Wednesday, March 20, 2013

Brisk Walking

Telah beberapa bulan aku tidak pergi ke gym lagi. Wati dah bekukan akaun kerana dia terlalu sibuk untuk menyiapkan kerjanya supaya tidak lari dari target date (selalu juga lari tu!). Aku nak pergi sorang-sorang, malaslah pulak bila tak ada kawan ke sana. Setiap kali lalu di padang tu, meluap-luap hati nak pergi jalan kaki di situ, pun tak ada kawan juga. Puas ajak Wati pun tak boleh; abah apa lagi, tak nak dia! Abah sibuk dengan kebunnya bila berada di darat, sempat lagi kirimkan gambar melalui whatsapp ...

Air terjun berhampiran dengan kebun di kampung; cantik!!

Minggu lepas, tiba-tiba seorang jiran tu pun nak pergi jogging juga. Kami pun berjanji dan pergi ke padang bersama-sama. Tapi, kami kena pergi dalam pukul 8.30 pagi kerana jiran nak hantar anak ke sekolah dulu. Tak apalah, janji ada kawan dan dapat pergi padang, cuma panaslah bila pergi lewat sikit tu. Kami jalan pantas selama setengah jam jer.

Semalam dan hari ni, jiran tak dapat pergi sebab ada hal. Aku rasa sayang bila dah mula tu nak berhenti pulak. Mmmm ... pergi jerlah sorang-sorang! Malangnya, semalam pulak sedang aku sedap-sedap jalan berpeluh-peluh perut buat hal pulak. Baru 15 minit jalan, terpaksa bergegas balik ...

Haha ... berlari balik kejar toilet!

Hari ni, aku pergi awal sikit. Hari belum panas lagi dan bila sampai nampak padang meriah. Ramai orang dan burung pun becok berkicauan. Aku pun terus buat exercise berjalan pantas - tak berani nak jogging. Sambil tu sempat juga ambil gambar ...

Ada yang berjalan, ada yang berjogging

Di hujung padang ada tempat untuk kanak-kanak bermain. Pagi ni tiada kanak-kanak; selalunya ramai kanak-kanak pada waktu petang ...

Taman permainan kanak-kanak

Berhampiran, terdapat gelanggang bola keranjang. Pagi ini tiada oang yang bermain bola keranjang (selalunya waktu petang mereka bermain), maka pagi ni ada sekumpulan yang bersenam Qi Gong (rasanyalah) di situ ...

Baru selesai ...

Di hujung padang sebelah sini pula terdapat satu kumpulan wanita yang melakukan senaman beramai-ramai dengan bimbingan seorang instructor. Mereka seperti beraerobik. Daripada makluman seorang ahli yang sempat aku berbual, senaman kumpulan ini bermula pada pukul 7.30 pagi dan bayaran hanya RM5 sebulan untuk tampung bateri radio tu. Terasa juga nak join, tapi nantilah. Tambah pulak pagi ni tadi aku dengar muziknya macam muzik opera jer! Aku lebih suka berjalan pantas ...

Bersenam mengikut muzik

Aku meneruskan aktivitiku sendirian berjalan pantas. Hari pun dah mula panas dan peluh pun menitis-nitis dah. Rasa seronok sangat berjalan pantas sambil menikmati keindahan matahari pagi naik ...

Natural Vitamin D, tak payah beli kat GNC mahal tu! huhaa, huhaaa ...

Sebelum ni, bila hari semakin panas padang semakin lengang. Tapi hari ini, lagi panas semakin meriah pulak! Sekumpulan mereka yang melakukan senaman dan berlatih bola sepak datang ...

Berlatih bola sepak

Sejurus lepas tu pulak, dari jauh nampak mengemut 'semut merah' bergerak menghampiri padang! Mereka ialah kanak-kanak dari TADIKA yang berhampiran ...

Comel-comel semua anak-anak ini ...

Mereka membuat aktiviti fizikal di gelanggang bola keranjang. Tak sunyi gelanggang ini ...

Pasti anak-anak ini seronok

Aku meneruskan aktiviti berjalan pantas. Dah rasa puas berjalan aku masuk ke tempat work out dan melakukan sedikit work out di situ. Tempat ni pun tak sunyi juga. Tadi sekumpulan wanita tu dan sekarang aku pulak! hehe ...

Habiskan masa 15 minit di sini

Selepas cool down, masa menikmati apa yang ada di persekitaran padang pula ...

Bunga yang kembang mekar dan juga berguguran

Tertarik dengan buah pokok ini

Dah puas menikmati persekitaran, masa untuk beredar. Sebelum beredar, sempat ambil gambar padang ni dari jauh ...

Banyak pusingan juga aku jalan mengelilingi padang yang luas ini selama 45 minit!

Harap-harap aktivitiku berjalan di padang ini akan berterusan, dan bukan hangat-hangat tahi ayam jer, huhu ... Anyway, I enjoy it very much though I'm doing it alone. Harap-harap dapat jumpa ramai kawan di padang nanti ...

Wednesday, February 6, 2013

My New Classic Beauty - Kumbang Merah

Semasa masih bekerja, memang telah menjadi kebiasaan penghuni di bandar raya KL ini sentiasa bergerak cergas untuk mengejar masa, dan paling ketara untuk mengatasi kesesakan lalu-lintas. Kebanyakan pasangan suami isteri dengan anak-anak sekalipun mempunyai kenderaan sendiri, kerana rata-rata masing-masing mempunyai haluan dan destinasi sendiri. Sebagai salah seorang penghuni, aku tidak terkecuali dan sejak bekerja telah beberapa kali aku bertukar kereta. Akhir sekali aku memiliki Mitsubishi Lancer GT warna merah, yang kami gelar 'jerung merah'. Melurulah aku setiap pagi dan petang, mengejar masa dan cuba mengatasi kekesakan lalu-lintas pergi dan balik kerja. Setelah aku jatuh sakit dan cuti panjang, 'jerung merah' jatuh ke tangan Wani yang perlu berulang-alik ke UNITEN, dan aku pun bersara.

Apabila bersara, tidak terlintas dalam hatiku nak memiliki kereta lain lagi. Suatu hari, Abah (suami) mengatakan kawannya ada sebuah kereta VW Beetle yang masih cantik untuk dijual. Abah teringin nak beli, tetapi aku tidak bersetuju. Suatu hari, Abah menunjukkan gambar kereta tersebut ...

Depan
Belakang
Dalam
Enjin 1.6 cc

Whoaaa ... apabila aku melihat gambar-gambar tersebut, aku terus jatuh cinta dengan kereta ni! Aku lantas nak Abah beli 'kumbang' ni - jadi hadiah sempena dengan persaraanku! hehe. Tanpa dirancang, Abah terus mengesahkan kepada kawannya akan hasrat kami nak beli kereta tersebut. 

Semasa pergi ke JB minggu lepas, kami nak singgah di rumah kawan Abah melihat 'kumbang' ni, tapi tak sempat. Kami bercadang nak pergi lain kali dan mengambilnya. Akan tetapi, menurut kawan Abah, 'kumbang' ni akan dihantar oleh anaknya sendiri, kerana beliau tidak yakin ia boleh 'terbang' dari Batu Pahat ke KL kerana ada wayar yang telah rosak dan road tax pun dah mati pada Januari 2013 (beliau tidak perasan sebelum ni). Semalam,  Selasa 5 Januari 2013, aku amat teruja apabila 'kumbang' ini sampai ...

'Kumbang' merahku dah sampai!

Hua, hua ... tak terkata aku melihat 'kumbang' merahku dah sampai dan diturunkan dari lori! Memang masih cantik lagi, tetapi perlukan upgrading. Apabila diperiksa, ia perlukan bateri baharu dulu. Zafhri minta aku serahkan kepadanya untuk dibuat segala-galanya. Aku nak Zafhri cari barang-barang original beetle klasik ini supaya betul-betul menjadi classic beauty tetapi dengan prestasi yang bagus. 

Pagi ni, Abah memanggil kawannya dari workshop untuk membantu menghidupkan enjinnya dan memeriksa benda-benda lain. Seronoknya mendengar bunyi enjinnya apabila dihidupkan, dan nampak seronok sangat nampak Abah cuba pandu. Inilah keretaku nanti, yang mungkin bukan 'kumbang' merah tetapi 'kumbang' warna lain, tak pasti lagi ...

haha ... 'Kumbang' merahku di depan rumah

Tahun depan Abah pulak bersara dan kami nak jadikan 'kumbang' ini sebagai kereta kami, pasangan otai, berjalan-jalan ke sana sini. Untuk berjalan sekeluarga, kami tetap akan menggunakan 'gajah' Abah yang akan kami upgrade juga, isya-Allah. Rasa-rasanya cukuplah kehidupanku selepas bersara ini ... mendekatkan diri kepada Illahi, melakukan perkara-perkara yang aku suka dan meneroka alam ciptaan Illahi dengan apa yang kami ada ...

Dulu ... 'Jerung' merah untuk berkejar pergi dan balik kerja!

Sekarang ... 'Kumbang' merah untuk pasangan otai bersantai!

Thursday, January 24, 2013

Hari Ini dalam Sejarah; 3-in-1

Hari ini, Khamis 24 Januari 2013, merupakan 3 nukilan sejarah dalam hidupku (3-in-1). Pertama-tamanya, pada hari ini bersamaan 12 Rabiulawal 1434 Hijrah, umat Islam seluruh MAlaysia menyambut hari sambutan keputeraan junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW. Keduanya, hari ini merupakan ulang tahun kedua aku menjalani rawatan pembedahan. Seterusnya, hari ini ialah hari pertama aku bergelar pesara.

Kembali ke tahun 2011, pada tarikh dan pada ketika ini, aku tidak pasti sama ada aku sedang terlentang di atas meja pembedahan atau berada di ICU untuk pemulihan selepas pembedahan. Pengalaman itu telah disebutkan dalam entri sebelum ini, ceritaku: diagnosis dan prognosis. Apa yang pasti, selepas aku diberi ubat bius sedut pada pada paginya, aku tersedar apabila pipiku ditepuk dengan perlahan-lahan dan namaku dipanggil. Dalam keadaan sedar atau tidak, aku rasa aku berada di bilik ICU. 

Pada masa itu, aku masih belum mampu membuka mata, tetapi aku dapat mendengar kehadiran orang berjalan di sekelilingku ... agaknyalah! Aku juga dapat merasai aku disuluhi lampu pemanas dan blanket pemanas, kerana pada masa itu aku berasa amat sejuk sekali. Apa yang aku harapkan ketika itu ialah suami dan anak-anakku datang melihatku, tapi aku tidak merasai kehadiran mereka.

Walau bagaimanapun, anakku mengatakan bahawa mereka datang melihatku di ICU selepas aku keluar dari bilik pembedahan. Katanya, keadaanku ketika itu kelihatan teruk ... katilku dikelilingi pelbagai jenis mesin bantuan buatku, juga di atas badanku, hinggakan anak bongsuku tidak sanggup menatap keadaanku begitu. Daripada gambaran yang diberikan oleh anakku dan pencarian dari internet, rasa-rasanya masa itu aku kelihatan lebih kurang seperti dalam lakaran di bawah, mungkin tanpa chest tube,  tetapi dengan suluhan lampu pemanas dan blanket pemanas ... agaknyalah. Menurut anakku juga, disekellilingku penuh dengan pelbagai jenis mesin, malah atas badanku juga! Whoaaa ... pasti aku nampak macam robot dalam filem tu kot!

Dari Internet

Semasa aku ditolak ke wad pun aku separuh sedar. Apa yang aku sedar ialah apabila aku membuka mata sebentar, aku melihat langsir pesakit diwad bertutup; menandakan hari malam. Sememangnya,  selepas itu aku diberitahu yang aku ditolak ke wad sekitar pukul 3 atau 4 pagi! Lamanya aku menjalani pembedahan dan pemulihan di ICU.

Setahun berlalu ...

Selepas aku selesai menjalani semua rawatan (kemoterapi dan radioterapi), aku mengingatkan dan merenung-renungkan kembali saat aku menjalani pembedahan dan pemulihan itu ... Semasa dalam rawatan tak sempat sangat nak memikirnya sebab sengsara menjalani rawatan dan menanggung kesannya.

Apa yang terlintas dalam fikiranku hingga kini, kemungkinan aku tak bangun-bangun lagi apabila pembedahan selesai! Semasa menempuhi pemulihan di ICU, aku tertanya-tanya adakah begitu keadaan orang yang nazak? Aku dapat merasai dan mendengar pergerakan di sekelilingku, tetapi aku tak dapat membuka mata dan tak dapat membuka mulut, bersuara untuk mengatakan yang aku sangat sejuk dan bertanyakan keluargaku. Aku hanya mampu memejamkan mata dan mendengar tanpa mampu bergerak atau bersuara, Subhanallah. Menurut anak dan suamiku, semasa aku dalam keadaan begitu, doktor bedah mengatakan aku baru 30% sedar, Allahuakbar.

Daripada pembacaan dan penceritaan para ulama, bayangkanlah jika ketika itu aku berada dalam keadaan nazak untuk menemui Pencipta-ku ... Dalam keadaan tak mampu bergerak, tak mampu membuka mata, tak mampu bersuara, Allah membukakan hijab dan aku nampak destinasiku di alam yang lagi satu!!! Ya Allah ... mengingatkan itu, betapa kecutnya perutku! Semua itu memberikan keinsafan kepadaku dan bertanya kepada diriku bagaimanakah kesudahanku di hujung nyawaku nanti. Semoga Allah mengambil nyawaku, keluargaku, adik-beradikku dan sahabat handaiku semua dalam keadaan baik dan beriman, bersih daripada dosa dan noda, dimudahkan perjalanan di alam kubur dan alam barzakh, dan dikumpulkan roh kami bersama-sama roh-roh orang yang beriman dan orang-orang yang dimasukkan ke dalam syurga. Semoga kita semua diberi tempat di syurga Allah, aamiin ...

HARI AKHIR DI DBP - BERSARA PILIHAN


SELAMAT BERSARA DIRIKU, ASIAH SALLEH ...

Mengimbas kad pekerja buat kali terakhir.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 
 Tempatku mencari rezeki - penuh dengan kenangan manis dan pahit ...

Semalam, bertarikh 23 Jan 2013, akan menjadi nukilan sejarah dalam kehidupanku hingga ke hujung nyawa. Tarikh itu merupakan hari terakhirku secara rasminya bergelar editor penerbitan di DBP, selepas hampir 30 tahun aku mengabadikan diri di situ mencari rezeki, membina karier dan kehidupan ... Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk bersara pilihan, menjadi ahli POP (Persatuan Orang Pencen). Sebelum ini, telah beberapa kali aku bercadang nak bersara pilihan, tetapi tak jadi juga. Sememangnya, tidak dinafikan aku amat sayang dan menyukai profesionku sebagai seorang editor, dan begitu susah untuk mengambil keputusan nekad bersara, walaupun telah beberapa isyarat datang kepadaku supaya berbuat demikian sebelum ini ...

Suatu ketika dahulu, aku berasa begitu tertekan dengan kerja dan berhasrat hendak bersara. Akan tetapi, salah seorang sahabat menasihatiku bertahan dahulu kerana masih muda, berumur 40 tahun (muda sangatlah tu kan!). Beliau menyuruh aku take a break dengan melanjutkan pelajaran. Lantas, aku pun mengambil kursus MBA di UPM, walaupun berasap. Apa taknya ... selama ini aku dilatih dalam bidang  sains fizik, tiba-tiba kena buat sains sosial pulak! Walau bagaimanapun, aku berjaya juga dan bersyukur dengan pencapaian diri sendiri. Apabila disarankan untuk melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat PhD... oh aku tak sanggup!

Sebab dah buat kursus pengurusan, aku balik ditugaskan membuat kerja pentadbiran walaupun aku seorang editor; satu pengalaman dan pendedahan yang bagus juga. Kembali menjadi editor penerbitan sepenuhnya semula memang aku harapkan dan tunggu-tunggu. Masa itulah isyarat-isyarat dari segi kesihatan mula datang, tetapi aku abaikan. Memang hal kesihatan telah lama aku abaikan; sebelum ini aku memang sangat berdisiplin mengambil supplements, namun aku berhenti tanpa alasan tertentu ... 

Mula-mula, aku disahkan berkolesterol tinggi, lantas perlu mengambil ubat anti-kolesterol. Kemudian, aku selalu sakit kepala yang doktor mengatakannya aku menghidap migrain. Seterusnya, aku selalu mengalami sembelit, diikuti pula dengan gastrik yang serius. Masih kuingat semasa mengadakan bengkel di Chendering, Terengganu, bersama-sama Jabatan Perikanan, aku dibawa ke ekspedisi mencandat sotong untuk merasai sendiri pengalamannya sebelum membina buku judul itu. Semalaman itu aku mabuk laut, muntah-muntah dan gastrikku naik. Naik ke pantai semula, aku sangat lemah dan kepala seperti nak pecah! (Aku akan mengalami sakit kepala dan muntah apabila gastrik). Pergi ke klinik kena satu injection, dan terpksa pula balik ke KL dalam keadaan melepek! Lama jugalah aku MC lepas tu. Sejak itu, kesihatanku mulai merosot ... silap sedikit aku akan demam dan gastrik akan naik. Aku mula mengambil supplements semula dan apabila keluar bertugas untuk mengendalikan bengkel bimbingan penulis, aku mesti membawa ubat dan supplements kerana kesihatanku pasti terjejas. Yang teruknya, aku mula berak darah! Walau bagaimanapun, aku tetap aktif dengan kerja-kerja bimbingan penulisan bersama-sama penulis Jabatan Perikanan, Sabah Parks dan HUSM Kubang Kerian, walaupun ada mendengar desas-sesus mengatakan mengapa Asiah sebagai senior editor keluar buat kerja-kerja begitu ... Jika orang itu ada membuat kerja-kerja yang aku  buat itu, pasti dia akan faham! Mungkin mereka menjangkakan aku dan teamku mengambil kesempatan berjalan-jalan atau bersiar-siar bila keluar begitu, sedangkan setiap kali selesai berbengkel nak keluar makan pun tak dapat sebab terlalu letih dan menyelesaikan perkara yang perlu dibawa dalam bengkel pada esuknya. Mungkin ada yang berperanagi begitu, itu bukan urusanku!!!

Semasa banyak berbengkel di HUSM, aku menjalani prosedur memasukkan wayar berkamera ke dalam perut dan mendapati semuanya ok. Sehinggalah, keadaan menjadi serius aku menjalani colonoscopy dan disahkan menghidap kanser ... aku  mula terfikir memang sudah sampai masanya aku perlu berehat dan meninggalkan profesion yang sangat aku minati ini - mengambil keputusan bersara pilihan ...Dan, itu jugalah kehendak keluargaku.

Memangpun, hampir dua tahun bercuti sakit aku rasa memang tak boleh lagi nak mengadap kesesakan lalu-lintas di jalan raya, pergi dan balik ofis. Juga, rasa tak larat nak mengadap pelbagai kerenah di tempat kerja. Semasa sekali-sekala pergi ofis pun aku dah rasa kekok! Lantas, bersara ialah jalan yang terbaik dan aku amat yakin dengan keputusanku itu. Itu pun dalam tempoh setahun aku berfikir, semasa menjalani rawatan. Aku mengemukakan borang permohonan bersara pilihan selepas aku selesai menjalani semua rawatan.

Semalam, aku diminta datang ke ofis pada pukul 8.30 pagi untuk bertemu Ketua Pengarah DBP (Prof. Dr. Hj. Awang Sariyan) dan Timbalan Ketua Pengarah DBP (En. Kamaruzzaman Shaharudin, juga bosku semasa di Bahagian Dasar dan Pembangunan Korporat dahulu). Dengan kesesakan lalu-lintas, aisayyyy ... aku sampai depan pejabat KP pukul 8.35 pagi!!! Hai, apalah ... detik akhir itu aku tidak menepati masa, dan memalukan!!! Walau bagaimanapun, pertemuan berjalan dengan harmoni. KP menyampaikan surat penghargaan dan beberapa dokumen, manakala Pengerusi Badan Keluarga DBP (En. Kusni Ahad, juga bosku semasa di Bahagian Dasar dan Bahagian Korporat dahulu) menyampaikan cendera hati daripada pihak Badan Keluarga DBP ...

Bertemu dengan KP dan TKP
Menerima surat penghargaan daripada KP
Menerima cendera hati daripada Pengerusi Badan Keluarga.
En. Kusni kata, "payung besar, muat 6 orang" haha...

Memandangkan aku masih dalam cuti sakit, aku tak perlu menunggu sehingga petang untuk mengimbas kad pekerjaku buat kali terakhir. Makanya, aku berlakon sahaja mengimbas kadku, ditemani oleh En. Kusni, Tn. Haji Abdul Halim Harun (Ketua Bahagian HRM, juga teman sekerjaku semasa di Bahagian Dasar dahulu) dan beberapa rakan dari Bahagian lain di DBP.

Mengimbas kad pekerja buat kali terakhir
Seterusnya, aku dibawa oleh Noriza untuk mengabadikan diri bergambar kenangan di beberapa lokasi di DBP, walaupun tidak semua, secara individu atau bersama-sama rakan-rakan...

Dalam galeri
Di samping gambar-gambar Ahli Lembaga Pengelola DBP
Di samping gambar-gambar Ketua Pengarah DBP
Di lobi 
Dalam galeri
Dengan bosku dan juga sahabat seperjuangan,
Ketua Bahagian Buku Umum, Pn. Padilah Ali
Dengan sahabat seperjuangan, Pn. Asiah Daud,
Ketua Bahagian Harta Intelek dan Hak Cipta Antarabangsa 
Dengan Noriza, yang telah banyak membantuku dalam urusan persaraan ini.
Terima kasih Iza
My dear BFF, Yani. Will miss you ...
Akak doakan Yani terus berjaya dan akan menjadi salah seorang peneraju peringkat tinggi di DBP nanti. You can make it!
Gambar candid di tangga pintu masuk utama DBP
Di lobi
Di lobi
Dengan sebahagian rakan dari pentadbiran

Dengan sebahagian rakan dari Bahagian Ensikopedia (jiran Bahagaian Sains dan Teknologi). Mana rakan-rakan dari S&T? huhu ...


Selesai semuanya, aku pun melangkah keluar DBP dengan membawa segala macam kenangan selama bertugas di situ. Di tempat inilah aku membina karierku bekerja dengan memahatkan dalam hati, 'kerja adalah ibadah' dan 'kepimpinan melalui teladan' (dua moto yang mula-mula aku temui apabila melangkahkan kaki ke DBP), mengenali banyak nilai murni dan tabiat manusia dan masyarakat yang  aku jadikan panduan dan iktibar sepanjang hidupku. Dengan berkhidmat di sini, aku memperoleh rezeki yang membolehkan aku membantu keluarga hidup selesa - dapat aku memiliki rumah, kereta, menapung pembelajaran anak-anak dan sebagainya. Semasa berkhidmat di sini, aku berpeluang menjejakkan kaki ke luar negara atas urusan kerja. Semasa berkhidmat di sini juga aku mengenali ramai penulis yang terdiri daripada pelbagai golongan intelektual dan penyelidik, yang memberi peluang kepadaku berkongsi ilmu dan pengalaman mereka, untuk di kongsikan pula kepada masyarakat. Mereka semua menjadi sahabatku dan semoga persahabatan itu kekal hingga ke akhir hayat, dan mereka terus gigih berkarya ...

Semoga ketua-ketua, penulis-penulis dan mereka yang telah sama-sama bekerja denganku memaafkan segala kesilapan, tingkah laku dan pertuturan yang terlanjur  daripadaku. Aku juga berterima kasih kepada mereka yang telah memberikan banyak kerjasama dalam tugasanku, juga menegur dan memberi tunjuk ajar semasa aku mengendalikan dan melaksanakan tugasku. Insya-Allah, aku akan terus menyumbang kepakaranku dalam bidang editorial dan penerbitan sebagai penterjemah dan editor bebas ... mengikut kesesuaian masaku. Aku tidak boleh melupakannya terus kerana ia telah menjadi sebahagaian daripada kehidupanku setelah kira-kira 30  tahun berkecimpung dalam bidang dan profesion ini.

Kini, aku merasa bebas untuk mencari destinasi baharuku. Aku bebas bila-bila masa hendak melakukan  apa-apa aktiviti kesukaanku yang tidak dapat aku lakukan semasa aku masih bekerja - ingin membaca koleksi buku yang kuhimpunkan sejak aku bekerja dan tak sempat aku baca, belajar menjahit (insya-Allah, hehehe), dan semoga Allah mengizinkan dan mempermudahkan aku untuk membayar hutang yang paling besar dalam hidupku - menunaikan fardu haji bersama-sama suami. Semoga Allah memberikan juga kesempatan kepadaku untuk menerokai alam ciptaan-Nya ini, untuk menghayatinya; semoga semua itu akan mendorong aku untuk dapat mendekatkan diri kepada-Nya lagi, aamiin.

Betapa Allah telah merancangkan yang terbaik buatku. Cuma, mungkin ada pihak (ada yang ku dengar daripada rakan-rakan 'sekapal') yang kurang faham bagaimana penanggungan orang-orang yang menghidap penyakit seperti kami. Kami nampak sihat tetapi hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana kami berjuang untuk melawan penyakit ini supaya tidak merebak atau berulang semula, dan menanggung sengsara kesan rawatannya. Ada juga kudengar daripada rakan-rakan 'sekapal' mengatakan kami yang menghidapi penyakit sebegini banyak dosa dan Allah memberikan balasan terhadap dosa-dosa tersebut! Kepada pihak yang begitu, ku harapkan mereka bersyukur tidak ditimpa penyakit begini, kerana untuk menghadapinya memerlukan kekuatan rohani dan jasmani. Apabila kufikir-fikirkan, memang sewajarnya pihak kerajaan memberikan kemudahan cuti sakit 2 tahun kepada penghidap kanser dan janganlah ada pihak yang menyimpan syak wasangka bahawa penghidap sihat tetapi sengaja menghabiskan cuti sakit itu! Sebenarnya, terlalu banyak rahmat yang Allah turunkan kepada kami di sebalik ujian penyakit ini ... Wallahualam ...

Monday, January 21, 2013

HUSM - Selamat Tinggal Chemoport

Semasa pemeriksaan susulan terakhir di HKL pada bulan November 2012, dengan keputusan pemeriksaan CT scan, didapati sel kanser di dalam badanku tidak aktif atau menyerang lagi. Aku memohon doktor onko mencadangkan pengeluaran chemoport di dadaku ini kerana aku mula berasa tidak selesa. Yang aku ingat pun doktor pakar yang menanam chemoport itu memaklumkan bahawa chemoport perlu dikeluarkan selepas 2 tahun. Doktor onko menyuruh aku menyimpannya hingga ke tempoh 5 tahun! Jika nak keluarkan juga, aku perlu pergi ke HUSM semula untuk dikeluarkan oleh doktor pakar yang menanamnya dahulu.

Memang, aku sekeluarga berhasrat hendak ke Kota Bharu, kerana sejak aku menjalani pemebedahan dahulu aku tidak dapat lagi menjejakkan kaki ke sana. Tujuan ke sana pun sebenarnya nak bercuti dan bertemu rakan-rakan penulisku, dan bukan untuk megeluarkan chemoport. Aku cuba bertanya di NCI kos untuk mengeluarkan chemoport, dan kosnya lebih kurang RM2500 hingga RM2800. Ish, kalau macam tu lebih baik aku ke HUSM, dapat keluarkan chemoport dan dapat berjumpa dengan rakan-rakan di sana. Dan ... tidak boleh tidak pemergian ke KB kalai ni tidak boleh ditunda lagi. 

Aku menelefon doktor pakar di HUSM berkenaan dan membuat temu janji untuk mengeluarkan chemoport. Doktor pakar berkenaan menyuruh aku datang ke klinik pada hari Ahad, 6 Januari 2013 dan prosedur mengeluarkan chemoport dibuat pada hari Isnin, 7 Januari 2013. Hai, mulalah aku berasa susah hati memikirkan nak ke HUSM semula dan dibedah, walaupun pembedahan itu hanya pembedahan kecil yang memakan masa yang singkat. Walau bagaimanapun, timingnya sangat tepat kerana selepas pembedahan itu nanti kami perlu ke Terengganu sebab Abah (suami) perlu menghadiri kursus pada 9-10 Januari 2013 (Rabu-Khamis). Aku dah siap menempah Min Homestay Camp (MHC) di Kubang Kerian.

Aku, Abah dan Wati bertolak ke KB pada hari Jumaat supaya kami dapat berehat pada hari Sabtu sebelum ke HUSM pada hari Ahad dan Isnin. Selepas berkemas-kemas, kami pun bergerak. Semasa masuk ke Kubang Kerian, hampir Maghrib, tiba-tiba semua kenangan lama menempuhi rawatan sebulan di sana muncul dalam fikiranku. Terasa sesak dadaku apabila semua saat yang telah kutempuhi itu muncul satu persatu, Allahuakbar ... Setelah selesai check-in di MHC, kami menjamu selera di rumah PM Dr. Hasanah.

Terima kasih Kak Yah menyediakan tempat penginapan yang selesa
Terima kasih PM Dr. Hasanah dan suami menyediakan makanan malam

Pada hari Sabtu kami berehat sahaja selepas bersarapan di MHC bersama-sama PM Dr. Hasanah dan suami, serta KakYah dan suami. Seharian aku menghabiskan masa di MHC dan cuba mententeramkan perasaan menikmati keindahan alam semula jadi di MHC, dengan flora dan faunanya. Petangnya kami dijamu pula di rumah Prof. Dr. Nik Hazlina.

Terima kasih Kak Yah menyediakan sarapan pagi yang enak
Terima kasih Dr. Nik dan suami menjemput kami untuk high tea  

Pada pagi Ahad, aku ke klinik pedeatric untuk bertemu dengan PM Dr. Faisham, yang akan menjalankan prosedur pengeluaran chemoport di dadaku. Aku ditemani Wati dan Dr. Nik dan bertemu juga dengan Dr. Aziah dan Dr. Azriana. Aku juga dapat bertemu dan mengenali Dr. Zaidi. Selepas bertemu dengan Dr. Faisham dan makan tengah hari, aku ke wad untuk mengambil darah dan ECG. Dalam perjalanan, sempat bertemu dengan Prof. Dr. Aida. Selesai semuanya, kami balik semula ke MHC. Haha ... puas merayu agar tak perlu duduk wad!! Alhamdulillah, dengan syarat pagi-pagi esuknya aku mesti mendaftar ke wad. Kalau kena duduk wad menangislah aku dalam wad tu semalaman!!!

Dr. Azriani, Dr. Aziah dan Prof. Nik Hazlina

Terima kasih Dr. Nik kerana sudi menemaniku ke klinik dan wad
Terima kasih Dr. Aziah, Dr. Azriani dan Dr. Aida yang sudi bertemu denganku

Pada petangnya, Abah buat rendang ayam untuk Kak Yah, Dr. Hasanah, Dr. Nik dan Dr. Rahimah.   Petang tu juga Dr. Hasanah dan suami datang ke MHC. Kami berjamu makan nasi yang disedaikan Kak Yah. Malamnya, sangat seronok pula dapat berkunjung ke rumah PM Dr. Rahimah untuk makan malam. Tengah malamnya pula seronok dapat nasi tumpang!

Terima kasih Kak Yah jamu nasi dan order nasi tumpang
Terima Dr. Rahimah jamu kami makan malam

Pada hari Ahad, gelap lagi aku dah keluar dengan Abah ke Bahagian Kecemasan untuk mendaftar masuk wad. Hatiku kecut memikirkan nak ke OT! Aku diberitahu yang giliranku ialah nombor 3. Dr. Hasanah dan suami (abang Shuib) datang menziarahiku.  Abang Shuib nak tengok aku ditolak ke OT dengan troli!! huhu.

Apabila aku diarahkan memakai baju dan topi pembedahan serta naik ke troli ... ya Allah ... terasa sesak dadaku! Hai, Asiah ... tenang, tenang ... Kira-kira pukul 10.30 pagi aku ditolak ke OT, dengan ditemani Abah, Dr. Hasanah dan abang Shuib. Masa tu aku dah rasa tenang walaupun debaran jantung masih dup dap dup dap ...

Masuk ke dalam, aku bertemu dengan pakar bius dahulu ... Dr. Nik Man, suami Dr. Aziah. Beliau ingin memastikan aku tiada apa-apa masalah alergik dan memang fit untuk menjalani pembedahan. Seterusnya, beliau menyuntikku dengan pain killer untuk menahan sakit selama 12 jam selepas pembedahan nanti. Masuk ke OT ... whoaaa ... berdebar dan kecutnya aku, tapi aku mesti tabah menghadapi semuanya. Mereka menyuruhku menyedut bekalan oksigen dan menyuntikku dengan ubat yang menjadikanku sedikit drowsy dan mengantuk. Hampir 20 sedutan oksigen aku disuntik dengan ubat bius dan aku 'mati'.

Aku tersedar semula apabila namaku dipanggil dan aku sedar penuh semasa ditolak ke ICU, Alhamdulillah. Aku juga sedar apabila mereka menyuluhku dengan heater. Waktu tu kira-kira pukul 12 tengah hari - lebih kurang setengah jam aku menjalani pembedahan. Pada masa itu juga, Dr. Aziah, Dr. Azriani dan seorang lagi yang tidak ku kenali datang menjengukku. Kemudian, Dr. Nik, Abah dan Wati datang. Semasa ditolak ke wad untuk pemulihan dengan diiringi oleh mereka semua, aku memang sedar penuh walaupun sedikit mamai dan sangat letih. Sampai di wad, barulah mereka beredar dan aku tinggal ditemani Wati dan Abah. Aku dipesan supaya minum air kosong dahulu. Jika tiada masalah bolehlah aku makan dan discharge. Rasanya memang aku boleh discharge awal, tetapi aku nak berehat dahulu ... terlalu penat selepas pembedahan tu.

Terima kasih Dr. Faisham dan team yang menjalankan pembedahan terhadapku
Terima kasih Dr. Nik, Dr. Aziah dan Dr. Azriani

Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan aku tidak mengalami apa-apa masalah bila minum air dan makan. Aku cuma pening kepala sebab lapar, tidak makan sejak malam sebelum pembedahan - gastrikku naik! Pukul 4 petang aku discharged dan balik ke MHC setelah hilang letih sedikit. Sampai MHC terus makan ubat gastrik dan makan. Malamnya, aku pekena nasi tumpang lagi!!! Terasa sakit dan tidak selesa semasa bahu bergerak dan tidur. WAlau bagaimanapun, aku perlu banyak berehat kerana pada esuknya kami perlu bertolak ke Terengganu sebab Abah ada kursus pada hari Rabu dan Khamis. Rasa kesal juga tak dapat bertemu dengan rakan penulis yang lain ... Sungguh sedih tak dapat bertemu Dr. Maya ...

Esuknya, kami dijamu sarapan pagi yang disediakan oleh Kak Yah. Selesai semuanya, kami gerak ke Terengganu dan check-in di Awana Kijal - duk di sana hingga hari Jumaat, selepas Abah selesai kursus.

Terima kasih atas semua jasa baik dan bantuan rakan-rakan di Kota Bharu. Jasa baik kalian tidak akan dilupakan hingga ke hujung nyawa. Terima kasih atas semua cendera hati daripada kalian. Semoga Allah memberikan balasan yang sebaik-baiknya atas budi baik kalian. Semoga aku akan bebas daripada kanser dan sembuh sepenuhnya, tanpa perlu menanam chemoport lagi nanti, aamiin ...

Aku membuat dressing di klinik Kerteh dan kemudian selepas balik ke KL. Luka pembedahan ok jer, tapi luka bekas tempelan plaster yang sakit dan lama baru baik. Walau bagaimanapun, sekarang semuanya dah ok, cuma sesekali terasa sengal dan berdenyut sedikit. Alhamdulillah ...