Tuesday, October 29, 2013

Kunjungan Orang Istimewa : Doktor Maya

Jasa dan Budi Baikmu Tetap Dikenang... 

Dr. Maya Yahya
(Pakar Bedah)

Doktor Maya ialah salah seorang doktor (pakar bedah) yang kukenali semasa aku mengendalikan bengkel penulisan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kota Bharu (KB), semasa aku 'ligat' dengan tugasanku dahulu. Beliau seorang yang cantik dan lemah lembut. 

Hubungan kami menjadi bertambah erat apabila beliau telah merawatku dahulu. Doktor Maya ialah orang yang telah menjalankan prosedur endoskopi untuk 'meninjau' perutku apabila aku selalu sangat mengalami gastrik. Apabila keadaanku bertambah teruk, doktor Maya jugalah yang telah menjalankan prosedur kolonoskopi, lantas aku didiagnosis menghidap kanser kolorektal (rektosigmoid cancer); perinciannya di link 
Diagnosis dan Prognosis.

Seterusnya, doktor Maya jugalah yang telah melakukan pembedahan terhadap diriku untuk membuang kanser yang terdapat di tengah-tengah rektumku, memberikan rawatan-rawatan seterusnya, mengawasiku sehingga selesai episod rawatan pembedahan terhadap diriku selama sebulan di HUSM. Selepas itu, aku tidak pernah lagi bertemu dengan beliau walupun beberapa kali aku telah ke Kota Bharu. Walau bagaimanapun, dari semasa ke semasa aku beberapa kali bertanyakan beberapa perkara dan mendapatkan pandangan serta nasihat daripada beliau tentang penyakit yang kuhidapi ini.


Dalam masa hampir 3 tahun aku menjadi cancer survivor, aku menjalani pemeriksaan susulan di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL). Pihak HKL menasihatiku supaya menjalani prosedur kolonskopi kembali. Aku menghubungi doktor Maya untuk memohon bantuan beliau menjalani prosedur koloskopi di HUKM kerana beliau berada di sana. Aku berasa fobia untuk menjalani prosedur sebegini di HKL kerana teringat kesengsaraan menjalani kemoterapi dan radioterpai di HKL. Atas jasa baik doktor Maya, beliau sendiri  yang melakukan prosedur kolonoskopi terhadapku. Aku amat bersyukur atas budi baik doktor Maya membantuku dan amat berterima kasih atas segala pertolongan beliau.


Pada pertengahan bulan September 2013, dengan angin Syawal yang masih segar, aku berasa sangat teruja kerana doktor Maya telah sudi berkunjung ke rumahku semasa perjalanan beliau balik ke Melaka. Pagi-pagi lagi aku dengan Abah (suami) telah menyediakan pulut kuning dan sambal tumis ikan bilis untuk dihidangkan kepada beliau. Sungguh besar dan sukanya hatiku untuk menyambut tetamuku yang istimewa itu. 


Hampir tengah hari doktor Maya sampai dan kami menjamu beliau dengan pulut dan sambal. Pada masa itu juga kami dah selesai masak rendang betik, maka dapat juga beliau merasainya. Aku sangat gembira apabila doktor Maya menyukai masakan kami dan beliau berselera sekali makan. Sambil aku berborak-borak, Abah masak di dapur maka dapat juga beliau merasai lauk lain yang kami masak, iaitu udang masak kari. Alhamdulillah ...



Alhamdulillah, doktor Maya dapat merasai masakan kami 

Setelah puas berbual panjang, doktor Maya perlu meneruskan perjalanannya balik ke Melaka. Dalam pada itu, goreng sayur taugeh kasar pun baru siap. Menurutnya, beliau dah lama tak makan goreng taugeh kasar, lantas kami membekalkan sayur taugeh bersama-sama pulut kuning dan sambal kepada beliau. Aku berharap doktor Maya berkelapangan untuk berkunjung kepada rumahku lagi. Jika doktor Maya terbaca blog saya ni, ketahuilah bahawa saya sentiasa mengalu-alukan dan menyambut kedatangan doktor dengan hati dan tangan terbuka; silakan bila-bila masa ...

Aku juga sentiasa mengalu-alukan dan menyambut kedatangan sahabat-sahabat lain yang telah banyak membantuku dan memberiku semangat semasa aku menjalani rawatan di HUSM. Sesungguhnya, aku begitu sukar menghadapi keadaan yang tidak disangka-sangka dan berlaku secara mengejut itu; begitu juga dengan kelauargaku. Terima kasih dan penghargaanku yang tidak terhingga kepada mereka dari KB yang telah menziarahiku selepas aku selesai menjalani rawatan dahulu, iaitu Prof. Dr. Nik Hazlina, Dr. Zaharah sekeluarga dan Kak Wan Noriah (Kak Yah) sekeluarga ... 


Dr. Nik

Dr. Zaharah

Kak Yah dan keluarga

Aku berharap yang lain-lain juga akan dapat berkunjung ke teratakku nanti, sama ada di Semenyih atau di kampung. Kalian sentiasa segar di dalam ingatanku. Jasa dan budi baik kalian sentiasa tersemat di hatiku hingga ke hujung nyawa. 



No comments:

Post a Comment