Thursday, January 3, 2013

2013 ...


Daripada internet

Masuk hari ketiga tahun 2013 ... Ibu bapa sibuk dengan anak-anak yang baru memulakan penggal persekolahan, dan anak-anak pula dah mula tune untuk memulakan pembelajaran. Bagiku dan keluargaku, semua tu dah tak ada lagi dah. Tahun akhir kami kalut dengan hal persekolahan begitu adalah untuk anak bongsu, Wani. Sebelum persekolah bermula, sudah tentulah sibuk dengan persediaan baju baharu, buku, yuran dan sebagainya. Apabila sesi persekolahan bermula, kalut pula menghantar dan menjemput Wani sekolah dan tution ... Pagi, aku terkejar-kejar hantar ke sekolah, tengah hari Wati (bila Abah di laut) atau Abah (kalau Abah berada di darat) pulak jemput balik dan hantar semula untuk kelas tambahan. Petang ambil dan malam hantar tution pula ... Fuh, jenuh kelam-kabut ke hulu dan ke hilir menghantar dan menjemput - pagi, petang, malam. Aku pulak sibuk dengan kerja-kerja di ofis dengan banyak kerja luar (semasa Abah di darat supaya anak tak terabai). Hinggalah akhir tahun 2010, Wani habis SPM, selesai cabaran yang besar buat Wani.

Tahun 2011 pula merupakan tahun yang paling mencabar buat keseluruhan keluargaku apabila aku disahkan menghidap penyakit kanser. Dengan itu, kalut pulalah kami sekeluarga untuk mengadap rawatan buatku, genap setahun - bermula dengan pembedahan pada Januari 2011 hinggalah selesai kemo dan radio pada Disember 2011. Alhamdulillah, aku berjaya menghadapi semua rawatan dan mengatasi semua kesan rawatan yang diberikan.

Tahun 2012, tahun yang agak tenang buat kami sekeluarga. Cuma Wani yang kelam-kabut dengan study apabila telah menjadi mahasiswi di UNITEN. Memang Wani berasap menghadapi pelajarannya kerana kursus yang dipilihnya memang berat - Foundation in Electrical and Electronic Engineering. Tak mengapalah, nak berjaya memang susah. Aku pulak hanya menjalani pemeriksaan susulan. Wati sibuk dengan kerja komiknya. Zafhri pulak asyik terkandas dalam usaha perniagaannya - cabaran yang besar pula bagi Zafhri pada tahun 2012. Yana happy bekerja di restoran arab.

Setakat ini, dua perkara besar akan menjadi sejarah bagiku pada tahun 2013 ini. Pertamanya ialah aku perlu mengeluarkan chemoport. Pihak HKL menyuruh aku menyimpan hingga sampai tempoh 5 tahun, kot-kot kanser aktif semula - na'uzubillah jauhkanlah... Akan tetapi,  hayat pemakaian chemoport yang telah ditanam di dadaku ini ditetapkan oleh pengeluarnya selama 2 tahun. Walaupun boleh disimpan lebih daripada tempoh ini, tetapi aku tak nak ada benda asing yang dah expired tertanam di dalam tubuhku ini. Pihak HKL pula menyuruh aku pergi ke pihak yang menanam chemoport ini, maka terpaksalah aku ke HUSM semula untuk prosedur mengeluarkannya. Aku sendiri pun dah tidak selesa lagi, tambahan chemoport ini pun dah terjungkit. Masa nak flush pun dah susah nak dicucuk. Menurut doktor pakar yang menanamnya dulu, apabila masa berlalu chemoport ini menjadi keras dan mungkin itulah sebabnya aku mula berasa tidak selesa dan kadang-kadang sakit. High time to take it out!

Perkara besar kedua yang akan menjadi sejarah hingga ke akhir hayatku ialah pada tahun 2013 ini aku bersara pilihan. Bukan aku tak sayang dan suka dengan kerja-kerjaku, tapi aku rasa tak boleh lagi nak menghadapi kalut pergi dan balik kerja dengan kesesakan lalu-lintas yang teruk! Itu belum termasuk lagi pelbagai kerenah di ofis pula. Memang Allah telah merancangkan yang terbaik untukku. Dengan segala apa yang berlaku, memang sudah sampai masanya aku bersara, berehat dan menghabiskan lebih banyak masa dalam sisa usiaku yang entah berapa lama ini bersama-sama keluarga, dan jika dizinkan Allah meneroka alam ciptaan-Nya, menghayati semuanya ... semoga diriku akan lebih hampir dengan-Nya. Semoga kami sekeluarga, saudara-mara, sahabat handai dan muslimin muslimat sekalian sentiasa mendapat limpah kurnia, rahmat, hidayah, kebahagiaan, kesejahtaeraan dan kegembiraan pada tahun 2013 ini, aamiin ...

No comments:

Post a Comment