Dua tiga hari ni, internet di rumah meragam dan agak terganggu. Semasa keluar makan tengah hari tadi, aku sempat membelek-belek telefon dan terbaca akan berita yang terpampang seperti yang di atas. Innalillah ... semoga roh beliau ditempatkan bersama-sama roh orang-orang yang beriman dan diberi tempat di syurga Allah. Rasa sedih membaca berita ini, dan sememangnya aku mempunyai perasaan yang begitu apabila setiap kali mendengar berita rakan atau kenalan didiagnosis penyakit kanser atau diragut nyawa mereka oleh kanser.
Aku mula-mula mengenali beliau (setakat kenal) semasa aku menghadiri majlis jamuan hari raya KanWork di PPUPM pada tahun 2011, semasa aku masih lagi menjalani rawatan kemoterapi. Beliau telah menceritakan pengalaman beliau menghadapi dan melawan kanser, dan kami sama-sama berkongsi pengalaman di meja bulat selepas jamuan. Memang beliau seorang yang kuat dan tabah.
Selepas beberapa bulan, aku tak sangka bertembung dengan beliau semula semasa menjalani rawatan kemoterapi di Day Care Center di HKL. Aku puas mengingatinya semasa beliau menegurku, sehinggalah petugas di situ memaggilnya Dato' baru aku teringatkannya. Beliau nampak begitu kuat dan tabah.
Beberapa minggu lepas, satu majlis bacaan Yassin diadakan oleh pihak KanWork di masjid Bangi untuk beliau. Aku berasa tak sedap hati dan pastinya Dato' Radin dalam keadaan serius, namun aku tak berani nak bertanya kepada kenalan di KanWork, sehinggalah pada hari ini aku terbaca berita ini. Semoga beliau di tempatkan di tempat yang baik di sisi Allah ... Aaamiin ...
Semasa Abah di darat, tiba-tiba Abah mendapat panggilan telefon untuk menghadiri program di Kuantan, dan mengajakku mengikutinya. Memandangkan aku akan kesaorangan apabila Abah menghadiri programnya, aku mengajak Wati dan Yana (Wani ada exam dan Zafhri ada urusan tersendiri; mereka tinggal).
Pada hari Selasa petang, 17 September 2013, kami bertolak dan check-in di Hotel Hyatt Regency, Teluk Cempedak, Pahang (tempat program Abah diadakan). Kami sampai malam selepas selesai dinner dan berehat. Bilik yang mengadap laut menjadikan suasana nyaman.
Sunrise ... sungguh cantik
Pada paginya, Abah menghadiri programnya dan kami keluar ke bandar Kuantan untuk lunch dan menziarahi kawanku, Dede. Pada mulanya kami nak dinner di rumah Dede, namun Abah dan booking dinner di hotel sekeluarga. Selepas dinner, kami melihat pesta tanglung di pantai dan balik ke bilik untuk berehat kerana pada esuknya kami akan balik ke KL.
Tiba-tiba, tengah malam kira-kira pukul 2.00 lebih, sedang aku lena tidur, aku mendengar Wati muntah-muntah. Selalunya, dalam keadaan begitu Wati menghidap gastrik dan sekali muntah dia akan pulih. Namun pada malam itu, Wati muntah berterusan. Aku berasa cemas sekali.
Pagi-pagi lepas subuh, Abah menghantar Wati ke hospital. Keadaan Wati agak tenat dan mengadu sakit perut dan lemah disebabkan banyak muntah dan tidak tidur. Aku sendiri berasa letih kerana tidak tidur juga. Aku tinggal berkemas untuk check-out balik KL. Hatiku berasa tidak tenteram kerana Abah tak balik-balik. Aku cemas kerana kemungkinan Wati masuk wad di hospital yang aku sendiri tak tahu di mana. Akhirnya, aku menerima mesej daripada Abah dengan gambar Wati dan hospital tempat Wati menerima rawatan - kena drip.
Wati mendapat rawatan di sini
Ya Allah, aku tidak dapat menahan sebak melihat keadaan Wati. Abah cakap Wati dehydrated kerana terlampau banyak muntah. Semoga Wati tak apa-apa dan dengan drip itu, Wati akan segar semula. Memandangkan Wati mengambil masa yang lama, kami check-out hotel dulu dan pergi ke hospital menemani Wati. Sedih sekali aku melihat penderitaan Wati menanggung sakit perut dan tidak selesa dengan drip (Wati tidak pernah mengalami keadaan begitu).
Drip satu botol yang mengambil masa yang lama
Wati mengadu sangat sejuk. Kedatanganku menemani Wati menjadikannya tenang dan dapat lena sekejap-sekejap ...
Kesiannya ...
Doktor mengatakan Wati mendapat gastrik. Pada masa yang sama, berlaku sedikit jangkitan kerana keracunan makanan dan digestion disorder. Padanlah Wati muntah berterusan dan sakit perut. Kemungkinan sea food yang diambil oleh Wati menyebabkan keracunan itu, wallahualam.
Aku menjangkakan drip selesai sekejap sahaja, tetapi ia terlalu perlahan. Doktor mengatakan Wati sepatutnya berehat di wad tetapi kami nak balik KL, kerana berehat di rumah lebih selesa. Aku duduk menemani Wati hingga selesai hampir pukul 1.00 tengah hari, sejak lepas subuh Abah hantar. Alhamdulillah, Wati nampak segar. Kami gerak balik ke KL dengan Wati tidur di sepanjang perjalanan. Rawatan ini berserta ubat berharga RM370. Sehingga esuknya, Wati masih mengalami sedikit sakit perut (berlarutan hingga beberapa hari) dan sakit kepala tetapi within tolerence, tetapi Yana pula demam dan aku pun naik gastrik juga sedikit, Allhuakbar ... Alhamdulillah, sehingga hari ni Wati dah segar dengan berhati-hati dari segi pemakanan. Yana dan aku pun dah pulih. Semoga perkara ini tidak berlkau lagi kepada Wati atau anak-anakku yang lain, aamiin ...
Sesungguhnya Allah kasihkan kamu dengan memberikan ujian-Nya ...
Pada 31 Ogos 2013, kami GangLCE74/SMDAS74LCE, telah mengadakan Grand Gathering untuk mengeratkan kembali hubungan silaturrahim di antara kami, rakan-rakan yang sama-sama membesar mengenali dunia di zaman persekolahan, setelah sekian lama terpisah dan putus hubungan. Pada hari itu, aku menerima satu berita yang mengejutkan apabila sahabatku Zie memberitahu bahawa salah seorang sahabat kami, Rusnah Busu, tidak dapat hadir kerana kurang sihat; telah didiagnosis dengan kanser payudara! Allahuakbar ...
Aku terasa seperti di panah hililintar mendengar berita itu. Yelah ... dengan segala apa yang telah kualami semasa mula-mula didiagnosis dan menempuhi rawatan demi rawatan, aku amat memahami akan perasaan sahabatku itu untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang mendatang. Walau bagaimanapun, dengan kesibukanku bersama-sama kawan-kawan lain menguruskan persediaan majlis, gelora hatiku menerima berita itu dapat juga aku singkirkan seketika.
Setelah semuanya selesai dan kembali di rumah, perasaan gelora dan bercampur-aduk kembali menerjah. Apa lagi apabila aku menelefonnya keesukan harinya, beliau tidak pula mengangkat telefon. Oh, rupanya dah pukul 10.00 malam lebih dan pasti beliau dah tidur ... berehat.
Pada malam berikutnya, aku menelefon beliau kembali. Buat pertama kali aku mendengar beliau memberi salam aku bimbang mendengar nada suaranya, namun aku buat relax sahaja bercakap dengannya walaupun hatiku berkecamuk. Aku teringin sekali nak bertemu dengan Rusnah, melihat keadaannya dengan mata kepalaku sendiri. Memandangkan beliau akan masuk wad, terasa serba salah pula nak mengganggunya.
Aku meminta pandangan kawanku Zie (yang sangat rapat dengan beliau sejak sekolah) dan Ita untuk mengatasi kemelut hatiku. Alhamdulillah, Zie memberikan cadangan supaya kami pergi jer menziarahi Rosnah. Alhamdulillah juga, anak-anakku dengan senang hati bersedia untuk menjadi pemanduku. Lantas malam tadi, aku dan Ita pergi ke rumah Rusnah di Bagan Lalang dari Semenyih. Zie (dengan suami) dan Saba pula dari Seremban.
Kami sampai pada waktu yang sama ke rumah Rusnah, Alhamdulillah. Selepas masing-masing selesai menunaikan solat Maghrib, kami duduk bersembang sambil menikmati kuih raya. Memang betul kata Zie bahawa Rusnah sangat gembira; tergambar keceriaan dan kegembiraannya dengan kunjungan kami ...
Berbual mesra penuh keceriaan ...
sambil menikmati kuih raya
Setelah puas berbual di rumah Rusnah, kami keluar makan malam di Restoran Senandung Malam di Bagan Lalang, dan terus berbual lagi sambil makan-makan ...
Enak makanan di sini, terima kasih Ita dan Zie belanja
Yana (anakku), Rusnah dan Saba
Berbual punya berbual, dah pukul 11.00 lebih. Aku memang dah kepenatan, tapi seronok apabila timbul cerita demi cerita pada zaman persekolahan kami dulu, terutamanya daripada mulut murai Zie! Akhirnya, masing-masing pun dah penat. Sebelum balik, kami menulis Guest Book Rosnah ...
Saba
Ita
Zie
Hampir pukul 12.00 malam kami bersurai. Semasa bersalaman dan memeluk Rusnah, aku berasa sangat haru hendak meninggalkannya; apa lagi apabila Rusnah cakap dia sangat gembira dengan kedatangan kami dan tak teringat akan penyakitnya! Allahuakbar ... Doa dan harapanku semoga dia tetap tabah dan menyerahkan segala-galanya kepada Allah. Insya-Allah, kami akan menziarahinya lagi apabila beliau menjalani rawatan di Hospital Serdang nanti.
... Segala yang berlaku adalah kehandak dan izin Allah jua ...
Semoga sentiasa memelihara kami semua
Semoga Allah sembuhkan kami semua daripada pelbagai penyakit rohani dan jasmani
Setelah lebih dua tahun aku didiagnosis dengan kanser kolorektal... Pada hari itu, 21 Ogos 2013 (Khamis), aku menjalani prosedur colonoscopy sebagai surveillance after anterior resection pada tahun 2011. Sebenarnya, doktor yang menjalankan pembedahan terhadapku dahulu sudah lama menyuruhku menjalani prosedur ini, tetapi aku rasa fobia betul nak menempuhinya, terutamanya untuk persediaan (bowel preparation) sebelum prosedur dijalankan.
Pada janji temu yang terakhir di HKL, pada bulan Mach dahulu, doktor onkologi menyediakan borang janji temu aku untuk menjalani prosedur colonoscopy di HKL. Memikirkan aku nak menjalani rawatan di HKL, lagi liat rasa hati. Aku menghubungi pakar bedahku dahulu dan akhirnya temu janji prosedur diadakan pada 21 Ogos tempoh hari. Dua hari sebelum itu, aku pergi ke HUKM untuk mengambil cecair pembersih usus yang perlu diambil sehari sebelum prosedur ...
Cecair pembersih usus
Dua botol cecair ini mesti aku minum sehari sebelum prosedur. Pada hari Rabu, aku mesti meminumnya pada pukul 7.00 malam diikuti dengan minum air kosong yang banyak. Walaupun nampak sedikit tetapi rasa dan kesannya, mmmm ... Semasa minum, rasanya alahai dan seperti nak termuntah semula dengan perut dan kepala rasa semacam. Setengah jam selepas meminumnya, aku dah mula berulang ke tandas. Pada pukul 9.00 malam, aku mesti mengambil portion yang kedua, dan sehingga tengah malam tandas aku punya! Nasib baiklah lepas tu aku stabil semula dan dapat tidur dengan lena.
Esuknya, pagi-pagi aku pergi ke HUKM (Klinik Endoskopi) untuk menjalani prosedur. Lama juga nak menunggu giliran. Sementara tu, sempat jugalah aku bertemu dengan Prof. Asma di klinik ENT. Memang sudah lama aku ingin menemui dan mengenali beliau kerana selama ini kami berhubungan melalui telefon dan SMS jer. Akhirnya, sampai juga hasrat di hati bertemu Prof. Asma yang mesra ...
Prof. Asma
Kira-kira pukul 11.30 pagi, aku dipanggil untuk menjalani prosedur. Selepas menukar kain, aku masuk ke bilik prosedur dan diberikan suntikan ubat bius. Rasa-rasanya separuh bius kerana aku separuh sedar apabila doktor menunjukkan gambar di skrin.
Malangnya, walupun semua nampak ok, di satu bahagian kolonku tidak begitu bersih dan masih ada najis melekat di situ. Oleh sebab bahagian itu tidak dapat dilihat, maka doktor memutuskan supaya prosedur ini diulang sekali lagi sebelum janji temuku dengan doktor onkologi pada hujung bulan September nanti. Walau bagaimanapun, dibahagian yang telah dibedah dahulu bersih ...
Colonoscopy report
Keadaan bekas pembedahan, cantik
Keadaan sebelum pembedahan, menggerunkan dengan ketumbuhan
1 Ramadhan 1434H merupakan saat yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam di dunia. Di Malaysia, bulan yang penuh berkat ini jatuh pada 10 Julai 2013. Rahmat bulan ini awal-awal lagi telah dapat dilihat apabila jerebu yang melanda negara ini hilang dan cuaca panas yang melanda dititipi juga dengan hujan, Alhamdulillah ...
Bagi aku dan anak-anak, Ramadhan tahun ini pertama kalinya kami sambut tanpa Abah yang berada di platform. Kesihatanku pula akhir-akhir ini sering terjejas disebabkan oleh gastrik dan migrain. Keadaan ini serba sedikit menggugat emosi kami sekeluarga. Walau apapun halangannya, aku menguatkan semangat untuk menjalankan kewajipan berpuasa di bulan yang mulia ini.
Telah menjadi rutin dalam keluarga kami, setiap menyambut puasa keluarga di kampung akan membuat lemang dan rendang. Dengan hati yang tawar tanpa Abah , aku dan anak-anak balik jugalah ke kampung untuk bersama-sama membakar lemang dan membuat rendang ...
Lemang dilanggai
Untuk abah, kami dah siap simpan lemang dan rendang dalam freezer. Di malam pertama bersahur, Alhamdulillah ... aku dan anak-anak tidak patah selera. Aku berdoa semoga aku dapat menjalani ibadah puasa sebaik-baiknya.
Walau bagaimanapun, kita hanya merancang dan Allah melaksanakan. Pada hari pertama berpuasa gastrikku naik dengan begitu teruk sekali, namun aku gagahkan juga meneruskan puasa. Selepas berbuka, terasa lega sedikit. Pada esuk harinya aku tidak berpuasa dan ke klinik. Doktor mengesahkan darahku agak tinggi dan memberikan aku ubat darah tinggi. Insya-Allah, aku rasa ok sedikit. Akan tetapi, pada malamnya aku mengalami sakit kepala yang teruk lagi hingga ke pagi.
Aku agak panik kerana memandangkan aku ada kes kanser, terlintas juga di hati adakah kanser telah merebak ke otak? Ya Allah, aku berdoa agar itu hanya fikiran burukku sahaja. Aku menghubungi doktor yang membedahku dahulu untuk mendapatkan pandangan. Daripada penjelasan beliau, kemungkinannya sebenarnya sakit kepalaku itu disebabkan oleh kesan sampingan ubat darah tinggi yang ku ambil. Beliau menasihatkanku supaya bertukar kepada ubat lain. Alhamdulillah, sakit kepalaku tidak datang lagi setelah aku mengambil ubat lain yang disarankan itu. Dengan itu, 3 hari aku terlepas berpuasa. Selain itu, aku mencuba juga Sarimah SariAge yang disedekahkan oleh adik angkatku. Ini pun sebagai salah satu usahaku untuk menekan sel kanser tidak merebak ...
Semasa aku tidak sihat, dengan rahmat Allah anak-anak yang berpuasa tidak terlepas dapat menikmati makanan yang sedap-sedap dibekalkan oleh salah seorang sahabatku, Ita, yang tiap-tiap hari memberi kami juadah lauk-pauk dan kuih untuk iftar semasa ketiadaan Abah, yang selalu memasakkan makanan yang enak-enak untuk kami. Alhamdulillah, pada puasa keempat Abah dah balik ke darat dan kami dan Ita sering bertukaran juadah pula. Itulah salah satu nikmat di bulan Ramadhan ini.
Terima kasih kasih atas keprihatinan sahabatku Ita. Semoga Allah memberikan sebaik-baik pembalasan atas budi baikmu itu
Dengan adanya Abah di rumah dan kesihatanku yang baik, maka dapatlah kami sekeluarga menjamu tetamu beriftar di rumah kami. Alhamdulillah, adik ipar sekeluarga, adik angkat sekeluarga dan sebilangan sahabat GangLCE kami dapat sama-sama beriftar di rumahku ...
Menunggu waktu berbuka puasa
Sungguh meriah berbuka beramai-ramai
Hari-hari seterusnya, kesihatan yang baik mengizinkan aku dapat menjalankan kewajipan berpuasa dengan selesa walaupun Abah terpaksa bertugas ke Shanghai selama seminggu dan seterusnya naik ke platform sehingga 4 hari raya. Inilah juga pertama kalinya kami sekeluarga tidak dapat meraikan awal raya dengan Abah. Walau bagaimanapun, aku berasa puas kerana setelah Allah memberikan ujian yang agak getir pada awal puasa, namun aku dapat meneruskan ibadah ini sebaik-baiknya selepas itu, sehingga aku dapat khatam Al-quran pada malam 28 Ramadhan, Alhamdulillah.
Pada malam-malam terakhir Ramadhan ini, aku sentiasa berdoa agar Allah menemukan aku dengan Lailatulqadar yang diburu oleh semua umat Islam, insya-Allah. Esuk ialah hari ke-29 puasa dan dijangkakan pada malam ini berlakunya Lailatulqadar. Semoga Allah mengizinkan aku dapat melakukan amal ibadah dengan sebaik-baiknya. Aku berdoa semoga aku dapat diketemukan lagi dengan bulan-bulan Ramadhan yang mendatang, dan segala amal ibadah yang aku pertingkatkan pada bulan yang mulia akan kekal dapat ku amalkan hingga ke hujung nyawa. Semoga Allah memudahkan aku dan keluarga mendekatkan diri kepada Allah-Nya dengan penuh keinsafan dan keikhlasan. Semoga Allah menerima segala amal ibadah kami, aamiin ...