Showing posts with label Pemeriksaan susulan. Show all posts
Showing posts with label Pemeriksaan susulan. Show all posts

Thursday, August 9, 2012

Pemeriksaan Susulan Ketiga

Minggu lepas, 3 Julai 2012, aku ke klinik untuk mengambil darah bagi persediaan untuk pemeriksaan susulan yang ketiga selepas aku selesai menjalani rawatan kanser. Semalam, aku telah mendapat keputusan ujian darah daripada Pathlab dan Alhamdulillah ... semua bacaan yang tinggi dan merungsingkan aku sebelum ini telah banyak yang turun. Kolesterol, walaupun masih tinggi, tetapi telah banyak berkurang berbanding dengan 3 bulan yang lepas. Cuma, HDL dan LDL seperti sama-sama naik pula! Mungkin semasa menjalani ibadah puasa ini, aku menjaga diet dengan banyak mengurangkan pengambilan carbs. Itupun masa puasa ini aku tidak pergi ke gym. Rasa-rasanya jika pergi ke gym, mungkin keputusan ujian itu lebih baik lagi. Insyaallah selepas Idilfitri nanti, aku akan aktif semula ke gym, dan akan terus menjaga pemakanan.

Pada hari ini, janji temu dengan doktor onkologi di HKL ialah pada pukul 10.00 pagi. Aku keluar dari rumah dengan abah (suami) kira-kira pukul 8.00 pagi. Kesesakan lalu lintas agak teruk dan kami sampai ke HKL kira-kira pukul 9.30 pagi. Tempat parking yang selalu kami park kereta telah ditutup untuk public dan dikhaskan untuk staf sahaja. Alahai ... dah melilau pula mencari tempat parking awam. Untuk mengejar masa, abah menurunkan aku dahulu dan abah pergi park kereta.

Musim puasa ini, aku menjangkakan orang tidak ramai di klinik dan cepatlah aku dapat berjumpa doktor kerana biasanya temu janjiku pukul 10.00 dan aku akan selesai berjumpa doktor pukul 12.00 lebih ... jenuh dan begitu bosan menunggu. Bila sampai dan masuk ke klinik onkologi, ya Allah ... ramainya pesakit yang telah sedia menunggu! Aku terus mendaftar, dan sudah tentu dapat nombor yang jauh ke belakang. Dalam hati berfikir, rasa-rasanya aku hanya dapat berjumpa doktor petang kot ...

Untuk menjimatkan masa lagi, setelah mendaftar aku terus pergi ke day care untuk flush chemoport (idealnya perlu dibuat sebulan sekali). Selesai buat flushing, bermulalah episod bosan menunggu. Buku yang dibawa, habis selesai aku baca tetapi nombor masih belum dipanggil. Sempat juga aku terlentok sekejap kat kerusi. Abah pun berdengkur menunggu! haha ...

Akhirnya, pada pukul 2.00 petang barulah nomborku dipanggil. Doktor meneliti keputusan ujian darahku dengan terperinci. Alhamdulillah, tiada apa-apa yang meragukan. Aku bertanyakan doktor juga adakah aku perlu menjalani kolonoskopi ataupun tidak, dan doktor kata tak perlu kerana aku tiada masalah buang air besar dan kecil, Alhamdulillah. Apa yang perlu ialah aku perlu datang untuk pemeriksaan susulan lagi pada 10 Oktober 2012, menjalani CT scan pada bulan November dan mengeluarkan chemoport pada hujung tahun nanti. Semoga semuanya akan baik-baik sahaja dan aku akan sembuh sepenuhnya; kanser tidak akan berulang ... tidurlah sel-sel kanser dengan lena, jangan bangun-bangun lagi! 

Untuk itu, aku mesti terus menjaga pemakanan, melakukan aktiviti fizikal dengan kerap dan tidak stres. Insyaallah, walaupun tidak hari-hari, aku tidak lupa untuk membuat jus sendiri (karot+epal merah+limau kasturi) untuk diminum - semua itu adalah antikanser dan antioksidan yang bagus. Daripada bacaanku, epal merah baik untuk kanser kolon. Selain itu, aku terus meminum air rebusan raja satong, yang hanya tinggal stok beberapa biji sahaja lagi. Dah habis nanti kena beralih kepada teh pecah beling pula. Untuk menghalang sembelit, aku meminum Cleanx tea (organik). Musim puasa ini, aku tidak mengambil antioksidan bioorganix untuk kolon sebab ia merupakan serat dan perlu minum banyak air jika mengambilnya. Last but not least, aku tidak berputus asa untuk menghadapkan diri kepada Illahi, dan memohon doa sebanyak-banyaknya dengan harapan Allah akan menyembuhkan aku sepenunya dan penyakit kanserku ini tidak berulang lagi... 


Tuesday, June 5, 2012

Pemeriksaan Susulan Kedua

Semalam, 4 Jun 2012, ialah pemeriksaan susulan yang kedua selepas selesai rawatan radio dan kemo (rawatan susulan pertama ialah pada 16 Mach 2012). Sebelum pergi ke HKL, pada hari Rabu terlebih dahulu aku membuat pemeriksaan darah di klinik keluargaku untuk menjimatkan masa mengambil darah dan menunggu keputusannya di HKL nanti. Pada hari Jumaat, keputusan darah telah sampai. Alhamdulillah, semuanya nampak ok kecuali kolesterol tinggi:

                 Total cholesterol tinggi - 7.1 (sepatutnya <5.2), 
                 HDL ok - 1.28 (>1.04),  
                 LDL sangat tinggi - 5.2 (sepatutnya <2.6), 
                 Triglycerides ok - 1.4 (<1.7) 
                 Total/HDL ratio tinggi - 5.5 (sepatutnya <5.0)

Melihat pada keputusan tu, perkara ni tak boleh diambil mudah. Sebenarnya, selepas pemeriksaan susulan yang pertama dulu, aku mengambil ubat kolesterol, Lipitor 10mg.  Apabila ubat habis aku tak pergi ke klinik lagi mengambil bekalan tetapi aku pergi ke fitness center. Seboleh-bolehnya aku tak mahu mengambil ubat tersebut. I want to heal myself naturally. Aku juga menjadikan diriku sebagai sampel eksperimen untukku sendiri sama ada aku berjaya menurunkan kolesterol dengan banyak melakukan physical exercise. Aku berasa sihat dan susut badan. Aku rasa yakin kolesterol turun. Namun, nampaknya eksperimenku tak berjaya! Nampak gaya aku terpaksalah jugalah mengambil Atorvastatin Calcium 10mg dan mengawal pemakanan dengan lebih tegas. 

Di HKL, selepas mendaftar dan sementara menunggu giliran berjumpa doktor onko, aku flush chemoport dahulu. Excited dapat berjumpa orang-orang yang telah melakukan kemo terhadapku dulu. Semasa flushing chemoport, hai muncul kembali saat-saat sengsara menempuh kemo dan menghadapi kesannya dahulu. Ya Allah, janganlah kanserku aktif kembali!!!

Selesai flushing, terpaksa menunggu lama lagi nak berjumpa doktor. Hampir lunch baru dapat berjumpa doktor, itupun bukan doktor onko yang biasa memeriksaku sebelum ini. Rasa upset juga sebab doktor yang kutemui semalam seperti tidak yakin. Selepas diperiksa, aku disuruh menunggu lagi ... katanya dia perlu berbincang dahulu tentang keadaan situasiku (dengan siapa aku tak tahu). Selepas itu, diberitahu bahawa CT/PET scan akan dibuat pada bulan November. Kemudian, kena tunggu lagi untuk mendapatkan MC ... Alahai ...

Walau bagaimanapun, aku bersyukur kerana setakat ini keadaan kesihatanku baik-baik sahaja. Orang yang melihat ramai yang tidak percaya bahawa aku ini ialah seorang cancer survivor. Sehinggakan semasa aku menghulurkan buku pendaftaran untuk pemeriksaan, penjaga kaunter bertanya, "Mana pesakitnya?" Kemudian, dia perasan sendiri dan cakap, "Puan sendiri pesakit ye?" Hahaha ... lucu ... Mudah-mudahan Allah akan terus memberikan kesihatan yang baik kepadaku dan keluargaku. Aku tak sanggup lagi nak menepuhi semua rawatan yang pernah kutempuhi sekiranya penyakit ini berulang atau pergi ke bahagian lain organku ...

Balik rumah terasa letih. Lepas solat Zohor, apa lagi ... booom, hit the pillow. Malamnya, keluar dengan anak-anak menonton wayang "Snow White and The Huntsman" ... Hari ni berehat-rehat saja di rumah sebelum memulakan rutin harian ke gym pada esuk hari ... Dah biasa exercise, bila miss rasa tak sedap badan!!! Semoga Allah sentiasa mempermudahkan ... Amin ...

Wednesday, January 11, 2012

Pemeriksaan Susulan

Hari ni merupakan pemeriksaan susulan yang pertama selepas semua rawatan kemo dan radio selesai. Sebelum tu, pada hari Isnin aku pergi ke klinik untuk membuat pemeriksaan darah. Dengan itu, aku tak perlu membuat pemeriksaan darah di HKL, yang pastinya mengambil masa yang lama (ambil darah dan tunggu keputusannya).

Aku menjangkakan pada hari Selasa keputusan akan diperolehi, tetapi Pathlab belum selesai dan menghantarnya ke klinik. Maka, pagi tadi sebelum ke HKL, aku singgah untuk mengambil keputusan ujian darah. Harap-harap adalah. Alhamdulillah, Pathlab fakskan keputusan tu ke klinik dan dapatlah aku bawa ke HKL untuk berjumpa oncologist. Hey, letihnya fikir nak pergi dan tengok HKL tu lagi ... Nasib baik pergi untuk buat pemeriksaan jer. Kalau untuk kemo, sahlah aku tak nak pergi lagi - lari!!! So, pergilah ditemani Wati ...

Melihat pada keputusan ujian darah tu, alhamdulillah ... semuanya ok, cuma kolesterol agak tinggi. Banyak sangat makan durian agaknya! Tak apalah, keputusan itu perlu dibincangkan dengan oncologist untuk mendapatkan penjelasan yang lebih lanjut, berkaitan dengan penyakitku.

Meneliti keputusan itu, oncologist telah menandakan unsur-unsur yang kritikal dalam keputusan ujian darah tu, yang semuanya ok:
        
HAEMATOLOGY
     Haemoglobin     12.7 (julat: 11.5 - 16.5)
     Platelet count      266 (julat: 150 - 400)
     WBC                  3.6  (julat: 4.0 - 11.0)
Menurut oncologist, walaupun WBC rendah sedikit tetapi Neutrophil ok, iaitu 55 (julat: 40 - 75)

LIVER FUNCTION TESTS (LFT)
     Total biliribun     13  (julat; <26)
     SGPT (ALT)       11  (julat: 0 - 53)

CAE     <0.5  (<5.0)
CA 19.9 (Pancreas)   4.3   (julat: <37.0)
CA 15.3 (Breast)       13.3 (julat: <28.0)
CA 125 (Ovary)        6.9   (julat: <35.0)

Yang lain-lain, semua ok kecuali yang berikut:

LIPID PROFILE
     Total cholesterol    7.2    (julat: 5.2)  - Tinggi
     HDL Cholesterol   1.10  (julat: >1.04)
     LDL  Cholesterol   4.6    (julat: <2.6) - Tinggi
    Triglycerides          3.2    (julat: <1.7)  - Tinggi
     Total/HDL Ratio    6.5    (julat: <5.0) - Tinggi

Hohoho ... tinggi yooo ... Oncologist suruh aku makan ubat kolesterol yang dibekalkan oleh doktor di klinik. Memang dari dulu, aku memang dah makan ubat kolesterol tu. Akan tetapi, semasa menjalani kemo tempoh hari, daripada keputusan darah, LFT dan ESR menunjukkan keputusan yang amat buruk, lantas aku berhenti daripada mengambil ubat tu ... Takut jugak, dahlah dulu lungs ada patch (walaupun disahkan bukan kanser), ni liver pulak macam tu ... Seram mak cik dibuatnya!!! Gerun, gerun sebab bagi kanser kolorektal, the next organ it will go is liver, then lungs ... huhuhu ... Janganlah, janganlah ...

Aku juga bertanyakan tentang chemoport yang masih tertanam lagi kat dada ni, kalau-kalau oncologist kata boleh keluarkan, tapi oncologist kata buat flushing pada janji temu yang akan datang pada bulan Mach. Well, aku akur jer, dan minta MC hingga janji temu yang akan datang.

Keluar dari HKL, aku terus ke DBP untuk menghantar MC dan urusan-urusan lain yang berkaitan di pejabat. Selesai, kami balik rumah. Lepas solat Zohor keluar ke Jusco pula nak cari buah dan sayur sikit. Selain tu, nak beli Spirulina di kedai HNF sebagai supplement tambahan. Daripada artikel yang ku baca di majalah iSihat, Spirulina ni telah membantu seorang kanak-kanak sembuh daripada kanser otak. Sebagai salah satu usaha, aku nak cuba jugalah sebab bila aku tanya kepada oncologist sama ada hospital akan memberikan aku ubat tertentu untuk aku, oncologist kata tak ada. Maka, segalanya terpulang kepadaku untuk mencari ikhtiar sendiri. I have to find my own self healings. Semoga tidak berlaku recurrance ...

Tablet spirulina yang perlu ditelan sebanyak 5-10 buji pagi dan malam
Yang bestnya, hari ni aku jumpa satu rak sederet panjang semua makanan organik (sebelum ni tak ada). Wah, tak perlu aku pergi sampai ke KL mencari makanan dan sayur organik. Semua dah ada di Jusco berhampiran rumahku, Alhamdulillah ....