Saturday, February 1, 2014

Ulang Tahun Ketiga menjadi Survivor

Pada 24 Januari 2014, genap 3 tahun aku menjadi survivor. Segala kenangan sengsara menjalani rawatan penyakit yang dihidapi semakin pudar, namun fobia untuk pergi menjalani pemeriksaan susulan di HKL masih kuat di dalam diriku. Namun, apabila pemeriksaan susulan telah berpindah ke Institut Kanser Negara (IKN) di Putrajaya, perasaan itu tidak dirasai sangat.

Pada 23 Januari 2013, permeriksaan pertama di IKN telah dilalui. IKN baru beroperasi. Persekitarannya nyaman dan selesa. Pesakit pun tidak berapa ramai, cuma disebabkan penjawat di sana masih baru juga dengan sistem IT, pengurusan mereka agak perlahan sedikit. Pemeriksaan ke atasku hampir waktu rehat tengah hari, dan aku terpaksa menunggu pukul 2 petang pula untuk menjalani X-ray yang disarankan oleh doktor pakar, iaitu Dr. Gerald Lim. Dapatlah aku makan tengah hari di kafe IKN, dengan makanannya yang enak. Aku juga dapat menunaikan solat Zohor di suraunya, bagiku sangat kecil untuk menampung staf-staf yang berebut mengejar masa untuk melakukan solat. Itupun belum termasuk pelawat atau pesakit yang hendak menumpang solat nanti.

Klinik onkologi IKN

Pukul 2 petang aku terus menjalani X-ray. Agak lambat juga prosesnya kerana menurut petugas, mesinnya sangat canggih dan mereka baru membiasakan diri dengan peralatan itu. Walau bagaimanapun, secara keseluruhan, pemeriksaan yang kutempuhi di IKN begitu selesa, dengan layanan staf yang mesra. Keseluruhan stafnya muda-muda, cantik-cantik dan mesra. Harap-harap sikap ini akan kekal kerana pesakit yang datang adalah yang menghidap penyakit kronik dan digeruni, memerlukan keprihatinan yang tinggi dari segala segi.

Selain itu, doktor telah mengeluarkan surat untuk pergi ke hospital Putrajaya untuk menjalani prosedur colonoscopy. Adui hai ... memikirkan nak minum ubat flushing yang sangat masin dan lepas tu berulang ke tandas sangat anticlimax. Nak buat janji temu tu satu hal lagi. Tak mengapalah, untuk kebaikan nanti pergi jugalah. Hai ... hai ...

Pemeriksaan susulan kali ini mengembirakanku. Pertama-tamanya, aku dapat menjalaninya di IKN. Yang lebih penting ialah hasil ujian darahku. Keputusan ujian darah kali ini sangat memberangsangkan. Aku berasa lega daripada rasa cemas dengan keputusan ujian darahku yang terdahulu, terutamanya pada fungsi liver dan kolesterol yang agak tinggi bacaannya, kini telah turun, Alhamdulillah ...


Walaupun keputusan itu masih border line namun ia jauh lebih baik daripada yang sebelum ini. Keadaan ini mungkin disebabkan aku telah melakukan exercise setiap hari dan mengambil vitamin untuk liver. Dengan keputusan ini, ia memberikan lebih motivasi kepadaku untuk tidak meninggalkan exercise setiap hari (walaupun miss juga 2 atau 3 hari). Semoga aku lebih giat lagi untuk mendisiplinkan diriku demi kesihatan diri, insya-Allah ... 

Semoga Allah sentiasa memberikan memberikan kesihatan yang baik 
kepada diriku dan keluargaku

AAMIIN 


2 comments:

  1. As salam, mohon maaf lambat respons sebab lama tak online. Salam ukhuwah daripada saya

    ReplyDelete