Tuesday, January 24, 2012

Ulang Tahun Pertama Pembedahan

Diam tak diam, rupanya sudah setahun berlalu aku didiagnosis, dan dibedah untuk membuang midrectumku yang telah diserang kanser. Alhamdulillah, semuanya telah berjalan dengan lancar dan sempurna. Masa nilah agaknya (24 Jan 2011, jam 11.30 pagi) perutku ditoreh, rektumku dipotong dan dianalisis oleh pakar bedah.

Bila difikir-fikirkan balik, tak percaya aku telah menempuhi semua itu (yang tidak pernah terlintas dan terbayang di fikiranku sebelumnya). Allah Maha Besar ... semua yang berlaku atas kehendak dan keizinan-Nya jua. Semasa menempuhinya, memang sakit. Akan tetapi, apabila semuanya telah selesai sekarang ini, aku dapat merasai akan kebesaran dan hikmah Allah atas segala apa yang berlaku. Aku bersyukur atas segala apa yang terjadi. Ia merupakan pengalaman dan nikmat yang sangat berharga dalam hidupku. Tidak semua orang dapat merasainya dan akan amat gerun jika ditakdirkan merasainya.

Jika perkara ini tidak berlaku, mungkin aku masih lalai dengan diri, pemakanan dan gaya hidupku. Dan kini ... kepekaan dan pemahaman tentang kehidupan dan kesengsaraan orang lain menempuhi hidup ini meningkat dalam diriku, terutamanya kepada mereka yang sekapal denganku. Aku mudah tersentuh dengan apa-apa yang berlaku di sekelilingku. Ya Allah ... aku bersyukur ... aku bersyukur ... dengan nikmat yang diberikan ini.

Begitu juga dengan hubungan kekeluargaan ... Sejak aku didiagnosis, kami sama-sama menghadapi segala kemungkinan, maka hubungan dan kasih sayang kami antara satu sama lain bertambah erat (sebelum ini pun memang erat). Aku amat bersyulur kerana dianugerahi sebuah keluarga yang sangat sempurna buatku. Itulah perancangan Allah. Segala apa yang diberikan kepada umat-Nya penuh dengan kebaikan. Mereka yang berfikir sahaja dapat melihat dan merasainya. Perkara ini sukar hendak dijelaskan ... hanya mereka yang telah menempuhinya sahaja yang faham.

Apa yang diharapkan sekarang semoga Allah mengizinkanku dapat meneruskan hidup ini bersama-sama keluargaku tanpa berulangnya kembali penyakit ini. Kesian melihat suami dan anak-anak yang begitu prihatin dalam penjagaan terhadap diriku. Aku sendiri tidak sanggup lagi nak menempuhi rawatan dan kesan rawatan itu, walaupun rawatan yang telah ditempuhi sangat ringan berbanding dengan yang ditempuhi oleh rakan-rakanku dan penghidap kanser yang lain. Memang aku jenis yang tak tahan ...

Aku sentiasa berdoa agar Allah menyembuhkan penyakitku ini sepenuhnya, dan tidak berulang lagi.  Doa ini juga dipanjangkan kepada sahabat-sahabatku dan mereka yang sekapal denganku.  Semoga Allah tidak menimpakan penyakit ini kepada anggota keluarga, sanak-sedara dan sahabat-sahabatku yang lain kerana nak menghadapinya memerlukan kekuatan rohani dan jasmani. Doaku juga mengiringi sahabat dan mereka yang telah kembali ke pangkuan Illahi akibat penyakit ini. "Daripada Allah kita datang, kepada Allah juga kita kembali". Semoga kita semua sentiasa siap sedia untuk dipanggil kembali menemui-Nya ... Aminn ...

Terima kasih yang tidak terhingga kepada...
semua mereka yang telah merawatku, 
 suami dan anak-anak yang telah menjagaku dengan sebaik-baiknya,
ibu ayah mertua, adik-beradik, sedara-mara dan sahabat handai yang telah medoakanku dan memberikan dorongan serta semangat kepadaku ...

Budi dan jasa baik kalian sentiasa dikenang hingga ke akhir hayatku
Kalian sentiasa dalam doaku semoga kalian diberikan kesihatan yang baik, kesejahteraan dan kejayaan rohani dan jasmani di dunia dan akhirat

Semoga kalian sentiasa terbuka hati untuk memberikan bantuan kepada orang-orang memerlukan

... AMIN ...


Sila klik link ini untuk menikmati lagu "RAHMAT UJIAN"
http://www.youtube.com/watch?feature=player_detailpage&v=_esEAJGhyn8





No comments:

Post a Comment