Thursday, January 24, 2013

HARI AKHIR DI DBP - BERSARA PILIHAN


SELAMAT BERSARA DIRIKU, ASIAH SALLEH ...

Mengimbas kad pekerja buat kali terakhir.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 
 Tempatku mencari rezeki - penuh dengan kenangan manis dan pahit ...

Semalam, bertarikh 23 Jan 2013, akan menjadi nukilan sejarah dalam kehidupanku hingga ke hujung nyawa. Tarikh itu merupakan hari terakhirku secara rasminya bergelar editor penerbitan di DBP, selepas hampir 30 tahun aku mengabadikan diri di situ mencari rezeki, membina karier dan kehidupan ... Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk bersara pilihan, menjadi ahli POP (Persatuan Orang Pencen). Sebelum ini, telah beberapa kali aku bercadang nak bersara pilihan, tetapi tak jadi juga. Sememangnya, tidak dinafikan aku amat sayang dan menyukai profesionku sebagai seorang editor, dan begitu susah untuk mengambil keputusan nekad bersara, walaupun telah beberapa isyarat datang kepadaku supaya berbuat demikian sebelum ini ...

Suatu ketika dahulu, aku berasa begitu tertekan dengan kerja dan berhasrat hendak bersara. Akan tetapi, salah seorang sahabat menasihatiku bertahan dahulu kerana masih muda, berumur 40 tahun (muda sangatlah tu kan!). Beliau menyuruh aku take a break dengan melanjutkan pelajaran. Lantas, aku pun mengambil kursus MBA di UPM, walaupun berasap. Apa taknya ... selama ini aku dilatih dalam bidang  sains fizik, tiba-tiba kena buat sains sosial pulak! Walau bagaimanapun, aku berjaya juga dan bersyukur dengan pencapaian diri sendiri. Apabila disarankan untuk melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat PhD... oh aku tak sanggup!

Sebab dah buat kursus pengurusan, aku balik ditugaskan membuat kerja pentadbiran walaupun aku seorang editor; satu pengalaman dan pendedahan yang bagus juga. Kembali menjadi editor penerbitan sepenuhnya semula memang aku harapkan dan tunggu-tunggu. Masa itulah isyarat-isyarat dari segi kesihatan mula datang, tetapi aku abaikan. Memang hal kesihatan telah lama aku abaikan; sebelum ini aku memang sangat berdisiplin mengambil supplements, namun aku berhenti tanpa alasan tertentu ... 

Mula-mula, aku disahkan berkolesterol tinggi, lantas perlu mengambil ubat anti-kolesterol. Kemudian, aku selalu sakit kepala yang doktor mengatakannya aku menghidap migrain. Seterusnya, aku selalu mengalami sembelit, diikuti pula dengan gastrik yang serius. Masih kuingat semasa mengadakan bengkel di Chendering, Terengganu, bersama-sama Jabatan Perikanan, aku dibawa ke ekspedisi mencandat sotong untuk merasai sendiri pengalamannya sebelum membina buku judul itu. Semalaman itu aku mabuk laut, muntah-muntah dan gastrikku naik. Naik ke pantai semula, aku sangat lemah dan kepala seperti nak pecah! (Aku akan mengalami sakit kepala dan muntah apabila gastrik). Pergi ke klinik kena satu injection, dan terpksa pula balik ke KL dalam keadaan melepek! Lama jugalah aku MC lepas tu. Sejak itu, kesihatanku mulai merosot ... silap sedikit aku akan demam dan gastrik akan naik. Aku mula mengambil supplements semula dan apabila keluar bertugas untuk mengendalikan bengkel bimbingan penulis, aku mesti membawa ubat dan supplements kerana kesihatanku pasti terjejas. Yang teruknya, aku mula berak darah! Walau bagaimanapun, aku tetap aktif dengan kerja-kerja bimbingan penulisan bersama-sama penulis Jabatan Perikanan, Sabah Parks dan HUSM Kubang Kerian, walaupun ada mendengar desas-sesus mengatakan mengapa Asiah sebagai senior editor keluar buat kerja-kerja begitu ... Jika orang itu ada membuat kerja-kerja yang aku  buat itu, pasti dia akan faham! Mungkin mereka menjangkakan aku dan teamku mengambil kesempatan berjalan-jalan atau bersiar-siar bila keluar begitu, sedangkan setiap kali selesai berbengkel nak keluar makan pun tak dapat sebab terlalu letih dan menyelesaikan perkara yang perlu dibawa dalam bengkel pada esuknya. Mungkin ada yang berperanagi begitu, itu bukan urusanku!!!

Semasa banyak berbengkel di HUSM, aku menjalani prosedur memasukkan wayar berkamera ke dalam perut dan mendapati semuanya ok. Sehinggalah, keadaan menjadi serius aku menjalani colonoscopy dan disahkan menghidap kanser ... aku  mula terfikir memang sudah sampai masanya aku perlu berehat dan meninggalkan profesion yang sangat aku minati ini - mengambil keputusan bersara pilihan ...Dan, itu jugalah kehendak keluargaku.

Memangpun, hampir dua tahun bercuti sakit aku rasa memang tak boleh lagi nak mengadap kesesakan lalu-lintas di jalan raya, pergi dan balik ofis. Juga, rasa tak larat nak mengadap pelbagai kerenah di tempat kerja. Semasa sekali-sekala pergi ofis pun aku dah rasa kekok! Lantas, bersara ialah jalan yang terbaik dan aku amat yakin dengan keputusanku itu. Itu pun dalam tempoh setahun aku berfikir, semasa menjalani rawatan. Aku mengemukakan borang permohonan bersara pilihan selepas aku selesai menjalani semua rawatan.

Semalam, aku diminta datang ke ofis pada pukul 8.30 pagi untuk bertemu Ketua Pengarah DBP (Prof. Dr. Hj. Awang Sariyan) dan Timbalan Ketua Pengarah DBP (En. Kamaruzzaman Shaharudin, juga bosku semasa di Bahagian Dasar dan Pembangunan Korporat dahulu). Dengan kesesakan lalu-lintas, aisayyyy ... aku sampai depan pejabat KP pukul 8.35 pagi!!! Hai, apalah ... detik akhir itu aku tidak menepati masa, dan memalukan!!! Walau bagaimanapun, pertemuan berjalan dengan harmoni. KP menyampaikan surat penghargaan dan beberapa dokumen, manakala Pengerusi Badan Keluarga DBP (En. Kusni Ahad, juga bosku semasa di Bahagian Dasar dan Bahagian Korporat dahulu) menyampaikan cendera hati daripada pihak Badan Keluarga DBP ...

Bertemu dengan KP dan TKP
Menerima surat penghargaan daripada KP
Menerima cendera hati daripada Pengerusi Badan Keluarga.
En. Kusni kata, "payung besar, muat 6 orang" haha...

Memandangkan aku masih dalam cuti sakit, aku tak perlu menunggu sehingga petang untuk mengimbas kad pekerjaku buat kali terakhir. Makanya, aku berlakon sahaja mengimbas kadku, ditemani oleh En. Kusni, Tn. Haji Abdul Halim Harun (Ketua Bahagian HRM, juga teman sekerjaku semasa di Bahagian Dasar dahulu) dan beberapa rakan dari Bahagian lain di DBP.

Mengimbas kad pekerja buat kali terakhir
Seterusnya, aku dibawa oleh Noriza untuk mengabadikan diri bergambar kenangan di beberapa lokasi di DBP, walaupun tidak semua, secara individu atau bersama-sama rakan-rakan...

Dalam galeri
Di samping gambar-gambar Ahli Lembaga Pengelola DBP
Di samping gambar-gambar Ketua Pengarah DBP
Di lobi 
Dalam galeri
Dengan bosku dan juga sahabat seperjuangan,
Ketua Bahagian Buku Umum, Pn. Padilah Ali
Dengan sahabat seperjuangan, Pn. Asiah Daud,
Ketua Bahagian Harta Intelek dan Hak Cipta Antarabangsa 
Dengan Noriza, yang telah banyak membantuku dalam urusan persaraan ini.
Terima kasih Iza
My dear BFF, Yani. Will miss you ...
Akak doakan Yani terus berjaya dan akan menjadi salah seorang peneraju peringkat tinggi di DBP nanti. You can make it!
Gambar candid di tangga pintu masuk utama DBP
Di lobi
Di lobi
Dengan sebahagian rakan dari pentadbiran

Dengan sebahagian rakan dari Bahagian Ensikopedia (jiran Bahagaian Sains dan Teknologi). Mana rakan-rakan dari S&T? huhu ...


Selesai semuanya, aku pun melangkah keluar DBP dengan membawa segala macam kenangan selama bertugas di situ. Di tempat inilah aku membina karierku bekerja dengan memahatkan dalam hati, 'kerja adalah ibadah' dan 'kepimpinan melalui teladan' (dua moto yang mula-mula aku temui apabila melangkahkan kaki ke DBP), mengenali banyak nilai murni dan tabiat manusia dan masyarakat yang  aku jadikan panduan dan iktibar sepanjang hidupku. Dengan berkhidmat di sini, aku memperoleh rezeki yang membolehkan aku membantu keluarga hidup selesa - dapat aku memiliki rumah, kereta, menapung pembelajaran anak-anak dan sebagainya. Semasa berkhidmat di sini, aku berpeluang menjejakkan kaki ke luar negara atas urusan kerja. Semasa berkhidmat di sini juga aku mengenali ramai penulis yang terdiri daripada pelbagai golongan intelektual dan penyelidik, yang memberi peluang kepadaku berkongsi ilmu dan pengalaman mereka, untuk di kongsikan pula kepada masyarakat. Mereka semua menjadi sahabatku dan semoga persahabatan itu kekal hingga ke akhir hayat, dan mereka terus gigih berkarya ...

Semoga ketua-ketua, penulis-penulis dan mereka yang telah sama-sama bekerja denganku memaafkan segala kesilapan, tingkah laku dan pertuturan yang terlanjur  daripadaku. Aku juga berterima kasih kepada mereka yang telah memberikan banyak kerjasama dalam tugasanku, juga menegur dan memberi tunjuk ajar semasa aku mengendalikan dan melaksanakan tugasku. Insya-Allah, aku akan terus menyumbang kepakaranku dalam bidang editorial dan penerbitan sebagai penterjemah dan editor bebas ... mengikut kesesuaian masaku. Aku tidak boleh melupakannya terus kerana ia telah menjadi sebahagaian daripada kehidupanku setelah kira-kira 30  tahun berkecimpung dalam bidang dan profesion ini.

Kini, aku merasa bebas untuk mencari destinasi baharuku. Aku bebas bila-bila masa hendak melakukan  apa-apa aktiviti kesukaanku yang tidak dapat aku lakukan semasa aku masih bekerja - ingin membaca koleksi buku yang kuhimpunkan sejak aku bekerja dan tak sempat aku baca, belajar menjahit (insya-Allah, hehehe), dan semoga Allah mengizinkan dan mempermudahkan aku untuk membayar hutang yang paling besar dalam hidupku - menunaikan fardu haji bersama-sama suami. Semoga Allah memberikan juga kesempatan kepadaku untuk menerokai alam ciptaan-Nya ini, untuk menghayatinya; semoga semua itu akan mendorong aku untuk dapat mendekatkan diri kepada-Nya lagi, aamiin.

Betapa Allah telah merancangkan yang terbaik buatku. Cuma, mungkin ada pihak (ada yang ku dengar daripada rakan-rakan 'sekapal') yang kurang faham bagaimana penanggungan orang-orang yang menghidap penyakit seperti kami. Kami nampak sihat tetapi hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana kami berjuang untuk melawan penyakit ini supaya tidak merebak atau berulang semula, dan menanggung sengsara kesan rawatannya. Ada juga kudengar daripada rakan-rakan 'sekapal' mengatakan kami yang menghidapi penyakit sebegini banyak dosa dan Allah memberikan balasan terhadap dosa-dosa tersebut! Kepada pihak yang begitu, ku harapkan mereka bersyukur tidak ditimpa penyakit begini, kerana untuk menghadapinya memerlukan kekuatan rohani dan jasmani. Apabila kufikir-fikirkan, memang sewajarnya pihak kerajaan memberikan kemudahan cuti sakit 2 tahun kepada penghidap kanser dan janganlah ada pihak yang menyimpan syak wasangka bahawa penghidap sihat tetapi sengaja menghabiskan cuti sakit itu! Sebenarnya, terlalu banyak rahmat yang Allah turunkan kepada kami di sebalik ujian penyakit ini ... Wallahualam ...

2 comments:

  1. Very good writing. Menginsafi saya yg telah bersara 19 okt 2015. Uthm batu pahat. Dr Sazali

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah, terima kasih Dr Sazali. Semoga Dr Sazali sentiasa sihat sejahtaera bersama-sama keluarga dan mengharungi hidup seorang pesara denagn lebih tenang, aamiin.

    ReplyDelete