Monday, July 8, 2013

JUN 2013 : Bulan Hari Jadi yang Penuh Rahmat dan Nikmat - Alhamdulillah ...


Alahmdulillah ... aku kini menjangkau usia 55 tahun

Pejam, celik ... pejam, celik ... kini usiaku sudah menjangkau 55 tahun pada 9 Jun 2013. Alhamdulillah, Allah masih memberiku peluang untuk bernafas dan menikmati kehidupan di alam ciptaan-Nya ini. Pada tarikh itu, Abah (suami) berada di platform, tetapi perkara itu telah biasa dalam kehidupanku.

Walau bagaimanapun, sebelumnya aku dan rakan-rakan sekolah merancang untuk ke Jakarta mengunjungi salah seorang sahabat kami yang telah menetap di sana lebih kurang dua setengah tahun dan akan kembali semula ke tanah air. Kebetulan, tarikh penerbangan kami tepat pada tarikh hari lahirku. Mmmm ... nampak gaya itulah hadiah harijadiku. 

Penerbangan kami ke Jakarta adalah pada sebelah petangnya. Oleh sebab Abah tak ada maka anak-anak (Wati, Zafhri, Yana dan Wani) yang menghantarku ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Sampai di KLIA, aku bertemu dengan Normah dan Fuziah (Putih), iaitu kawan-kawanku yang akan sama-sama terbang ke Jakarta. Sementara menunggu nak check-in  aku menunaikan solat dahulu, dan tiba-tiba anak-anak hilang. Kami berjanji nak minum di Old Town White Coffee. Tiba-tiba, anak-anak datang dengan sebuah kek hari jadi. Rupa-rupanya mereka hilang pergi membelikan kek untuk aku! ...

Terima kasih anak-anak membelikan kek ucapan happy birthday and safe journey 

Sahabatku, Putih dan Normah yang akan sama-sama ke Jakarta, 
meraikan harijadiku di Old Town White Coffee KLIA,
 Thank you buddies. (Hai ... lupa pulak nak ambil gambar dengan anak-anak)

Di Jakarta, kami disambut oleh Yati, sahabat kami, yang sudi menerima kami untuk tinggal di rumahnya selama kami di sana serta membawa kami berjalan-janlan dan membeli-belah di Jakarta dan Bandung ...

Kami disambut oleh Yati di rumahnya

Kami mengabadikan gambar kenang-kenangan di rumah Yati

Selepas masing-masing shopping sakan di Bandung 

Di hari akhir di Jakarta, kami dijamu oelh Yati di Restoran Natrabu

Thank you very much dearest Yati for everything

Terima kasih juga kepada Pak Lasey, supir yang membawa kami berjalan-jalan di Jakarta dan Bandumg

Kami menghabiskan masa di Jakarta selama empat hari. Sebelum ke Jakarta, jiranku Ismizah bermurah hati menjemputku untuk menginap di Golden Palm Tree Resort, Sepang, dengan percuma. Ya Allah ... memang kami sekeluarga sukakan tempat itu tetapi tempat itu sangat ekslusif maka kami dengar sahaja tempat tu. Apabila mendapat tawaran itu, aku memang sangat gembira dan berterima kasih kepada Mizah dan bersyukur kepada Allah akan rahmat-Nya kepadaku dan anak-anak. Dengan itu, balik dari Jakarta, anak menjemputku di KLIA dan terus ke Golden Palm Tree Resort, Sepang...

Resort yang sangat cantik

Aku dan anak-anak duduk di villa 2-bilik di sini selama 3 hari 2 malam. Memandangkan Wani hanya dapat bersama-sama kami semalam sahaja dan dia dalam keadaan stres dengan pelajarannya, aku teringin nak membawanya bercuti lagi. Dari Sepang kami terus ke Melaka. Di Melaka, kami menginap pula di Philea Resort, di Air Kroh, tanpa dirancang (just walked-in).

Aku dan anak-anak sangat sukakan tempat ini. Persekitarannya sangat nyaman dan menenagkan dan kami duduk selama 3 hari 2 malam juga. Sempatlah kami meneroka bandar Melaka pada waktu malam semasa tinggal di sana. Insya-Allah, kami akan pergi lagi ke tempat yang indah itu.


Green hotel dengan penginapan log house

Kami balik dari Melaka, Abah pun balik dari laut. Kami semua seronok dengan kepulangan Abah dari laut. Beberapa hari selepas itu, aku bertambah-tambah gembira dan seronok apabila tanpa disangka-sangka aku mendapat hadiah loket emas daripada adik angkatku, Saremah (Manja) dan rantai emas daripada abah. Terima kasih Abah dan Manja ...

Hadiah hari lahir, iaitu rantai emas daripada Abah dan loket emas daripada Manja

Dengan limpah kurnia dan nikmat daripada Allah, pada bulan ini juga aku telah dapat kumpulan usrah dan belajar mengaji di surau Bandar Sunway Semenyih. Memang lama aku teringinkan mempunyai satu kumpulan usrah untuk belajar agama dan belajar mengaji ...

Rakan-rakan kumpulan usrah dan belajar mengaji di surau Bandar Sunway Semenyih

Sesungguhnya, Allah maha pengasih, penyayang dan maha mengetahui. Aku sangat bersyukur atas segala apa yang aku perolehi tanpa aku sangka dan duga. Syukur, Alhamdulillah ... semoga aku tidak lalai terhadap-Mu ya Allah ...

Alhamdulillah ... Alhamdulillah ... Alhamdulillah ...

Thursday, April 4, 2013

Pemeriksaan Susulan HKL, 22 Mach 2013

Pada hari Jumaat, 22 Mach 2013, ialah pemeriksaan susulan pertamaku di HKL pada tahun ini. Yang terakhir ialah pada bulan November 2012. Seminggu sebelum itu, aku telah melakukan ujian darah.  Keputusannya adalah seperti yang berikut: 

Blood count - glukos tinggi tu!

Liver Function Test - LFT - Alhamdulillah, ok

Renal Funtion Test - RFT - wey, tingginya kolesterol!

Air kencing - ok

Keputusan ujian darah pada kali ini lebih baik berbanding dengan yang lepas, cuma glukos dan kolesterol masih tinggi. Sebenarnya, aku amat risau menunggu keputusan LFT, namun Alhamdulillah ... bacaan Alkaline Phosphatese, yang sebelum ini tinggi, telah kembali normal. Dengan itu, aku tidaklah risau sangat dengan keadaan liverku, tapi kena sentiasa berjaga-jaga - don't take it for granted! Dengan usahaku melakukan senaman berjalan pantas sekarang ini diharapkan semuanya (kolesterol dan glukos) akan menjad normal juga nanti, insya-Allah.

Pada hari pemeriksaan susulan, kebetulan Abah berada di darat maka Abah yang menghantarku ke HKL. Janji temu adalah pada pukul 10 pagi, tetapi memikirkan kesesakan lalu-lintas ke HKL tu maka kami keluar awal. Memang telah dijangkakan kami akan melalui kesesakan lalu-lintas. Hai, bosannya. Untuk menghilangkan kebosanan itu, aku cuba menikmati suasana persekitaran Kuala Lumpur, dan inilah hasilnya ...

Cantik pulak tengok menara KL dan bangunan berkembar tu dari jauh

Kesesakan lalu-lintas nak masuk terowong 

Pengubat semasa kesesakan! hehe

Kami sampai di HKL lebih kurang pukul 9.30 pagi, dan Abah menurunkan aku di klinik onkologi dahulu sebelum mencari tempat parking. Seperti biasa, klinik ini memang ramai pesakit yang menunggu untuk berjumpa doktor onkologi. Semasa mendaftar, selalunya aku menunjukkan surat     jaminan daripada DBP, tapi kali ini aku menunjukkan kad pesara! Lepas mendaftar, puaslah menunggu giliran untuk berjumpa doktor pula. Sambil tu, aku membaca majalah. Dah penat dan habis membaca main pula game internet, adoi hai ....

Sampai ke satu peringkat, aku terasa badan seperti kaku duduk lama dan bosan. Tak boleh jadi ... aku bangun dan keluar melihat Abah yang menunggu di luar klinik. Tak cukup dengan bangun jer, berjalan ke hulu ke hilir dan membuat sedikit senaman streching! Perasan juga orang memerhati, tapi aku buat tak tahu jer!

Kira-kira pukul 12 lebih barulah giliran aku dipanggil masuk berjumpa doktor. Alhamdulillah, doktor yang memeriksa berpuas hati dengan status kesihatanku. Cuma, aku perlu membuat prosedur colonoscopy nanti sebelum pemeriksaan susulan yang berikutnya. Memikirkan nak menjalani prosedur ini, adoi hai ... Walau bagaimanapun, memandangkan keadaanku ok jer, maka pemeriksaan susulan adalah dalam masa 6 bulan yang akan datang, iaitu pada bulan September. Alhamdulillah ...

Tuesday, April 2, 2013

Kursus Persediaan Persaraan Staf PETRONAS

Suatu hari, Abah menelefonku dari platform bertanyakan sama ada aku nak menyertai kursus prapersaraan bagi staf non-executive Petronas ataupun tidak. Kursus ini perlu disertai oleh pasangan masing-masing. Memandangkan aku duk rumah aje, dah semestinya aku nak jer. Kursus diadakan selama tiga hari (Isnin-Rabu, 25-27 Mac 2013) di Bayview Beach Resort, Pulau Pinang. Wati dan Yana pun nak ikut. Wani tak dapat ikut sebab ada kelas dan Zafhri pun tak dapat ikut kerana ada kursus di NIOSH. Hari Ahad tengah hari kami gerak dari rumah dan sampai ke hotel petang. Terasa penat sebab dalam perjalanan cuaca panas, maka kami berehat saja dalam bilik. Pada malamnya barulah keluar makan. 

Hari Isnin pagi, lepas bersarapan, aku dan Abah mendaftar untuk kursus. Mungkin ramai yang hadir, maka kursus dibuat dalam dua kumpulan dan di dalam dua bilik kursus. Dalam kumpulan yang aku masuki terdapat 18 pasangan, yang majoritinya staf lelaki yang membawa pasangan masing-masing, kecuali dua orang yang tidak membawa pasangan. Kebetulan, sekali pula dengan En. Suhaili iaitu suami arwah Kak Kamsiah, bekas artis Dewan Bahasa dan Pustaka di Bahagian Reka Bentuk dahulu.


Kursus dibimbing oleh En. Rizal Ramli. Beliau memberikan panduan tentang perancangan untuk staf Petronas yang akan bersara supaya dapat mengendalikan ganjaran EPF yang akan diperolehi nanti. Aku sangat suka dengan kenyataan beliau "saya tidak mengajar abang-abang menjadi kaya, tetapi saya tak mahu abang-abang semua menjadi miskin". Wow!!! Bila difikir-fikirkan dan dilihat apa yang berlaku di sekeliling, memang ada kebenarannya. Ramai yang kehilangan duit EPF selepas bersara begitu sahaja kerana tidak diuruskan dengan cara yang bijak. En. Rizal juga memberikan beberapa contoh yang berlaku.

Dengan itu, beliau memberikan banyak maklumat dan pendedahan yang berkaitan dengan pelaburan wang dan banyak juga tentang pengurusan aset, termasuk juga yang berkaitan dengan wasiat, wasi dan penama. Dengan pengalaman beliau yang banyak dalam bidang pelaburan melalui pembelajaran beliau sebagai pemegang ijazah MBA dan pengalaman beliau sendiri, penyampaian beliau sangat berkesan dan bermanfaat kepada kami semua peserta. Cara penyampaian beliau juga tidak membosankan, penuh semangat dan jenaka. Inilah orangnya ...

En. Rizal Ramli keturunan "Jaia"

Mula-mula beliau memperkenalkan diri pun dah suspens. Beliau cakap beliau berketurunan "Jaia", macam Jakun dan lain-lain tu! Puaslah kami berfikir ingat kaum asli mana, rupa-rupanya Jawa + India! Bila bercakap kelemahan tentang orang Melayu (Jawa rumpun Melayu juga) atau India dia tak ngaku keturunan tu, bila bercakap tentang kekuatan pula dia mengaku! haha ... he's such a witty person. Yang paling best bila dia ada point mengenakan Abah sebab sepanjang kursus Abah suka mengacau dan mengenakan dia.  Last last, jadi kawan sebab dia pun dari Rincing. Aku menyarankan beliau menulis buku tentang segala apa yang telah disampaikan dan bersedia untuk membantu beliau nanti. Nampaknya, beliau sendiri berminat untuk menulis dan berkongsi pengetahuan beliau melalui buku yang akan diterbitkan nanti. Sebagai pembimbing kursus, beliau boleh menjual buku hasil tulisan beliau kepada peserta kursus nanti. Di hari akhir, aku dan Abah sempat juga bergambar dengan En. Rizal. 

Gambar kenangan dengan En. Rizal

Dalam satu slot lagi, kami diberi penerangan penjagaan kesihatan oleh Dr. Norman Mohd Norawi. Beliau banyak memberikan maklumat tentang penjagaan kesihatan pada usia emas melalui penjagaan pemakanan, bersenam dan menjalani gaya hidup yang sihat tanpa stres. Banyak maklumat tambahan yang ku perolehi daripada Dr. Norman. Aku berpeluang menanyakan beberapa soalan tentang ubatan dan kesihatan. Aku dapat lebih memahami dengan apa yang telah kuketahui melalui pembacaan sebelum ini. 

Dr. Norman yang mesra

Beliau juga telah membawa empat judul buku hasil tulisan beliau, dan aku membeli kesemuanya. Kesemua buku ini diterbitkan atas usaha beliau sendiri. Aku tidak keberatan untuk menawarkan khidmat penyuntingan kepada beliau dalam tulisan beliau yang akan datang, dapat juga aku membuat amal jariah.

Buku-buku tulisan Dr. Norman

Di akhir sesi beliau, aku dah Abah tidak melepaskan peluang untuk mengabadikan gambar kenangan

Bergambar kenangan

Peserta yang lain sempat juga bergambar. Walau bagaimanapun, aku hanya ada gambar-gambar yang berikut saja ...

Sebilangan peserta kursus, staf Petronas.

Sebilangan isteri peserta.

Di akhir kursus, kami semua amat berpuas hati dengan apa yang kami dapat daripada kursus ini. Secara peribadi, aku sendiri sangat berpuas hati kerana banyak maklumat yang selama ini tidak diketahui dapat digarap dan difahami. Dari segi tempat kursus pula, ia diadakan di resort tepi laut yang nyaman dengan staf yang mesra. Dan, yang paling aku kagumi ialah inilah pertama kali aku ketahui kursus prapersaraan perlu dihadiri oleh pasangan masing-masing, maka setiap pasangan dapat mengetahui maklumat yang sama dan mengendalikan kehidupan selepas bersara bersama-sama dengan lebih terancang. Aku bersyukur kerana dapat peluang keemasan ini, Alhamdulillah. Semoga apabila Abah bersara tahun depan, kami dapat meneruskan kehidupan usia emas kami dengan selesa, sihat dan penuh terancang untuk diri kami dan keluarga, aamiin ...

Wednesday, March 20, 2013

Brisk Walking

Telah beberapa bulan aku tidak pergi ke gym lagi. Wati dah bekukan akaun kerana dia terlalu sibuk untuk menyiapkan kerjanya supaya tidak lari dari target date (selalu juga lari tu!). Aku nak pergi sorang-sorang, malaslah pulak bila tak ada kawan ke sana. Setiap kali lalu di padang tu, meluap-luap hati nak pergi jalan kaki di situ, pun tak ada kawan juga. Puas ajak Wati pun tak boleh; abah apa lagi, tak nak dia! Abah sibuk dengan kebunnya bila berada di darat, sempat lagi kirimkan gambar melalui whatsapp ...

Air terjun berhampiran dengan kebun di kampung; cantik!!

Minggu lepas, tiba-tiba seorang jiran tu pun nak pergi jogging juga. Kami pun berjanji dan pergi ke padang bersama-sama. Tapi, kami kena pergi dalam pukul 8.30 pagi kerana jiran nak hantar anak ke sekolah dulu. Tak apalah, janji ada kawan dan dapat pergi padang, cuma panaslah bila pergi lewat sikit tu. Kami jalan pantas selama setengah jam jer.

Semalam dan hari ni, jiran tak dapat pergi sebab ada hal. Aku rasa sayang bila dah mula tu nak berhenti pulak. Mmmm ... pergi jerlah sorang-sorang! Malangnya, semalam pulak sedang aku sedap-sedap jalan berpeluh-peluh perut buat hal pulak. Baru 15 minit jalan, terpaksa bergegas balik ...

Haha ... berlari balik kejar toilet!

Hari ni, aku pergi awal sikit. Hari belum panas lagi dan bila sampai nampak padang meriah. Ramai orang dan burung pun becok berkicauan. Aku pun terus buat exercise berjalan pantas - tak berani nak jogging. Sambil tu sempat juga ambil gambar ...

Ada yang berjalan, ada yang berjogging

Di hujung padang ada tempat untuk kanak-kanak bermain. Pagi ni tiada kanak-kanak; selalunya ramai kanak-kanak pada waktu petang ...

Taman permainan kanak-kanak

Berhampiran, terdapat gelanggang bola keranjang. Pagi ini tiada oang yang bermain bola keranjang (selalunya waktu petang mereka bermain), maka pagi ni ada sekumpulan yang bersenam Qi Gong (rasanyalah) di situ ...

Baru selesai ...

Di hujung padang sebelah sini pula terdapat satu kumpulan wanita yang melakukan senaman beramai-ramai dengan bimbingan seorang instructor. Mereka seperti beraerobik. Daripada makluman seorang ahli yang sempat aku berbual, senaman kumpulan ini bermula pada pukul 7.30 pagi dan bayaran hanya RM5 sebulan untuk tampung bateri radio tu. Terasa juga nak join, tapi nantilah. Tambah pulak pagi ni tadi aku dengar muziknya macam muzik opera jer! Aku lebih suka berjalan pantas ...

Bersenam mengikut muzik

Aku meneruskan aktivitiku sendirian berjalan pantas. Hari pun dah mula panas dan peluh pun menitis-nitis dah. Rasa seronok sangat berjalan pantas sambil menikmati keindahan matahari pagi naik ...

Natural Vitamin D, tak payah beli kat GNC mahal tu! huhaa, huhaaa ...

Sebelum ni, bila hari semakin panas padang semakin lengang. Tapi hari ini, lagi panas semakin meriah pulak! Sekumpulan mereka yang melakukan senaman dan berlatih bola sepak datang ...

Berlatih bola sepak

Sejurus lepas tu pulak, dari jauh nampak mengemut 'semut merah' bergerak menghampiri padang! Mereka ialah kanak-kanak dari TADIKA yang berhampiran ...

Comel-comel semua anak-anak ini ...

Mereka membuat aktiviti fizikal di gelanggang bola keranjang. Tak sunyi gelanggang ini ...

Pasti anak-anak ini seronok

Aku meneruskan aktiviti berjalan pantas. Dah rasa puas berjalan aku masuk ke tempat work out dan melakukan sedikit work out di situ. Tempat ni pun tak sunyi juga. Tadi sekumpulan wanita tu dan sekarang aku pulak! hehe ...

Habiskan masa 15 minit di sini

Selepas cool down, masa menikmati apa yang ada di persekitaran padang pula ...

Bunga yang kembang mekar dan juga berguguran

Tertarik dengan buah pokok ini

Dah puas menikmati persekitaran, masa untuk beredar. Sebelum beredar, sempat ambil gambar padang ni dari jauh ...

Banyak pusingan juga aku jalan mengelilingi padang yang luas ini selama 45 minit!

Harap-harap aktivitiku berjalan di padang ini akan berterusan, dan bukan hangat-hangat tahi ayam jer, huhu ... Anyway, I enjoy it very much though I'm doing it alone. Harap-harap dapat jumpa ramai kawan di padang nanti ...