Monday, February 6, 2012

Win The Battle As Well As The War

Sudah lebih 2 bulan aku selesai rawatan. Insyaallah, aku berasa sangat sihat. Harap-harap di dalam pun begitu jugalah hendaknya. Harap-harap tiada sel-sel hantu yang aktif kembali. Harap-harap sel-sel hantu tu tidur, tak bangun-bangun lagi. Yup, dalam keadaan sekarang, bolehlah dikatakan seperti kata orang putih, I had won the battle against the treatment.  

Walau bagaimanapun, kita boleh mencapai kemenangan, tetapi untuk mengekalkan kemenangan itu yang sangat mencabar dan agak sukar. Secara peribadi, dan juga terdapat dalam pelbagai jurnal dan artikel, penghidap kanser MESTI berhati-hati dan menjaga banyak perkara dari aspek fizikal dan mental. Secara peribadi, ku rasa bukan penghidap kanser sahaja, malah pelbagai penyakit lain juga. 

Seorang sahabat memaklumkan bahawa 6 bulan hingga 1 tahun pertama selepas rawatan kemo ialah tempoh yang kritikal. Oh, kecut juga perutku mengetahuinya, kerana selepas rawatan aku seperti hilang punca ... tiada prescription atau apa-apa panduan daripada Dr. Aku rasa at lost! Apa yang tersemat di dalam hati ialah aku rasa sembuh selepas rawatan dan berhati-hati; not to the extent, critical! Padaku, untuk mengekalkan kesihatan, aku terus mengamalkan diet seperti biasa (minus daging), tetapi kena ambil lebih sayur dan buah-buahan, serta menghidarkan diri daripada mengambil makanan dan minuman yang memudaratkan, seperti makanan dalam tin. 

Rupa-rupanya, apa yang aku buat itu tak berapa betul. Aku perlu mengubah diet yang biasa ku ambil - yang ku panggil selera kampung, iaitu banyak mengambil karbohidrat/lemak - atau meninggalkannya terus! Oh, itulah yang paling mencabar buatku ... Perutku ini dah biasa sangat mengambil makanan berat pada waktu pagi dan petang - mesti diisi dengan nasi atau yang seumpamanya! Sekarang, aku kena ambil sayur dan buah melebihi yang lain - jadi kambing dan monyet! Aku boleh meninggalkan daging dan mengambil buah. Tapi, nak ambil sayur, gitu-gitu jer. Allahuakbar ...

Aku memang cuba menukar dietku dengan mengambil buah pada waktu pagi di samping jus hijau dan bahan antioksida. Tapi, perut kampungku ni memang tak begitu tahan. Sampai sakit kepala, dan down dibuatnya. Well, I must know myself better and understand the signals given by my body. Aku perlu melakukannya dengan perlahan-lahan, bukan secara mendadak. Aku terpaksa mengambil makanan yang berat juga pada waktu pagi dan tengah hari, tapi pada kuantiti yang sedikit - tidak boleh seperti biasa. Petang dan malam barulah ambil buah/sayur. Harap-harap dalam masa terdekat ni, aku boleh berubah terus kepada diet buah dan sayur tu ... Kena transformasi diri ... makan sayur lauk nasi, dan bukan lagi makan nasi lauk sayur! Akhir-akhir nanti ... lantak sayur dan buah!

Tak cukup dengan perubahan diet, senaman juga perlu dilakukan. Daripada artikel dan jurnal, senaman berjalan adalah baik. Setakat ini, belum dapat aku nak mendisiplinkan diri melakukan senaman berjalan tu. Aku banyak berpeluh dengan kerja-kerja rumah. Dalam masa yang terdekat ni pula berkebun bersama-sama suami di kampung setiap kali beliau balik dari laut, dan berkebun di tanah sekangkang kera kami di kediaman sekarang. Huh! Memang seronok sebab menitik-nitik peluh dibuatnya. Aku tak nak bercakap tentang aspek rohani ... Aspek kerohanian merupakan satu kemestian untuk ketahanan serta kesembuhan, dan yang paling utam lebih mendekatkan diri kepada Pencipta.

Apa yang dapat disimpulkan ialah aku sedang dalam proses picking up, dan insyaallah secara fizikal memang sangat sihat. Dari segi mental, sesekali masih goyah lagi. Yang paling ketara, I miss my carrier life but not ready to go back to work. Rasanya belum sanggup nak menempuh stres pergi dan balik kerja, dan menghadapi suasana di ofis. Anyway, I think I have my way out in my own way. God will... my intuition says that I can make it very well ... Insyaallah

Tuesday, January 24, 2012

Ulang Tahun Pertama Pembedahan

Diam tak diam, rupanya sudah setahun berlalu aku didiagnosis, dan dibedah untuk membuang midrectumku yang telah diserang kanser. Alhamdulillah, semuanya telah berjalan dengan lancar dan sempurna. Masa nilah agaknya (24 Jan 2011, jam 11.30 pagi) perutku ditoreh, rektumku dipotong dan dianalisis oleh pakar bedah.

Bila difikir-fikirkan balik, tak percaya aku telah menempuhi semua itu (yang tidak pernah terlintas dan terbayang di fikiranku sebelumnya). Allah Maha Besar ... semua yang berlaku atas kehendak dan keizinan-Nya jua. Semasa menempuhinya, memang sakit. Akan tetapi, apabila semuanya telah selesai sekarang ini, aku dapat merasai akan kebesaran dan hikmah Allah atas segala apa yang berlaku. Aku bersyukur atas segala apa yang terjadi. Ia merupakan pengalaman dan nikmat yang sangat berharga dalam hidupku. Tidak semua orang dapat merasainya dan akan amat gerun jika ditakdirkan merasainya.

Jika perkara ini tidak berlaku, mungkin aku masih lalai dengan diri, pemakanan dan gaya hidupku. Dan kini ... kepekaan dan pemahaman tentang kehidupan dan kesengsaraan orang lain menempuhi hidup ini meningkat dalam diriku, terutamanya kepada mereka yang sekapal denganku. Aku mudah tersentuh dengan apa-apa yang berlaku di sekelilingku. Ya Allah ... aku bersyukur ... aku bersyukur ... dengan nikmat yang diberikan ini.

Begitu juga dengan hubungan kekeluargaan ... Sejak aku didiagnosis, kami sama-sama menghadapi segala kemungkinan, maka hubungan dan kasih sayang kami antara satu sama lain bertambah erat (sebelum ini pun memang erat). Aku amat bersyulur kerana dianugerahi sebuah keluarga yang sangat sempurna buatku. Itulah perancangan Allah. Segala apa yang diberikan kepada umat-Nya penuh dengan kebaikan. Mereka yang berfikir sahaja dapat melihat dan merasainya. Perkara ini sukar hendak dijelaskan ... hanya mereka yang telah menempuhinya sahaja yang faham.

Apa yang diharapkan sekarang semoga Allah mengizinkanku dapat meneruskan hidup ini bersama-sama keluargaku tanpa berulangnya kembali penyakit ini. Kesian melihat suami dan anak-anak yang begitu prihatin dalam penjagaan terhadap diriku. Aku sendiri tidak sanggup lagi nak menempuhi rawatan dan kesan rawatan itu, walaupun rawatan yang telah ditempuhi sangat ringan berbanding dengan yang ditempuhi oleh rakan-rakanku dan penghidap kanser yang lain. Memang aku jenis yang tak tahan ...

Aku sentiasa berdoa agar Allah menyembuhkan penyakitku ini sepenuhnya, dan tidak berulang lagi.  Doa ini juga dipanjangkan kepada sahabat-sahabatku dan mereka yang sekapal denganku.  Semoga Allah tidak menimpakan penyakit ini kepada anggota keluarga, sanak-sedara dan sahabat-sahabatku yang lain kerana nak menghadapinya memerlukan kekuatan rohani dan jasmani. Doaku juga mengiringi sahabat dan mereka yang telah kembali ke pangkuan Illahi akibat penyakit ini. "Daripada Allah kita datang, kepada Allah juga kita kembali". Semoga kita semua sentiasa siap sedia untuk dipanggil kembali menemui-Nya ... Aminn ...

Terima kasih yang tidak terhingga kepada...
semua mereka yang telah merawatku, 
 suami dan anak-anak yang telah menjagaku dengan sebaik-baiknya,
ibu ayah mertua, adik-beradik, sedara-mara dan sahabat handai yang telah medoakanku dan memberikan dorongan serta semangat kepadaku ...

Budi dan jasa baik kalian sentiasa dikenang hingga ke akhir hayatku
Kalian sentiasa dalam doaku semoga kalian diberikan kesihatan yang baik, kesejahteraan dan kejayaan rohani dan jasmani di dunia dan akhirat

Semoga kalian sentiasa terbuka hati untuk memberikan bantuan kepada orang-orang memerlukan

... AMIN ...


Sila klik link ini untuk menikmati lagu "RAHMAT UJIAN"
http://www.youtube.com/watch?feature=player_detailpage&v=_esEAJGhyn8





Wednesday, January 11, 2012

Pemeriksaan Susulan

Hari ni merupakan pemeriksaan susulan yang pertama selepas semua rawatan kemo dan radio selesai. Sebelum tu, pada hari Isnin aku pergi ke klinik untuk membuat pemeriksaan darah. Dengan itu, aku tak perlu membuat pemeriksaan darah di HKL, yang pastinya mengambil masa yang lama (ambil darah dan tunggu keputusannya).

Aku menjangkakan pada hari Selasa keputusan akan diperolehi, tetapi Pathlab belum selesai dan menghantarnya ke klinik. Maka, pagi tadi sebelum ke HKL, aku singgah untuk mengambil keputusan ujian darah. Harap-harap adalah. Alhamdulillah, Pathlab fakskan keputusan tu ke klinik dan dapatlah aku bawa ke HKL untuk berjumpa oncologist. Hey, letihnya fikir nak pergi dan tengok HKL tu lagi ... Nasib baik pergi untuk buat pemeriksaan jer. Kalau untuk kemo, sahlah aku tak nak pergi lagi - lari!!! So, pergilah ditemani Wati ...

Melihat pada keputusan ujian darah tu, alhamdulillah ... semuanya ok, cuma kolesterol agak tinggi. Banyak sangat makan durian agaknya! Tak apalah, keputusan itu perlu dibincangkan dengan oncologist untuk mendapatkan penjelasan yang lebih lanjut, berkaitan dengan penyakitku.

Meneliti keputusan itu, oncologist telah menandakan unsur-unsur yang kritikal dalam keputusan ujian darah tu, yang semuanya ok:
        
HAEMATOLOGY
     Haemoglobin     12.7 (julat: 11.5 - 16.5)
     Platelet count      266 (julat: 150 - 400)
     WBC                  3.6  (julat: 4.0 - 11.0)
Menurut oncologist, walaupun WBC rendah sedikit tetapi Neutrophil ok, iaitu 55 (julat: 40 - 75)

LIVER FUNCTION TESTS (LFT)
     Total biliribun     13  (julat; <26)
     SGPT (ALT)       11  (julat: 0 - 53)

CAE     <0.5  (<5.0)
CA 19.9 (Pancreas)   4.3   (julat: <37.0)
CA 15.3 (Breast)       13.3 (julat: <28.0)
CA 125 (Ovary)        6.9   (julat: <35.0)

Yang lain-lain, semua ok kecuali yang berikut:

LIPID PROFILE
     Total cholesterol    7.2    (julat: 5.2)  - Tinggi
     HDL Cholesterol   1.10  (julat: >1.04)
     LDL  Cholesterol   4.6    (julat: <2.6) - Tinggi
    Triglycerides          3.2    (julat: <1.7)  - Tinggi
     Total/HDL Ratio    6.5    (julat: <5.0) - Tinggi

Hohoho ... tinggi yooo ... Oncologist suruh aku makan ubat kolesterol yang dibekalkan oleh doktor di klinik. Memang dari dulu, aku memang dah makan ubat kolesterol tu. Akan tetapi, semasa menjalani kemo tempoh hari, daripada keputusan darah, LFT dan ESR menunjukkan keputusan yang amat buruk, lantas aku berhenti daripada mengambil ubat tu ... Takut jugak, dahlah dulu lungs ada patch (walaupun disahkan bukan kanser), ni liver pulak macam tu ... Seram mak cik dibuatnya!!! Gerun, gerun sebab bagi kanser kolorektal, the next organ it will go is liver, then lungs ... huhuhu ... Janganlah, janganlah ...

Aku juga bertanyakan tentang chemoport yang masih tertanam lagi kat dada ni, kalau-kalau oncologist kata boleh keluarkan, tapi oncologist kata buat flushing pada janji temu yang akan datang pada bulan Mach. Well, aku akur jer, dan minta MC hingga janji temu yang akan datang.

Keluar dari HKL, aku terus ke DBP untuk menghantar MC dan urusan-urusan lain yang berkaitan di pejabat. Selesai, kami balik rumah. Lepas solat Zohor keluar ke Jusco pula nak cari buah dan sayur sikit. Selain tu, nak beli Spirulina di kedai HNF sebagai supplement tambahan. Daripada artikel yang ku baca di majalah iSihat, Spirulina ni telah membantu seorang kanak-kanak sembuh daripada kanser otak. Sebagai salah satu usaha, aku nak cuba jugalah sebab bila aku tanya kepada oncologist sama ada hospital akan memberikan aku ubat tertentu untuk aku, oncologist kata tak ada. Maka, segalanya terpulang kepadaku untuk mencari ikhtiar sendiri. I have to find my own self healings. Semoga tidak berlaku recurrance ...

Tablet spirulina yang perlu ditelan sebanyak 5-10 buji pagi dan malam
Yang bestnya, hari ni aku jumpa satu rak sederet panjang semua makanan organik (sebelum ni tak ada). Wah, tak perlu aku pergi sampai ke KL mencari makanan dan sayur organik. Semua dah ada di Jusco berhampiran rumahku, Alhamdulillah ....

Monday, January 2, 2012

Tahun Baru yang Belum Baru Buatku

Hari ni hari kedua tahun baru 2012, mengikut kalender Gregory. Kalau mengikut kalender Hijri, hari ni ialah 8 Safar 1433, iaitu dah sebulan lebih dari tahun baru Islam! Hai...nasib orang Islam, terpaksa mengikut kalender 'Mat Salleh' tu, sampaikan kita sendiri orang Islam lupa tarikh mengikut kalender Islam (aku pun tidak terkecuali). Nasib baik banyak kalender kita ada menyatakan tarikh mengikut kalender Hijri juga, Alhamdulillah ... dapatlah kita merujuknya.

Ramai antara kita yang telah menanamkan azam dalam diri sendiri apa yang hendak dilakukan pada tahun baru ini. Aku pula ... menempuhi kejutan yang kedua. Kejutan yang pertama ialah semasa aku didiagnosis dengan penyakit kanser. Kini, kejutan yang kedua ialah selepas aku selesai menjalani rawatan utama untuk penyembuhan penyakitku ini.

Semasa menempuhi kejutan yang pertama, aku bingung memikirkan rawatan-rawatan yang akan ku lalui. Memandangkan aku tidak pernah duduk hospital menempuhi rawatan penyakit yang serius, kecuali semasa melahirkan anak (itupun nak cepat balik bila telah selesai melahirkan), maka tidak dapat ku bayangkan untuk menempuhi pembedahan, rawatan kemoterapi dan rawatan radioterapi, atau apa-apa rawatan yang berkaitan ... huh! Keresahan dan ketakutan memang tak boleh nak katalah ... Berserah jerlah kepada Allah, kerana semua itu ditentukan oleh-Nya. Aku juga memegang kata-kata sahabatku Has ... ikut jer arus. Alhamdulillah, semuanya dah selesai. Iya ke dah selesai ... entahlah ... Kepastian yang tidak pasti juga.

Kini, kejutan kedua selepas selesai rawatan, aku tiada apa-apa rancangan lagi untuk masa depanku. Dulu, bila sampai masa begini, aku berazam untuk melaksanakan tugasanku dengan lebih baik daripada tahun sebelumnya, sama ada orang menghargainya ataupun tidak, kerana yang utamanya ialah menjalankan amanah di muka bumi ini. Apabila memikirkan kerja, aku sangat berminat dan enjoy dengan tugasku sebagai editor perolehan, yang membolehkan aku bertemu dengan bakal-bakal penulis dan memberikan penerangan serta membimbing mereka untuk menulis sehingga buku mereka diterbitkan. Sekurang-kurangnya, aku tidak ada ilmu yang mencukupi untuk menghasilkan karya seperti penulis-penulisku, tetapi aku dapat juga 'saham' membantu menyebarkan ilmu mereka melalui penerbitan yang aku uruskan bersama-sama rakan-rakanku. Itu sudah cukup memberikan kepuasan kepadaku.

Dalam keadaan sekarang, aku harus memberikan tumpuan utama kepada kesihatanku dahulu. Disiplin pemakanan dan senaman harus dijaga ... Lepas tu??? Sebelum ni, apa yang difikirkan ialah bersedia untuk menghadapi rawatan yang berikutnya. Sekarang, hanya memikirkan janji temu susulan sahaja dengan doktor, dengan harapan tiada apa-apa yang mencemaskan muncul. Nampak gayanya keadaanku seperti dalam fasa 'mengeram'. Aku harus memikirkan dengan semasak-masaknya keputusan yang akan aku ambil kerana ia melibatkan kehidupanku dan keluargaku hingga sampai masa aku kembali kepada Pencipta. 

Rasa-rasanya aku nak pencen awal sahaja, apa lagi keluargaku memang menyuruh aku berehat sahaja setelah berkerja seperti 'tak ingat dunia' sebelum ni. Untuk berehat tu, mesti difikirkan juga apa yang nak dibuat. Kalau tak, lagi cepat juga aku 'direhatkan' nanti, walaupun ajal dan maut di tangan Allah. Kalau nak diikutkan, memang aku tak nak pencen awal, walaupun sesekali tu terfikir kalau duduk rumah kan ke best! Kepuasanku melaksanakan tugasku memang tidak dapat nak dijelaskan - hanya mereka yang sama-sama bertugas sepertiku dan telah melaksanakannya dengan yang terbaik sahaja yang faham dan dapat merasainya. 

Atas alasan tertentu yang tidak dapat ku jelaskan di sini pula, menyebabkan aku berfikir nak pencen awal. Jika aku teruskan juga hasratku nak bekerja, akan cepat juga aku 'direhatkan'. Kalau 'direhatkan' terus tak apa, tapi kalau terpaksa menempuhi kembali apa yang telah aku tempuhi pada tahun 2011, atau mungkin lebih teruk lagi... Hush, tak mahu, tak mahu lagi!!!

Biarlah aku 'mengeram' dulu beberapa bulan ni ... give all the time to myself, enjoying what I like to do ... all the time with my family - spend my time with them - travelling with them enjoying and appreciate the nature. Sejak aku sibuk sangat dengan kerja-kerjaku, agak terhad masa kami dapat travel bersama-sama. Apa taknya,  anakku ada yang masih bersekolah dan ada yang sibuk dengan pengajian di kolej. Suamiku, 2 minggu di pelantar dan masa dia berada di darat masa tulah pulaklah aku perlu mengaturkan tugas luar supaya anak tidak terabai di rumah semasa ketiadaanku... Apatah lagi setelah aku mula didiagnosis dan menjalani rawatan dari semasa ke semasa. Baru kinilah kami dapat bersama-sama semula menempuhi detik-detik yang menjadi minat kami sekeluarga ... travelling and appreciate the nature. Nak travel ke luar negara tu, kami segerombolan ni memang tak mampu - cukuplah dalam negeri, dan sudah memadai bagi kami sekeluarga. What most important is we have our quality time together! ... Memikirkan situasi tersebut, sekarang aku memang perlukan masa ... mengeram pun mengeramlah dulu ...

Friday, December 30, 2011

Diet ...


Setelah beberapa hari balik dari bercuti barulah hari ni aku berkesempatan nak pergi ke supermarket untuk mencari sayur dan barang-barang lain keperluanku yang telah habis dan tinggal sedikit. Setelah bersiap-siap dan nak keluar, muncul pula kakak bersama-sama cucunya menziarahiku. Kenalah layan cucu sedara dulu sebelum keluar. Dah terlanjur begitu, aku pun mengajak kakak pergi ke supermarket sekali. Sebelum tu, kami makan dulu di Old Town White Coffee, sambil melayan cucu sedara yang comel tu. Lihat jerlah betapa comelnya si dara kecil ni ...

Comel ...
Bulatnya mata

Makan macam orang tua ... semua dia nak
Selesai menjamu selera, kami pun masuk ke Jusco untuk membeli keperluan masing-masing (lupa pulak nak snap gambar si kecik ni naik trolley, dan menolak trolley). Aku pun memboronglah sayur-sayur organik yang ada dijual di situ. Nasib baik Jusco ni ada jual sayur organik. Sayur organik ni pun tak boleh juga beli banyak-banyak, sebab simpan lama cepat rosak pula. Tapi, tak apa sebab tempat ni dekat dengan rumahku.  Kalau tak kenalah aku pergi ke Bangsar Shopping Complex, Alamanda atau Mega Mall - jauh. Kakak dah tak larat nak layan kerenah cucunya, dan balik dulu. Aku pula singgah di kedai NHF (Natural Health Farm) untuk membeli supplements, antioxidants dan barang-barang lain yang rasanya perlu untukku. Alhamdulillah, ada kedai ni kat sini. 

Sejak habis kemo ni, aku rasa risau juga dengan pemakanan hari-hari. Yelah, sebelum ni bila makan tu, ada rawatan kemo lagi rasa confident sikit. Bila anak tegur, aku akan cakap "tak pe, lepas ni racun ubat kemo bunuh balik". Tapi sekarang kalau makan tak menentu, cari nahas jawabnya. Tak bolehlah makan nak mengikut nafsu dan kena disiplin jaga makan. Exercise pun belum betul-betul buat lagi ni ... cuma berkemas rumah dan buat exercise ringan lebih kurang 15 atau 20 minit saja pada waktu pagi. Ish, ish ... tak boleh jadi ni. Tahun baru kena azam betul-betul exercise dan makan banyak makanan anti-kanser!

Selama lepas kemo ni, tiap-tiap pagi aku minum teh susu atau milo, dan telur bersama-sama roti atau nasi goreng. Rasanya tak berapa bagus juga tu. Ada teh hijau dan teh herba, tak cuba lagi (sebelum ni minum teh organnik keluaran Amway). Aku pun belilah Oat Milk Energy untuk aku ambil pada waktu pagi nanti, atau bila-bila masa nak alas perut. Selain itu, untuk rasa lebih confident sikit aku beli Bio Rex, yang menurut kata pemilik kedai tu, ia merupakan antioxidant untuk sel dan tisu (membuang toksik pada tisu dan sel). Setakat ni, aku mengambil Bio Organix saja sebagai antioxidant kolon (pembersih/buang toksik dalam kolon dan menjadi supplement juga). 

Sekarang pun, dah lama juga aku tak minum jus epal + carrot + celery tiap-tiap pagi. Hey, kena buat balik! Tak boleh malas-malas dah. Kang relapse, padan mukaku kena buat rawatan kemo lagi; lebih-lebih kalau berlaku rebakan ke bahagian lain organ pulak (metastasis)! Huish, janganlah ... tak sanggup lagi nak pergi ulang-alik ke hospital, kena bedah dan kena cucuk sana-sini! Harap-harap apa yang aku makan, minum dan exercise, dapat mencegah berlakunya relapse. Setakat ini, makanan dan minuman yang aku ambil ini harap-harap memberikan kebaikan kepadaku. Selamat beradulah sel-sel kanser, dan jangan bangun lagi!
Baru nak cuba ni. Harap-harap kena dengan selera
Dah beli sebelum ni, tapi tak minum lagi
Dah amalkan minum air campuran tiga serangkai ni beberapa bulan
Jus untukku
Dah lama juga tak minum ni ... kena minum balik
Baru nak cuba biskut ni 
Dah beberapa bulan juga gunakan manisan ni, pengganti gula
Supplement dan juga pembuang toksik dalam kolon
Baru nak cuba, antioksidant membuang toksin dalam sel dan tisu
Nak cari telur ayam kampong susah, kena ambil telur ni
Minyak masak untukku
Sayur-sayurku ... yang organik
Antioksidant semula jadi dan buah-buahanku 

Pemilik kedai HNF tu mencadangkan aku mengambil Spirulina untuk mendapatkan lebih protein pengganti daging. Aku tak beli dan tak nak cuba lagi, sebab rasanya dah banyak benda-benda yang aku ambil, kang overdose pulak. Nantilah ... Selain daripada bahan-bahan yang aku paparkan di atas tu, aku juga mula mengambil black seed, yang diberi oleh sahabatku (terima kasih Shimah), dan black seed oil daripada sahabat juga, yang dititiskan dalam minuman (terima kasih Dr. Nik).

Sebelum ni pun mak sedara ada memberiku buah Raja Satong untuk direbus dan diminum airnya, yang menurutnya memang anti-kanser. Daripada pencarianku di internet memang buah ini bagus untuk pesakit kanser, dan penyakit-penyakit lain (tak ingat penyakit apa). Sahabatku Has juga mencadangkan aku mengambil daun Bismillah (daun afrika), daun pecah beling, daun pegaga dan beberapa herba yang lain. Sebelum ini, memang aku selalu minum air rebusan daun Bismillah dan teh daun pecah beling. Tetapi, apabila aku menjalani rawatan kemo, aku berhenti mengambilnya. Kenapa? Sebab pada kemoku yang terakhir hari tu sel darah putihku rendah - takut berlaku interaksi herba dengan ubat kemo, yang mungkin boleh memudaratkan. Memandangkan telah sebulan aku selesai rawatan kemo, mungkin aku boleh mula mengambilnya semula.

Semua ini hanyalah sebagai ikhtiar, dengan harapan semua itu akan membantuku 'menidurkan' sel-sel kanser, dan tidak memudaratkanku lagi ... Tapi, yang paling penting lagi ialah aku tidak boleh berputus asa dengan rahmat Allah; sentiasa memohon dan menghadapkan diri kepada Allah SWT, kerana semua yang berlaku atas kehendak dan izin-Nya jua. Segala yang berlaku ada hikmah dan rahmat-Nya, insyaallah ...