Monday, December 12, 2011

Akhirnya, Selesai Kemo ... Alhamdulillah

Hari Sabtu, 3 Disember 2011, ialah hari terakhir aku menjalani kemo kitar yang keenam dan terakhir. Kebetulan hari Sabtu day care centre tak buka, maka aku terpaksa menjalani kemo di wad. Pada hari Jumaat, selepas kemo, aku mendaftar untuk masuk wad bagi kemo pada keesukkan harinya. Selepas mendaftar di tempat pendaftaran untuk masuk wad, aku mendaftar di wad yang telah ditetapkan (kelas 3; kelas 2 dan 1 tak ada kosong, tak kisahlah ... janji cepat selesai dan sekejap jer). Sepatutnya aku perlu terus tinggal di wad selepas mendaftar, tetapi aku telah mohon cuti balik rumah dan datang pada keesokkan harinya. Huish ... tak sanggup lagi nak duduk wad dah. Beberapa hari sebelum kemo, memikirkan nak pergi hospital dan menjalani kemo tu pun dah cukup stress dibuatnya. Apabila selesai semuanya, aku pun balik - melepek!!!

Keesokkan harinya, hari Sabtu, pagi-pagi lagi aku telah keluar dari rumah bersama-sama Wati dan Zafhri (sebagai pemandu kami). Memandangkan hari tu hari cuti, jalan tidak jam maka kami cepat sampai ke HKL, dan dapat pula parking di dalam kawasan hospital yang berhampiran dengan Jabatan Onkologi tempat aku menjalani kemo. Aku dan Wati terus pergi ke wad. Zafhri pula terus pergi parking, dan menunggu kami di dalam kereta.

Sampai di wad, aku minta agar kemoku dijalankan seperti yang dijalankan di day care centre, iaitu melalui pam/suntikan, dan bukan melalui drip yang akan mengambil masa yang lama - aku tak sabar dan stress sangat rasanya untuk menyelesaikan kemo yang terakhir tu.  Petugas terus menyuntik saline solution untuk flush chemoport dan ubat lain (aku pun tak tahu namanya). Kemudian, aku perlu berehat selama setengah jam. Ya Allah, lamanya nak tunggu setengah jam tu - aku zzzz, sebab aku pun bukan fit sangat dan letih/lembik sepanjang menjalani kemo kali ni.

Selepas setengah jam, petugas datang untuk mengambil tekanan darah dahulu sebelum ubat kemo disuntikkan. Mungkin disebabkan aku terlalu stress, tekanan darah tinggi sedikit, iaitu melebihi 150. Petugas minta aku relax dan berehat sekejap. Apabila diambil tekanan darah sekali lagi, ia menunjukkan dalam lingkungan 140. Petugas pun menyuntik ubat kemo. Setelah selesai, petugas mencabut jarum saluran pada chemoport, maka selesailah kemoku yang terakhir tu ... MERDEKA daripada rawatan!!! Walau bagaimanapun, chemoport masih tidak dikeluarkan lagi.

Ya Allah, janganlah sakit ini berulang lagi, yang menyebabkan aku perlu menjalani rawatan seperti yang telah ku lalui selama ini. Memikirkan nak pergi hospital pun badanku dah mula letih!!! Tidak hairan, ada seorang penghidap kanser payudara di kampung mengatakan nak pergi hospital buat kemo tu pun dah muntah dah - belum sampai hospital dan buat kemo lagi. Dan ada seorang penghidap tu cakap, apabila duduk wad, dengar bunyi troli tu pun dah membuatkannya muntah - so buat kat day care centre, dan ada ketikanya buat sendiri kat rumah (dah beli alat-alat untuk buat kemo sendiri! Allahuakbar).

Selesai kemo, aku berasa amat letih sekali, tetapi aku gagahkan juga berjalan ke kereta. Masuk dalam kereta, aku terus booom ... letih, lembik. Dalam perjalanan aku tertidur seketika. Bila tersedar, perut berasa lapar tetapi selera rasa terbantut pula. Memandangkan anak juga dah lapar dan letih, kami singgah juga sebentar di restoran untuk mengisi perut. Aku memesan roti canai, tetapi tidak mampu menghabiskannya. Terlentok aku atas meja di restoran tu. Selesai anak makan, kami pun bergerak balik ke rumah.

Sampai di rumah, apa lagi ... aku pun terus kejar katil dan boom. Akan tetapi, perut pulak rasa lapar walaupun selera terbantut. Dalam lapar tu, perut pun tak selesa kerana kesan kemo; seperti kena gastrik. Apa nak buat hah? Aku teringat kawanku Has berkata yang beliau dan suaminya makan durian lepas kemo, bestWhy not I give a try, dan kebetulan masa tu kat rumah ada durian. Aku pun bangun dan ... nah! Habis sebuah durian aku makan sorang. Yesss ... memang betul kata-kata Has. Aku rasa kenyang dan perut tak meragam sangat akibat kesan kemo tu, Alhamdulillah. Malamnya, dah boleh makan sikit, tapi keletihanku tak boleh tahan.

Pada petang tu pula, sahabatku dari Singapura (Zilla), yang kebetulan ada tugas di KL, datang melawatku sebentar - just to say hello kerana beliau tidak mahu menggangguku yang sedang lembik tu. Thanks Zilla for your courtesy to visit me - I appreciate that very much. Bila Zilla dah balik, aku boom semula...

Pelik, apabila aku berbaring aku seolah-olah tak ada apa-apa, tetapi bila bangun dan duduk, rasa nak rebah dan mata rasa tak boleh buka ... apa lagi berdiri - macam dunia ni bergoyang-goyang jer. Terpaksalah aku berbaring sahaja, walaupun rasa penat asyik berbaring tu. Sampailah 3 hari aku berkeadaan begitu, barulah aku boleh bangun walaupun badan tu rasa 'toing, toing' lagi. Alhamdulillah, aku tidak diserang sakit kepala dalam keadaan begitu - cuma rasa berat atau bengal sikit kerana asyik berbaring jer.

Pada hari keempat, aku dah boleh melakukan exercise yang ringan dan berkemas rumah supaya lembik tu cepat hilang. Selalunya, jika sel darah putih rendah, kita lakukan exercise dan makan makanan berkhasiat, insyaallah sel akan meningkat. Akan tetapi, sekerat jalan kemas rumah aku rasa letih sangat dan terpaksa berehat. Hari-hari seterusnya, Alhamdulillah ... Aku rasa ok, cuma cepat penat bila banyak bergerak. Hari ni, aku dah super duper, walaupun sesekali penat juga lepas aktif sikit tu. Sesekali, berlaku juga cirit-birit. Alhamdulillah ... dah boleh balik kampunglah pada hari Jumaat, dan bercadang lagi balik kampung pada hari Ahad ... Durian dan rambutan kat kampung memanggil-manggil ... tak boleh tahan. Lagi pun kena jengah orang tua kat kampung tu yang selalu risaukan keadaanku.

ALHAMDULILLAH, ALHAMDULILLAH ...

... Hanya itulah ucapan yang dapat aku lafazkan kerana aku telah selesai menjalani semua kitar kemo yang mesti aku jalani untuk rawatan susulan selepas pembedahan. Harap-harap dengan pembedahan dan rawatan kemo dan radio yang telah ku lalui, sel-sel kanser di dalam tubuhku ini telah hancur semuanya, dan tidak akan hidup kembali. Tak sanggup lagi rasanya nak menempuh rawatan tu semua.

Kitar yang terakhir ini amat mencabar rasanya. Selalunya, semasa kemo aku ok sahaja, dan cuma rasa letih sedikit selepas selesai pada hari kelima (satu kitar kemoku terdiri daripada 5 kali kemo setiap hari berturut-turut). Akan tetapi, kemo pada kali ni setiap hari aku lembik selepas kemo (kecuali pada hari kedua sahaja aku ok). Semasa perjalanan pergi dan balik hospital pun aku perlu berbaring dalam kereta, dan bila sampai rumah, melepek terus atas katil. Mungkin keadaan ini berlaku disebabkan sel darah putihku rendah sedikit.  Dan, darah putih menjadi lagi rendah selepas kemo adalah perkara biasa; kesannya letih ... wallahualam. Mungkin juga badanku sendiri telah begitu lemah dan letih kerana kena kemo setiap selepas 3 minggu. Lagipun, aku diuruskan oleh anak-anak sahaja; suami masih di laut. Itu pun rasanya memberi kesan psikologi terhadap diriku.

Rasanya, kalau ada lagi kitar kemo yang mesti ku lalui, aku lari!!! Hahaha, tak sanggup lagi nak menempuhinya. Biarlah aku usaha dengan rawatan alternatif dengan mengambil herba dan makan makanan anti-kanser sahaja ... Memang TAK SANGGUP LAGI!!! Memang ada kes pesakit lari dari menjalani kemo di day care centre tu. Agaknya terlalu sengsara nak menempuhinya. Dengan itu, aku boleh mengucapkan tahniah kepada diriku yang dapat menempuhinya hingga selesai. Tak boleh ku bayangkan mereka yang terpaksa menjalani kemo yang berat, seperti yang dilalui oleh pesakit kanser payudara dan kanser darah contohnya - kemo mereka berat dan mengambil masa yang lama baru selesai. Kemo yang aku jalani adalah yang paling ringan (sebagai precaution sahaja), pun aku dah tahan dah.

Walau bagaimanapun, sepanjang aku menjalani rawatan kanser ini, saat yang paling sengsara ialah ketika aku kena guna stoma bag (ileostomy). Dan, satu lagi ialah selepas aku menjalani 25 kali radioterapi tempoh hari. Ya Allah, tidak boleh dibayangkan aku menepuhi saat-saat itu - so miserable! Walau bagaimanapun, aku sentiasa mengingati dan berdoa kepada Allah agar diringankan penderitaanku itu, dan sentiasa ingat bahawa ia adalah sementara sahaja.

DAN ...

Banyak nilai murni yang ku pelajari sebagai pesakit kanser dan mengenali pesakit kanser yang lain. Banyak perkara yang selama ini aku ambil ringan, kini menjadi perhatian dan tumpuanku. Setiap kali aku berasa sengsara, aku selalu berkata dalam hati "DALAM DUKA ADA SUKA, DALAM SENGSARA ADA BAHAGIA"... Ramai orang yang lebih menderita daripadaku. Sesungguhnya Allah maha pengasih dan mengasihani akan hamba-Nya ... Aku rasa amat bertuah kerana mendapat sokongan dan perhatian yang padu daipada keluarga, sedara-mara dan sahabat. Selepas ini, aku perlu berhati-hati dengan pemakanan, dan selalu melakukan senaman supaya sel-sel kanser tidak berpeluang untuk muncul semula dan memudaratkan diriku lagi.

"Ya Allah ... sembuhkanlah aku sepenuhnya daripada penyakit yang ku hidapi ini dan penyakit-penyakit lain. Lindungi dan hindarilah penyakit ini daripada berulang. Lindungi dan hindari aku daripada penyakit kanser yang lain. Hancurkanlah sel-sel kanser yang terdapat di dalam tubuhku ini. Hindari keluargaku, sedara-maraku dan sahabat-sahabatku daripada menghidapi penyakit ini dan penyakit-penyakit lain. Sembuhkan mereka yang menghidapi pelbagai penyakit ... Amin ..."

No comments:

Post a Comment