Saturday, November 26, 2011

Oops ... Apa Dah Jadi Denganku?

Semalam ... dengan keputusan ujian darah yang kurang memuaskan pada liver, fikiranku agak kacau juga, sehinggakan tindakanku tidak selari dengan fikiran ... Semalam, sememangnya aku tahu dah hari tu hari Jumaat, dan akhir tahun ini dalam kalender Islam ialah pada hari Sabtu. Kenapa aku mengambil perhatian sangat tentang perkara ini? Sebab aku ingin mengadap Illahi, menadah tangan membaca doa akhir tahun selepas Asar (hampir masuk Maghrib), dan membaca doa awal tahun selepas Maghrib, pada hari Sabtu.

Tetapi, apa yang berlaku semalam hampir Maghrib aku dengan penuh taksub mengangkat tangan membaca doa akhir tahun, dan terus solat Maghrib apabila masuk waktu. Seterusnya, membaca doa awal tahun, diiringi dengan doa-doa lain, dengan harapan Allah akan mendengar dan mengabulkan permintaanku ... Semoga Allah menyembuhkan penyakitku serta keluarga dan rakan-rakan yang menghidap pelbagai penyakit ... Semoga Allah memberikan hidayah dan kesejahteraan dalam kehidupan keluargaku, saudara-mara dan rakan-rakan ... Aku siap mengingatkan anak-anak supaya membaca doa awal tahun dan akhir tahun ... Apa dah jadi denganku? 

... dan ...

Pada hari ni, jauh di lubuk hati, aku masih memikirkan keputusan darah yang tidak baik - ujian pada liver. Semalam, sahabatku Has serba salah juga nak menyampaikan berita bahawa keputusan itu merupakan petanda yang tidak baik pada liver (memang telah ku jangka) - damaged liver. Mungkin ada clog pada liver, dan beliau menyarankan aku menjalani ultrasound pada liver dengan segera. Cadangan itu sangat baik, tetapi aku harus buat di hospital yang mempunyai radiologist yang arif tentang kanser. Nak buat di HKL, akan mengambil masa 2 atau 3 minggu, dan akan menggangu jadual kemoku. Maka, aku bercadang nak bertanya di Hospital NCI (Nilai Cancer Institute) - bila ultrasound boleh dibuat dan berapa bayarannya. Aku juga menelefon oncologist yang merawatku untuk bertanyakan situasiku. Beliau memberitahuku bahawa porsedur ultrasound boleh dibuat dan boleh juga jika tidak dibuat, kerana ia perkara biasa bagi pesakit kanser yang menjalani rawatan kemo/radio mengalami gangguan pada organ dalaman sebagai kesan sampingan rawatan - rasa lega sikit! 

Aku juga dimaklumkan oleh sahabatku, ubat kolesterol yang aku ambil pun boleh juga memberi kesan sampingan terhadap liver. Oh ... terkejut aku dibuatnya kerana doktor telah prescribed aku ubat tu beberapa lama, dan tidak memberikan apa-apa kesan terhadapku melalui ujian darah yang aku buat dari semasa ke semasa. Mungkin sebelum ini aku sihat, tetapi bila dah didiagnosis kanser dan menjalani rawatan yang melibatkan pembunuhan sel-sel ini, ubat itu memberikan kesan - agaknyalah. Sahabatku Has menyuruhku mengambil banyak asparagus, yang baik untuk liver - belum beli lagi!!! hehehe ...

... dan lagi ...

Pada hari ini, aku sangat happy kerana salah seorang sahabatku dari Kota Bharu, Dr. Nik dan keluarga, yang telah banyak membantuku semasa menjalani rawatan pembedahan di HUSM dulu, telah berkunjung ke rumahku. Aku amat teruja dengan kunjungan beliau sekeluarga, sehinggakan malam tadi aku agak gelisah tak dapat tidur kerana terlalu excited! Teruknya aku ... Pagi-pagi lagi aku telah bersiap sedia untuk masak pengat durian dan nasi ayam. Hajat hati nak masak rendang 'nogoghi' kesukaan beliau, tapi rasanya tak sempat. Tak mengapalah ... nanti bila dah sihat, kami sekeluarga akan ke Kota Bharu dan boleh masakkan rendang ayam untuk sahabat di sana.

Betapa sukanya hatiku dapat menjamu tetamu yang sangat aku rindui itu, walaupun masa mencemburui kami dan beliau terpaksa beredar selepas selesai makan. Selesai berkemas dan solat Zohor, aku mengambil kesempatan untuk berehat dan tidur, kerana mataku berasa amat berat bila tak cukup tidur malam tadi. Badan pun terasa letih. Memang sejak aku sakit dan menjalani rawatan ini, aku mudah rasa letih. Menurut salah seorang doktor yang merawatku semasa di HUSM dulu, kesan rawatan kemo ini, iaitu rasa letih, boleh mencecah selama 6 bulan. Memang aku dapat merasainya, terutamanya semasa travelling ... Apabila sampai ke destinasi, aku rasa letih sangat dan perlu tidur dulu - kalau dulu segar jer dan boleh travelling pergi-balik dalam masa satu hari; sekarang kena bermalam untuk berehat dulu.

Malam ni, aku terkejut apabila ada posting doa hujung tahun dan awal tahun oleh anakku di Facebook pada hari ini. Oops ... baru aku perasan rupanya hari ni baru akhir tahun kalender Islam dan ... aku dah miss membaca kedua-dua doa akhir dan awal tahun (aku baca semalam! Astagfirullah ...). Tak mengapalah ... aku akan terus berdoa setiap hari ... Aku sentiasa ingat pesan suamiku supaya berdoa setiap kali lepas solat, kerana jika tidak kita menjadi umat yang sombong di sisi Allah!!! Aku pun lupa nak menelefon NCI. Tak mengapalah ... aku sentiasa ingat bahawa segala apa yang berlaku adalah izin dan kehendak Allah jua ... semua apa yang berlaku itu ada hikmahnya ... kita jer yang tak tahu ... Allahuakbar ... Insyaallah, esuk harap-harap aku tak lupa nak menelefon NCI dan mencari asparagus untuk dijadikan 'ubat' ....

... Salam Ma'al Hijrah kepada semua ... 

Mohon maaf zahir batin atas segala salah silap, tingkah laku, perbuatan dan tutur kata ... dan ... halalkan segala makan dan minum. Semoga kita semua sentiasa dapat hidayah daripada Allah SWT ... Amin ...

4 comments:

  1. Tak apa Asiah, mungkin doa prepaid lebih banyak rahmat bagi diri Asiah..dah tertulis, lagi pun hari ini sangat sibuk...Saya doakan semuanya tidak kerana sesuatu yang tidak dimahui. Selamat Tahun Baharu.

    ReplyDelete
  2. Insyaallah, terima kasih Has ... Memang betul apa yang you cakap tu. Yang paling penting ialah kita sentiasa tidak berputus asa dengan limpah kurnia dan rahmat Allah, juga tidak berputus asa untuk sentiasa memohon dan menghadapkan diri kepada-Nya. Salam Tahun Baru kepada Has suami isteri; semoga kalian sentiasa sihat sejahtera, mendapat hidayah, keredaan dan rahmat Allah. Juga, sentiasa dimurahkan rezeki dan memperoleh kelapangan hidup rohani dan jasmani di dunia dan akhirat nanti, amin ...

    ReplyDelete
  3. Salam Siah. I yg kat rumah ni pun termiss acara sambutan Maal Hijrah di Masjid Ar-Rahman, kat roundabout UM.Kwn tu pegi sorang sbb i migraine , cuba tahan x nak makan ubat - takut kesan pd buah pinggang n maybe liver gak?? Last2 kena mkn gak, x tahan. Takpelah, semua Dia yg tentukan. Anyway Salam Tahun Br kpd u dan semua ahli keluarga. Semoga kita semua menjadi muslim yg lebih byk berbuat bakti kpd-Nya dan sentiasa beroleh keredaan-Nya!

    ReplyDelete
  4. W'salam Shimah ... thanks for your wish, and the same wish goes to you and your family ... I'm very comfortable staying at home ... tak perlu cakap banyak atau dengar banyak perkara ...

    ReplyDelete