Thursday, January 16, 2014

Dari HKL ke Putrajaya

Dalam pemeriksaan susulan yang terakhirku di HKL (25 September 2013), janji temu yang seterusnya ialah pada 26 Mach 2014. Walau bagaimanapun, disebabkan keadaan batuk yang teruk kualami tidak lama dahulu, aku pergi ke HKL untuk mendapatkan pandangan pihak onkologi, sama ada ia berkaitan dengan penyakit kanser yang ku hidapi ataupun tidak.

Dalam pertemuan itu, aku memohon jasa baik doktor onkologi HKL agar rawatan susulanku dapat dipindahkan ke Hospital Putrajaya. Kebetulan sebelumya, aku dah pergi meninjau ke Hospital Putrajaya, dan Institut Kanser Negara (IKN) betul-betul terletak bersebelahan dengan Hospital Putrajaya, cuma aku tak pasti sama ada IKN telah beroperasi ataupun belum. Doktor onkologi HKL akan menghubungi pihak Hospital Putrajaya. Jika rawatan susulan boleh dipindahkan ke sana, pihak Hospital Putrajaya akan menghubungiku dan pihak HKL akan mengeluarkan surat rujukan. Beberapa hari aku menunggu panggilan telefon tak ada. Dalam hati berkata bahawa kemungkinan pemeriksaan susulan perlu dikekalkan di HKL juga.

Walau bagaimanapun, semasa kau berada di Langkawi bersama-sama kawan-kawanku, aku menerima panggilan daripada IKN memberikan tarikh janji temuku di IKN, Alhamdulillah. Apa yang perlu aku lakukan ialah membawa surat rujukan dari HKL. Setelah kembali dari Langkawi, aku menghubungi pihak HKL dan mereka memaklumkan surat rujukan telah siap. Insya-Allah janji temuku di IKN ialah pada 23 Februari 2014, iaitu satu hari sebelum tarikh ulang tahun aku menjalani pembedahan HUSM Kota Bharu, membuang kanser di rektumku. Dengan itu, tidaklah sukar sangat aku nak pergi menjalani rawatan susulan, kerana lebih dekat berbanding jika pergi ke HKL. Dan lagi, tak adalah aku berasa fobia sangat nak ke hospital kerana setiap kali nak HKL, aku teringat kembali sengsara menjalani rawatan kemo dan radio di sana. 

Semua pengalaman yang telah aku tempuhi semasa menjalani rawatan di HKL, Institut Radioterapi & Onkologi, tetap kekal abadi dalam ingatanku. Seterusnya, aku akan menjalani rawatan di IKN nanti ...


Tempat ini akan menjadi kenangan abadi buatku


Alhamdulillah ... Alhamdulillah

Allah memberikan ujian kepadaku, namun Allah memudahkanku juga
Sesungguhnya, segala perancangan Allah buat umat-Nya adalah yang terbaik 

Semoga aku sentiasa bersyukur dan tunduk tawadu' kepadamu ya Allah

Aaamiin

No comments:

Post a Comment