Sunday, January 3, 2016

Selamat Tahun Baharu 2016





Jumaat 1 Januari, menjelmalah tahun baharu 2016. Alhamdulillah ... Allah masih memberiku nafas dan kehidupan untuk menempuhi hari-hari mendatang, yang hanya Allah sahaja yang maha mengetahui apa yang akan ditempuhi dan harungi. Aku sentiasa berdoa semoga Allah memberikan yang terbaik buatku dan keluarga semua, aamiin. 

Mengimbau kembali tahun 2015 yang telah dilalui, tidak banyak perkara yang luar biasa yang diharungi dan alami. Aku banyak menghabiskan masa bersama-sama suami untuk menyiapkan rumah yang kami bina di kampung. Setiap kali suami berada di darat, kami banyak menghabiskan masa membeli barang-barang binaan yang diperlukan oleh tukang. Insya-Allah ... di ambang 2016 ini, hanya sedikit sahaja yang perlu dibuat. Akan tetapi, yang pastinya kami perlu membersihkan kembali kawasan sekitar; semak-semak yang telah mula naik dengan suburnya. Insya-Allah, dalam masa yang terdekat dapatlah kami menduduki rumah kami di kampung dan menjadi tempat keluarga dan rakan-rakan berkumpul.

Dari segi kesihatan, Alhamdulillah ... setakat ini penyakitku tidak menunjukkan apa-apa tanda yang tidak baik. Daripada semua pemeriksaan susulan (dua kali di Hospital Putrajaya dan dua kali di IKN), termasuk kolonoskopi, doktor mengesahkan semuanya dalam keadaan baik. Semoga aku akan sembuh sepenuhnya, aamiin. Cuma, aku berasa sedih dengan penanggungan sahabat-sahabatku yang 'sekapal', berulang kembali dan menjadi semakin teruk pula penyakit kanser mereka. Aku dapat merasai kesengsaraan yang ditanggung oleh mereka, terpaksa melalui rawatan semula. Begitu juga, mereka yang dihinggapi pelbagai penyakit lain. Tidak kurang juga kesedihan mereka yang kehilangan orang-orang yang tersayang; ibu, bapa, sanak-sedara dan sahabat handai. Begitulah takdir dan kehendak Illahi. Keredhaan dan kesabaran menerima segala-galanya sahaja yang dapat memberikan kekuatan kepada yang berkenaan untuk menghadapi segala-galanya dengan penuh ketenangan. 

Walaupun aku tidak menghadapi semua itu, namun kesengsaraan sahabat-sahabatku menempuhi segala-galanya itu serba sedikit memberi impak kepada emosiku. Aku sendiri tidak percaya apabila aku sendiri mengalami kemurungan apabila melihat dan mendengar sahabatku yang menanggung semua itu. Melihat sahabatku yang sengsara menanggung kesan rawatan, di samping ada sebilangan rakan-rakan yang memerlukan sokonganku, menjadikan diriku seolah-olah baru semalam pula menanggung semuanya itu, lantas aku sendiri menjadi murung, ya Allah ... 

Walau bagaimanapun, semua itu perlu dihadapi dengan tabah; sentiasa berdoa dan menyerahkan segala-galanya kepada Allah. Sesungguhnya, segala yang berlaku adalah atas kehendak dan izin-Nya jua. Semoga Allah sentiasa menjadikan kami semua orang-orang yang redha dan bersyukur. Semuanya mempunyai hikmah yang tidak terkira sebenarnya. Semuanya harus dilihat dengan mata hati, insya-Allah. Semoga kami semua tabah menghadapi ujian, dalam bentuk apapun, yang diturunkan kepada kami dan kami yang menghidap penyakit kronik ini diberi kesembuhan yang sepenuhnya, aamiin.

Akan tetapi, tidak semua kehidupan ini ditempuhi dengan kesedihan dan kesengsaraan. Dalam sengsara ada bahagia, dalam duka ada suka. Hubungan silaturrahim yang baik dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan memberikan cahaya keceriaan dan kegembiraan kepada kami. Setiap pertemuan yang diadakan bersama-sama rakan-rakan sekolah dipenuhi dengan kesejahteraan dan sokongan antara satu sama lain. Sokongan dan dorongan semangat yang diberikan antara satu sama lain serba sedikit memberikan kekuatan kepada mereka yang sedang diuji. Semoga hubungan silaturrahim kami semua kekal hingga ke Jannah, aamiin.

Semoga Allah sentiasa memberi yang terbaik 
di hari-hari/tahun-tahun mendatang

AAMIIN 

No comments:

Post a Comment