Friday, November 18, 2011

Ujian Darah

Berjalan di pantai pada waktu pagi
Sejak hari Ahad yang lalu aku sekeluarga berada di Terengganu. Kami sekeluarga amat gembira. Walau bagaimanapun, semalam kami terpaksa balik kerana pada hari ini, Jumaat, aku perlu pergi ke HKL untuk mengambil darah bagi persediaan kemo pada hari Isnin. Sebelum balik hatiku dah mula kalut memikirkan untuk ambil darah dan menjalani kemo yang keenam, dan terakhir ini. Satu demi satu bayangan muncul dalam kotak fikiranku tentang apa yang bakal aku tempuhi, berdasarkan kemo-kemo yang lalu ... Allahuakbar ...


Anakku Wati memberi dorongan kepadaku ... "Mak kena happy dan  look forward, sebab ini kemo mak yang terakhir...lepas ni mak tak perlu buat kemo lagi dah. Lepas kemo nanti, kita bercuti lagi ke Terengganu pada bulan Desember. Lepas tu, mak rehat-rehat jer, jangan kerja lagi. Dah mak tak kerja lagi, kita plan pergi jalan-jalan" Walaupun apa yang dikatakan oleh Wati tu menggembirakanku, namun jauh di lubuk hati, aku tidak dapat membuang perasaan kalut dan sengsara memikirkan nak tempuh ambil darah dan kemo tu. Aku dah fobia melihat jarum dicucuk pada lenganku dan pada chemoport di dadaku... Aku berdoa semoga Allah mempermudahkan darahku disedut kerana selepas pembedahan, darahku memang susah nak keluar! Begitu juga agar semasa aku menempuhi kemo nanti, Allah akan melindungi dan menghindariku daripada mengalami kesan sampingan selepas kemo ... Adoi, tak larat rasanya nak menempuhi itu semua lagi. Betul kata orang, kalau kita membuat sesuatu, saat-saat akhir itulah yang sangat kritikal!!!


Pada pagi ni, aku keluar rumah pada pukul 9.00 pagi untuk ke hospital, ditemani Abah. Kami saja keluar lewat sedikit untuk menghidari traffic jam pada masa peak hours sebelum tu. Pukul 9.00 pagi sesuai, sebab semua orang yang pergi bekerja dah sampai ke ofis masing-masing; kalau jam pun jam yang berjalan - bukan jam yang melekat!


Sampai di HKL lebih kurang pukul 9.45 pagi, Abah menurunkanku di Jabatan Onkologi, dan dia pergi park kereta. Aku terus masuk ke day care unit, mengambil borang untuk ambil darah dan mengambil nombor ... nombor 1 round yang kedua!!! Aku terus dipanggil untuk diambil darah. Wah, cepat tu... Aku tak berani nak tengok dah. Alhamdulillah, kali ni aku tidak berasa sakit apabila dicucuk, dan darah keluar dengan mudah. Tak sampai 5 minit, semuanya dah selesai, lantas aku menelefon Abah untuk mengambilku semula.  Rupa-rupanya Abah belum sempat pun parking; masih mecari-cari tempat kosong kerana kereta banyak sangat di tempat parking.


Sebelum balik, kami singgah makan Rojak Sotong Istimewa di Jalan Bellamy - tempat aku sejak dulu lagi melepak dengan kawan-kawan masa office break, makan rojak, sebab tempat ni dekat dengan DBP (ofisku). Kami memesan Rojak Sotong Istimewa Bellamy dengan teh tarik. Kami tapau juga makanan untuk anak-anak. Aku rasa takut-takut juga nak makan semua tu, tapi memikirkan hari Isnin sel-sel aku akan dibunuh oleh ubat kemo, mmm... belasah jerlah!!!
 
Rojak Sotong Istimewa Bellamy yang kami pesan, nyum...nyum...

Lepas makan kami balik. Dalam kereta, aku mula rasa mengantuk...ish...mungkin letih perjalanan semalam dan susah nak lena malam tadi. Sampai rumah, aku terus cari bantal ... booom ... rasa penat macam lepas kemo pulak! Ish ... Masa kemo nanti janganlah jadi kerepek (melepek) dan cirit birit ... Walau apapun, aku happy hari ni sebab masa di HKL tak lama dan proses ambil darah berjalan dengan lancar dan cepat ...Tapi, aku tetap takut tengok 'gigi dracula menggigit lengan dan menyedut darahku' ... huhuhu

Friday, November 11, 2011

Diagnosis dan Prognosis - Cronology ...

Brief accounts of my diagnosis and prognosis (Actually, I don't understand some of the medical terms)

1 July 2010 : Oesophago-gastroduodenoscopy (OGDS) {Linear antral gastritis}.

10 Jan 2011 : Colonoscopy {Carcinoma of the midrectum (Ca rectum at 10 cm on colonoscopy - grade II), Rectosigmoid colon - Colonic Adenocarcinoma (moderately differentiated Astler - Collar Modified Duke's Stage B1)}.

12 Jan 2011 : CT Scan of the abdomen and pelvis {Carcinoma of rectosigmoid with lung metastases}.

24 Jan 2011 : Anterior resection with covering ileostomy, and plantation of chemoport {All surgical margins are free of tumour, all lymph nodes displayed reactive lymph plasia and free of tumour}.

4 Feb 2011 : Removal of clips at the anterior resection.

13 Feb 2011 : Lopogram - my terminology may be wrong! {A procedure to ensure that there is no leakage at the lower part of the digestive system after the operation, so that reverse ileostomy can be carried out}.

14 Feb 2011 : Ileostomy reversal {A procedure to stitch back the intestine in order to close the stoma}.

1 Apr. 2011 : Repeated CT Scan at HUKM {Suspicious thickening of the lower rectum, lung nodules}.

28 Apr. 2011 : PET Scan at PPUPM {No evidence of locoregional tumour recurrent, lung nodules are less likely to represent metastastic nodules, reactive lymph nodes, multinodular goitre - Hypovolumetric activity of the lymph node does not exclude malignancy}.

5 - 10 May 2011 : Chemotherapy 1st cycle {I have to go through 6 cycles of chemotherapy)

3 June - 12 July : Chemotherapy + Radiotherapy (25 times) {Week 1 - Chemotherapy 2nd cycle + radiotherapy, week 2 till week 4 - radiotherapy, week 5 - chemotherapy 3rd cycle + radiotherapy}.

26 - 30 Sept : Chemotherapy 4th cycle.

24 - 28 Oct 2011 : Chemotherapy 5th cycle.

21 - 25 Nov 2011 : Chemotherapy 6th cycle (final).

Repeated PET Scan is due in April 2012 ...

Thursday, November 10, 2011

Diagnosis dan Prognosis - Bermulanya perjalananku dengan kanser rektosigmoid ...

Januari 2011 merupakan saat yang paling bersejarah dalam keseluruhan hidupku ... Aku tidak mengatakannya sebagai 'detik hitam', kerana semua yang berlaku adalah kerana kehendak dan ketentuan Allah jua. Sebelumnya, aku selalu mengalami sembelit, najis berdarah dan gastrik. Dalam kotak fikiranku, ia hanyalah buasir dan angin, dan apabila dimasukkan kamera, doktor mengatakan semuanya ok (klinik biasa). Untuk melihat setakat mana seriusnya gastrik yang ku alami, maka dengan jasa baik salah seorang penulis dan pakar bedah di HUSM, aku telah menjalani endoskopi (memasukkan tiub berkamera di hujungnya ke dalam perut). Alhamdulillah, tiada luka-luka pada perutku (ada kesan luka yang lama sahaja dan telah sembuh). Semua ok, walaupun perdarahan najisku semakin teruk! Hohoho ... kalau dah kentut pun darah menyembur, apa cerita tu?

Namun, aku meneruskan tugasku yang amat aku minati, sebagai seorang editor perolehan. Aku dinasihatkan supaya membuat kolonoskopi (memasukkan tiub berkamera melalui dubur untuk meninjau usus besar dan usus kecil). Aku terpaksa menangguhkannya sehingga anak bongsuku habis SPM pada bulan Disember 2010, kerana aku menjangkakan ada sesuatu yang besar akan melanda hidupku dan keluargaku - intuisi tu ....

Selepas anak bongsuku selesai SPM, pada awal Januari 2011, aku sekeluarga (tanpa anak lelaki) ke Kota Bharu (KB) dan menjalani kolonoskopi, yang semuanya diaturkan oleh Dr. Nik - terima kasih banyak-banyak Dr. Nik atas budi baik Dr. membantuku. Pada 7 Januari 2011 ... hari yang bertuah dan Allah memberikan rezeki yang sangat besar kepadaku dan keluarga apabila daripada keputusan kolonoskopi di HUSM, aku sememangnya menghidap kanser rektum. Aku dinasihatkan membuat CT Scan,  mammogram dan pemeriksaan am untuk mengesahkan segala-galanya ... Aku mula berasa kalut, dari segi perasaan dan emosi - emosiku menjadi tidak stabil! Namun, aku cuba mengawal perasaanku agar tidak ketara oleh suami dan anak-anak.


* Terima kasih Dr. Harmy yang memeriksaku dan memberikan gambaran apa yang akan kulalui
* Terima kasih  Nita yang menemaniku ke hulu ke hilir untuk membuat pemeriksaan

Untuk pengesahan penyakit itu dengan lebih tepat, aku menjalani pemeriksaan CT Scan dan biopsi. Pada 11 Januari 2010, selepas menunaikan solat zohor, aku tidak dapat lagi menahan sebak serta tekanan perasaan. Aku menangis sepuas-puasnya sebelum pergi melihat sendiri keputusan CT Scan dan biopsi. Aku singgah sebentar di pejabat Dr. Nik untuk mendapatkan kekuatan diri. Dr. Nik pun cuba melindungi perasaannya; sejak dari awal lagi. Sebagai seorang Dr. walaupun bukan pakar kanser (beliau pakar sakit puan), aku yakin beliau arif dengan apa yang berlaku pada diriku dan apa yang akan aku tempuhi.

Apabila dilihat keputusan ujian, sememangnya sah aku menghidap kanser kolorektal, khususnya kanser rektosigmoid, yang telah ada metastasis (rebakan) sedikit ke paru-paru (tidak dapat disahkan dengan pasti!!). Dengan itu, aku disahkan berada pada stage 4, tetapi dengan sel kanser gred 2. Sel kanser gred 2 ialah yang kurang aktif. Alhamdulillah, kalau gred 3 mungkin aku dah Innalillahi!!! Ya Allah, akan berubahlah senario keseluruhan hidupku dan keluargaku. Walau bagaimanapun, aku perlu berfikiran positif, tabah dan kuat walaupun amat kacau dan sukar menghadapi semua yang muncul secara mengejut ini. Aku bersyukur dengan sokongan yang sangat padu daripada suami, anak-anak dan rakan-rakan di HUSM pada masa itu. Aku sentiasa cuba bertenang supaya keluarga dan rakan-rakanku tidak susah hati melihat keadaanku. Fizikalku nampak tenang, tetapi jiwaku hanya Allah sahaja yang tahu.

Kami berbincang dengan Dr. Maya (ditemani Dr. Nik dan keluargaku), yang telah menjalankan prosedur endoskopi dan kolonoskopi. Dr. Maya menyarankan aku boleh memilih menjalani laparoskopi (microscopic surgery) atau open surgery. Beliau menasihatkan aku supaya menjalani open surgery supaya dapat dilihat keseluruhan sel kanser yang merebak, dan dibersihkan. Kami sekeluarga  mengambil keputusan supaya aku menjalani open surgery dan dibuat di HUSM Kota Bharu!! Keputusan itu adalah lebih kepada keputusan suami, kerana fikiranku memang tidak stabil ketika itu. Memikirkan perutku akan ditoreh, dikelebek dan dijahit semula!!! hohoho ... tidak boleh dibayangkan aku akan melalui semua itu. Namun, aku mesti bersedia untuk itu semua. Hope for the best and prepare for the worst!

Selepas keputusan dibuat, kami kembali semula ke KL. Aku ke pejabat seperti biasa untuk menyelesaikan perkara-perkara yang penting sahaja kerana kesuntukan masa. Aku sempat menyelesaikan SKT sahaja dan tidak sempat menyusun projek yang akan ditinggalkan - kesian kamu Suzanna dan Salona. Apabila diberitahu kepada sebilangan rakan, mereka semua terkejut kerana tidak menyangka aku menghidap penyakit kanser. Walau bagaimanapun, apa yang aku harapkan masa tu bukannya simpati, tetapi orang memahamiku. Sebab itulah aku memilih untuk menjalani pembedahan di KB kerana di sana aku akan dikelilingi oleh rakan-rakan Dr. yang sangat faham dengan keadaan sakit, pesakit dan prosedur perubatan. Aku juga menulis surat kepada HRM untuk mendapatkan cuti sakit selama 2 tahun, dan dokumen perubatanku. Kawanku Norishah menasihatiku supaya tidak menjalani pembedahan kerana sukar hendak menghadapi dan menjaganya. Ini adalah berdasarkan pengalaman beliau menjaga suaminya yang didiagnosis kanser kolon. Beliau menyarankan aku pergi menjalani perubatan alternatif. Namun, kami mengambil keputusan bahawa benda tidak baik yang telah disahkan ada mesti dibuang dahulu.

Seminggu kemudian kami sekeluarga (tanpa anak lelaki) ke KB semula untuk menjalani pembedahan. Sebelum dibedah, aku perlu berpuasa dan flush perut. Aku perlu berpuasa selama sehari dan meminum air garam yang sangat masin ... nampak sedikit, tetapi rasa dan kesannya ya Allah - memang perut aku kena flush seperti kita menarik jamban!!! Pada 24 Januari 2011 pagi, aku sepatutnya mengendalikan bengkel penulisan di Sabah Parks, tetapi hari itu aku terpaksa berjuang di bilik pembedahan. Sebelum aku di tolak ke bilik pembedahan, salah seorang Dr. (Dr. Andea/Dr. Fazlimy - kenal orang, tak kenal nama - sorry) memberitahuku bahawa peluang aku memakai stoma bag seumur hidup ialah 50-50%. Ya Allah, aku berdoa agar aku tidak perlu memakai stoma bag sepanjang hayatku. Jika kena pakai stoma bag terpaksalah sentiasa membawa beg t..k di perut! Ya Allah, aku bermohon kepada-Mu, hindarilah. Akan tetapi, jika keadaan memaksa, aku redha ya Allah. Lebih kurang pukul 9.30 pagi, aku ditolak ke bilik pembedahan diiringi oleh keluargaku dan sahabatku, Dr. Nik. Berdebar-debar hatiku tidak terkata!

* Mohon maaf rakan-rakan penulis di Sabah Parks kerana tidak dapat bersama-sama kalian dalam bengkel, dan terima kasih atas kutipan derma dan doa kalian
* Terima kasih Dr. Nik yang telah mengiringiku bersama-sama keluargaku ke bilik pembedahan

Sampai ke reception bilik pembedahan, aku terpaksa berpisah dengan keluarga dan Dr. Nik setelah bersalam-salaman dan bermaaf-maafan dengan mereka. Aku terus ditolak ke dewan pembedahan (bilik yang sangat sejuk), dengan degupan jantungku macam nak gugur! Selama ini aku cuma melihat semua ini dalam cerita di TV atau wayang, sekarang aku sendiri mengalaminya. Sesuatu yang melucukan ialah mereka menyediakan alat-alat pembedahan seperti orang main masak-masak sahaja!! Klung klang klung klang, hehehe. Namun, debaran jantungku semakin memuncak, tetapi aku sentiasa menyebut nama Allah. Rakan-rakan di KL yang menghidap kanser berpesan agar aku sentiasa berdoa dan menyebut nama Allah; insya-Allah kesengsaraan akan berkurang dan kita akan berasa tenang menghadapi semuanya.

Debaran agak reda apabila melihat kelibat Dr. Maya yang akan menjalankan pembedahan terhadapku. Terima kasih Dr. Maya ... tengok muka Dr. saya rasa tenang sedikit!!! Dr. Nizar, pakar bius yang ceria, juga ada yang membuatkan aku tenang apabila beliau menyapaku dengan begitu ceria sekali. Terima kasih Dr. Nizar. Setelah mereka selesai membuat persediaan, aku diberikan prosedur epidural untuk mengurangkan sakit selepas pembedahan nanti. Dalam prosedur ini, mereka menyuntik spinal cord di tengah-tengah belakangku, yang menjadikanku berasa kebas di bahagian abdomen, tempat yang akan dibedah. Setelah semuanya selesai, salah seorang datang kepadaku dan menyuruh aku mengucap dua kalimah syahadah, dan meletakkan tiub ubat bius ke hidung untuk aku sedut dengan mendalam. Aku berdoa semoga Allah memberikan peluang kepadaku  sedar semula selepas selesai semuanya, untuk bersama-sama keluargaku semula. Jika tidak, itu adalah kehendak-Nya jua. Pada sedutan kedua, aku dah 'mati' !!!

* Terima kasih Dr. Maya, Dr. Nizar dan pembantu-pembantu Dr. Maya yang lain

Tidak tahu berapa lama aku berada di dewan pembedahan, aku tersedar apabila namaku dipanggil sambil pipiku ditepuk dengan perlahan-lahan. Aku tersedar dalam keadaan yang amat sejuk sekali dan mereka membantuku dengan menyuluhkan lampu ke muka dan badanku, serta menyelimutiku dengan blanket panas. Keadaanku masih tidak berapa sedar dan tidak dapat 'menilai' lagi keadaan sekeliling. Aku hanya memejamkan mata sambil beristighfar menyebut nama Allah, dengan kesyukuran kerana Dia mengizinkan aku 'bangun' dan bernyawa lagi. Setelah aku berasa selesa dan tidak sejuk lagi, aku disorong ke dalam wad. Apabila aku membuka mata sebentar, kulihat semua langsir katil pesakit di wad tertutup, dan aku menjangkakan waktu tu hari malam atau subuh. Perutku rasa berdenyut-denyut, tapi aku terlelap dan masih 'hanyut' kerana kesan ubat bius.

Apabila aku tersedar semula, hari telah terang dan keluarga berada di sisiku, namun aku masih mamai lagi. Mereka memberitahuku bahawa aku berada di dewan bedah selama 10 jam!!! Dan, aku dihantar ke wad lebih kurang pukul 3.00 pagi!!! Ya Allah, lamanya aku 'mati' !!! Alhamdulillah, aku telah selamat menjalani satu pembedahan yang besar. Aku kurang berasa sakit kerana aku telah diberikan epidural; cuma sedikit denyutan pada perut. Jadilah aku seperti zombi, dengan 1 wayar keluar dari perut (untuk menyalurkan keluar air/darah lebihan pembedahan), 1 wayar dari saluran kencing, 1 wayar pada hidung, 1 wayar di belakang (epidural), dan ileostomy. Ileostomy ialah tebukan untuk memberikan laluan usus kecilku di perut (stoma) supaya bahan buangan dari perut keluar ke stoma bag. Stoma bag perlu dipakai selama lebih kurang 3 minggu untuk memberikan kesembuhan luka pada rektumku. 

Selain stoma bag, terdapat satu garis bekas pembedahan dari pusat hingga ke hujung ari-ari, dengan klip, dan satu bekas toresan pada bawah bahu di dadaku, tempat chemoport ditanam oleh Dr. Wan Faisham, untuk memudahkan aku menjalani kemoterapi nanti. Terima kasih Dr. Wan Faisham yang telah bermurah hati untuk menanamkan chemoport tersebut. Terima kasih kepada Dr. Maya dan pembantu-pembantu beliau, Dr. Andea, Dr. Azhar, Dr. Salina dan Dr. Fazlimy yang telah berjaya menjalankan pembedahan terhadap diriku. Jasa kalian akan tetap dikenang; semoga Allah membalas jasa baik kalian.

* Terima kasih Dr. Maya, Dr. Wan Faisham, Dr. Nizar, Dr. Andea, Dr. Azhar, Dr. Salina dan Dr. Fazlimy
* Terima kasih kakakku Kamaliah dan sahabatku Yani yang telah membacakan Surah Yassin pada malam sebelum pembedahan
* Terima kasih semua rakan yang telah mendoakanku di mana sahaja kalian berada

Aku dimaklumkan oleh Dr. Nik, rektum aku yang dipotong dibawa ke makmal untuk dianalisis dengan lebih lanjut untuk melihat keadaan sel kanser yang terdapat di situ dan menentukan kemungkinan tersebarnya sel kanser tersebut di sekitarnya (bladder, uterus dll). Ia juga mungkin bertujuan menentukan sama ada aku perlu memakai stoma bag sepanjang hayatku ataupun tidak. Sebab itulah aku lama berada di dewan pembedahan. Selepas itu, Dr. bedah mengeluarkan ususku untuk diperiksa setiap inci, kemudian dimasukkan semula mengikut susunannya. Kata suamiku "macam main lego ye!!!" Kurang asam betul dia cakap macam tu!!! hahaha.

Di hospital, aku dijaga oleh anak sulungku (Wati terutamanya), dibantu oleh dua orang anak perempuanku (Yana dan Wani) dan suamiku. Mereka melayan kerenahku ... sekejap nak katil dinaikkan, sekejap nak diturunkan ... hehehe, kesian mereka. Wati adalah orang yang sentiasa membantuku menggantikan stoma bag, setelah diajar oleh jururawat bagaimana hendak menguruskannya dan menggantinya. Beberapa kali stoma bag leaking dan terpaksa diganti. Tidak dapat aku bayangkan suatu hari tu, Dr. datang memeriksaku dan menekan bahagian perutku, lantas tertanggal stoma bag. Berendamlah aku beberapa minit dalam air yang keluar daripada stoma bag dan stoma, sebelum jururawat membersihkannya dan menggantikan dengan yang baharu!!! 

Ada ketikanya, semasa lawatan, keadaan wad terlalu bising dan tidak selesa, maka suami dan anak-anak menaikkan aku ke wheel chair dan menolakku ke beranda hospital untuk melihat alam sekitar HUSM dan menghirup udara luar. Di hospital HUSM tiada kelas 1, 2 atau 3 - semuanya sama sahaja. Apa yang dapat ku lihat ialah setiap kali waktu lawatan, wad seperti tempat kenduri atau berpesta, dengan kanak-kanak dan baby juga dibawa masuk. Menggeleng aku melihatnya kerana di tempat yang begitu tak tahu apa-apa jangkitan yang boleh berlaku kepada baby dan kanak-kanak tu.

* Terima kasih kakakku Kamaliah dan anak beliau, Fazrin dan Faisal, yang telah terbang dari KL untuk menziarahiku di hospital
* Terima aksih rakan-rakan penulisku yang telah menziarahiku di wad, hampir setipa hari

Pada hari ketiga, Dr. telah menyuruhku minum susu dan makan. Aku tak berani lagi; berani minum air laici dan air kosong sahaja. Aku cuba makan sedikit roti kerana perut aku dah 'kecut' dan kempis sangat; pada masa yang sama epidural ditanggalkan. Tiba-tiba, aku mengalami sakit yang keterlaluan dan perut berasa memulas seperti nak terburai!!! Dr. terpaksa menyuntikku dengan opium penahan sakit, maka 'loklak' aku dibuatnya beberapa jam. Apabila sedar, keadaan seperti normal walaupun sakit itu masih ada (masih boleh ditahan). Getah saluran kencing juga telah dicabut dan saluran pembuangan darah saki baki pembedahan juga tercabut dengan sendirinya. Maka, menyusahkan Wati setiap kali aku nak kencing. Wati terpaksa menghantarku ke tandas dengan menggunakan wheel chair kerana aku tak boleh kencing dalam bekas yang disediakan.

* Terima kasih Dr. Nik yang hampir setiap hari menjengahku di wad, Dr. Hasanah dan suami, dan rakan-rakan penulis yang lain (Maaf, banyak nama jika disenaraikan)
* Terima kasih Dr. Azriani yang sudi menghantarku balik ke Rumah Tamu
* Terima kasih Dr. Rohana yang banyak memberikan tips kepadaku dan Wati tentang pemakanan

Pada 31 Januari 2011, aku dibenarkan pulang, dan kami menginap di Rumah Tamu HUSM. Terima kasih Dr. Nik kerana membantu kami mendapatkan diskaun tinggal di Rumah Tamu. Terima kasih kepada Dr. Azriani yang sudi menghantarku balik ke Rumah Tamu. Aku tidak dapat memanjat 'gajah' Abah (suamiku) dalam keadaan sakit dan tergigil-gigil lagi!!! Di Rumah Tamu, keadaan kurang selesa dan rimas kerana bilik yang terasa stuffy. Sebelum ni aku taklah rasa begitu, tetapi mungkin disebabkan aku dalam keadaan begitu maka terasa rimasnya. Aku juga tidak boleh makan sembarangan; kalaulah boleh masak ... Dr. Nik dan Dr. Rahimah menawarkan kami sekeluarga duduk di rumah mereka, tapi kami tak nak menyusahkan mereka.

Terjadi pada suatu malam, Dr. Nik dan keluarga datang menziarahiku di Rumah Tamu dengan membawa pelbagai makanan. Apabila mereka beredar, stoma bag bocor dan Wati sedang makan pula. Kesiannya, Wati terpaksa berhenti makan untuk memberikan 'khidmat'nya kepadaku. Beberapa kali dipasang, tetap bocor dan stoma tu terkentut pula dengan menyemburkan 'bahan' yang tidak selesa, cissss!! Ada lucu, ada sakit hati dibuatnya! Ya Allah ... Tiba-tiba air di Rumah Tamu pula tak ada!!! Stoma bag yang ada pun dah habis!!! Abah bergegas ke farmasi untuk membeli stoma bag, namun tidak ada farmasi yang buka pada malam tu menjual stoma bag yang diperlukan (banyak farmasi yang dah tutup kerana dah hampir tengah malam). Betapa kalutnya malam tu. Ya Allah, besarnya ujian-Mu... Nasib baik ada stoma bag pakai buang dan kami menggunakan yang itu sahaja untuk malam itu. Ya Allah, semoga semua ini dapat bertahan... Besuknya, Abah pergi ke farmasi lain dan Alhamdulillah, dapat apa yang dikehendaki dan diperlukan.

Semasa di Rumah Tamu, Dr. Hasanah dan suami juga beberapa kali datang menziarahiku semasa mereka berdua berjongging di HUSM pada hujung minggu. Beliau juga beberapa kali menghantar makanan yang sesuai untukku. Pada suatu malam aku down sangat dan berasa lemah dengan keadaan diriku, Dr. Azhar dan isteri juga datang melihat keadaanku dan offer aku untuk masuk wad jika aku nak; boleh drip atau apa-apa. Tapi, aku menolaknya kerana pada keesukannya memang aku kena ke wad.

* Terima kasih Dr. Nik dan keluarga, juga Dr. Hasanah dan suami yang mengunjungiku di Rumah Tamu dengan membawa makanan dan buah tangan
* Terima kasih Dr. Azhar dan isteri yang datang menjengahku di Rumah Tamu semasa aku down pada suatu malam tu
* Terima kasih sahabatku Yani yang telah memberikanku semnagat dan dorongan semasa aku down

Pada hari cuti Chinese New Year, anakku Zafhri dan anak angkatku, Anep, datang dari KL untuk menjemput Yana, anak ketigaku. Yana perlu balik ke KL kerana telah beberapa hari terlepas kelas di Nilai University College; tidak senang hati jika tidak bersama-samaku di saat-saat kritikalku. Masa keemasan kami semua sekeluarga berkumpul itu, kami gunakan juga untuk bertandang ke rumah Dr. Hasanah, walaupun dalam keadaan aku yang masih lemah dan tergigil-gigil juga, serta torture dengan stoma bag pada perut yang asyik kembung dan terkentut-kentut!! Terima kasih Dr. Hasanah menjamu kami lunch. Kemudian, kami ke Pantai Mek Mah, kerana aku dah rasa jemu sangat terkurung di hospital dan Rumah Tamu. Pantai Mek Mah nampak seperti pemandangan dalam filem "Tremors". Adik iparku, Apol dan keluarga juga datang menziarahiku. Terima kasih Apol, terima kasih Azie, kerana datang tengok akak ... Esuknya anakku Zafhri, Yana dan Anep balik ke KL. Apol dan keluarga juga balik ke KL.


Pada 4 Februari 2011, aku ke hospital semula untuk dibuka klip pada perut - sakit apabila klip telah dicabut dan luka disembur dengan spirit!!! Pada 8 Feb 2011, aku masuk wad semula untuk menjalani prosedur lopogram. Prosedur ini dilakukan untuk memeriksa sama ada tempat pembedahan di rektum telah baik atau belum dan tiada kebocoran di dalam, dengan itu stoma boleh ditutup dan tidak perlu menggunakan stoma bag lagi. Namun, prosedur tidak dapat diteruskan kerana aku pening dan rasa nak muntah sebaik sahaja cecair dimasukkan melalui stoma - mungkin aku alah dengan cecair itu. Dr. menerangkan jika diteruskan, kesannya amat berbahaya, dan boleh membawa maut. Selepas itu, stoma bag tidak dipakaikan ... 'berenang' aku sekali dalam air yang keluar dari usus kecil pada stoma. Torture, torture !!!

Konflik berlaku untuk aku menghadapi pembedahan kedua, kerana pada masa itu suamiku perlu naik semula ke platform untuk bertugas. Ya Allah, bagaimana aku hendak menghadapi pembedahan kedua itu tanpa suamiku - hanya Wati dan Wani sahaja!! Alhamdulillah, Allah itu maha pengasih kepada hamba-Nya ini ... Dr. Hasanah, sebagai seorang pakar psikologi di HUSM, mengeluarkan surat untuk suamiku dapat melanjutkan cutinya. Alhamdulillah ...

* Terima kasih Dr. Hasanah

Pada 8 Februari 2011, aku ke hospital semula dan pada 13 Februari 2011, buat lopogram. Dr. siap bagi aku telan ubat alahan awal-awal lagi. Alhamdulillah ... prosedur berjalan dengan lancar dan berjaya; tiada apa-apa masalah. Pada 14 Feb 2011, aku perlu masuk ke dewan pembedahan semula untuk menjalani reverse ileostomy (pembedahan menyambungkan semula usus kecil, dan menutup stoma). Kira-kira pukul 9.30 pagi aku disuruh menukar baju untuk pembedahan dan memakai topi. Ya Allah, kecutnya aku dua kali ganda daripada yang pembedahan yang pertama - tidak terkata!

Aku ditolak ke bilik pembedahan. Pembedahan kali ini dijalankan di dewan bedah orang bersalin, kerana dewan bedah awam dah penuh!!! hahahaha. Sebelum masuk, aku menangis bersalaman dan memeluk Abah dan anak-anakku, dan Dr. Nik. Semasa ditolak ke dalam dewan bedah, air mata berjuraian jatuh kerana takut, sedih dan memikirkan ... "bangun ke tidak aku selepas selesai pembedahan nanti". Sampai dalam dewan bedah tiada seorang pun yang aku kenal, lantas menjadikan aku lagi takut dan panik!!! Akhirnya, pembantu Dr. Maya (Dr. Adrea/Dr. Fazlimy - kenal rupa, tapi tak kenal nama) datang dan memberitahuku bahawa beliau dan Dr. Maya akan menjalankan prosedur itu. Apabila semua telah sedia, aku disuruh mengucap dan menyedut ubat bius. Sambil menyedut aku berdoa agar semuanya akan berjalan dengan lancar dan aku akan 'bangun' semula! Pada sedutan keempat aku 'mati' !!

Aku sedar semula apabila namaku dipanggil dan pipiku ditepuk dengan perlahan-lahan. Aku kesejukan, dan seperti pada pembedahan yang pertama, aku disuluhi lampu dan ditutup dengan blanket panas. Kemudian, aku dibawa keluar dan balik ke wad, dengan diiringi suami dan anak-anakku. Ketika itu, lebih kurang pukul 6 petang. Beberapa minit di wad aku dah boleh bangun dan pergi buang air kecil di tandas dengan dipimpin oleh Wati - tanpa wheel chair! Kuat juga aku ye!!! Sepanjang duduk di wad, malamnya aku dijaga oleh Wati dan siangnya dijaga oleh Wani dan Abah...

* Terima kasih Abah, Wati dan Wani 

Aku mesti duduk di wad sekurang-kurangnya 5 hari selepas pembedahan, hidup dengan drip kerana tidak boleh sedikit pun apa-apa yang masuk ke dalam perutku, sehingga tidak ada lagi saluran veins pada tanganku dapat menerima cucukan jarum drip!!! Akan tetapi pada hari keempat, aku merayu untuk keluar wad sebab aku rasa lagi sakit duduk di wad!!! Kebetulan hari tu hari Khamis dan aku terpaksa menunggu hari Ahad pula nanti untuk keluar wad sebab week end di Kelantan ialah Jumaat dan Sabtu.

Pada 17 Feb 2011, aku dibenarkan keluar wad, dan atas budi baik Kak Wan Noriah pemilik Min Camp Homestay, kami dapat duduk di sana beberapa hari. Aku risau sama ada boleh buang air besar atau tidak, kerana memang mengharapkan aku dapat 'lepas hajat' selepas reverse ileostomy. Alhamdulillah, sampai di Min Camp aku dapat buang air besar!!! Ya Allah, leganya walaupun sakit kerana sudah sebulan tidak berfungsi dan ditoreh pula ... Dan, aku duduk di situ selama 5 hari untuk berehat sebelum balik ke KL. Sempat pergi ke rumah Dr. Nik dan dapat makan soto nasi yang lazat - takut nak makan, tapi belasah jerlah!! Terima kasih Dr. Nik. Suami juga sempat buat rendang ayam Nogoghi untuk 'membalas kunjungan bekal' Dr. Hasanah dan Dr. Nik sebelum ini. Banyak bekal dan buah tangan untuk kami sekeluarga daripada mereka dulu!!

* Terima kasih Kak Yah, Dr. Nik dan Dr. Hasanah

Pada 20 Feb 2011, aku pergi ke klinik surgeri berjumpa Dr. Maya untuk pemeriksaan akhir sebelum balik ke KL. Insyaallah, semuanya ok. Beberapa hari sebelum tu, aku ke klinik onkologi untuk buat janji temu kemoterapi, dan menentukan ubat dan rejim kemo yang akan digunakan. Oncologist menetapkan regim FolFox dan dijangka bermula pada bulan April, sebanyak ... kitar (lupa berapa kitar). Semasa ke klinik surgeri, aku bertembung dengan sepupuku Idan, yang juga hendak berjumpa dengan Dr. Maya kerana masalah kolon. Ya Allah, janganlah dia menghidap penyakit yang kuhidapi ini ...

Pada 22 Feb 2011, kami bertolak balik ke KL naik 'gajah' suamiku - alas tempat duduk dengan toto. En. Shuib sudi melepaskan kami sebelum bertolak. Terima kasih En. Shuib. Sampai Di Awana Kijal, kami singgah berehat dan bermalam di situ, dan meneruskan perjalanan pada pagi esuknya. Pada 23 Februari 2011...HOME SWEET HOME ... selepas sebulan aku berada di KB dan 'menggantung perut' semasa rawatan - tangan dan lengan memang sahlah setiap hari kena gantung; gantung untuk 'makan'. Aku kehilangan 13 kg!!! Perutku 'lempeng' dan badan memang kurus...hehehe, tak perlu berdiet atau pergi gila-gila exercise kat gym.

Seorang rakan mengenalkan kami kepada seorang ustaz untuk rawatan alternatif. Menurut ustaz tu, apa yang berlaku kepadaku sebenarnya bukan kerana kanser sangat, tetapi makhluk halus. Ustaz tersebut menasihatkan kami mengamalkan doa 'Manzil' dan aku melakukannya, sebagai satu usaha juga. Selepas itu, aku pergi ke rumah sahabatku untuk 'berubat' dan rasa tak percaya apabila berlaku seperti apa yang aku lihat di TV program MISTIK dan perubatan Darusyifa' tu. Hohoho...seram!! Ya Allah ... Katanya ada saka yang telah membuat perjanjian dengan nenek moyangku dulu-dulu untuk menjagaku, tetapi sebaliknya memudaratkanku! ... Wallahualam ...

* Terima kasih semua rakan dari DBP dan kakak-kakak yang telah pencen, menziarahiku
* Terima kasih Dr. Zaharah dan keluarga yang telah menziarahiku di rumah
* Terima kasih Kak Ram yang memberiku ramuan yang bolih membantu menyejukkan semasa kemo
* Terima kasih Wardati yang telah memberikan  apricot seed dan beras berkhasiat
* Terima kasih kepada yang telah menyediakan dokumen/surat yang ku perlukan untuk rawatan susulan/lanjut
* Terima kasih staf Bahagian Buku Umum dan Ensiklopedia, yang telah memberikan derma untukku 

Semasa di KL, baru terfikir sama ada larat atau tidak berulang buat kemo di KB nanti. Lantas, aku mohon Dr. Maya memberiku surat rujukan ke HUKM untuk meneruskan kemo. Pada 15 Mac 2011, ke HUKM. Pada 1 April 2011, buat CT Scan semula, dan mengambil darah untuk pemeriksaan dan CEA. Apabila diperiksa keputusan CT scan, HUKM mengatakan aku tak perlukan kemo, cuma survellience jer dan ambil darah semula pada bulan Jun pula (tak silap)...HAH....TAK PERLU KEMO???

Allah maha Mengasihani...tiba-tiba oncologist HKL, Dr. Zabedah menelefonku bertanyakan khabar. Dr. Zabedah ialah salah seorang penilai manuskrip bidang perubatan yang pernah aku uruskan. Aku menceritakan segala-galanya kepada beliau. Beliau meminta aku datang menemuinya untuk mendapatkan pandangan kedua, dengan membawa segala dokumen yang ada. Pada 25 April, aku berjumpa dengan beliau. Beliau menasihatkan aku menjalani kemoterapi dan radioterapi, dengan kemo regim 5-FU. Aku bersetuju dengan kemo tetapi tidak setuju lagi untuk radio; beliau memberikan masa untuk aku berfikir. Aku minta FolFox dan oxiloplatin, tetapi beliau tak bersetuju. Apa yang aku perlukan hanyalah kemo 5-FU sebanyak 6 kitar dan 25 kali radioterapi. Kami argue juga!!! Beliau minta aku balik dan berfikir. Sebenarnya regim kemo ini adalah yang paling ringan, cuma radioterapi tu menggerunkanku nak menempuhinya. Aku gerun memikirkan kesan sampingannya, seperti yang aku ketahui daripada internet.

Setelah berfikir masak-masak, aku membuat keputusan untuk menjalani kemoterapi, tetapi tidak radioterapi. Aku request untuk buat PET Scan dan dibuat di PPUPM. Daripada PET Scan tiada apa yang serius. Akhirnya, pada 5-10 Mei aku menjalani kemoterapi kitar yang pertama. Aku agak upset kerana terpaksa duduk wad kelas 3 dahulu; tidak selesa, dari segi tempat, toilet dan makanan. Tetapi, akhirnya aku dipindahkan ke wad kelas 2 dan kemudian kelas 1. Dan ... selesailah sudah kemoterapi kitar pertama tanpa ditemani sesiapa di wad. Keluarga hanya datang melawat semasa lawatan sahaja kerana aku tiada mengalami apa-apa masalah yang memerlukan penjagaan; cukup oleh petugas di wad. Semasa menjalani kemoterapi terasa pening pada hari pertama, dan apabila selesai sempat pula pergi shopping membeli barang-barang untuk homestay kondominuimku. Suka hati sangat tak ada apa-kesan sampingan, tetapi dua hari selepas itu aku terlepek selama 3 hari! Padan mukaku kan ... eksyen sangat kononnya tak ada apa-apa.

Pada 3 Jun - 12 Julai 2011, aku masuk wad semula untuk kemoterapi dan radioterapi, selama 5 minggu, dengan diberi cuti balik ke rumah pada hari Jumaat setelah selesai prosedur dan kembali semula ke wad pada hari Ahad atau Isnin pagi. Semasa balik ke rumah, aku tidak dapat berehat kerana perlu menjengah anak bongsuku yang sedang menjalani latihan PLKN di Hulu Selangor, setiap hari Ahad. Maka, setiap hari Ahad aku dan anak-anak akan ke Hulu Selangor menemani nak bongsuku dengan membawa bekalan makan tengah hari - katanya makanan di situ, hampeh!!! Kesian dia, sebab itu aku dayakan juga menjengahnya dan terus balik ke wad. Jika Abah ada di darat, kami pergi bersama-sama.

Pada minggu pertama, aku kena menjalani kemoterapi + radioterapi, dan dapat tempat di wad kelas I (mula-mula 4 orang sebilik, kemudian 2 orang sebilik). Nasib baik dapat pindah 2 orang sebilik sebab bilik 4 orang yang aku duduk ada seorang patient yang meninggal!!! hohoo aku takut! Seram ... Nasib baik mayat (China) cepat dibawa keluar.

Minggu kedua, ketiga dan keempat, aku menjalani radioterapi dan tiada mengalami apa-apa masalah ... kecuali pada hujung minggu keempat, darah putihku rendah dan aku berasa lemah. Dr. menyuntik ubat untuk boost darah putih. Lemah dan sakit badanku dibuatnya disebabkan kesan ubat itu!!! Nasib baik masa tu aku dapat duduk dalam bilik seorang dan ditemani Wati setiap hari, siang dan malam. Minggu kelima aku sangat lemah, dan pada masa itu juga aku kena menjalani kemoterapi + radioterapi serentak. Ya Allah seksanya...

* Terima kasih Dr. Hasanah, En. Shuib dan Yani yang telah menziarahiku semasa aku menjalani kemo di wad
* Terima kasih Wati kerana sentiasa menjaga mak dengan begitu baik sekali

Akhirnya pada 12 Julai 2011, rawatan bagi kitar ini selesai dan aku balik dalam keadaan yang amat lemah sekali. Abah pula berada di pelantar bertugas. Tinggallah aku dengan anak-anak. Dua minggu aku seperti sayur - duduk atas katil sahaja - lemah dan cirit-birit yang sangat teruk!!! Terjerit aku setiap kali ke toilet dan masa itu juga aku menggunakan pampers dan bertongkat!!! Minggu itu juga aku tidak dapat menjengah anakku di PLKN. Sedihnya, sebab masa tu aku memang teruk...berjalan pun terpaksa bertongkat. Pada minggu ketiga selepas keluar hospital aku mulai pulih. Alhamdulillah, aku harap dapat berpuasa, yang akan bermula pada minggu berikutnya. Anakku pun telah balik dari PLKN. Kemoterapi seterusnya, sepatutnya semasa puasa tetapi aku minta ditangguhkan hingga selesai raya puasa. Alhamdulillah, aku dapat berpuasa penuh sebulan!!!!

* Terima kasih keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan dorongan semangat dan mendoakanku
* Terima kasih Dr. Zabedah yang memberikan pelepasan kepadaku menjalani kemo seterusnya selepas raya

Pada 26-30 Sepatember, aku menjalani kemoterapi kitar yang keempat. Aku tak sanggup lagi nak duduk wad dan minta buat day care sahaja. Pada hari pertama kemoterapi, aku balik terlepek!!! Alhamdulillah, hari kedua dan hingga akhir, ok sahaja. Namun, dalam masa seminggu selepas itu aku cirit-birit juga!!! Menunggu untuk kemoterapi kitar yang kelima pula. Aku rasa torture sangat nak menempuhnya lagi; fobia memikirkan jarum yang akan dicucuk pada chemoport dan dengan juntaian wirenya - nak buat macam mana. Untuk menenangkan hati, aku dan anak-anak ke Terengganu berehat dan menikmati keindahan pantai, ombak dan laut Terengganu ... memang seronok dan relaks. Lupa semua derita ...

Pada 24-28 Oktober aku menjalani kemoterapi kitar kelima. Pada hari pertama melepek!! Hari ketiga ialah hari Deepavali dan terpaksa buat kemoterapi di wad - suami pula telah balik 'ke laut', maka Wati terpaksa mengambil alih tanggungjawab menghantarku ke hospital. Balik aku melepek!!! Alhamdulillah, lepas tu semua ok. Cuma ada cirit juga sedikit. Kini, menunggu untuk kemoterapi terakhir pada 21-25 November 2011, dan lepas tu selesai rawatan. Sebelum tu, aku dan keluarga akan ke Terengganu lagi - jalan-jalan, relaks-relaks dan makan-makan sebelum kemoterapi. Selesai rawatan nanti, menunggu untuk holiday hujung tahun, yeay ... Lepas tu, kena plan apa nak buat apabila semuanya sudah selesai ... Semoga Allah mempermudahkan segala urusanku dan keluargaku ... Nasib baik rawatan susulan dipindahkan ke KL. Jika tidak mungkin aku tidak berdaya untuk berulang ke KB menjalani kemoterapi. Sesungguhnya, tahun ini ialah tahun yang sangat mencabar buatku dan keluarga. Dan ... aku kini mempunyai teman sejati yang sentiasa mendampingi ku. Teman sepanjang hayatku ... kanser rektosigmoid.

* Terima kasih yang tidak terhingga keluargaku, terutamanya Abah dan Wati, saudara-mara dan rakan-rakan yang telah mendoakanku dan memberikan dorongan semangat kepadaku dalam menghadapi ujian Allah yang besar ini - walau di mana kalian berada ... aku juga mendoakan kalian semoga Allah memberikan balasan dan ganjaran yang sebaik-baiknya atas budi baik kalian 
* Mohon maaf jika ada nama-nama yang tertinggal untukku ucapkan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga
* Mohon maaf atas segala salah dan silap aku terhadap kalian, serta halalkan makan dan minum

Al-Kisah ...

Maka tersebutlah kisah seorang gadis anak bongsu yang suatu ketika dahulu tinggal di kampung, hidup dengan keluarganya yang serba kemiskinan dan kekurangan. Lantas, kemiskinan dan kekurangan itu menyebabkan orang-orang kampong memandang rendah dan hina terhadap keluarga si gadis, dan kadang-kadang rasa tersingkir daripada masyarakat. Itulah lumrah hidup di dunia ini ... yang kaya dan berpangkat dipandang tinggi, manakala yang miskin hidup ibarat melukut di tepi gantang. Namun, gadis itu tetap hidup dengan limpahan kasih sayang daripada kedua ibu bapa (maklumlah anak bongsu), dan dengan keperluan yang mencukupi dalam kehidupan sehari-harian, terutamanya dari segi pendidikan.

Si gadis itu amat menyedari dengan kekurangan dan pandangan orang terhadap keluarganya, lantas menjadi seorang yang selalu berasa rendah diri, dan suka memerhatikan sikap dan tingkah laku orang-orang di sekelilingnya. Dengan kesedaran itu, si gadis berazam akan mengubah keadaan keluarganya dan persepsi orang terhadap keluarganya. Apa yang dapat dilakukan ialah berjaya dalam pelajaran, lantas si gadis berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran, di samping berdoa kepada Allah semoga apa yang dihajatinya dikabulkan Allah. Dengan minatnya suka memerhatikan dan memahami sifat manusia, si gadis bercita-cita untuk menjadi seorang doktor, khususnya pakar psikologi. Si gadis berazam akan menjaga kedua ibu bapanya dengan suasana senang yang tidak dapat dirasai mereka pada ketika itu.

Berkat usaha gigih itu, si gadis telah berjaya dalam pelajarannya hingga ke peringkat Universiti, dan seterusnya dapat menjawat jawatan sebagai seorang pegawai. Begitulah lumrahnya hidup manusia, ... Masyarakat mula memandang tinggi kepada keluarga si gadis, namun pengalaman pahit tidak menjadikan si gadis lupa diri dan berazam untuk sentiasa menanamkan nilai murni di dalam dirinya, dan menunaikan hasratnya selama ini untuk menjaga dan memberikan kesenangan kepada kedua ibu bapanya sehinggalah si gadis membina rumahtangga dengan orang yang dikasihinya sepenuh hati, dengan restu kedua ibu bapa ... sehingga dianugerahi empat orang cahaya mata ...

Walau bagaimanapun, Allah maha pemurah ... Setelah beberapa bulan si gadis mendirikan rumah tangga, bapanya telah meninggalkannya sebelum sempat melihat cucunya yang baru dikandung oleh 'si gadis'.'Si gadis' mengambil alih tanggungjawab menjaga ibunya bersama-sama suami (kerana itulah janjinya kepada diri sendiri dan ibunya), hinggalah ibunya menyusul ayahnya beberapa tahun kemudian. 'Si gadis' amat terasa sangat kehilangan ibu yang dikasihi itu. Namun, daripada Allah kita datang maka kepada Allah jualah kita kembali ...

Aku ... ASIAH ...  itulah 'gadis' dan ' si gadis' itu ...

Untuk menghilangkan rasa kehilangan itu, aku menumpukan perhatian ku kepada kerja, suami dan anak-anak. Pada mula-mula aku bekerja sebagai seorang editor (tidak sebagai seorang doktor - namun tetap ...TOR juga kan!), aku merasa tidak seronok kerana aku seorang yang outdoors dan lebih berminat bekerja di lapangan setelah aku tidak jadi mencapai cita-cita menjadi seorang doktor psikologi. Allah maha pemurah, apabila aku ditugaskan untuk menjadi seorang editor perolehan, yang memerlukan aku keluar membimbing penulis untuk memperoleh judul yang perlu diterbitkan. Aku sangat enjoy berurusan dengan penulis persaorangan, penulis dari Sabah Parks, Jabatan Perikanan, dan yang terakhir aku banyak berurusan dengan penulis dari HUSM. Berurusan dengan penulis dari HUSM lebih banyak mendidikku tentang nilai murni ... Namun, dalam keghairahan dan kemuncak aku dalam karier sebagai editor, mungkin Allah menginginkan aku lebih dekat kepada-Nya, maka Dia memberikan aku ujian penyakit yang digeruni manusia, iaitu KANSER. Bermulalah kehidupanku sebagai seorang cancer survivor, lantas aku memilih namaku dalam blog ini sebagai AsiahRSC, short form Asiah RectoSigmoidCancer

Begitulah kisahnya ...