Monday, September 1, 2014

Survellience Colonoscopy, Ogos 2014

Pada bulan April 2014, aku telah ke Hospital Putrajaya untuk menjalani pemeriksaan dan janji temu prosedur kolonoskopi. Aku telah diberikan tarikh 11 Ogos untuk menjalani prosedur kolonoskopi. Alhamdulillah ... selepas hari raya puasa. Sebelum balik, aku dibekalkan dengan dua botol garam pencuci perut yang perlu diambil sebelum prosedur.

Tarikh janji temu

Garam pencuci perut

Apabila tarikh prosedur tiba, tiga hari sebelumnya aku tidak boleh memakan makanan yang berserat (hanya makan Fibre free foods). Alahai torture rasanya, al-maklumlah bulan raya bermacam-macam makanan terhidang di depan mata apabila ramai yang mengadakan rumah terbuka. Sabar jerlah. Sehari sebelum prosedur pula, aku boleh makan bubur dan air tanpa warna sahaja ... lagi tortureKemuncaknya adalah pada petang 10 Ogos, iaitu aku mesti mula minum sebotol garam pencuci  perut yang telah dibekalkan dahulu. 

Sehari sebelumprosedur, pada paginya jiranku mengadakan rumah terbuka sarapan pagi. Aku minum dan ambil kuah sup sahaja. Selepas tu, aku dan abah kena balik kampung pula untuk menghadiri perbincangan anak Saba yang akan berkawin pada bulan Oktober nanti. Sebelum ke rumah Saba, kami balik ke rumah mak dulu. Selepas solat zohor barulah kami pergi ke rumah Saba. Juga ... aku terpaksa menahan selera ... Aku hanya makan bubur yang ku bawa dari rumah. 
Balik dari rumah jiran untuk ke kampung

Di rumah Saba, pada pukul 4 petang aku mesti minum dos pertama (45 ml) garam pencuci perut yang ku bawa. Lebih kurang pukul 5 petang, aku dah mula berulang ke tandas. Tandas aku punya! Dah rasa lega, barulah aku dan abah mula bergerak dari rumah Saba dan balik ke KL. Pada pukul 8 malam, aku mesti minum (45 ml) dos kedua garam pencuci. Sekali lagi tandas aku punya, tetapi tidaklah sekerap selepas mengambil dos yang pertama. Selepas pukul 12 malam, aku tidak boleh makan atau minum langsung. Walau bagaimanapun, aku minum juga air kosong sedikit untuk menghilangkan kekeringan tekak.

Pada hari prosedur dijalankan, 11 Ogos 2014, pagi-pagi lagi selepas Subuh, aku dan Abah bergerak ke Hospital Putrajaya kerana janji temu adalah pada pukul 8 pagi; Wati pun ikut sekali menemaiku. Memandangkan kereta banyak dan tempat parking susah, aku dan Wati turun dahulu dan abah pergi mencari tempat parking kereta. 

Aku mendaftar untuk masuk wad, dan diarahkan ke Unit Rawatan Harian untuk pendaftaran rawatan pesakit luar sahaja. Aku diberikan tag nama dan perlu menukar baju hospital.

 Reception

Tempat rawatan


Tag nama yang dipakai di pergelangan tangan

Masuk ke dalam, aku disuruh berehat dahulu menunggu rawatan. Mula-mula, aku disuntik untuk saluran masuk ubat bius nanti dan kemudian berehat di ruang menunggu, menanti giliran untuk menjalani prosedur.

Suntikan untuk saluran masuk ubat bius

Kira-kira pukul 11 pagi, aku dipanggil untuk menjalani prosedur. Mula-mula, aku diberikan sedutan gas. Selepas lebih kurang 5 minit, aku disuntik dengan ubat bius dan terus hilang ... Sedar-sedar, aku sudah berada di bilik pemulihan. Selepas berehat beberapa minit dan terasa ok, aku pergi ke bilik menunggu semula. Aku dihidangkan dengan mi goreng dan air milo. Dah perut lapar, berselera sekali aku makan.

Setelah menunggu beberapa lama lagi, pihak hospital memberikan janji temu yang baru untuk menjalani prosedur kolonoskopi yang seterusnya nanti. Aku juga dimaklumkan keputusan prosedurku normal dan ok. Kemudian, aku perlu pergi ke tempat pendaftaran masuk wad semula untuk mendapatkan discharge letter dan balik.

Tarikh janji temu di klinik surgeri

Tarikh prosedur kolonoskopi yang akan datang

Discharge Letter

Janji temu di Institut Kanser Negara (IKN) pula adalah dalam masa yang terdekat ...

Buku janji temu IKN


Tarikh janji temu di IKN


Selesai semuanya, aku dan Wati berjalan pergi ke IKN, yang terletak bersebelahan dengan Hospital Putrajaya, kerana abah parking kereta di situ dan aku nak makan di kafe di IKN. Lapar nasi, aku terbayangkan pelbagai lauk yang terdapat di kafe tu. Selesai makan, kami pun balik. Ops ... sebelum tu, posing dulu ... 


Posing dulu ...

Sebelum balik ke rumah, kami singgah dulu di kedai ikan. Tujuannya nak membeli ikan, menggantikan ikan-ikan kami yang telah mati dahulu. Seronok melihat ikan-ikan yang dijual di kedai tu; jadi satu terapi pulak ...

 Ikan-ikan di dalam akuarium

 Ikan-ikan di dalam kolam takungan

Seronok bermain dengan ikan-ikan tu

Setelah puas melihat-lihat dan bermain-main dengan ikan, kami pun balik. Senangnya hati, ... satu perkara yang berat nak aku tempuhi telah selesai ditempuhi. Sebenarnya, aku sangat fobia nak menempuhi apa-apa prosedur atau rawatan selepas selesai semua rawatan dahulu. Memikirkan nak ke hospital pun berat sangat rasanya. Apa-apa pun, just go with the flow ... Allah maha mengetahui.


Alhamdulillah ... Alhamdulillah

Sila hayati muzik ini ... :)


Sesungguhnya ... 
Allah tidak akan memberikan ujian 
yang tidak mampu ditanggung oleh umat-Nya

Wednesday, July 2, 2014

Pemeriksaan Susulan Rutin, Jun 2014

Khamis, 26 Jun 2014, aku perlu ke Institt Kanser Negara (IKN) untuk menjalani pemeriksaan susulan. Ini adalah pemeriksaan susulan pertamaku di IKN selepas medaftar di sana pada bulan Januari yang lalu. Seperti biasa, beberapa hari sebelumnya, memang aku rasa gelisah jer nak pergi menjalani pemeriksaan susulan. Namun, untuk ke IKN tidaklah sestres ke HKL. Pagi-pagi lagi abah menghantarku ke IKN. Pagi-pagi seronoklah ke Putrajaya kerana tak panas (tengah hari selalu panas sangat). Kami disambut oleh pintu gerbang di sana, yang sebelum ni aku tak berapa perasan ... 

   Cantik

Seterusnya, kami sampai di IKN. Dari jauh dah nampak bangunan IKN yang tersergam bersebelahan dengan Hospital Putrajaya. Parking pun nampak penuh jer. Supaya tidak lewat, Abah menurunkanku di pintu utama dahulu, dan Abah pergi parking kereta  ...

IKN

Memandangkan ini pertama kali aku ke sana untuk pemeriksaan susulan, aku menjangkakan prosedurnya sama seperti aku ke HKL. Aku terus masuk ke Klinik Onkologi. Rupa-rupanya, aku perlu ke tempat pendaftaran dahulu (berasingan tempat) untuk mengambil nombor di sana. Dah dapat nombor, aku ingatkan tunggu jer dipanggil. Rupa-rupanya kena mendaftar di Klinik Onkologi pula, setelah diberitahu oleh salah seorang pesakit ...

Nomborku

Kaunter pendaftaran Klinik Onkologi
   
Kini, tibalah episod menunggu. Nombor tidak dipanggil mengikut urutan; mungkin mengikut adanya doktor tertentu yang merawat pesakit tertentu. Sebelum dipanggil berjumpa doktor aku perlu menunggu untuk dipanggil mengambil darah. Setiap kali nak ambil darah memang aku gabra, tapi buat tak tau jerlah. 

Selesai ambil darah, kena tunggu lagi untuk diambil bacaan berat dan tekanan darah. Aku terkejut bila melihat beratku kini 78.5 kg, sedangkan setiap hari aku ke kebun dengan abah, dengan peluh yang mencurah-curah menebas. Ish ... berat otot kot. Bila diambil tekanan darah pula ... wowww ... 162/88. Kenapa tinggi sangat tekanan darah ni? Sedangkan masa aku demam dulu pun tekanan darah normal jer. Stres hendak menghadapai pemeriksaan tak? Denial ... denial ... denial ... Harap-harap disebabkan stres untuk pemeriksaan tu dan bukan kerana high blood. Tak taulah, akhir-akhir ni memang tekanan darahku fluctuate.

Selesai itu semua, tunggu lagi nak jumpa doktor pulak. Perut dan mula lapar, tapi kalau pergi ke kafe makan kang kena panggil pulak. Tunggu jerlah dulu, dan tahan lapar. Akhirnya, aku dipanggil berjumpa dengan doktor, seorang doktor perempuan yang muda dan comel, kebetulan mengenali doktor Maya juga (my surgeon dulu).

Daripada keputusan darah, tiada apa yang perlu dirisaukan berkaitan dengan kanserku. Daripada filem X-ray pun didapati paru-paruku bersih, Alhamdulillah. Kerisauanku tentang sedikit bacaan yang meningkat pada Liver Function Test dan CEA itu sebenarnya tiada apa-apa signifikan, Alhadulillah. Tentang tekanan darah yang tinggi dan kolesterol tu, doktor hanya suruh aku kawal kerana sekali mula makan ubat, mesti diteruskan. Insya-Allah, mudah-mudahan pada bulan puasa, ia dapat dikawal. Janji temu pemeriksaan susulan seterusnya adalah pada bulan Disember 2014.

Selesai berjumpa doktor, aku dan Abah terus ke kafe kerana dah tak tahan lapar sangat. Selesai makan, kami terus balik. Dalam perjalanan, sempat juga aku klik klik gambar di Putrajaya ...

Masjid Putrajaya

Jabatan Perdana Menteri

Sampai di rumah, aku rasa letih sangat dan mengantuk, terus bom. Bangun terus solat Zohor, dan sakit kepala pula. Ini pasti gastrikku naik kerana lambat makan. Makan ubat pun tak berapa berkesan dan terasa nak muntah pula. Akhirnya, dah muntah barulah hilang sakit kepala. Malamnya, sakit perut pula. Allahuakbar ... semalaman aku menahan sakit perut. Alhamdulillah, nasib baik paginya tak sakit lagi dan aku ikut Abah ke kebun, tapi keletihan kerana mungkin tidak berapa fit badan.

Alhamdulillah, semua ok
Semoga sel-sel kanser tidak menyerang lagi
Aamiin

Friday, June 13, 2014

Demam oh Demam

Pada hari Selasa, sehari selepas harijadiku, seperti biasa aku ke kebun bersama-sama Abah, dengan Yana dan kawannya juga. Pada hari tu, kami mengerjakan kawasan semak yang agak tebal. Sudah menjadi kebiasaan bagiku, semasa mengerjakan kebun tidak terasa penatnya, tetapi setelah balik baru terasa sangat penat dan malamnya akan tidur begitu lena sekali.

Namun, pada hari itu aku terasa kepenatan dan sakit-sakit badan yang luar biasa sedikit. Semasa nak tidur pun terasa badan berat, namun ku abaikan sahaja. Selalunya, bangun dari tidur rasa berat badan dan kepala hilang, tetapi kali ni apabila bangun dari tidur kepalaku masih terasa berat. Mengikut jadual, aku dan Abah memang tak kebun pada hari Rabu kerana hari tu ialah hari kuliahku di madrasah.

Walaupun kepala sakit dan badan rasa berat, aku kuatkan juga semangat ke madrasah kerana dah 2 minggu aku tak hadir kuliah. Semasa kuliah, kepalaku bertambah sakit dan aku rasa sangat letih dan mengantuk; sampai tertidur sekejap semasa ustaz memberikan kuliah. Terasa begitu seksa menahan mengantuk, sakit badan dan kepala. Sampai rumah aku terus tidur. Memang aku rasa satu jihad betul nak mencari ilmu Allah kali ni! Semoga Allah memberkatiku, aamiin.

Aku hanya bangun untuk solat dan mengalas perut sahaja. Tidak ada rasa demam, tetapi kepala dan badan terasa begitu berat dan sakit-sakit. Aku makan panadol sahaja. Dalam keadaan begitupun, Alhamdulillah ... aku dapat tidur dengan lena kerana kepenatan dan berharap pada esuknya aku akan segar semula dan dapat ke kebun lagi kerana kami dah merancang untuk mengemaskan dahan kayu yang telah dipotong, dengan bantuan seorang adik iparku.

Perancanganku tak kesampaian apabila aku merasai sakit-sakit badan dan kepala yang makin teruk dan berasa lemah pula. Badan pun mulai rasa panas. Untuk mengatasinya, aku memakan ubat demam yang ada di rumah dan dan tidur sepanjang hari. Rasa tak larat sangat. Abah terpaksa juga pergi ke kebun kerana ada beberapa urusan yang mesti diselesaikan.  

Semasa Abah balik pada petangnya aku memang dah tak larat sangat. Malamnya, pergi ke klinik pun terpaksa dipegang semasa berjalan. Doktor mengatakan aku mengalami demam virus dan membekalkan antibiotik dan ubat demam. Jika dalam masa 3 hari masih tidak baik, doktor terpaksa mengambil darah untuk pemeriksaan lanjut.

Balik rumah, aku terus makan ubat yang diberi dan tidur. Alhamdulillah, apabila aku terjaga pada tengah malamnya, sakit kepala dan badan berkurangan walaupun masih berasa lemah. Seleraku juga datang maka dapat aku menikmati nasi dan lauk yang masih ada. Nampaknya, tak dapat aku nak melakukan lebih sikit amalan di malam nisfu Syaaban kali ni. Semua atas kehendak dan izin Allah jua. 

Hari ni, aku semakin pulih dan segar walaupun terasa bayang-bayang sekali sekala apabila berjalan. Selera pun dah seperti biasa, namun aku banyakkan berehat lagi. Kang tumbang balik, kan ke naya! Semoga aku sihat kembali untuk meneruskan aktivitiku bersama-sama keluarga, aamiin ...

Selamat Hari Jadi, Asiah ...



Setahun ... 

umurku meningkat
aku mengembara dalam kehidupan yang sementara
aku menghampiri destinasi akhir, alam baka 


Pada hari itu, 9 Jun 2014, genaplah umurku 56 tahun. Alhamdulillah, Allah telah mengizinkanku untuk terus bernafas dan menikmati hidup dalam alam ciptaan-Nya ini hingga ke tahap ini. Dengan itu, genap juga 3 tahun 6 bulan aku hidup sebagai pesakit kanser usus. Dan ... genap juga 1 tahun 6 bulan aku menjadi pesara. Alhamdulillah ...

Setakat ini, tiada sesuatu yang serius berlaku berkaitan dengan penyakitku, namun aku harus sentiasa ingat yang sihatku berpenyakit. Mengharungi hidup sebagai seorang pesara merupakan sesuatu yang indah buatku, apa lagi Abah juga telah bersara. Kami sama-sama menghabiskan masa menguruskan tanah kami di kampung untuk dibangunkan menjadi kebun dengan sebuah rumah idaman kami, insya-Allah.

Tiada apa-apa sambutan yang istimewa buatku pada hari jadiku ini. Kehidupan diteruskan seperti biasa, iaitu berkebun bersama-sama Abah dan menggoreng pisang pada petangnya selepas penat menebas. Sungguh nyaman, dengan suasana yang nyaman di tepi sungai. Aku juga mengharapkan anak-anak pun tidak membelikan kek harijadi buatku. Sudah-sudahlah mengikut cara Barat menyambut hari jadi dengan kek dan meniup lilin. Hasratku setelah rumah siap dan kebun selesai nanti, harijadi anggota keluarga disambut dengan bacaan Yassin, tahlil dan doa selamat; lebih berkat lagi. Insya-Allah, moga Allah kabulkan niat yang baik itu.


Menggoreng dan menikmati pisang goreng di tepi sungai

Hasrat utamaku sekarang adalah supaya aku dan Abah dapat menunaikan haji. Semoga Allah menjemput kami menjadi tetamu-Nya. Semoga Allah memudahkan kami, memberikan kami kesihatan yang baik dan ilmu yang meluas untuk itu. Semoga Allah memberikan kami haji yang mabrur kelak, aamiin ... 


Jika Allah mencabut nyawaku... 
semoga dipermudahkan aku menghadapi sakaratulmaut, 
kembali kepada-Nya dalam keadaan redha-Nya,
dipermudahkan perjalananku di alam kubur dan hari akhirat
diberi syafaat Rasulullah SAW
dikumpulkan bersama-sama orang-orang yang beriman
diberi tempat di syurga-Nya bersama-sama ibu-bapaku dan keluargaku
Aamiin

Sunday, June 8, 2014

Pemeriksaan Darah

Pada hujung bulan Jun 2014, aku perlu pergi membuat pemeriksaan susulan ke Institut Kanser Negara (IKN) di Putrajaya. Dalam pemeriksaan susulan yang lalu, doktor onko menyuruhku menghantar keputusan pemeriksaan darah lebih awal untuk penelitian mereka. Dengan itu, pada awal minggu ini, aku ke klinik untuk 'penyedutan darah' bagi tujuan pemeriksaan menyeluruh, terutamanya cancer markerSemalam, aku telah memperoleh keputusannya ...

Blood analysis

Alhamdulillah, darah ok jer, kecuali ESR tinggi sedikit bacaannya daripada reference range. Walau bagaimanapun, ia lebih rendah daripada sebelum ini. Memandangkan ia merupakan petanda bagi sebarang keradangan yang berlaku di dalam tubuhku, diharapkan keradangan itu bertambah baik dengan penurunan bacaan itu. 

Uric acid ... alamak, tinggi juga. Doktor menasihatkan jangan banyak sangat makan protein, mmm... Glukos sangat tinggi berbanding dengan sebelum ni. Ishh ... kena banyak kurangkan pengambilan gula ni. Macam mana aku nak berhenti minum teh susu ni? Watch out Asiah, kamu dah tergolong dalam kumpulan penghidap diabetes pula ni! 

Keputusan liver function test sebenarnya menakutkanku juga kerana sebelum ni bacaan Alkaline Phosphates selalunya tinggi, tapi kali ni Aspartate Transaminase dan Gamma-Glutamyl Transferase pulak tinggi. Doktor kata mungkin disebabkan oleh fatty liver. Kalau fatty liver tak apalah, jangan keradangan disebabkan oleh sel kanser, huh. Cuba makan liver tonic dulu dan tengok blood test yang akan datang ...


Sekarang yang menjadi amaran keras kepadaku ialah tingginya bacaan kolesterol. Aduhhh ... macam mana ni? Orang nogori mana boleh tinggal masak lomak lado padi? Tapi, secara saintifiknya santan kelapa tidak menyebabkan kolesterol naik, wallahualam. LDL ni jahat betul! Hey Asiah ... jangan salahkan LDL tu, jaga dan tengok apa yang kamu makan, ok! Hai ... hai ...

Heee ... menakutkan!

Last but not least, cancer marker. Alhamdulillah, CEA yang khusus untuk penanda kanser kolorektal memberikan bacaan yang kurang daripada referance range. Untuk kanser-kanser lain pun, bacaannya dalam lingkungan yang selamat juga. Walau bagaimanapun, sebenarnya CEA itu merisaukanku juga kerana selama ini bacaan selalunya 0.5, tiba-tiba kali ni 1.0 pula. Ya Allah, janganlah aktif semula sel-sel kanser ... tak sanggup aku nak menempuhi rawatannya ... Lagipun, cancer marker bukan penentu total yang seseorang itu  tidak aktif sel kansernya. Allahuakbar, semoga Allah melindungiku. 


Tengoklah apa kata doktor onko dalam pemeriksaan susulanku yang akan datang. Prosedur colonoscopy pulak akan dijalankan pada bulan Ogos nanti. Aku fobia nak menjalaninya, tapi bila tengok bacaan ini, alangkah eloknya kalau prosedur itu dijalankan sebelum aku menemui doktor onko ni. Tak apalah, doktor onko pun ada sebut akan diadakan CT/PETScan nanti.

Sebenarnya, aku rasa confident semuanya ok kerana aku selalu melakukan exercise yang intensif dengan berkebun bersama-sama suamiku. Apabila begitu, badan pun letih dan selera pun selalu terbantut, cuma mungkin kualiti makanan tidak dijaga. Dan lagi, dalam dua bulan kebelakangan ini, aku berhenti mengambil supplements yang biasa ku ambil dan menguji satu produk herba yang kononnya baik untuk kesihatan - menurunkan gula dalam badan (yang menjadi puaka jika berlebihan, dan menjadi punca kebanyakan penyakit).  

Memang, akhir-akhirnya aku memang rasa badan tak berapa betul bila aku meninggalkan supplements yang diambil selama ini. Ternyata, badanku memang tidak memberikan reaksi yang positif terhadap produk-produk kesihatan alternatif untuk mengatasi penyakit kerana dah beberapa produk aku cuba, memang tak jalan. Sekarang, aku tak boleh mengada-ngada lagi mengambil produk-produk yang sebegitu dan mesti terus tetap dengan supplements yang telah ku amalkan selama ini. Mungkin produk-produk tersebut baik untuk orang lain, tetapi tidak kepadaku. Now, bye bye dengan produk tu semua ... 

Apa-apa pun, back to basic ... 

Apa-apa yang berlaku adalah kehendak dan atas izin Allah jua 
Kita hanya berikhtiar dan Allah yang melaksanakannya