Friday, April 6, 2012

Kembali Semula kepada Diriku, dengan Corak Hidup yang Baharu

Lebih kurang 4 bulan selepas selesai menjalani rawatan, aku telah dapat mengatasi kejutan kedua seperti yang telah aku nyatakan dalam entri yang lalu. Kini, fikiran dan perasaanku sudah settle. Beberapa perkara telah diselesaikan kerana sebelum ini fikiran masih bercelaru lagi untuk mengambil tindakan terhadap senarai semak yang ada di dalam kepala ini. Berkat kesabaran suami dan anak-anak melayan dan menghiburkanku dengan melakukan family outings beberapa kali, akhirnya aku kembali semula kepada diriku, tetapi dengan corak hidup yang baharu. Segala yang berlaku akan menjadi kenangan yang abadi dalam kehidupanku sepanjang hayat. 

Aku bersyukur kerana telah berjaya menempuhi pengalaman yang sangat berharga dan digeruni oleh ramai orang. Aku dapat merasai pengalaman CT dan PET Scan, kemoterapi, radioterapi dan dicucuk sana sini. Tidak dinafikan, semasa menempuhinya amat sakit dan sengsara. Akan tetapi selepas selesai, semuanya menjadi suatu kenangan yang amat berharga dan indah dalam hidupku. Kini, aku berasa selesa dengan 'kehidupanku yang baharu', dengan 'teman sejati' yang sentiasa berada di dalam diriku untuk mengingatkanku agar sentiasa menjaga kesihatanku dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat. Kalau tidak dijaga nanti 'teman sejati' aku ini akan datang mengamuk! Tak sanggup lagi aku nak berulang-alik ke hospital dan mengalami kesengsaraan di'bakar', di cucuk dan darah sentiasa disedut!

Kini, aku telah menjadikan senaman berjalan sebagai rutin harian, dan menghadiri program Qi Gong setiap minggu bersama-sama survivor yang lain serta bukan survivor (sukarelawan persatuan kanser). Dari segi pemakanan, aku meneruskan amalan lebih banyak makan sayur, buah-buahan dan bahan antioksida. Aku tidak lupa mengambil herba antikanser yang ku dapati memang boleh membantu 'menidurkan' sel-sel kanser (dari penyelidikan internet dan rakan).

Dengan gaya hidup baharu dan kestabilan fizikal dan mental yang telah ku capai ini, maka aku telah dapat menyelesaikan beberapa perkara yang tersenarai dalam 'senarai semak' di mindaku. Setakat ini, aku telah menjalani 2 kali pemeriksaan susulan. Daripada pemeriksaan darah, semuanya ok kecuali kolesterol yang tinggi. Kemudian, aku telah selesai menyempurnakan borang yang telah dihantar ke ofis, dan menguruskan permohonan anak bongsu ke Institusi pengajian Tinggi (menunggu untuk mendaftar sahaja pada bulan Mei nanti).

Pada hari ini, satu lagi perkara telah diuruskan. Aku telah pergi ke HKL untuk mendapatkan pengesahan pihak hospital dalam usaha untuk menuntut bayaran wad dan MC daripada pihak insurans. Ingatkan selesai dan dapat dokumen pada pada hari ini juga, tetapi rupa-rupanya kena tunggu selama sebulan. Tak mengapalah, aku hanya menunggu dokumen tersebut daripada pihak hospital dan mengemukakannya kepada pihak insurans pula. Pada mulanya, aku berasa malas juga nak membuat tuntutan itu. Akan tetapi, apabila memikirkan 'sengsara' duduk wad dan aku layak memohon maka eloklah aku melakukannya, barulah berbaloi juga. Hampir 2 bulan duduk wad, rugi pula rasanya jika tidak membuat tuntutan.

Balik dari hospital, aku singgah di ofis untuk mengambil penyata bagi urusan income tax. Hasrat hati nak singgah sekejap sahaja, tetapi bila dah bertemu dengan rakan-rakan jadi lama; berbual-bual sebab dah lama tidak berjumpa dengan mereka. Malahan, tak sempat juga nak bertemu dengan sebilangan mereka. Memandangkan dah lewat, aku solat zohor dahulu di surau ofis baru bergerak balik. Memandangkan dah letih juga, kami tidak singgah di mana-mana dalam perjalanan balik. Sampai rumah ... haaa relaksnya ... I'm looking forward for tomorrow, and tomorrow and tomorrow ... 


4 comments:

  1. alhamdulillah. semoga akak akan terus kuat dan bersemangat. segala2 yg didatangkan tu adalah ujian dan tanda peringatan Allah pd kita utk menjadikan kita lebih dekat dgnNya.

    Asnah Hasan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih As ... Insyaallah semuanya ok dan akak bersyukur sangat dengan segala-galanya. Terlalu banyak hikmah-Nya ...

      Delete
  2. Alhamdulillah, Kak Asiah dah makin sihat...

    ReplyDelete
  3. Insyaallah Sue, dengan izin Allah ...

    ReplyDelete