Thursday, November 10, 2011

Al-Kisah ...

Maka tersebutlah kisah seorang gadis anak bongsu yang suatu ketika dahulu tinggal di kampung, hidup dengan keluarganya yang serba kemiskinan dan kekurangan. Lantas, kemiskinan dan kekurangan itu menyebabkan orang-orang kampong memandang rendah dan hina terhadap keluarga si gadis, dan kadang-kadang rasa tersingkir daripada masyarakat. Itulah lumrah hidup di dunia ini ... yang kaya dan berpangkat dipandang tinggi, manakala yang miskin hidup ibarat melukut di tepi gantang. Namun, gadis itu tetap hidup dengan limpahan kasih sayang daripada kedua ibu bapa (maklumlah anak bongsu), dan dengan keperluan yang mencukupi dalam kehidupan sehari-harian, terutamanya dari segi pendidikan.

Si gadis itu amat menyedari dengan kekurangan dan pandangan orang terhadap keluarganya, lantas menjadi seorang yang selalu berasa rendah diri, dan suka memerhatikan sikap dan tingkah laku orang-orang di sekelilingnya. Dengan kesedaran itu, si gadis berazam akan mengubah keadaan keluarganya dan persepsi orang terhadap keluarganya. Apa yang dapat dilakukan ialah berjaya dalam pelajaran, lantas si gadis berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran, di samping berdoa kepada Allah semoga apa yang dihajatinya dikabulkan Allah. Dengan minatnya suka memerhatikan dan memahami sifat manusia, si gadis bercita-cita untuk menjadi seorang doktor, khususnya pakar psikologi. Si gadis berazam akan menjaga kedua ibu bapanya dengan suasana senang yang tidak dapat dirasai mereka pada ketika itu.

Berkat usaha gigih itu, si gadis telah berjaya dalam pelajarannya hingga ke peringkat Universiti, dan seterusnya dapat menjawat jawatan sebagai seorang pegawai. Begitulah lumrahnya hidup manusia, ... Masyarakat mula memandang tinggi kepada keluarga si gadis, namun pengalaman pahit tidak menjadikan si gadis lupa diri dan berazam untuk sentiasa menanamkan nilai murni di dalam dirinya, dan menunaikan hasratnya selama ini untuk menjaga dan memberikan kesenangan kepada kedua ibu bapanya sehinggalah si gadis membina rumahtangga dengan orang yang dikasihinya sepenuh hati, dengan restu kedua ibu bapa ... sehingga dianugerahi empat orang cahaya mata ...

Walau bagaimanapun, Allah maha pemurah ... Setelah beberapa bulan si gadis mendirikan rumah tangga, bapanya telah meninggalkannya sebelum sempat melihat cucunya yang baru dikandung oleh 'si gadis'.'Si gadis' mengambil alih tanggungjawab menjaga ibunya bersama-sama suami (kerana itulah janjinya kepada diri sendiri dan ibunya), hinggalah ibunya menyusul ayahnya beberapa tahun kemudian. 'Si gadis' amat terasa sangat kehilangan ibu yang dikasihi itu. Namun, daripada Allah kita datang maka kepada Allah jualah kita kembali ...

Aku ... ASIAH ...  itulah 'gadis' dan ' si gadis' itu ...

Untuk menghilangkan rasa kehilangan itu, aku menumpukan perhatian ku kepada kerja, suami dan anak-anak. Pada mula-mula aku bekerja sebagai seorang editor (tidak sebagai seorang doktor - namun tetap ...TOR juga kan!), aku merasa tidak seronok kerana aku seorang yang outdoors dan lebih berminat bekerja di lapangan setelah aku tidak jadi mencapai cita-cita menjadi seorang doktor psikologi. Allah maha pemurah, apabila aku ditugaskan untuk menjadi seorang editor perolehan, yang memerlukan aku keluar membimbing penulis untuk memperoleh judul yang perlu diterbitkan. Aku sangat enjoy berurusan dengan penulis persaorangan, penulis dari Sabah Parks, Jabatan Perikanan, dan yang terakhir aku banyak berurusan dengan penulis dari HUSM. Berurusan dengan penulis dari HUSM lebih banyak mendidikku tentang nilai murni ... Namun, dalam keghairahan dan kemuncak aku dalam karier sebagai editor, mungkin Allah menginginkan aku lebih dekat kepada-Nya, maka Dia memberikan aku ujian penyakit yang digeruni manusia, iaitu KANSER. Bermulalah kehidupanku sebagai seorang cancer survivor, lantas aku memilih namaku dalam blog ini sebagai AsiahRSC, short form Asiah RectoSigmoidCancer

Begitulah kisahnya ...

6 comments:

  1. As salam. Tahniah, dah join the gang! Nice blog, keep it up!!

    ReplyDelete
  2. I tengok blog I macam jakun jer!!! hehehehe

    ReplyDelete
  3. At least you ada blog...keep it up. I follwwwww!

    Faikha

    ReplyDelete
  4. Hehehe...thanks Faikha being with me all this while ...

    ReplyDelete
  5. Says cadangkan kak Asiah tulis kisah hidup Kak Dan terbitkan. Tak sangka bakat penulisan yang mantap. Selalu dok tunjuk ajar kat orang je sekarang kak Asiah buat sendiri. Saya booking dulu buku tu,okay!

    ReplyDelete
  6. Terima kasih Wan ... besar cabaran nak menulis tu! Itu juga yang dicadangkan oleh penulis akak di HUSM tu. Dah selesai rawatan ni dan badan sihat, insyaallah ... mungkin boleh dicuba-cuba

    ReplyDelete