Thursday, January 24, 2013

Hari Ini dalam Sejarah; 3-in-1

Hari ini, Khamis 24 Januari 2013, merupakan 3 nukilan sejarah dalam hidupku (3-in-1). Pertama-tamanya, pada hari ini bersamaan 12 Rabiulawal 1434 Hijrah, umat Islam seluruh MAlaysia menyambut hari sambutan keputeraan junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW. Keduanya, hari ini merupakan ulang tahun kedua aku menjalani rawatan pembedahan. Seterusnya, hari ini ialah hari pertama aku bergelar pesara.

Kembali ke tahun 2011, pada tarikh dan pada ketika ini, aku tidak pasti sama ada aku sedang terlentang di atas meja pembedahan atau berada di ICU untuk pemulihan selepas pembedahan. Pengalaman itu telah disebutkan dalam entri sebelum ini, ceritaku: diagnosis dan prognosis. Apa yang pasti, selepas aku diberi ubat bius sedut pada pada paginya, aku tersedar apabila pipiku ditepuk dengan perlahan-lahan dan namaku dipanggil. Dalam keadaan sedar atau tidak, aku rasa aku berada di bilik ICU. 

Pada masa itu, aku masih belum mampu membuka mata, tetapi aku dapat mendengar kehadiran orang berjalan di sekelilingku ... agaknyalah! Aku juga dapat merasai aku disuluhi lampu pemanas dan blanket pemanas, kerana pada masa itu aku berasa amat sejuk sekali. Apa yang aku harapkan ketika itu ialah suami dan anak-anakku datang melihatku, tapi aku tidak merasai kehadiran mereka.

Walau bagaimanapun, anakku mengatakan bahawa mereka datang melihatku di ICU selepas aku keluar dari bilik pembedahan. Katanya, keadaanku ketika itu kelihatan teruk ... katilku dikelilingi pelbagai jenis mesin bantuan buatku, juga di atas badanku, hinggakan anak bongsuku tidak sanggup menatap keadaanku begitu. Daripada gambaran yang diberikan oleh anakku dan pencarian dari internet, rasa-rasanya masa itu aku kelihatan lebih kurang seperti dalam lakaran di bawah, mungkin tanpa chest tube,  tetapi dengan suluhan lampu pemanas dan blanket pemanas ... agaknyalah. Menurut anakku juga, disekellilingku penuh dengan pelbagai jenis mesin, malah atas badanku juga! Whoaaa ... pasti aku nampak macam robot dalam filem tu kot!

Dari Internet

Semasa aku ditolak ke wad pun aku separuh sedar. Apa yang aku sedar ialah apabila aku membuka mata sebentar, aku melihat langsir pesakit diwad bertutup; menandakan hari malam. Sememangnya,  selepas itu aku diberitahu yang aku ditolak ke wad sekitar pukul 3 atau 4 pagi! Lamanya aku menjalani pembedahan dan pemulihan di ICU.

Setahun berlalu ...

Selepas aku selesai menjalani semua rawatan (kemoterapi dan radioterapi), aku mengingatkan dan merenung-renungkan kembali saat aku menjalani pembedahan dan pemulihan itu ... Semasa dalam rawatan tak sempat sangat nak memikirnya sebab sengsara menjalani rawatan dan menanggung kesannya.

Apa yang terlintas dalam fikiranku hingga kini, kemungkinan aku tak bangun-bangun lagi apabila pembedahan selesai! Semasa menempuhi pemulihan di ICU, aku tertanya-tanya adakah begitu keadaan orang yang nazak? Aku dapat merasai dan mendengar pergerakan di sekelilingku, tetapi aku tak dapat membuka mata dan tak dapat membuka mulut, bersuara untuk mengatakan yang aku sangat sejuk dan bertanyakan keluargaku. Aku hanya mampu memejamkan mata dan mendengar tanpa mampu bergerak atau bersuara, Subhanallah. Menurut anak dan suamiku, semasa aku dalam keadaan begitu, doktor bedah mengatakan aku baru 30% sedar, Allahuakbar.

Daripada pembacaan dan penceritaan para ulama, bayangkanlah jika ketika itu aku berada dalam keadaan nazak untuk menemui Pencipta-ku ... Dalam keadaan tak mampu bergerak, tak mampu membuka mata, tak mampu bersuara, Allah membukakan hijab dan aku nampak destinasiku di alam yang lagi satu!!! Ya Allah ... mengingatkan itu, betapa kecutnya perutku! Semua itu memberikan keinsafan kepadaku dan bertanya kepada diriku bagaimanakah kesudahanku di hujung nyawaku nanti. Semoga Allah mengambil nyawaku, keluargaku, adik-beradikku dan sahabat handaiku semua dalam keadaan baik dan beriman, bersih daripada dosa dan noda, dimudahkan perjalanan di alam kubur dan alam barzakh, dan dikumpulkan roh kami bersama-sama roh-roh orang yang beriman dan orang-orang yang dimasukkan ke dalam syurga. Semoga kita semua diberi tempat di syurga Allah, aamiin ...

No comments:

Post a Comment