Friday, November 18, 2011

Ujian Darah

Berjalan di pantai pada waktu pagi
Sejak hari Ahad yang lalu aku sekeluarga berada di Terengganu. Kami sekeluarga amat gembira. Walau bagaimanapun, semalam kami terpaksa balik kerana pada hari ini, Jumaat, aku perlu pergi ke HKL untuk mengambil darah bagi persediaan kemo pada hari Isnin. Sebelum balik hatiku dah mula kalut memikirkan untuk ambil darah dan menjalani kemo yang keenam, dan terakhir ini. Satu demi satu bayangan muncul dalam kotak fikiranku tentang apa yang bakal aku tempuhi, berdasarkan kemo-kemo yang lalu ... Allahuakbar ...


Anakku Wati memberi dorongan kepadaku ... "Mak kena happy dan  look forward, sebab ini kemo mak yang terakhir...lepas ni mak tak perlu buat kemo lagi dah. Lepas kemo nanti, kita bercuti lagi ke Terengganu pada bulan Desember. Lepas tu, mak rehat-rehat jer, jangan kerja lagi. Dah mak tak kerja lagi, kita plan pergi jalan-jalan" Walaupun apa yang dikatakan oleh Wati tu menggembirakanku, namun jauh di lubuk hati, aku tidak dapat membuang perasaan kalut dan sengsara memikirkan nak tempuh ambil darah dan kemo tu. Aku dah fobia melihat jarum dicucuk pada lenganku dan pada chemoport di dadaku... Aku berdoa semoga Allah mempermudahkan darahku disedut kerana selepas pembedahan, darahku memang susah nak keluar! Begitu juga agar semasa aku menempuhi kemo nanti, Allah akan melindungi dan menghindariku daripada mengalami kesan sampingan selepas kemo ... Adoi, tak larat rasanya nak menempuhi itu semua lagi. Betul kata orang, kalau kita membuat sesuatu, saat-saat akhir itulah yang sangat kritikal!!!


Pada pagi ni, aku keluar rumah pada pukul 9.00 pagi untuk ke hospital, ditemani Abah. Kami saja keluar lewat sedikit untuk menghidari traffic jam pada masa peak hours sebelum tu. Pukul 9.00 pagi sesuai, sebab semua orang yang pergi bekerja dah sampai ke ofis masing-masing; kalau jam pun jam yang berjalan - bukan jam yang melekat!


Sampai di HKL lebih kurang pukul 9.45 pagi, Abah menurunkanku di Jabatan Onkologi, dan dia pergi park kereta. Aku terus masuk ke day care unit, mengambil borang untuk ambil darah dan mengambil nombor ... nombor 1 round yang kedua!!! Aku terus dipanggil untuk diambil darah. Wah, cepat tu... Aku tak berani nak tengok dah. Alhamdulillah, kali ni aku tidak berasa sakit apabila dicucuk, dan darah keluar dengan mudah. Tak sampai 5 minit, semuanya dah selesai, lantas aku menelefon Abah untuk mengambilku semula.  Rupa-rupanya Abah belum sempat pun parking; masih mecari-cari tempat kosong kerana kereta banyak sangat di tempat parking.


Sebelum balik, kami singgah makan Rojak Sotong Istimewa di Jalan Bellamy - tempat aku sejak dulu lagi melepak dengan kawan-kawan masa office break, makan rojak, sebab tempat ni dekat dengan DBP (ofisku). Kami memesan Rojak Sotong Istimewa Bellamy dengan teh tarik. Kami tapau juga makanan untuk anak-anak. Aku rasa takut-takut juga nak makan semua tu, tapi memikirkan hari Isnin sel-sel aku akan dibunuh oleh ubat kemo, mmm... belasah jerlah!!!
 
Rojak Sotong Istimewa Bellamy yang kami pesan, nyum...nyum...

Lepas makan kami balik. Dalam kereta, aku mula rasa mengantuk...ish...mungkin letih perjalanan semalam dan susah nak lena malam tadi. Sampai rumah, aku terus cari bantal ... booom ... rasa penat macam lepas kemo pulak! Ish ... Masa kemo nanti janganlah jadi kerepek (melepek) dan cirit birit ... Walau apapun, aku happy hari ni sebab masa di HKL tak lama dan proses ambil darah berjalan dengan lancar dan cepat ...Tapi, aku tetap takut tengok 'gigi dracula menggigit lengan dan menyedut darahku' ... huhuhu

5 comments:

  1. Insya Allah. Asiah u will be the victor. Kak Ani sendiri terkejut dengan statement ini yg diluahkan oleh seorang anak saudara yang juga seorang pakar ent apabila kak ani menerangkan tentang hasil pet scan. Masa tu Tak perasan yg kak ani sudah lalui liku-liku rawatan m myeloma dan tiba di penghujungnya. Asiah pun sama, dah hampir ke penghujung rawatan dan u are the victor.

    ReplyDelete
  2. Rojak tu nampak best sangat...hope tomorrow and the next 4 days a breeze....

    Has

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah everything went well today, hopefully monday nanti pun sama, insya-Allah!!

    ReplyDelete
  4. Lapangkan fikiran dan jangan fikir yang negatif. Ingat Allah dan banyakkan doa. InsyaAllah semuanya akan berjalan lancar. Kita mesti kuat melawan segala dugaan yg datang. Saya doakan untuk K Asiah.....

    ReplyDelete
  5. Thanks all...saya bersyukur kerana ada orang-orang di sekelliling saya yang sentiasa memberikan sokongan dan mendoakan saya...Alhamdulillah.

    Has, nanti you datang KL, I bawak you gi makan rojak tu ye ... alway miss you when you are in KL.

    Ummu Madihah, take care of yourself supaya tak join geng yang 3 orang kat sini ni...three of us here are cancer survivors.

    ReplyDelete