Friday, July 8, 2016

PUASA, HARI JADI, PEMERIKSAAN SUSULAN, KEMATIAN ...

1 Ramadhan 1437H, bersamaan dengan 6 Jun 2016, merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam untuk menunaikan ibadah puasa. Pada tahun ini, kami sekeluarga bertuah kerana pada satu hari puasa abah pun balik ke darat, maka kami dapat berbuka bersama-sama sekeluarga pada hari pertama berpuasa pada tahun ini, Alhamdulillah.

Kebetulan pada 9 Jun 2016, hari lahirku yang ke-58 jatuh pada bulan yang mulia ini. Alhamdulillah, sempena dengan bulan yang mulia ini mudah-mudahan bertambahlah rahmat Allah terhadap diriku. Tiada sambutan hari jadi buatku (sememangnya dari dulu lagi kami sekeluarga tidak menyambut hari jadi). Aku menggunakan sebaik-baiknya bulan yang mulia ini memanjatkan doa ke hadrat Illahi semoga Allah sentiada menjaga keselamatan, kesejahteraan dan kesihatanku bersama-sama keluarga. Semoga Allah sentiasa menjaga dan merahmati kami sekeluarga.

Pada bulan yang mulia ini juga, aku menjalani pemeriksaan susulan di IKN pada 21 Jun 2016. Aku berdoa kepada Allah agar status kesihatan diriku dalam keadaan yang baik. Alhamdulillah, daripada pemeriksaan darah, keputusannya amat baik, kecuali kolesterol yang 'border line', namun tidak mencemaskan. Janji temuku adalah pada pukul 9.00 pagi. Memandangkan abah dah balik ke laut pada 20 Jun, maka aku ke IKN ditemani oleh Wati dan Yana. Pukul 8.30 pagi lagi kami telah sampai ke IKN. 

Selepas mendaftar di kaunter, aku dipanggil untuk pemeriksaan tekanan darah. Pemeriksaan tekanan darah di klinik onkologi juga memberikan bacaan yang baik, Alhamdulillah. Dengan itu, sampailah masa yang membosankan untuk berjumpa doktor pula. Hampir pukul 12.00 tengah hari barulah aku dipanggil untuk berjumpa doktor. Alhamdulillah, doktor berpuas hati dengan status kesihatanku. Semoga status kesihatanku sentiasa dalam keadaan baik, aamiin. Hari-hari yang berikutnya aku menghabiskan masa berpuasa dengan anak-anak sahaja kerana abah akan balik ke darat semula 2 hari sebelum hari raya, iaitu 4 Julai 2016.

Beberapa hari selepas itu, aku menerima berita yang salah seorang sahabatku, Siti Maani bekas jurutaipku semasa bekerja dulu, telah dimasukkan ke wad onkologi di IKN. Aku telah lama ingin menziarahinya semasa beliau terlantar di rumah. Pastinya, dia bertambah uzur hinggakan terpaksa duduk wad. Aku pun mengajak Yana pergi menziarahinya. Betapa sedihnya hatiku melihat keadaannya. Hampir-hampir aku tidak perasan dengan keadaannya yang begitu kurus. Siti Maani menghidapa kanser payudara yang telah merebak ke paru-paru. 

Betapa sedih hatiku melihatnya. Aku menahan agar air mata supaya tidak menitis. Memang aku ketahui yang Siti bernafas terpaksa menggunakan bantuan oksigen, tapi aku tak sangka yang dia tidak boleh makan seperti biasa tetapi melalui tiub yang ditebuk pada perutnya. Dia juga memakai pampers jer. Walau bagaimanapun, dapat jugalah dia minum air zam-zam walaupun dia tidak dapat makan kurma yang ku bawa. Sebelum balik, aku terus memberi semangat agar Siti kuat menghadapi ujian Allah itu.
Pada hari Isnin, 4 Julai, aku dan Yana pergi menziarahi Siti lagi untuk menyampaikan zakat daripada pihak KanWork, dengan membawa pampers dan susu ensure. Aku terserempak dengan wakil KanWork yang juga menziarahi Siti; juga 2 orang anaknya yang menjaganya. Keadaan Siti sangat uzur. Kami sempat membacakan Yassin, mudah-mudahan dia sentiasa tenang dan tabah. Sedih hatiku melihatnya seperti nazak namun mampu bangun duduk dan melemparkan senyuman semasa aku nak balik. Aku cepat-cepat pergi sebelum air mataku menitis di depannya.

Tanpa ku sangka, itulah kali terakhir aku melihat wajahnya kerana kira-kira pukul 3.00 pagi aku menerima panggilan telefon daripada anaknya memaklumkan ibunya telah pergi menyahut panggilan Illahi. Innalillah ... semoga rohnya ditempatkan bersama-sama roh para solihin dan diberi syurga Allah. Sesungguhnya, aku terkesan dengan pemergian sahabatku itu. Sebelum ini pun, aku telah kehilangan 2 orang sahabat sekolahku. Salah seorang daripadanya menghidap kanser payudara yang telah merebak ke keseluruh tulang di tubuhnya. Semoga Allah sentiasa memelihara keselamatan dan kesejahteraan mereka serta memberikan rahmt-Nya kepada kepada di alam kubur, alam barzakh dan di hari akhirat, aamiin.

Semua yang berlaku adalah atas kehendak dan izin-Nya jua

No comments:

Post a Comment