi fokus kepada pemakanan, aktiviti jasmani juga perlu diberikan perhatian. Agar pergerakan usus dan fizikal badan  tidak kaku, senaman perlu selalu dilakukan. Sememangnya, survivor kanser usus perlu selalu bersenam.

Walau bagaimanapun, apa-apa yang berlaku adalah atas kehendak dan izin Allah jua. Maka, aku sentiasa berikhtiar, berdoa dan bertawakkal, menyerahkan segala-galanya kepada Allah ... mendekatkan diri dan menyerahkan diri kepada Allah. Memang banyak artikel yang menyatakan zikir dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran memang dapat membantu pemulihan dan penyembuhan penyakit. Inilah satu-satunya penawar yang paling mudah dan murah (percuma) didapati ... apa lagi, buat ajerlah. Apa lagi setelah bersara dan anak-anak semua dah besar-besar maka memang banyak masa yang terluang untuk ini.

Syukrillah ... Alhamdulillah ... 
Sesungguhnya, segala perancangan Allah kepada hamba-Nya adalah yang terbaik
Aku bersyukur kepada-Mu ya Allah




Monday, January 2, 2017

SELAMAT TAHUN BAHARU 2017

Assalamu'alaikum ... Sekian lama aku tidak menulis dalam blog ini. Hari ini, 2 Januari 2017, merupakan hari kedua kita menginjak ke tahun 2017. Begitu cepat masa berlalu. Walau bagaiamanapun, Alhamdulillah ... Allah masih memberiku peluang untuk bernafas dan meneruskan kehidupan ini. 

Sepanjang tahun 2016, aku dan keluarga meneruskan rutin hidupku seperti tahun-tahun sebelumnya. Rutin abah ialah dua minggu di laut dan dua minggu di darat. Wani dengan pengajiannya di UNITEN. Zafhri dengan kerjanya. Wati dan Yana dengan aktiviti sendiriannya di rumah. Aku hanya melakukan kerja-kerja rumah, melihat anak-anak dan melakukan hobiku, gardening.

Sepanjang tahun tahun 2016 juga, kesihatanku tidak mencurigakan. Semasa janji temu dengan pihak onkologi di IKN pada 21 Jun dan 5 September 2016, semuanya stabil. Semasa temu janji di Hospital Putrajaya pada 14 Mach dan 17 Oktober 2016 pun  keadaan diriku stabil. Keputusan kolonoskopi yang telah dijalankan pada 15 Ogos 2016 pun memberikan keputusan yang stabil. Alhamdulillah, semoga Allah sentiasa memberikan kesihatan yang baik kepada diriku, dan sel-sel kanser tidak aktif dan menyerang semula. 

Untuk membantu meningkatkan dan mengekalkan immunisi badan, aku tidak mengambil banyak supplements seperti sebelum ini. Aku hanya mengambil vitamin C dan vitamin E sebagai antioksidan, dan Milk Thistles sebagai tonik hati. Selainnya, aku berhati-hati juga dalam pemakanan dan selalu detoks dengan mengambil fibre supaya mudah buang air besar dan memastikan buang air besar setiap hari. Ia penting supaya toksin tidak terkumpul dalam perut, yang mungkin boleh trigger sel-sel kanser untuk aktif kembali. Sebagai cancer survivor, tiada istilah sembuh; cuma under remission - kanser tidak aktif atau sel kanser 'tidur'. Mungkin ramai survivor kata dah sembuh, tapi aku tidak berani berkata begitu dan sentiasa berhati-hati dan beringat. Padaku ... di dalam badanku ini ada bom jangka yang akan meletup bila-bila masa jika tidak berhati-hati, wallahualam. 

Aku berasa lebih sihat apabila aku banyak menghabiskan masa di kampung apabila abah tidak bekerja lagi sejak bulan September 2016 ... berjinak-jinak dan bermain dengan alam semula jadi. Kami suami isteri menghabiskan banyak masa di kampung berkemas rumah baharu kami dan berkebun. Setiap hari kami cuba berbakti kepada tanah dengan harapan ia akan memberikan hasil yang baik kepada kami. Abah sibuk menanam dan menjaga anak-anak pokok buah-buahan; menebas semak-semak yang galak tumbuh terutamanya pada musim hujan. Aku pula sibuk membersihkan rumput-rumput dan menanam sayur dan pokok bunga. Memang itu kesukaan aku melakukannya. Alhamdulillah, setakat ini kami telah dapat makan sayur kacang, buah durian belanda, nangka dan betik. Memang seronok dapat makan hasil titik peluh sendiri, dan banyak perkara yang dapat dilakukan di kampung dengan suasana dan udara yang nyaman. Air yang digunakan pun adalah air bukit, semula jadi - tanpa bahan kimia. Syukur dengan nikmat Allah.

Dalam kemelut urusan dunia, tidak lupa juga aku mempersiapkan diri untuk ke destinasi yang kekal. Maka, masa diberikan juga untuk mencari ilmu agama melalui kelas-kelas dan kulih/tazkirah agama. Semoga Allah memberkati ilmu yang diperolehi dan dapat dimanfaatkan dalam hidup dan menuju destinasi akhir yang kekal dalam rahmat Allah. Semoga tahun 2017 ini lebih daripada tahun-tahun sebelumnya, aamiin.

video
Suasana kampung yang sangat nyaman

Thursday, August 18, 2016

KOLONOSKOPI PENGAWASAN (Surveillience colonoscopy)

Pada tahun 2016 ini, aku telah menjalani dua pemeriksaan susulan, iaitu pada awal tahun di Hospital Putrajaya dan pertengahan tahun di IKN. Kedua-dua pemeriksaan memberikan keputusan yang menyenangkan hatiku kerana semuanya stabil dan tiada apa-apa tanda yang meragukan. Makanya, aku menjalani kehidupanku seharian-harian dengan tenang, apa lagi semasa abah berada di darat kami menduduki rumah baru kami di kampung dengan suasana yang begitu nyaman ...

Suasana pagi yang berkabus dan nyaman

Keadaan itu menjadikan aku lupa bahawa aku ada janji temu untuk prosedur kolonoskopi, yang selalu menjadikan emosiku huru hara dan aku rasa fobia hendak menempuhinya. Namun, untuk kebaikan dan sebagai langkah pengawasan aku mesti menempuhinya sama ada aku suka atau tidak.

Aku tidak risau atau gusar hendak menjalani prosedur kolonoskopi, tetapi yang menjadikan aku fobia ialah persediaan awal untuk itu. Dua hari sebelum prosedur aku perlu makan bubur sahaja dan sehari sebelum itu yang paling aku tak suka nak menempuhinya. Aku terpaksa meminum air garam yang rasanya menjadikan isi perutku nak keluar setelah meminumnya. Dos perlu diambil sebanyak dua kali, iaitu pada waktu petang dan malam, untuk membersihkan ususku. 

Setelah meminumnya, aku perlu 'kontrak' dengan tandas kerana masa itulah aku akan buang air besar sehingga najis yang keluar adalah air sahaja. Namun begitu, yang bagusnya perut rasa lega dan nyaman kerana semua kekotoran telah keluar. Selepas mengambil dos yang pertama, aku hanya minum air bubur sahaja. Selepas dos yang kedua, aku boleh minum air sahaja atau jus tanpa warna. Selepas jam 12 malam, aku boleh minum air kosong sahaj sehingga 2 jam sebelum prosedur. Dengan itu, setelah selesai dengan dos yang kedua dan 'kontrak' dengan tandas selesai, aku pun boomm hingga pagi. 

Pada hari Isnin, 15 Ogos 2016, aku ke IKN ditemani anak untuk menjalani prosedur kolonoskopi. Janji temuku ialah pukul 8.00, dan pukul 7.00 pagi aku dah sampai ke kaunter pendaftaran ...

Kaunter pendaftaran rawatan masuk wad

Dan, pada pukul 8.00 tepat aku mendaftar pula ke wad  day care dan mendaftar untuk menjalani prosedur.

Day care di tingkat 1

Mendaftar

Selesai mendaftar, petugas mengambil timbangan berat dan tekanan darah. Kemudian, aku menukar pakaian untuk prosedur dan menunggu giliran. Masa ini jugalah masa yang bosan untuk dipanggil menjalani prosedur. Kira-kira pukul 11.00 pagi namaku dipanggil dan aku relax jer kerana telah beberapa kali menjalani prosedur ini.

Apabila aku disuntik dengan ubat bius, aku pun tak sedar bila aku 'mati'. Sedar-sedar aku telah berada di luar bilik, agak lok lak. Selesai menukar baju, aku dihidangkan dengan mee goreng dan air milo panas. Mmm ... yummy sebab dah lebih sehari tak makan. Sebelum keluar dari klinik, aku bertanyakan keputusan prosedur yang telah dijalankan. Alhamdulillah, keputusannya normal, namun perlukan pengesahan doktor dalam masa yang terdekat. Akhirnya, daftar keluar di kaunter dan balik. Legaaaa...

Friday, July 8, 2016

PUASA, HARI JADI, PEMERIKSAAN SUSULAN, KEMATIAN ...

1 Ramadhan 1437H, bersamaan dengan 6 Jun 2016, merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam untuk menunaikan ibadah puasa. Pada tahun ini, kami sekeluarga bertuah kerana pada satu hari puasa abah pun balik ke darat, maka kami dapat berbuka bersama-sama sekeluarga pada hari pertama berpuasa pada tahun ini, Alhamdulillah.

Kebetulan pada 9 Jun 2016, hari lahirku yang ke-58 jatuh pada bulan yang mulia ini. Alhamdulillah, sempena dengan bulan yang mulia ini mudah-mudahan bertambahlah rahmat Allah terhadap diriku. Tiada sambutan hari jadi buatku (sememangnya dari dulu lagi kami sekeluarga tidak menyambut hari jadi). Aku menggunakan sebaik-baiknya bulan yang mulia ini memanjatkan doa ke hadrat Illahi semoga Allah sentiada menjaga keselamatan, kesejahteraan dan kesihatanku bersama-sama keluarga. Semoga Allah sentiasa menjaga dan merahmati kami sekeluarga.

Pada bulan yang mulia ini juga, aku menjalani pemeriksaan susulan di IKN pada 21 Jun 2016. Aku berdoa kepada Allah agar status kesihatan diriku dalam keadaan yang baik. Alhamdulillah, daripada pemeriksaan darah, keputusannya amat baik, kecuali kolesterol yang 'border line', namun tidak mencemaskan. Janji temuku adalah pada pukul 9.00 pagi. Memandangkan abah dah balik ke laut pada 20 Jun, maka aku ke IKN ditemani oleh Wati dan Yana. Pukul 8.30 pagi lagi kami telah sampai ke IKN. 

Selepas mendaftar di kaunter, aku dipanggil untuk pemeriksaan tekanan darah. Pemeriksaan tekanan darah di klinik onkologi juga memberikan bacaan yang baik, Alhamdulillah. Dengan itu, sampailah masa yang membosankan untuk berjumpa doktor pula. Hampir pukul 12.00 tengah hari barulah aku dipanggil untuk berjumpa doktor. Alhamdulillah, doktor berpuas hati dengan status kesihatanku. Semoga status kesihatanku sentiasa dalam keadaan baik, aamiin. Hari-hari yang berikutnya aku menghabiskan masa berpuasa dengan anak-anak sahaja kerana abah akan balik ke darat semula 2 hari sebelum hari raya, iaitu 4 Julai 2016.

Beberapa hari selepas itu, aku menerima berita yang salah seorang sahabatku, Siti Maani bekas jurutaipku semasa bekerja dulu, telah dimasukkan ke wad onkologi di IKN. Aku telah lama ingin menziarahinya semasa beliau terlantar di rumah. Pastinya, dia bertambah uzur hinggakan terpaksa duduk wad. Aku pun mengajak Yana pergi menziarahinya. Betapa sedihnya hatiku melihat keadaannya. Hampir-hampir aku tidak perasan dengan keadaannya yang begitu kurus. Siti Maani menghidapa kanser payudara yang telah merebak ke paru-paru. 

Betapa sedih hatiku melihatnya. Aku menahan agar air mata supaya tidak menitis. Memang aku ketahui yang Siti bernafas terpaksa menggunakan bantuan oksigen, tapi aku tak sangka yang dia tidak boleh makan seperti biasa tetapi melalui tiub yang ditebuk pada perutnya. Dia juga memakai pampers jer. Walau bagaimanapun, dapat jugalah dia minum air zam-zam walaupun dia tidak dapat makan kurma yang ku bawa. Sebelum balik, aku terus memberi semangat agar Siti kuat menghadapi ujian Allah itu.
Pada hari Isnin, 4 Julai, aku dan Yana pergi menziarahi Siti lagi untuk menyampaikan zakat daripada pihak KanWork, dengan membawa pampers dan susu ensure. Aku terserempak dengan wakil KanWork yang juga menziarahi Siti; juga 2 orang anaknya yang menjaganya. Keadaan Siti sangat uzur. Kami sempat membacakan Yassin, mudah-mudahan dia sentiasa tenang dan tabah. Sedih hatiku melihatnya seperti nazak namun mampu bangun duduk dan melemparkan senyuman semasa aku nak balik. Aku cepat-cepat pergi sebelum air mataku menitis di depannya.

Tanpa ku sangka, itulah kali terakhir aku melihat wajahnya kerana kira-kira pukul 3.00 pagi aku menerima panggilan telefon daripada anaknya memaklumkan ibunya telah pergi menyahut panggilan Illahi. Innalillah ... semoga rohnya ditempatkan bersama-sama roh para solihin dan diberi syurga Allah. Sesungguhnya, aku terkesan dengan pemergian sahabatku itu. Sebelum ini pun, aku telah kehilangan 2 orang sahabat sekolahku. Salah seorang daripadanya menghidap kanser payudara yang telah merebak ke keseluruh tulang di tubuhnya. Semoga Allah sentiasa memelihara keselamatan dan kesejahteraan mereka serta memberikan rahmt-Nya kepada kepada di alam kubur, alam barzakh dan di hari akhirat, aamiin.

Semua yang berlaku adalah atas kehendak dan izin-Nya jua