Wednesday, June 20, 2012

Doa untuk Seorang Sahabat

Salah seorang sahabat dari tempatku bekerja telah disahkan menghidap kanser ovari. Semasa aku mula-mula mendengar berita ini beberapa bulan yang lalu, hatiku tidak keruan dibuatnya. Sahabat ini tidak menyangka yang dia menghidap kanser. Beliau menjalani pembedahan kerana masalah ovari, dan apabila dibuat biopsi rupa-rupanya beliau menghidap kanser yang agak advance juga.

Beliau perlu menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kitar. Yang kesiannya, dalam keadaan sahabat ini lemah menanggung kesan rawatan, ramai pula yang memberikan nasihat yang bukan-bukan ... tak boleh makan itu dan ini, tak boleh bergerak banyak, tak boleh keluar ... dan berbagai-bagai macam nasihat lagi, sedangkan semuanya itu adalah perlu untuk pemulihan dan persiapan untuk menjalani rawatan seterusnya. 

Salah seorang sahabatku yang lain menyuruh beliau menghubungiku untuk mendapatkan nasihat dan pandangan, memandangkan aku pun baru sahaja selesai menjalani semua rawatan itu pada hujung tahun lepas. Betapa kesiannya aku apabila beliau menelefonku menyatakan dirinya lemah dan stres kerana berpantang makan dan tidak boleh buat itu dan ini. Aku menasihatinya bahawa dia perlu makan banyak makanan berkhasiat untuk membina semula sel-sel yang telah mati akibat ubat kemo itu (ubat kemonya lebih kuat daripada ubat kemo yang diberikan kepadaku). Perkara ini perlu dilakukan kerana dalam masa 3 minggu kemo seterusnya perlu dibuat lagi.

Aku juga mengatakan bahawa tiada pantang larangnya nak keluar, cuma berhati-hati tidak pergi ke tempat yang sesak dan menghindari persekitaran yang boleh mendatangkan jangkitan. Daripada pengalamanku, dalam keadaan stres menanggung kesan rawatan dan nak menunggu rawatan seterusnya akan memburukkan lagi keadaan diri, terutamanya dari segi emosi. Cara yang baik ialah nikmati hidup ini seperti biasa untuk mengatasi kesengsaraan menanggung kesan rawatan dan menunggu rawatan yang seterusnya. Go out and enjoy yourself, eat whatever you want ... life is beautiful!! Alhamdulillah, sahabatku itu menjadi ceria dan penyakit yang dihidapi bukan penghujung hidupnya untuk menikmati hidup ini bersama-sama keluarga dan rakan-rakan. Semasa cuti sekolah baru-baru ini, beliau sekeluarga pergi bercuti ... Alhamdulillah.

Semasa aku menziarahi beliau pada hari Jumaat yang lalu, beliau kelihatan begitu sihat, ceria dan bersemangat sekali. Kami bercerita panjang tentang penyakit yang kami hidapi ini. Dengan cara itu, akan rasa ringan tanggungan masing-masing ... Beliau menceritakan bahawa melalui pemeriksaan darah (CAE), bilangan sel kansernya mengurang setelah menjalani 3 kitar kemo dan keputusan CT scan juga mengesahkan perkara itu. 

Pada hari ini, sahabatku itu menjalani pembedahan membuang ovari dan uterusnya. Semasa menziarahinya tempoh hari beliau sempat berpesan agar mendoakan agar beliau dipermudahkan dalam urusan pembedahannya, dan sembuh sepenuhnya. Sememangnya, semua penghidap kanser  mengharapkan kesembuhan sepenuhnya kerana tidak mahu penyakit ini berulang lagi (penyakit kanser boleh berulang bila-bila masa jika lalai...). Sebagai seorang yang telah menempuhi semua itu, sememangnya aku mendoakan beliau mudah menjalani pembedahannya dan berharap semuanya berjalan dengan lancar. Semoga kami sama-sama sembuh sepenuhnya daripada penyakit yang kami hidapi ini. Insyaallah, esuk atau lusa aku akan menghubungi sahabatku itu untuk mengetahui perkembangannya selepas menjalani pembedahan. Selamat ya sahabat ... Semoga Allah sentiasa mempermudahkan segala urusanmu, aamiin ...

5 comments:

  1. Salam Siah, siapa yang baru kena kanser ni??

    ReplyDelete
  2. Salam kenal,
    Saya juga bekas pengidap kanser payudara 2008...

    ReplyDelete
    Replies
    1. W'salam, semoga kita semua sembuh sepenuhnya dan penyakit ini tidak akan berulang semula ...

      Delete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. Sahabatku ini telah pergi menyahut seruan Illahi pada tahun lepas

    ReplyDelete