Sunday, July 15, 2012

Majlis Doa Selamat dan Tahlil

Semalam, hari yang seronok buat aku dan keluarga kerana kami telah dapat bersolat jemaah Maghrib beramai-ramai, diikuti dengan majlis tahlil/doa selamat. Sememang tepat masanya, kami jadikan ini sebagai majlis menyambut kedatangan Ramadhan yang mulia juga. 

Sebenarnya telah lama kami sekeluarga hendak mengadakan majlis tahlil/doa selamat dan kesyukuran ini setelah pelbagai peristiwa aku sekeluarga hadapi sejak tahun lepas, tetapi asyik tertangguh sahaja. Pada tahun lepas aku disahkan menghidap penyakit kanser dan selamat menjalani semua rawatannya, anak lelaki terselamat  (tanpa mengalami apa-apa) dalam kemalangan kereta yang dipandunya walaupun keretanya mengalami total lost, anak bongsuku berjaya dalam SPM dan selamat menjalani kursus PLKM (kini telah mula belajar di UNITEN), anak sulungku bertambah rezeki dalam kerja lukisan komiknya dengan clients dari oversea dan anak lelaki semakin bertambah rezeki serta maju dalam bidang perniagaan makanan yang diceburi dan diminatinya. 


Akhirnya, suami dan adik-beradiknya merancang mengadakannya majlis dengan cara pot luck. Masing-masing masak dan membawa masakan lauk mereka ke rumahku. Ibu mertua membawa gulai tempoyak daun, biras (Ju) bawak ikan tilapia untuk digoreng/bakar, biras (Azie) bawa daging kering masak lemak, biras (Umi) bawa ayam yang telah di perap dengan rempah untuk digoreng di rumahku kerana dia terpakasa pergi kerja, biras (Ina) bawa ikan masak asam pedas dan biras (Wati) bawa kuih-muih minum petang kami sekeluarga dan buah. Aku sebagai tuan rumah, masak nasi, sayur togeh goreng dan ikan bakar. Selain itu, aku menempah cup cakes.

Memandangkan ibu mertua dan keluarga dari kampung akan datang pada paginya, maka pagi-pagi semalam aku megukus pulut kuning dan sambal tumis ikan bilis untuk menjamu mereka sementara kami mebuat semua persediaan untuk jamuan pada malamnya. Apabila ibu mertua dan keluarga dari kampung sampai, kami buat kuih koci dan sepang goreng, sedap ...

Menjelang Maghrib, semua sudah sedia diletakkan di atas meja dan tetamu yang dijemput sampai untuk sama-sama berjemaah solat Maghrib. Rezeki kami lagi, apabila kakak datang membawa pulut kuning lagi dan seorang sedara dari kampung datang membawa lauk ikan keli goreng berlada. Alhamdulillah ... Apabila masuk waktu Maghrib anak sedara yang masih bersekolah rendah melaungkan azan yang begitu merdu sekali (sejuk perut ibu yang mengandungkannya). Selesai solat Maghrib, kami terus membaca Yassin dan bertahlil beramai-ramai. Sementara menunggu Isya', sempat lagi aku dan biras semua memberikan final touch pada hidangan di atas meja. 

Selesai Isya', semua menyerbu pada meja hidangan ... Masing-masing dah lapar agaknya. Begitu meriah sekali suasana kerana masing-masing nampak begitu enak menikmati hidangan kerana lauk-lauk yang dihidangkan semuanya ialah masakan kampung. Akhir-akhirnya, semua selesai cukup-cukup. Cuma nasi, pulut dan ikan bakar yang berlebih. Alhamdulillah, nasi boleh digoreng nanti. Sementara aku dan suami melayan tetamu terakhir, biras dan anak-anak semua menyelesaikan barang-barang di dapur. Apabila tetamu balik barulah kami kemaskan semuanya. Alhamdulillah, semua selesai lebih kurang pukul 12 malam. Begitu letih dan mengantuk rasanya, tetapi amat seronok. Hari ni terasa juga letihnya lagi, tetapi tengah hari kami perlu pergi ke majlis perkahwinan anak jiran yang diadakan di club house. Petang, dah boleh berehat ...

Alhamdulillah, Alhamdulillah ... Syukur atas segala nikmat dan rezeki yang Allah berikan kepada aku sekeluarga. Terima kasih kepada mertua, adik ipar dan biras semua yang begitu baik dan membantu ... Terima kasih juga juga kepada anak angkatku dari Banting yang banyak membantu membakar ikan. Lebih-labeih lagi terima kasih kepada guru mengaji adik ipar (menjadi imam) dan rakan-rakannya yang telah membimbing bacaan Yassin dan tahlil. Kami becadang untuk mengadakan majlis seperti ini bergilir-gilir untuk mengeratkan kemesraan dan hubungan silaturrahim adik-beradik dan sedara-mara, insyaallah ...

4 comments:

  1. Meriah sungguh menu-menunya....
    Alhamdulillah Kak Asiah, suasana kekeluargaan yang membuatkan kita rasa bahagia kan?

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah dan insyaallah ...

    ReplyDelete
  3. Alhamdullilah, Shuib tahlil di Lumut, manakala saya pekena seafood di Marina Cove Seafood restaurant..Selamat menyambut Ramadan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Selamat menyambut Ramadhan juga kepada Dr. H dan suami ...

      Delete