Thursday, October 24, 2013

Pemeriksaan Susulan, 25 Sept 2013

Seperti sebelum ini, untuk pergi ke HKL menjalani pemeriksaan susulan merupakan satu daripada perkara yang paling aku tak suka nak menghadapinya. Walau bagaimanapun, memikirkan risiko yang bakal dihadapi jika mengabaikannya, aku gagahkan juga ke HKL pada hari janji temu, 25 September 2013.

Seminggu sebelum pemeriksaan, aku telah menjalani pemeriksaan darah dahulu. Keputusan pemeriksaan darah kali ini kurang baik dan agak membimbangkanku ...

Blood count dan glukos

Blood count nampak bagus, tapi bacaan glukos agak tinggi. Dan sekarang, apabila mengukur sendiri glukos di dalam darah dengan menggunakan glucometer yang dibeli sendiri untuk kegunaan di rumah, bacaan semakin tinggi pula! Susah betul nak dikawal ni ... Keadaan tidak berapa baik lagi apabila bacaan blood pressure juga tinggi, adoi hai ...

Renal function

Keputusan renal function pun menghasilkan bacaan uric acid yang tinggi, alamak! Nasib baiklah tak berapa tinggi dan tidak menyebabkan sendi kaki sakit. 

Kolesterol

Keputusan untuk kolesterol ini merisaukan. Walaupun HDL tinggi, tapi LDL pun berebut tinggi juga. Buruk ... buruknya bacaan ni. Sangat susah untuk mengawal kolesterol ni ... dah berapa kali ujian darah, tetap tinggi bacaannya.

Liver function

Keputusan bacaan liver function paling merisaukan. Setiap kali menjalani pemeriksaan darah, bacaan Alkaline Phosphatase yang tinggi yang sentiasa menghantuiku. Bacaan yang tinggi tidak baik kerana ia memberi petanda yang liverku rosak dan ada juga kaitan dengan tulang. Perkara ini pernah berlaku selepas aku menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi dahulu, iaitu kerana kesan rawatan. Dan, bacaan kembali normal setelah beberapa bulan aku mengambil supplement untuk liver.

Akan tetapi kini apabila semuanya selesai, aku rasa pelik perkara ini berlaku lagi. Ya Allah, kerosakan berlaku pada liverku! Adakah ini petanda sel-sel kanser telah merebak ke liver? Perkara ini tidak mustahil kerana destinasi seterusnya bagi penghidap kanser kolorektal ialah liver

Semasa di HKL, aku cuba bertanyakan kepada doktor yang aku temui. Jawapan yang aku dapat ialah aku perlu membuat bone scan. Ish ... bone scan? Aku pelik juga kerana walaupun ia berkaitan dengan tulang tapi dah nyata liver yang rosak, perlu diteliti liver dulu, kecualilah kalau aku penghidap kanser payudara, maka sememangnya destinasi seterusnya tulang. Aku menyatakan tidak setuju untuk menjalani bone scan walaupun doktor itu seperti mendesak. Aku sengaja bertanyakan tentang CT scan atau PET scan. Doktor tu cakap nanti aku kena pancaran radioaktif. Aku balas balik kata yang bone scan pun kena pancaran radioaktif juga, dan doktor tu terdiam. Rasa nak tergelak aku dibuatnya. Doktor cuma cakap jika terasa tulang sakit, cepat-cepat datang ke klinik. Rasa-rasanya doktor ni melihat rekod terdahulu yang aku perlu buat bone scan tapi aku tak buat!

Balik dari HKL aku tak senang hati memikirkan bacaan pada liver. Sesuatu perlu dilakukan. Pertama-tamanya, aku mencari vitamin untuk liver dahulu, iaitu Milk Thistle dari GNC. Atas nasihat seorang sahabat, aku perlu menjalani ultrasound untuk liver. Aku cuba menghubungi NCI di Nilai melalui telefon, namun tiada jawapan. Teringat pula aku pernah buat PET scan di Pusat Perubatan UPM. Alhamdulillah, aku dapat bercakap dengan doktor di situ dan terus membuat janji temu. Pada pagi 3 Oktober 2013, aku dan Abah (suami), yang kebetulan dah balik ke darat, pergi ke Pusat Pengimejan Diagnostik Nuklear UPM untuk menjalani ultrasound sambil berdoa agar kanser tidak menyerang liverku. Prosedurnya tidak lama  ...

Laporan Ultrasound

Alhamdulillah ... keputusan menunjukkan tiada lesions pada liver. Pundi kencing dan bahagian-bahagian lain abdomen pun ok. Yang menjadi culprit ialah fatty liver. Apa yang mesti aku lakukan ialah menyingkirkan fatty liver dan ya ... pastinya aku perlu exercise intensively. Kebetulan, di rumah dah ada threadmill, kenalah gunakannya dengan kerap.

Aku sendiri dah merasakan perkara ini berlaku kerana aku telah lama tidak melakukan exercise, tapi agak pelik kerana aku makan taklah beriya-iya sangat. Satu lagi kemungkinan ialah sejak mula puasa, aku telah mencuba sejenis produk dan tidak mengambil supplements yang selama ini aku ambil ... nak test keberkesanan produk itu terhadap diriku. Ternyata tidak berkesan. Kolesterol, darah dan glukos tetap tinggi, malahan menjadi toksik pula apabila berlaku kerosakan liver oleh fatty liver. Ya ... masa untuk aku mengambil semula semua supplements yang pernah aku ambil dan lihat kembali keputusan ujian darah pada hujung tahun ini. Mudah-mudahan ok. 


Segala yang berlaku adalah atas kehendak dan izin Allah jua 

Sunday, October 13, 2013

Al-Fatihah buat Prof. Dato' Ir Dr. Radin Umar

Berita yang mengejutkanku ...


Dua tiga hari ni, internet di rumah meragam dan agak terganggu. Semasa keluar makan tengah hari tadi, aku sempat membelek-belek telefon dan terbaca akan berita yang terpampang seperti yang di atas. Innalillah ... semoga roh beliau ditempatkan bersama-sama roh orang-orang yang beriman dan diberi tempat di syurga Allah. Rasa sedih membaca berita ini, dan sememangnya aku mempunyai perasaan yang begitu apabila setiap kali mendengar berita rakan atau kenalan didiagnosis penyakit kanser atau diragut nyawa mereka oleh kanser. 

Aku mula-mula mengenali beliau (setakat kenal) semasa aku menghadiri majlis jamuan hari raya KanWork di PPUPM pada tahun 2011, semasa aku masih lagi menjalani rawatan kemoterapi. Beliau telah menceritakan pengalaman beliau menghadapi dan melawan kanser, dan kami sama-sama berkongsi pengalaman di meja bulat selepas jamuan. Memang beliau seorang yang kuat dan tabah.

Selepas beberapa bulan, aku tak sangka bertembung dengan beliau semula semasa menjalani rawatan kemoterapi di Day Care Center di HKL. Aku puas mengingatinya semasa beliau menegurku, sehinggalah petugas di situ memaggilnya Dato' baru aku teringatkannya. Beliau nampak begitu kuat dan tabah.

Beberapa minggu lepas, satu majlis bacaan Yassin diadakan oleh pihak KanWork di masjid Bangi untuk beliau. Aku berasa tak sedap hati dan pastinya Dato' Radin dalam keadaan serius, namun aku tak berani nak bertanya kepada kenalan di KanWork, sehinggalah pada hari ini aku terbaca berita ini. Semoga beliau di tempatkan di tempat yang baik di sisi Allah ... Aaamiin ...

Tuesday, September 24, 2013

Kuantan: Suka dan Duka

Semasa Abah di darat, tiba-tiba Abah mendapat panggilan telefon untuk menghadiri program di Kuantan, dan mengajakku mengikutinya. Memandangkan aku akan kesaorangan apabila Abah menghadiri programnya, aku mengajak Wati dan Yana (Wani ada exam dan Zafhri ada urusan tersendiri; mereka tinggal). 

Pada hari Selasa petang, 17 September 2013, kami bertolak dan check-in di Hotel Hyatt Regency, Teluk Cempedak, Pahang (tempat program Abah diadakan). Kami sampai malam selepas selesai dinner dan berehat. Bilik yang mengadap laut menjadikan suasana nyaman.

Sunrise ... sungguh cantik

Pada paginya, Abah menghadiri programnya dan kami keluar ke bandar Kuantan untuk lunch dan menziarahi kawanku, Dede. Pada mulanya kami nak dinner di rumah Dede, namun Abah dan booking dinner di hotel sekeluarga. Selepas dinner, kami melihat pesta tanglung di pantai dan balik ke bilik untuk berehat kerana pada esuknya kami akan balik ke KL.

Tiba-tiba, tengah malam kira-kira pukul 2.00 lebih, sedang aku lena tidur, aku mendengar Wati muntah-muntah. Selalunya, dalam keadaan begitu Wati menghidap gastrik dan sekali muntah dia akan pulih. Namun pada malam itu, Wati muntah berterusan. Aku berasa cemas sekali.

Pagi-pagi lepas subuh, Abah menghantar Wati ke hospital. Keadaan Wati agak tenat dan mengadu sakit perut dan lemah disebabkan banyak muntah dan tidak tidur. Aku sendiri berasa letih kerana tidak tidur juga. Aku tinggal berkemas untuk check-out balik KL. Hatiku berasa tidak tenteram kerana Abah tak balik-balik. Aku cemas kerana kemungkinan Wati masuk wad di hospital yang aku sendiri tak tahu di mana. Akhirnya, aku menerima mesej daripada Abah dengan gambar Wati dan hospital tempat Wati menerima rawatan - kena drip.

Wati mendapat rawatan di sini

Ya Allah, aku tidak dapat menahan sebak melihat keadaan Wati. Abah cakap Wati dehydrated kerana terlampau banyak muntah. Semoga Wati tak apa-apa dan dengan drip itu, Wati akan segar semula. Memandangkan Wati mengambil masa yang lama, kami check-out hotel dulu dan pergi ke hospital menemani Wati. Sedih sekali aku melihat penderitaan Wati menanggung sakit perut dan tidak selesa dengan drip (Wati tidak pernah mengalami keadaan begitu). 

Drip satu botol yang mengambil masa yang lama

Wati mengadu sangat sejuk. Kedatanganku menemani Wati menjadikannya tenang dan dapat lena sekejap-sekejap ... 

Kesiannya ...

Doktor mengatakan Wati mendapat gastrik. Pada masa yang sama, berlaku sedikit jangkitan kerana keracunan makanan dan digestion disorder. Padanlah Wati muntah berterusan dan sakit perut. Kemungkinan sea food yang diambil oleh Wati menyebabkan keracunan itu, wallahualam. 

Aku menjangkakan drip selesai sekejap sahaja, tetapi ia terlalu perlahan. Doktor mengatakan Wati sepatutnya berehat di wad tetapi kami nak balik KL, kerana berehat di rumah lebih selesa. Aku duduk menemani Wati hingga selesai hampir pukul 1.00 tengah hari, sejak lepas subuh Abah hantar. Alhamdulillah, Wati nampak segar. Kami gerak balik ke KL dengan Wati tidur di sepanjang perjalanan. Rawatan ini berserta ubat berharga RM370. Sehingga esuknya, Wati masih mengalami sedikit sakit perut (berlarutan hingga beberapa hari) dan sakit kepala tetapi within tolerence, tetapi Yana pula demam dan aku pun naik gastrik juga sedikit, Allhuakbar ... Alhamdulillah, sehingga hari ni Wati dah segar dengan berhati-hati dari segi pemakanan. Yana dan aku pun dah pulih. Semoga perkara ini tidak berlkau lagi kepada Wati atau anak-anakku yang lain, aamiin ...

Wednesday, September 4, 2013

Rusnah Busu : Semoga Tabah dan Sembuh Sepenuhnya


Sesungguhnya Allah kasihkan kamu dengan memberikan ujian-Nya ... 

Pada 31 Ogos 2013, kami GangLCE74/SMDAS74LCE, telah mengadakan Grand Gathering untuk mengeratkan kembali hubungan silaturrahim di antara kami, rakan-rakan yang sama-sama membesar mengenali dunia di zaman persekolahan, setelah sekian lama terpisah dan putus hubungan. Pada hari itu, aku menerima satu berita yang mengejutkan apabila sahabatku Zie memberitahu bahawa salah seorang sahabat kami, Rusnah Busu, tidak dapat hadir kerana kurang sihat; telah didiagnosis dengan kanser payudara! Allahuakbar ...

Aku terasa seperti di panah hililintar mendengar berita itu. Yelah ... dengan segala apa yang telah kualami semasa mula-mula didiagnosis dan menempuhi rawatan demi rawatan, aku amat memahami akan perasaan sahabatku itu untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang mendatang. Walau bagaimanapun, dengan kesibukanku bersama-sama kawan-kawan lain menguruskan persediaan majlis, gelora hatiku menerima berita itu dapat juga aku singkirkan seketika.

Setelah semuanya selesai dan kembali di rumah, perasaan gelora dan bercampur-aduk kembali menerjah. Apa lagi apabila aku menelefonnya keesukan harinya, beliau tidak pula mengangkat telefon. Oh, rupanya dah pukul 10.00 malam lebih dan pasti beliau dah tidur ... berehat. 

Pada malam berikutnya, aku menelefon beliau kembali. Buat pertama kali aku mendengar beliau memberi salam aku bimbang mendengar nada suaranya, namun aku buat relax sahaja bercakap dengannya walaupun hatiku berkecamuk. Aku teringin sekali nak bertemu dengan Rusnah, melihat keadaannya dengan mata kepalaku sendiri. Memandangkan beliau akan masuk wad, terasa serba salah pula nak mengganggunya. 

Aku meminta pandangan kawanku Zie (yang sangat rapat dengan beliau sejak sekolah) dan Ita untuk mengatasi kemelut hatiku. Alhamdulillah, Zie memberikan cadangan supaya kami pergi jer menziarahi Rosnah. Alhamdulillah juga, anak-anakku dengan senang hati bersedia untuk menjadi pemanduku. Lantas malam tadi, aku dan Ita pergi ke rumah Rusnah di Bagan Lalang dari Semenyih. Zie (dengan suami) dan Saba pula dari Seremban.

Kami sampai pada waktu yang sama ke rumah Rusnah, Alhamdulillah. Selepas masing-masing selesai menunaikan solat Maghrib,  kami duduk bersembang sambil menikmati kuih raya. Memang betul kata Zie bahawa Rusnah sangat gembira; tergambar keceriaan dan kegembiraannya dengan kunjungan kami ...

Berbual mesra penuh keceriaan ...

sambil menikmati kuih raya

Setelah puas berbual di rumah Rusnah, kami keluar makan malam di Restoran Senandung Malam di Bagan Lalang, dan terus berbual lagi sambil makan-makan ...

Enak makanan di sini, terima kasih Ita dan Zie belanja

Yana (anakku), Rusnah dan Saba

Berbual punya berbual, dah pukul 11.00 lebih. Aku memang dah kepenatan, tapi seronok apabila timbul cerita demi cerita pada zaman persekolahan kami dulu, terutamanya daripada mulut murai Zie! Akhirnya, masing-masing pun dah penat. Sebelum balik, kami menulis Guest Book Rosnah ... 

Saba

Ita

Zie

Hampir pukul 12.00 malam kami bersurai. Semasa bersalaman dan memeluk Rusnah, aku berasa sangat haru hendak meninggalkannya; apa lagi apabila Rusnah cakap dia sangat gembira dengan kedatangan kami dan tak teringat akan penyakitnya! Allahuakbar ... Doa dan harapanku semoga dia tetap tabah dan menyerahkan segala-galanya kepada Allah. Insya-Allah, kami akan menziarahinya lagi apabila beliau menjalani rawatan di Hospital Serdang nanti. 

... Segala yang berlaku adalah kehandak dan izin Allah jua ...

Semoga sentiasa memelihara kami semua
Semoga Allah sembuhkan kami semua daripada pelbagai penyakit rohani dan jasmani

... Aamiin ...


Saturday, August 24, 2013

Colonoscopy

Setelah lebih dua tahun aku didiagnosis dengan kanser kolorektal... Pada hari itu, 21 Ogos 2013 (Khamis), aku menjalani prosedur colonoscopy sebagai surveillance after anterior resection pada tahun 2011. Sebenarnya, doktor yang menjalankan pembedahan terhadapku dahulu sudah lama menyuruhku menjalani prosedur ini, tetapi aku rasa fobia betul nak menempuhinya, terutamanya untuk persediaan (bowel preparation) sebelum prosedur dijalankan.

Pada janji temu yang terakhir di HKL, pada bulan Mach dahulu, doktor onkologi menyediakan borang janji temu aku untuk menjalani prosedur colonoscopy di HKL. Memikirkan aku nak menjalani rawatan di HKL, lagi liat rasa hati. Aku menghubungi pakar bedahku dahulu dan akhirnya temu janji prosedur diadakan pada 21 Ogos tempoh hari. Dua hari sebelum itu, aku pergi ke HUKM untuk mengambil cecair pembersih usus yang perlu diambil sehari sebelum prosedur ...

Cecair pembersih usus

Dua botol cecair ini mesti aku minum sehari sebelum prosedur. Pada hari Rabu, aku mesti meminumnya pada pukul 7.00 malam diikuti dengan minum air kosong yang banyak. Walaupun nampak sedikit tetapi rasa dan kesannya, mmmm ... Semasa minum, rasanya alahai dan seperti nak termuntah semula dengan perut dan kepala rasa semacam. Setengah jam selepas meminumnya, aku dah mula berulang ke tandas. Pada pukul 9.00 malam, aku mesti mengambil portion yang kedua, dan sehingga tengah malam tandas aku punya! Nasib baiklah lepas tu aku stabil semula dan dapat tidur dengan lena.

Esuknya, pagi-pagi aku pergi ke HUKM (Klinik Endoskopi) untuk menjalani prosedur. Lama juga nak menunggu giliran. Sementara tu, sempat jugalah aku bertemu dengan Prof. Asma di klinik ENT. Memang sudah lama aku ingin menemui dan mengenali beliau kerana selama ini kami berhubungan melalui telefon dan SMS jer. Akhirnya, sampai juga hasrat di hati bertemu Prof. Asma yang mesra ...

Prof. Asma

Kira-kira pukul 11.30 pagi, aku dipanggil untuk menjalani prosedur. Selepas menukar kain, aku masuk ke bilik prosedur dan diberikan suntikan ubat bius. Rasa-rasanya separuh bius kerana aku separuh sedar apabila doktor menunjukkan gambar di skrin.

Malangnya, walupun semua nampak ok, di satu bahagian kolonku tidak begitu bersih dan masih ada najis melekat di situ. Oleh sebab bahagian itu tidak dapat dilihat, maka doktor memutuskan supaya prosedur ini diulang sekali lagi sebelum janji temuku dengan doktor onkologi pada hujung bulan September nanti. Walau bagaimanapun, dibahagian yang telah dibedah dahulu bersih ...

Colonoscopy report

Keadaan bekas pembedahan, cantik

Keadaan sebelum pembedahan, menggerunkan dengan ketumbuhan

Tunggu sekali lagi colonoscopy, huhu ...