Wednesday, December 14, 2011

Wajah-wajah Tersayang ... Alhamdulillah

Sejak aku didiagnosis kanser pada bulan Januari 2011, diam tak diam dah hampir setahun rupanya aku menjadi cancer survivor. Rasanya terlalu besar cabaran dan ujian yang telah aku dan keluargaku lalui. Apa tidaknya, semasa menjalani pembedahan, kami sekeluarga berkelana selama sebulan di Kota Bharu, Kelantan, dengan aku keluar masuk wad menjalani pembedahan dan pemulihan selepas pembedahan. 

Dalam tempoh tersebut, anak lelakiku (Zafhri) terpaksa tinggal di KL seorang diri kerana ada urusannya sendiri. Anak ketiga (Yana) pula telah mengorbankan kuliahnya selama 2 minggu untuk bersama-samaku menjalani saat-saat kritikal itu, tetapi terpaksa balik juga ke KL selepas aku agak stabil. Tinggallah suami (Abah), anak sulung (Wati) dan anak bongsu (Wani) yang bergilir-gilir menjagaku, terutamanya semasa di wad. Wati menjagaku pada waktu malam, dan Wani dan Abah menjagaku pada waktu siang supaya Wati dapat berehat; kesian melihat Wati yang tiap-tiap malam tidur di lantai hospital beralaskan tilam toto yang kecil sahaja, dan tak boleh lena kerana melayanku yang tidak selesa dengan ileostomy, dan untuk buang air kecil.

Abah pulak lebih kepada menjadi runner daripada menjagaku. Apa tidaknya, pagi-pagi telah muncul bersama-sama Wani di wad untuk menggantikan Wati, yang berjalan kaki balik ke Rumah Tamu. Kemudian kena keluar semula mencari breakfast untuk Wani dan Wati. Kemudian, masa lunch kena keluar pula membeli makanan untuk lunch, dan malam untuk dinner

Selepas berpindah ke Min Camp,  pagi-pagi Abah dan Wani datang ke wad untuk mengambil Wati dan menghantarnya balik ke Min Camp untuk berehat, dan Wani tinggal menjagaku. Kemudian, Abah datang semula dengan breakfast untuk Wani. Tengah hari keluar lagi untuk membeli lunch untuk Wani dan hantar ke Min Camp untuk Wati. Petang Abah kena ambil Wati semula balik ke wad dan membeli makanan untuk dinner. Begitulah kehidupan kami sehari-harian - aku duduk wad, Abah jadi runner/penjaga dan Wati dan Wani menjadi penjaga sehinggalah aku keluar wad dan kami balik ke KL. Nasib baik Abah dapat cuti lagi. Aku kesian melihat Abah, Wani dan Wati yang tidak teratur kehidupan dan makan minum sehari-harian mereka, sehinggakah suatu ketika Wati sakit perut dan tak sihat. Nasib baik masa tu aku dah boleh keluar wad.

Setelah balik KL, Abah mesti balik ke laut untuk bertugas semula selepas begitu lama bercuti, dan tinggallah aku dengan anak-anak sahaja. Masa tu juga Wani kena pergi PLKN dan aku meneruskan rawatan kemo dan radio di HKL; Wati jugalah yang menemaniku di wad, tetapi HKL memberi cuti hujung minggu semasa terpaksa duduk wad menjalani radioterapi selama 5 minggu dengan dua kitar kemo. Masa balik cuti itu juga yang sepatutnya digunakan untuk berehat, tetapi digunakan untuk mengunjungi Wani di PLKN. Nasib baik kemnya di Hulu Selangor, kalau tidak maka tak dapatlah kami nak menjengahnya. Ketiadaan Abah semasa aku dalam keadaan tidak sihat menanggung kesan rawatan tu serba sedikit menjejaskan emosiku dan anak-anak yang terpaksa menguruskanku, dan seterusnya menjejaskan prestasi kesihatanku juga. Aku yakin Abah juga tidak tenteram di tengah laut sana. Nak buat macam mana ... hanya berserah sahaja kepada Allah agar diringankan ujian buat kami sekeluarga. Semuanya adalah ketentuan daripada-Nya jua. Walaupun ujian penyakit padaku, tetapi sebenarnya keseluruhan ahli keluarga semua diuji. Kami bersyukur kerana semuanya telah selesai, cuma diharapkan tidak berlaku recurrance

Sesungguhnya aku amat bersyukur kerana Allah telah menganugerahiku suami dan anak-anak yang sangat baik. Mereka semua telah menjagaku dengan sebaik-baiknya, dan amat perihatin dengan kesengsaraan yang ku tanggung - mereka sentiasa cuba mewujudkan suasana yang selesa untukku. Alahamdulillah ...  Pengorbanan mereka amat aku hargai. Setiap detik yang kami lalui tetap terpahat di dalam hatiku. Aku bersyukur ke hadrat Allah kerana kami sekeluarga telah berjaya melepasi ujian dan saat-saat yang kritikal. Walaupun kami merasakan ujian kami itu amat besar, tetapi sebenarnya ramai orang lain yang diuji dengan ujian yang lebih hebat. Allah itu Maha Besar dan Maha Mengetahui ... Dia memberikan ujian kepada hamba-Nya mengikut kemampuan hamba-Nya.

Wajah-wajah kesayangan, yang begitu banyak berkorban untukku ...

Keluargaku pendorongku untuk terus kuat dan tabah

Abah, yang sentiasa prihatin - penjaga dan runner
Wati, my care taker, banyak bersama-samaku di saat kritikal dan tidak kritikal 

Zafhri (Abang), yang sentiasa risau dengan keadaanku

Yana, yang selalu risau melihatku tetapi cuba melindungi perasaannya

Wani, yang cuba nak menjagaku sebaik-baiknya, tetapi kadang-kadang tak tahu nak buat macam mana

"Ya Allah, berikanlah sebaik-baik balasan terhadap mereka ini yang telah banyak berkorban untukku dengan ikhlas dan sepenuh hati"


Dan, akhirnya wajah yang paling tersayang, tersayang ... taraaaa ...

Just humble me, AsiahRSC

Aku tidak lupa juga atas segala doa, sokongan dan dorongan adik-beradik, kaum keluarga dan sahabat handai terhadapku ... Ibu mertua setiap malam mendirikan solat hajat untukku! Kakakku Kamaliah setiap hari memanjatkan doa untukku! Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa baik itu semua ...

3 comments:

  1. Asiah, mana pergi entri fasal buku, he he kena censored ya? Runner rugged habis, anak-anak cantik berlaka...so much blessing with you...satu peristiwa yang tidak diminta, tetapi tetap meningalkan kesan yang membantu kita menjadi insan yang lebih baik hendaknya, InsyaAllah.

    ReplyDelete
  2. Okay, jumpa dah, blog u ni ada 3 sections..faham dah.

    ReplyDelete
  3. Insyaallah ... kita bertuah sebenarnya ...

    ReplyDelete