Wednesday, January 13, 2016

Ulang Tahun Perkahwinan Ke-31

Turn on the music


Mengimbau tahun-tahun yang telah berlalu, pada 24 November 1984, aku telah bergelar sebagai seorang isteri kepada seorang lelaki bernama Norhisham Mohd. Derus. Pada masa itu, aku tidak dapat membayangkan apakah corak kehidupan yang bakal kulalui sebagai seorang isteri, yang aku jangkakan akan melahirkan zuriat suamiku.

Walau apapun, Selasa 24 November 2015, diam tak diam perkahwinan kami telah mencapai usia 31 tahun, dengan pelbagai saat suka duka yang telah dilalui. Namun, dalam tempoh itu kami diceriai oleh empat orang cahaya mata yang kini telah dewasa semuanya, Alhamdulillah. Pada hari itu, kebetulan abah (suamiku) balik ke darat setelah bertugas selama dua minggu di pelantar minyak luar pantai Terengganu. Tiada apa-apa sambutan atau majlis istimewa bersempena dengan ulang tahun perkahwinan kami. Aku pun rasa biasa sahaja, kecuali agak pelik apabila anak-anak tidak mengucapkan selamat kepada kami. Emosi aku sendiri pun tidak berapa stabil kerana melihat dan mendengar pelbagai ujian dan kesengsaraan yang dihadapi oleh sahabat-sahabatku disebabkan penyakit yang mereka atau keluarga mereka hidapi (khususnya kanser). Melihat mereka, mengingatkanku kembali saat-saat sengsara yang pernah kutempuhi suatu ketika dahulu. 

Berikutan daripada itu, salah seorang sahabat karibku pula, Ita, telah menjemput kami sekeluarga dan kawan-kawan karib yang lain ke satu majlis makan malam yang diadakan paa 6 Disember 2015. Dalam keadaan moodku yang tidak begitu baik itu terasa berat nak menghadirinya. Walau bagaimanapun, demi sahabat aku gagahi juga pergi menghadiri majlis itu di Restoran Rebung Chef Ismail, di Bangsar. Tak mengapalah, pergi makan jer apa salahnya. Lagipun, aku memang suka tempat tu yang menyajikan masakan Negeri Sembilan secara buffet, dan menjadi tempat kesukaan kami  yang berselera kampung semuanya.  

Kami sekeluarga keluar dari rumah agak awal, takut kalau-kalau ada kesesakan lalu-lintas. Selepas solat Maghrib di sana, kami mula makan-makan. Semasa santai-santai makan dan borak-borak, Ita dan anak-anak telah mengeluarkan kek dan Ita membuat pengumuman yang sangat mengejutkanku dan abah. Rupa-rupanya majlis itu adalah khas untuk kami, yang dirancang oleh anak-anakku semua secara rahsia sebagai hadiah ulang tahun perkahwinanku dan abah, dengan dibantu oleh Ita, Eran dan sahabat-sahabatku yang lain. Ya Allah, aku dan abah terkedu dan aku sangat terharu dengan apa yang dilakukan oleh anak-anak terhadap kami. Aku tak dapat menahan air mata menitis, tambahan dalam keadaan emosiku yang muram ketika itu. Allahuakbar ... Alhamdulillah, kami memiliki anak-anak yang melayani kami begitu. Kek itu ditempah dan dibuat khas oleh Nita, isteri sahabatku yang hadir juga pada malam itu, atas tajaan Ita dan Saba. Sayang sekali, Saba tidak dapat bersama-sama kami kerana terpaksa balik ke Kuching dengan tergesa-gesa untuk menjalani rawatan penyakit kanser yang dihidapinya.


Kek yang ditempah khas untuk kami

Anak-anakku, buah hatiku (Wati dan Wani; Zafhri dan Yana)

Orang kuat yang membantu dalam perancangan rahsia anak-anakku ialah Ita dan Eran, yang telah menjadi seperti ibu dan bapa kepada anak-anakku, dan mereka telah menganggap anak-anakku seperti anak mereka ...

Ita dan Eran, terima kasih banyak-banyak

Nita (kanan), yang telah membuat kek yang istimewa itu 

What a pleasant suprise! Itulah yang sentiasa bermain dalam fikiranku hingga kini, kerana selama ini memang kami tidak pernah menyambut atau meraikan hari ulang tahun perkahwinan kami. Setelah membuat pengumuman, kami sama-sama berdoa ....

Aku bersyukur

Dengan apa yang berlaku tanpa disangka-sangka itu, kemuramanku lenyap dengan serta-merta ... hatiku berbunga-bunga. Apa lagi, Sahabat karib kami sama-sama meraikan dengan begitu meriah sekali ...

Sahabat yang hadir berpasangan

Sahabat yang hadir single

Mereka meraikan kami; sahabat zaman persekolahan

Selesai pemgumuman dan doa, kami meneruskan kembali menjamu selera, sambil makan-makan dan borak-borak. Kebetulan malam tu restoran lengang, maka kami memonopoli tempat itu.

Suasana di restoran

Kami makan-makan dan borak-borak, enjoying ourselves. Pelbagai cerita yang timbul, sejak zaman persekolahan lagi, hingga kini ...


Mereka berkaraoke ...


Back to school, the boys menari ... tarian yang relax dan cool, mereka gelar tarian setano (istana) ...

They are enjoying

Teringat masa-masa sekolah dahulu, dan kemesraan kami masing-masing tidak berubah. What a blessingsDalam masing-masing makan-makan dan berhibur, sahabatku semua menulis ucapan yang manis dan indah pada kotak hadiah daripada mereka ...

Besarnya hadiah!!

Sambil-sambil tu bergambar juga ...

Abah dengan Yana dan Wani

Ita yang sangat suka mengacau 'anak' lelakinya tu

Wajah-wajah ceria sahabatku

Sebelum bersurai, adik (Zainidah) menyerahkan hadiah untuk kami ...

Terima kasih adik (gambar atas)

Sesungguhnya, saat ini tidak akan kami lupakan hingga ke hujung nyawa. Terasa betapa anak-anakku menghargai kami ibu bapa mereka. Betapa mereka berpuas hati memberikan kegembiraan kepada kami. Begitu juga sahabat-sahabat kami ... Kami sentiasa berkongsi saat suka dan duka apabila bertemu kembali selepas berpisah bertahun-tahun. Kami semua telah menjadi seperti keluarga. Insya-Allah, segala apa yang kami lalui selepas bertemu kembali ini menjadi kenangan terindah dalam hidup kami. Andainya ada di antara kami yang pergi menyahut seruan Illahi lebih awal, kenangan ini semualah yang kekal dalam hidup kami ... kami bersama-sama suatu ketika. 

 Terima kasih ... Friends forever

Aku dan abah pula ... Ya Allah, peliharalah hubungan kami dan kekalkanlah ikatan kami ini hingga ke Jannah ...

Aamiin ...

Sampai di rumah, kami sempat mengabadikan gambar kenangan hadiah ulang tahun yang kami terima daripada sahabat-sahabat kami ...

Alhamdulillah ...

Insya-Allah ...

Semoga Allah memelihara 
kebahagiaan, kesejahteraan dan kesihatan
kami sekeluarga rohani dan jasmani
di dunia dan akhirat
AAMIIN 

Sunday, January 3, 2016

Selamat Tahun Baharu 2016





Jumaat 1 Januari, menjelmalah tahun baharu 2016. Alhamdulillah ... Allah masih memberiku nafas dan kehidupan untuk menempuhi hari-hari mendatang, yang hanya Allah sahaja yang maha mengetahui apa yang akan ditempuhi dan harungi. Aku sentiasa berdoa semoga Allah memberikan yang terbaik buatku dan keluarga semua, aamiin. 

Mengimbau kembali tahun 2015 yang telah dilalui, tidak banyak perkara yang luar biasa yang diharungi dan alami. Aku banyak menghabiskan masa bersama-sama suami untuk menyiapkan rumah yang kami bina di kampung. Setiap kali suami berada di darat, kami banyak menghabiskan masa membeli barang-barang binaan yang diperlukan oleh tukang. Insya-Allah ... di ambang 2016 ini, hanya sedikit sahaja yang perlu dibuat. Akan tetapi, yang pastinya kami perlu membersihkan kembali kawasan sekitar; semak-semak yang telah mula naik dengan suburnya. Insya-Allah, dalam masa yang terdekat dapatlah kami menduduki rumah kami di kampung dan menjadi tempat keluarga dan rakan-rakan berkumpul.

Dari segi kesihatan, Alhamdulillah ... setakat ini penyakitku tidak menunjukkan apa-apa tanda yang tidak baik. Daripada semua pemeriksaan susulan (dua kali di Hospital Putrajaya dan dua kali di IKN), termasuk kolonoskopi, doktor mengesahkan semuanya dalam keadaan baik. Semoga aku akan sembuh sepenuhnya, aamiin. Cuma, aku berasa sedih dengan penanggungan sahabat-sahabatku yang 'sekapal', berulang kembali dan menjadi semakin teruk pula penyakit kanser mereka. Aku dapat merasai kesengsaraan yang ditanggung oleh mereka, terpaksa melalui rawatan semula. Begitu juga, mereka yang dihinggapi pelbagai penyakit lain. Tidak kurang juga kesedihan mereka yang kehilangan orang-orang yang tersayang; ibu, bapa, sanak-sedara dan sahabat handai. Begitulah takdir dan kehendak Illahi. Keredhaan dan kesabaran menerima segala-galanya sahaja yang dapat memberikan kekuatan kepada yang berkenaan untuk menghadapi segala-galanya dengan penuh ketenangan. 

Walaupun aku tidak menghadapi semua itu, namun kesengsaraan sahabat-sahabatku menempuhi segala-galanya itu serba sedikit memberi impak kepada emosiku. Aku sendiri tidak percaya apabila aku sendiri mengalami kemurungan apabila melihat dan mendengar sahabatku yang menanggung semua itu. Melihat sahabatku yang sengsara menanggung kesan rawatan, di samping ada sebilangan rakan-rakan yang memerlukan sokonganku, menjadikan diriku seolah-olah baru semalam pula menanggung semuanya itu, lantas aku sendiri menjadi murung, ya Allah ... 

Walau bagaimanapun, semua itu perlu dihadapi dengan tabah; sentiasa berdoa dan menyerahkan segala-galanya kepada Allah. Sesungguhnya, segala yang berlaku adalah atas kehendak dan izin-Nya jua. Semoga Allah sentiasa menjadikan kami semua orang-orang yang redha dan bersyukur. Semuanya mempunyai hikmah yang tidak terkira sebenarnya. Semuanya harus dilihat dengan mata hati, insya-Allah. Semoga kami semua tabah menghadapi ujian, dalam bentuk apapun, yang diturunkan kepada kami dan kami yang menghidap penyakit kronik ini diberi kesembuhan yang sepenuhnya, aamiin.

Akan tetapi, tidak semua kehidupan ini ditempuhi dengan kesedihan dan kesengsaraan. Dalam sengsara ada bahagia, dalam duka ada suka. Hubungan silaturrahim yang baik dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan memberikan cahaya keceriaan dan kegembiraan kepada kami. Setiap pertemuan yang diadakan bersama-sama rakan-rakan sekolah dipenuhi dengan kesejahteraan dan sokongan antara satu sama lain. Sokongan dan dorongan semangat yang diberikan antara satu sama lain serba sedikit memberikan kekuatan kepada mereka yang sedang diuji. Semoga hubungan silaturrahim kami semua kekal hingga ke Jannah, aamiin.

Semoga Allah sentiasa memberi yang terbaik 
di hari-hari/tahun-tahun mendatang

AAMIIN 

Wednesday, October 14, 2015

Ma'al Hijrah 1437/2015



Hari ni, 14 Oktober 2015 ...  




--------- Alhamdulillah -----------

Allah masih memberi aku peluang menikmati rahmat-Nya
di dunia yang fana ini 


Monday, August 31, 2015

Pemeriksaan Susulan dan Kolonoskopi

Setiap kali aku perlu ke hospital untuk membuat pemeriksaan atau menjalani apa-apa prosedur yang berkaitan dengan penyakitku merupakan detik-detik yang menyiksakan bagiku hendak menghadapinya. Malahan, untuk menziarahi orang sakit di hospital pun aku rasa fobia. Selepas setiap pemeriksaan susulan, tarikh untuk menjalani pemeriksaan susulan seterusnya sentiasa memburu fikiranku, walaupun ianya akan aku hadapi enam bulan yang akan datang. Apo nak dikato ... ia perlu aku hadapi untuk kebaikan diriku walaupun aku merasai diriku telah sihat, seolah-olah telah bebas daripada kanser. Ada dalam kalangan pesakit kanser, apabila telah selesai menjalani rawatan dan berasa diri telah sihat selama beberapa tahun dan tidak pergi menjalani rawatan susulan atau mengambil langkah berjaga-jaga, tiba-tiba penyakit datang semula dan terpaksa menjalani rawatan semula ... Ya Allah, hindarilah aku daripada jadi begitu. Oleh itu, walaupun rasa fobia atau seksa hendak ke hospital, maka aku gagahkan jugalah ...


ISNIN, 22 JUN 2015

Pada hari Isnin, 22 Jun 2015, ialah tarikh pemeriksaan susulanku bagi tahun ini di IKN. Temu janji adalah pada jam 8.45 pagi. Untuk tidak lewat sampai ke hospital, aku dengan ditemani Wati keluar awal kerana pada waktu pagi selalunya berlaku kesesakan lalu lintas. Kami sampai di IKN tepat pada waktunya. Memandangkan tempat parking selalunya sukar diperoleh, maka Wati menurunkanku di pintu utama dan dia terus mencari tempat parking.   

Aku terus pergi ke tempat pendaftaran. Mungkin hari itu hari Isnin, maka terdapat ramai pesakit yang datang mendaftar unruk mendapatkan pelbagai peringkat pemeriksaan atau rawatan. Agak lama juga aku menunggu pendaftaran sebagai pesakit luar. Dalam hatiku berkata "Alamak! jenuhlah aku menunggu giliran untuk menemui doktor dan menyelesaikan sessi pemeriksaanku nanti" Memang benar, selama ini aku selesai menjalani pemeriksaan hampir waktu tengah hari.

Selesai, dan dapat slip pendaftaran pesakit luar.

Selesai pendaftaran sebagai pesakit luar, aku perlu mendaftar di klinik onko pula. Ops, nampaknya ramai juga pesakit yang menunggu untuk mendaftar dan berjumpa doktor ...

Menunggu giliran untuk berjumpa doktor.

Walau bagaimanapun, tanpa disangka-sangka sekejap sahaja menunggu aku telah dipanggil untuk berjumpa doktor. Berjumpa doktor pun sekejap sahaja kerana tiada apa-apa yang serius atau meragukan. Alhamdulillah, lebih kurang pukul 9.30 pagi aku telah selesai menjalani pemeriksaan susulan. Dalam masa aku menunggu, Wati pula menunggu di dalam kereta kerana tiada tempat parking. Nasib baik sahaja tidak begitu lama aku menunggu untuk untuk menjalani pemeriksaan susulan, seperti sebelum ini. Kalau tak, kesian sangat Wati menunggu.


... Alhamdulillah ...
Selesai pemeriksaan susulan dengan mudah


JUMAAT, 14 OGOS 2015

Hari Jumaat, 14 Ogos 2015, merupakan hari yang mendebarkan dan merisaukanku. Hari ini boleh dikatakan hari penentuan statusku sebagai survivor kerana pada hari ini aku perlu menjalani prosedur kolonoskopi untuk melihat keadaan penyakitku.

Tiga hari sebelumnya, aku tidak boleh makan makanan yang berserat, maka aku makan bubur sahaja. Bosan jer, tapi agar tidak mengganggu prosedur nanti aku bertahan dan tengok jerlah apa-apa makanan yang mengecurkan air liur berada di depan mata, hehe. Walau bagaimanapun, perkara ini tidak menjadi masalah kepadaku. Masalahnya ialah sehari sebelum prosedur. Sehari sebelum prosedur, aku perlu minum air garam yang dibekalkan oleh doktor untuk mencuci perutku. Aku dibekalkan dengan dua botol air ini. Satu botol hendaklah diminum kira-kira pada pukul 4.00 petang dan satu botol lagi pada pukul 8.00 malam ...  




Setiap kali aku hendak menjalani prosedur kolonoskopi, inilah saat yang paling kritikal dan seksa buatku. Apa tidaknya, walaupun setiap botol mengandungi hanya 45 ml, tetapi nak meminum jumlah yang begitu, hanya mereka yang pernah mengalaminya sahaja yang faham rasanya dan pengalamannya. Air garam ini hendaklah diminum dengan segelas air kosong atau jus, diikuti dengan sekurang-kurang 3 gelas air kosong atau jus lagi.

Kedengaran mudah, tetapi sebaik sahaja meminum air garam yang rasanya ya Allah ... tekak mula menolak dan rasa nak muntah dibuatnya. seksanya rasa nak minum lagi 3 gelas air. Pada minuman pertama, Insya-Allah ... aku berjaya meminum air garam diikuti dengan 3 gelas air dan terus tidur kerana badan rasa tak keruan, kepala rasa semacam dan aku rasa nak muntah. 

Setelah rasa tak selesa itu hilang, maka tibalah masanya aku berulang ke tandas ... yuhuuu ... perut kena flush. Keadaan ini tidak apa-apa bagiku berbanding dengan meminum air garam tu. Dan lagi, terasa perut lega kerana semua bahan dalam perut keluar ... semua toksin keluar dan perutku rasa selesa. Selepas minuman pertama, aku tidak boleh lagi makan apa-apa bahan pepejal kecuali cecair yang jernih. Sayogia, aku minum air bubur nasi sahaja untuk menahan rasa lapar dan minum banyak air. 

Belum hilang rasa air garam di tekak lagi, aku terpaksa minum dos yang kedua pada pukul 8.00 malam. Melihat botolnya pun aku rasa nak muntah dah! Aku cuba minum dengan air yogurt, Alhamdulillah berjaya. Aku berjaya juga minum 3 gelas air itu, tetapi selepas itu perut aku dah menggelodak dan bluekkk muntah ... isi perutku keluar. Risau juga kalau-kalau perutku tak bersih nanti semasa prosedur. Pukul 12 malam, aku tak boleh makan atau minum apa-apa lagi kecuali air kosong. Aku pun dah letih dek berulang ke tandas dan muntah, maka pukul 10.00 malam aku dah boom.

Pagi-pagi lagi aku ke Hospital ditemani oleh Wati dan Liyana (driver). Memandangkan susah parking, setelah menurunkan aku dan Wati, Yana terus balik dahulu. Aku terus mendaftar ke kaunter untuk masuk wad, walaupun sebagai rawatan harian sahaja. Alhamdulillah, masa yang diambil tidak lama. Selesai pendaftaran untuk masuk wad, aku perlu mendaftar di wad rawatan harian (day care) ...


 Kaunter rawatan harian.

Di sini, masa yang diambil agak lama sedikit. Selesai pendaftaran, kereka mengambil tekanan darah dan berat badan. Selepas itu, aku perlu menukar pakaian hospital dan memakai gelang nama. Selesai menukar pakaian, aku perlu menunggu giliran untuk menjalani prosedur. 

Menunggu giliran, ditemani Wati.

Prosedur yang akan aku tempuhi.


Semasa menunggu giliran, mereka menyuntik lenganku untuk memberi laluan memasukkan ubat bius semasa prosedur nanti. Ini pun satu detik yang menyukarkan juga buatku kerana sejak menjalani pembedahan dan rawatan, saluran darahku memang sukar didapati. Tiga kali cucuk barulah dapat saluran darahku, hai ... hai ...

Siap disuntik.

Suasana tempat menunggu dan pemulihan setelah menjalani prosedur.

Sambil menunggu sempat jugalah aku berbual-bual dengan seorang pak cik berumur 70+ tahun. Beliau perlu membuat kolonoskopi juga kerana terdapat ketumbuhan pada rektumnya. Berdasarkan penerangan beliau ketumbuhan itu ialah polyps, yang pernah aku abaikan dahulu sehingga pecah menjadi kanser. Penerangannya mirip dengan apa yang ku hadapi dahulu. Alhamdulillah, bagiku pak cik tu mendapat rawatan awal dan mudah-mudahan beliau tidak ke tahap menjadi kanser sepertiku.

Setelah beberapa lama menunggu, aku pun dipanggil untuk menjalani prosedur. Aku dibawa ke bilik prosedur dan disediakan ... Petugas mengambil tekanan darah dan menyambungkan beberapa wayar pada badanku. Apabila selesai, doktor yang menjalankan kolonoskopi pun datang. Seorang petugas menyuntik ubat bius, yang menjadikan aku terus mengantuk dan 'mati', huhu.

Sedar-sedar, aku telah berada di ruang pemulihan, Alhamdulillah. Memandangkan aku rasa pulih, aku pun bangun ke tempat menungguku yang mula-mula, lalu dihidangkan bubur dan air milo panas. Kini, aku perlu menunggu doktor selesai dengan laporannya dan memberikan tarikh janji temu untuk berjumpa pihak onko pula nanti. Apabila semuanya selesai, aku perlu daftar keluar dan selesailah prosedurku pada hari itu, dengan keputusan yang diberi secara verbal adalah normal, Alhamdulillah. 

Lega ... dah selesai.

Memandangkan hari pun dah tengah hari, aku dan anak-anak pergi ke Alamanda untuk makan tengah hari. Selesai makan, kami balik dan booommm ... Penat.


Tempat kami menjamu selera, Hei Shushi, di Alamanda.
(Ini adalah gambar terdahulu kami berkunjung ke  restoran ini)



... Alhamdulillah ...
Allah permudahkan urusanku
Keputusan kolonoskopi adalah normal

Tuesday, June 23, 2015

Selamat Hari Jadi yang ke-57, Asiah ...


29 JUN 2015

Setahun usia bertambah
Sekian lama alam maya ini telah dihuni
Semakin dekat destinasi yang abadi
Semoga Allah sentiasa melindungi diri ini
Kembalinya kepada-Nya dalam Husnul Khotimah
AAMIIN ...

Hari ini, Selasa 9 Jun 2015, genaplah usiaku 57 tahun. Tiada majlis sambutan hari jadi atau apa-apa. Sebelum ni pun aku tidak pernah menyambut hari jadi, diiringi apa-apa majlis. Semua berjalan seperti biasa. Abah pun semalam dah balik ke Terengganu dan naik ke platform pada hari ini.

Jangan tidak, aku keluar dengan anak-anak ke IOI City Mall buat cermin mata. Konon-kononnya hadiah hari jadilah tu. Tapi, sebenarnya cermin mataku dah beberapa hari patah tangkai dan aku menggunakan cermin mata yang lama dahulu. Nasib baik ada, kalau tak 'buta'lah aku. Punyalah lama memilih dan akhirnya, taraaaa .... 


Tengok ... masih ada sticker lagi pada cermin mata baru tu. Kena tunggu seminggu baru siap. Tak mengapalah, cermin mata lama masih boleh guna lagi. Sabarlah menunggu ...



Apa-apa pun

HAPPY BIRTHDAY TO ME
 May God bless me with his love
Aamiin ...