Monday, June 18, 2012

Berkursus Wajib Sebelum Bersara

Pada 11-15 Jun 2012 (Isnin hingga Jumaat), DBP telah menjemputku untuk menghadiri Kursus Latihan Asas Perniagaan. Kursus ini khusus diadakan untuk staf DBP yang akan bersara. Sebelum ini, aku telah menerima surat daripada pihak pengurusan memaklumkan permohonan aku untuk bersara pada tahun 2013 telah diterima dan diluluskan. Apabila menerima surat berkenaan, aku masih berasa was-was juga ... "betulkah permohonanku hendak bersara pada tahun depan ni dan lulus?" Apabila dipanggil untuk mengikuti kursus ini ... ya, permohonanku memang telah diluluskan; menunggu kelulusan daripada pihak JPA sahaja lagi. Jika tidak, sengsara memikirkan nak ke pejabat pagi-pagi dan balik pada petangnya. Apa tidaknya ... memikirkan kesesakan lalu lintas dah cukup letih dibuatnya. Semasa menjalani kursus ini nasib baik aku dapat pergi dan balik menumpang seorang sahabatku yang duduk berhampiran dengan rumahku, dan beliau juga sama-sama mengikuti kursus ini kerana beliau juga akan bersara pada bulan November tahun ini.

Pada hari pertama aku berkursus, ramai dalam kalangan rakan-rakanku ingat aku dah naik kerja. Aku hanya menjawab yang aku naik kerja hingga hari Jumaat! Balik dari berkursus, aku berasa amat letih sekali kerana sudah lama aku tidak duduk di pejabat dari pagi hingga petang. Dah tu, diasak pula dengan ilmu/teori tentang perniagaan dan keusahawanan. Fuh, berasap kepalaku dibuatnya. Pada hari kedua kurang sedikit rasa letih.

Dalam kursus ini banyak juga ilmu yang ku perolehi tentang perniagaan, walaupun banyak juga perkara tersebut telah ku pelajari semasa aku buat MBA dulu. Dan, bila mendengar cerita tentang pengalaman usahawan yang nak berjaya rasa-rasanya aku tak akan berani nak menceburi bidang keusahawanan itu selepas aku bersara nanti. Aku memberitahu rakan-rakan lain bahawa aku bersara hendak berehat dan melakukan kerja-kerja atau perkara-perkara yang aku suka dan minat. Jika aku nak berhempas pulas membangunkan satu perniagaan menjadi seorang usahawan, maka rasanya tak perlu aku bersara - teruskan sahaja dengan kerja aku sekarang dan rebutlah peluang kenaikan pengkat di DBP! Dengan kata lain, apabila aku bersara I want to be a leisure lady ...

Sebenarnya, aku memang suka sangat dengan profesion aku sekarang. Akan tetapi, memikirkan keadaan stres yang akan aku hadapi semasa pergi dan balik kerja, tambah pula dengan kerenah di pejabat maka aku mengambil keputusan bersara. Apabila bersara, aku akan menjadi penterjemah dan penyunting bebas sahaja ... itu pun jika akau rasa nak buat. Jika tidak, aku habiskan sahaja masa dengan keluarga, membaca dan pergi gym.

Memandangkan selepas ini ada lagi kursus yang ditawarkan bagi pesara, aku memilih untuk belajar menjahit. Menjahit memang minatku semasa kecil dahulu. Malahan, aku pernah membuat skirtku sendiri dan sarung bantal. Minatku itu terpaksa aku tinggalkan apabila aku melangkah ke Universiti dan berkerja pula. Mungkin orang lain boleh memenuhi minat mereka semasa bekerja, tetapi tidak dengan diriku. 

Sekarang, sampailah masanya aku kembali memenuhi minatku semula dalam jahitan, tambahan pula upah menjahit baju sekarang begitu mahal sekali. Sekurang-kurangnya jika aku tidak menjahit untuk berniaga, aku dapat menjahit bajuku sendiri dan juga baju anak-anak - jimat bayaran upah menjahit. 

Ilmu yang ku peroleh daripada Kursus Latihan Asas Perniagaan akan aku gunakan kepada anak-anak sahaja kerana mereka punya tenaga dan kudrat yang kuat untuk venture dalam perniagaan. Aku jadi pendorong kepada mereka sehingga mereka berjaya nanti, insyaallah ... Apa yang paling penting sekarang, aku perlu menjaga kesihatan diriku agar penyakitku ini tidak akan berulang semula.

No comments:

Post a Comment