Hari ni hari kedua tahun baru 2012, mengikut kalender Gregory. Kalau mengikut kalender Hijri, hari ni ialah 8 Safar 1433, iaitu dah sebulan lebih dari tahun baru Islam! Hai...nasib orang Islam, terpaksa mengikut kalender 'Mat Salleh' tu, sampaikan kita sendiri orang Islam lupa tarikh mengikut kalender Islam (aku pun tidak terkecuali). Nasib baik banyak kalender kita ada menyatakan tarikh mengikut kalender Hijri juga, Alhamdulillah ... dapatlah kita merujuknya.
Ramai antara kita yang telah menanamkan azam dalam diri sendiri apa yang hendak dilakukan pada tahun baru ini. Aku pula ... menempuhi kejutan yang kedua. Kejutan yang pertama ialah semasa aku didiagnosis dengan penyakit kanser. Kini, kejutan yang kedua ialah selepas aku selesai menjalani rawatan utama untuk penyembuhan penyakitku ini.
Semasa menempuhi kejutan yang pertama, aku bingung memikirkan rawatan-rawatan yang akan ku lalui. Memandangkan aku tidak pernah duduk hospital menempuhi rawatan penyakit yang serius, kecuali semasa melahirkan anak (itupun nak cepat balik bila telah selesai melahirkan), maka tidak dapat ku bayangkan untuk menempuhi pembedahan, rawatan kemoterapi dan rawatan radioterapi, atau apa-apa rawatan yang berkaitan ... huh! Keresahan dan ketakutan memang tak boleh nak katalah ... Berserah jerlah kepada Allah, kerana semua itu ditentukan oleh-Nya. Aku juga memegang kata-kata sahabatku Has ... ikut jer arus. Alhamdulillah, semuanya dah selesai. Iya ke dah selesai ... entahlah ... Kepastian yang tidak pasti juga.
Kini, kejutan kedua selepas selesai rawatan, aku tiada apa-apa rancangan lagi untuk masa depanku. Dulu, bila sampai masa begini, aku berazam untuk melaksanakan tugasanku dengan lebih baik daripada tahun sebelumnya, sama ada orang menghargainya ataupun tidak, kerana yang utamanya ialah menjalankan amanah di muka bumi ini. Apabila memikirkan kerja, aku sangat berminat dan enjoy dengan tugasku sebagai editor perolehan, yang membolehkan aku bertemu dengan bakal-bakal penulis dan memberikan penerangan serta membimbing mereka untuk menulis sehingga buku mereka diterbitkan. Sekurang-kurangnya, aku tidak ada ilmu yang mencukupi untuk menghasilkan karya seperti penulis-penulisku, tetapi aku dapat juga 'saham' membantu menyebarkan ilmu mereka melalui penerbitan yang aku uruskan bersama-sama rakan-rakanku. Itu sudah cukup memberikan kepuasan kepadaku.
Dalam keadaan sekarang, aku harus memberikan tumpuan utama kepada kesihatanku dahulu. Disiplin pemakanan dan senaman harus dijaga ... Lepas tu??? Sebelum ni, apa yang difikirkan ialah bersedia untuk menghadapi rawatan yang berikutnya. Sekarang, hanya memikirkan janji temu susulan sahaja dengan doktor, dengan harapan tiada apa-apa yang mencemaskan muncul. Nampak gayanya keadaanku seperti dalam fasa 'mengeram'. Aku harus memikirkan dengan semasak-masaknya keputusan yang akan aku ambil kerana ia melibatkan kehidupanku dan keluargaku hingga sampai masa aku kembali kepada Pencipta.
Rasa-rasanya aku nak pencen awal sahaja, apa lagi keluargaku memang menyuruh aku berehat sahaja setelah berkerja seperti 'tak ingat dunia' sebelum ni. Untuk berehat tu, mesti difikirkan juga apa yang nak dibuat. Kalau tak, lagi cepat juga aku 'direhatkan' nanti, walaupun ajal dan maut di tangan Allah. Kalau nak diikutkan, memang aku tak nak pencen awal, walaupun sesekali tu terfikir kalau duduk rumah kan ke best! Kepuasanku melaksanakan tugasku memang tidak dapat nak dijelaskan - hanya mereka yang sama-sama bertugas sepertiku dan telah melaksanakannya dengan yang terbaik sahaja yang faham dan dapat merasainya.
Atas alasan tertentu yang tidak dapat ku jelaskan di sini pula, menyebabkan aku berfikir nak pencen awal. Jika aku teruskan juga hasratku nak bekerja, akan cepat juga aku 'direhatkan'. Kalau 'direhatkan' terus tak apa, tapi kalau terpaksa menempuhi kembali apa yang telah aku tempuhi pada tahun 2011, atau mungkin lebih teruk lagi... Hush, tak mahu, tak mahu lagi!!!
Biarlah aku 'mengeram' dulu beberapa bulan ni ... give all the time to myself, enjoying what I like to do ... all the time with my family - spend my time with them - travelling with them enjoying and appreciate the nature. Sejak aku sibuk sangat dengan kerja-kerjaku, agak terhad masa kami dapat travel bersama-sama. Apa taknya, anakku ada yang masih bersekolah dan ada yang sibuk dengan pengajian di kolej. Suamiku, 2 minggu di pelantar dan masa dia berada di darat masa tulah pulaklah aku perlu mengaturkan tugas luar supaya anak tidak terabai di rumah semasa ketiadaanku... Apatah lagi setelah aku mula didiagnosis dan menjalani rawatan dari semasa ke semasa. Baru kinilah kami dapat bersama-sama semula menempuhi detik-detik yang menjadi minat kami sekeluarga ... travelling and appreciate the nature. Nak travel ke luar negara tu, kami segerombolan ni memang tak mampu - cukuplah dalam negeri, dan sudah memadai bagi kami sekeluarga. What most important is we have our quality time together! ... Memikirkan situasi tersebut, sekarang aku memang perlukan masa ... mengeram pun mengeramlah dulu ...