Showing posts with label cuci darah I. Show all posts
Showing posts with label cuci darah I. Show all posts

Saturday, September 6, 2014

Cuci Darah

Salah seorang sahabatku, Ita, telah bercerita tentang rawatan berbekam, yang terdapat di Bangi. Sebelum ni pun, sahabatku daripada kumpulan Yassin juga bercakap mengenainya. Aku teringin pula nak mencubanya kerana aku sering sakit kepala dan badan terasa berat, dengan harapan usahaku hendak berbekam itu dapat membantu melegakannya. Namun, dari sehari ke sehari aku belum berkesempatan hendak pergi membuat janji temu.  

Beberapa hari lalu, Ita bercerita pula tentang pencucian darah di klinik ozon dan telah menjalaninya. Aku pun berhasrat nak menjalaninya juga, dan rasanya ia lebih berkesan daripada berbekam. Abah (suami) juga mencadangkan aku melakukannya, atas nasihat pegawai medik di tempat kerja abah. Lantas, semalam aku dan abah pergi mencari klinik tersebut, yang terletak di Bangi, dan terus membuat janji temu.


Klinik ozon berkenaan, di Bangi

Pada hari Jumaat, 5 September 2014 jam 11.00 pagi, aku di klinik ini untuk menjalani pencucian darah. Masuk ke dalam, tengok-tengok tak ada orang pun kecuali seorang petugas yang baru membuka klinik agaknya. Wah, baguslah ... cepatlah aku selesai nanti. Aku pun terus mendaftar di reception, dan kemudian menunggu petugas membuat persediaan. Sambil menunggu, aku meninjau-ninjau bilik rawatannya.


Reception
Bilik rawatan

Setelah selesai petugas membuat persediaan, aku dipanggil masuk. Mula-mula, petugas mengambil tekanan darah. Kemudian, beliau menyuntik lengan kiriku untuk menyediakan saluran darah keluar. Selepas itu, disuntik pula tangan kananku untuk menyediakan saluran darah masuk semula selepas dicuci. Saluran masuk darah terpaksa dibuat di urat belakang tapak tangan kerana saluran darah di lenganku hilang! Memang sejak selepas menjalani rawatan kanser dulu, salur darah di lengan kananku tidak timbul lagi.


  Menyediakan saluran untuk darah keluar dan masuk semula


Darah yang keluar di tangan kiri, dan masuk di tangan kanan

Melihat darah yang keluar memeranjatkanku. Pertamanya, darahku kelihatan sangat pekat. Mengikut petugas, itu menandakan aku kurang minum air kosong. Keduanya, darahku keluar berbuih-buih dan nampak berketul-ketul putih. Menurut petugas, itu menandakan darahku mengandungi toksin dan lemak. Mungkin itulah yang menyebabkan terdapatnya kolesterol di dalam tubuhku. Darah yang telah dicuci dan masuk semula kelihatan bersih jer.


 Kotornya darah yang keluar - buih dan lemak

Darah bersih yang masuk semula, dan toksin daripada darah yang dicuci


Mesin pencucian darah

Sementara aku menjalani proses pencucian darah, Wani dan Yana yang menemaniku pula ambil darah untuk ujian darah. Lebih kurang satu jam, aku selesai menjalani proses pencucian darah. Petugas menunjukkan cecair toksin yang diekstrak daripada darahku. Terdapat 800 mililiter toksin yang keluar daripada darahku. Petugas menasihatiku supaya meminum air yang banyak selepas ini.

Alhamdulillah, semuanya telah selesai. Proses yang dijalani tidak menyakitkan. Petugas begitu profesional mencari saluran darah yang hendak dicucuk untuk menyediakan saluran darah keluar dan masuk. Semasa berbual-bual dengan petugas, sememangnya petugas adalah jururawat yang terlatih. Sebenarnya, aku fobia apabila dicucuk begitu kerana sering kali salur darahku telah tenggelam dan apabila aku hendak membuat ujian darah, aku sakit semasa proses pengambilan darah, mungkin petugas tidak begitu mahir.

Dalam proses pencucian darah ini, aku mengambil pakej 3 kali pencucian kerana ini adalah pertama kali aku menjalaninya. Menurut kebiasaannya, aku perlu menjalaninya lagi dalam masa 5 hari. Namun, memandangkan aku seorang cancer survivor, tempoh pencucian seterusnya adalah dalam masa dua minggu lagi, insya-Allah. Semoga usahaku ini dapat membantu menyembuhkan aku daripada tekanan darah (yang tinggi selepas aku menjadi pesakit kanser dan selesai rawatannya), serta menurunkan paras kolesterol dan glukos di dalam darahku ke tahap yang normal dan sihat, aamiin. Sebagai manusia, aku perlu berikhtiar, namun Allah yang mengizinkan untuk aku sembuh. 

Ikhtiar, doa dan tawakkal