Monday, May 29, 2017

SELAMAT BERPUASA ...

Marhaban ya Ramadhan
Sabtu, 27 Mei 2017
1 Ramadhan 1438 


Semoga Allah mempermudahkan urusan dan menerima ibadah kami sekeluarga
AAMIIN

Sunday, January 29, 2017

ULANG TAHUN KE-6 SURVIVOR

Bulan ini, Januari 2017 atau lebih tepat lagi 24 Januari 2017, telah 6 tahun aku melalui kehidupanku sebagai cancer survivor (rectosigmoid, di tengah-tengah rektum). Alhamdulillah, setiap kali aku pergi follow up di hospital (pemeriksaan rutin setiap 6 bulan dan colonoscopy setiap tahun), keputusannya adalah stabil dan tiada apa-apa tanda yang menunjukkan sesuatu yang meragukan. Semoga kesihatanku sentiasa dalam keadaan yang baik dan penyakit yang digeruni ini tidak akan berulang semula. Tak sanggup rasanya nak menmpuhi kembali saat-saat sengsara menghadapi rawatannya. 

Walaupun setakat ni semua ok, namun aku tidak boleh alpa dan berasa selesa dengan keadaan ini. Aku tetap beringat bahawa penyakit ini boleh timbul bila-bila masa (janganlah!) dengan izin Allah. Sememangnya, itulah hikmahnya apabila ditimpa penyakit ini, diri akan sentiasa beringat. Dari segi pemakanan, memang tidak bolehlah nak makan ikut tekak dan sesuka hati saja, apa lagi apabila umur telah meningkat ada makanan yang sebelum ini boleh diambil sesuka hati tanpa apa-apa kesan tetapi sekarang terasa ia memberi mudarat dan perlu dihindari. Supplements tetap diambil secara berterusan, terutamanya antioksidan agar sistem imun badan tetap kuat dan dapat membantu badan menghindari penyakit. Al-maklum, badan memang telah lemah akibat kesan rawatan yang telah dilalui dahulu maka kemungkinan penyakit-penyakit lain pun mudah hinggap. Apabila terasa makan agak berlebih-lebih tu, maka perlu jugalah detox. Apa lagi dalam kes aku yang melibatkan terus sistem penghadaman, aku hendaklah memastikan setiap hari buang air besar agar toksin tidak terkumpul di dalam perut, dan mungkin boleh trigger sel-sel kanser untuk aktif kembali. Selain memberi fokus kepada pemakanan, aktiviti jasmani juga perlu diberikan perhatian. Agar pergerakan usus dan fizikal badan  tidak kaku, senaman perlu selalu dilakukan. Sememangnya, survivor kanser usus perlu selalu bersenam.

Walau bagaimanapun, apa-apa yang berlaku adalah atas kehendak dan izin Allah jua. Maka, aku sentiasa berikhtiar, berdoa dan bertawakkal, menyerahkan segala-galanya kepada Allah ... mendekatkan diri dan menyerahkan diri kepada Allah. Memang banyak artikel yang menyatakan zikir dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran memang dapat membantu pemulihan dan penyembuhan penyakit. Inilah satu-satunya penawar yang paling mudah dan murah (percuma) didapati ... apa lagi, buat ajerlah. Apa lagi setelah bersara dan anak-anak semua dah besar-besar maka memang banyak masa yang terluang untuk ini.

Syukrillah ... Alhamdulillah ... 
Sesungguhnya, segala perancangan Allah kepada hamba-Nya adalah yang terbaik
Aku bersyukur kepada-Mu ya Allah




Monday, January 2, 2017

SELAMAT TAHUN BAHARU 2017

Assalamu'alaikum ... Sekian lama aku tidak menulis dalam blog ini. Hari ini, 2 Januari 2017, merupakan hari kedua kita menginjak ke tahun 2017. Begitu cepat masa berlalu. Walau bagaiamanapun, Alhamdulillah ... Allah masih memberiku peluang untuk bernafas dan meneruskan kehidupan ini. 

Sepanjang tahun 2016, aku dan keluarga meneruskan rutin hidupku seperti tahun-tahun sebelumnya. Rutin abah ialah dua minggu di laut dan dua minggu di darat. Wani dengan pengajiannya di UNITEN. Zafhri dengan kerjanya. Wati dan Yana dengan aktiviti sendiriannya di rumah. Aku hanya melakukan kerja-kerja rumah, melihat anak-anak dan melakukan hobiku, gardening.

Sepanjang tahun tahun 2016 juga, kesihatanku tidak mencurigakan. Semasa janji temu dengan pihak onkologi di IKN pada 21 Jun dan 5 September 2016, semuanya stabil. Semasa temu janji di Hospital Putrajaya pada 14 Mach dan 17 Oktober 2016 pun  keadaan diriku stabil. Keputusan kolonoskopi yang telah dijalankan pada 15 Ogos 2016 pun memberikan keputusan yang stabil. Alhamdulillah, semoga Allah sentiasa memberikan kesihatan yang baik kepada diriku, dan sel-sel kanser tidak aktif dan menyerang semula. 

Untuk membantu meningkatkan dan mengekalkan immunisi badan, aku tidak mengambil banyak supplements seperti sebelum ini. Aku hanya mengambil vitamin C dan vitamin E sebagai antioksidan, dan Milk Thistles sebagai tonik hati. Selainnya, aku berhati-hati juga dalam pemakanan dan selalu detoks dengan mengambil fibre supaya mudah buang air besar dan memastikan buang air besar setiap hari. Ia penting supaya toksin tidak terkumpul dalam perut, yang mungkin boleh trigger sel-sel kanser untuk aktif kembali. Sebagai cancer survivor, tiada istilah sembuh; cuma under remission - kanser tidak aktif atau sel kanser 'tidur'. Mungkin ramai survivor kata dah sembuh, tapi aku tidak berani berkata begitu dan sentiasa berhati-hati dan beringat. Padaku ... di dalam badanku ini ada bom jangka yang akan meletup bila-bila masa jika tidak berhati-hati, wallahualam. 

Aku berasa lebih sihat apabila aku banyak menghabiskan masa di kampung apabila abah tidak bekerja lagi sejak bulan September 2016 ... berjinak-jinak dan bermain dengan alam semula jadi. Kami suami isteri menghabiskan banyak masa di kampung berkemas rumah baharu kami dan berkebun. Setiap hari kami cuba berbakti kepada tanah dengan harapan ia akan memberikan hasil yang baik kepada kami. Abah sibuk menanam dan menjaga anak-anak pokok buah-buahan; menebas semak-semak yang galak tumbuh terutamanya pada musim hujan. Aku pula sibuk membersihkan rumput-rumput dan menanam sayur dan pokok bunga. Memang itu kesukaan aku melakukannya. Alhamdulillah, setakat ini kami telah dapat makan sayur kacang, buah durian belanda, nangka dan betik. Memang seronok dapat makan hasil titik peluh sendiri, dan banyak perkara yang dapat dilakukan di kampung dengan suasana dan udara yang nyaman. Air yang digunakan pun adalah air bukit, semula jadi - tanpa bahan kimia. Syukur dengan nikmat Allah.

Dalam kemelut urusan dunia, tidak lupa juga aku mempersiapkan diri untuk ke destinasi yang kekal. Maka, masa diberikan juga untuk mencari ilmu agama melalui kelas-kelas dan kulih/tazkirah agama. Semoga Allah memberkati ilmu yang diperolehi dan dapat dimanfaatkan dalam hidup dan menuju destinasi akhir yang kekal dalam rahmat Allah. Semoga tahun 2017 ini lebih daripada tahun-tahun sebelumnya, aamiin.

Suasana kampung yang sangat nyaman