Saturday, June 9, 2012

Sudah 54 Tahun Umurku

9 Jun 2012, diriku berumur 54 tahun
Pada hari ini, genaplah umurku 54 tahun. Dan ... genap jugalah setahun setengah aku telah didiagnosis dengan kanser rektum dan menjadi survivor. Aku bersyukur karana setelah menjalani rawatan aku kembali sihat. Aku sentiasa cuba menjaga pemakanan (kadang-kadang lalai juga), dan melakukan senaman fizikal di gym. Semoga Allah akan sentiasa memberikan kesihatan yang baik kepadaku. Semoga penyakit kanserku ini tidak berulang lagi.

Sebenarnya, aku lupa juga tentang hari lahirku sehinggalah anak-anakku menyebutnya. Semasa bangun solat subuh pada pagi ini, kepalaku terasa berat sekali lalu selepas selesai solat aku tidur semula sehinggalah rasa sakit berkurang sedikit. Apabila dah rasa kurang sedikit barulah aku bangun dan mengisi perut.

Selepas solat zohor, aku anak-beranak ke Alamanda, Putrajaya. Anak lelakiku Zafhri telah membeli tiket wayang cerita Madagascar 3. Kami berlima sahaja kerana abah berada di laut dan akan naik ke darat semula pada hari Rabu yang akan datang. Memandangkan hari ni hari Sabtu, agak ramai pengunjung di Alamanda. Di pawagam pun begitu juga, dan ramai ibu bapa membawa anak-anak mereka menonton filem ini. Filem ini memang menarik dan menghiburkan, apa lagi bagi kanak-kanak. Kira-kira kami ni pun kanak-kanak jugalah; kanak-kanak dewasa. Rasa-rasanya kalau 3D lagi menarik.

Selesai menonton, kami singgah minum di Old Town White Coffee. Semasa menuju ke kereta, tiba-tiba Yana dan Wati hilang. Ingatkan ke mana, rupa-rupanya mereka senyap-senyap menyelinap membelikanku sepotong kek Secret Recepi. Di dalam kereta pula, Zafhri mengatakan bahawa dia belanja menonton wayang sebagai hadiah hari jadiku. Terima kasih anak-anakku atas ingatan kalian dan tanda kasih kalian kepadaku ...

Sebenarnya, aku tidak mengharapkan apa-apa sangat pada hari jadiku ini. Apa yang diharapkan ialah  Allah sentiasa memberikan keimanan, kesejahteraan, kebahagian dan kesihatan yang baik buat diriku dan keluargaku. Semoga aku sekeluarga sentiasa mendapat limpah kurnia, rahmat, hidayah, barakah dan rezeki daripada Allah SWT. Semoga Allah sentiasa memelihara dan melindungi kami sekeluarga di dunia dan akhirat, amin .... Doa dan harapan yang sama ditujukan kepada adik iparku, Shaifullizan (Apol), yang kebetulan sama hari lahir dengan ku ...

Terima kasih kepada semua yang telah memberikan ucapan kepadaku

No comments:

Post a Comment