Saturday, August 24, 2013

Colonoscopy

Setelah lebih dua tahun aku didiagnosis dengan kanser kolorektal... Pada hari itu, 21 Ogos 2013 (Khamis), aku menjalani prosedur colonoscopy sebagai surveillance after anterior resection pada tahun 2011. Sebenarnya, doktor yang menjalankan pembedahan terhadapku dahulu sudah lama menyuruhku menjalani prosedur ini, tetapi aku rasa fobia betul nak menempuhinya, terutamanya untuk persediaan (bowel preparation) sebelum prosedur dijalankan.

Pada janji temu yang terakhir di HKL, pada bulan Mach dahulu, doktor onkologi menyediakan borang janji temu aku untuk menjalani prosedur colonoscopy di HKL. Memikirkan aku nak menjalani rawatan di HKL, lagi liat rasa hati. Aku menghubungi pakar bedahku dahulu dan akhirnya temu janji prosedur diadakan pada 21 Ogos tempoh hari. Dua hari sebelum itu, aku pergi ke HUKM untuk mengambil cecair pembersih usus yang perlu diambil sehari sebelum prosedur ...

Cecair pembersih usus

Dua botol cecair ini mesti aku minum sehari sebelum prosedur. Pada hari Rabu, aku mesti meminumnya pada pukul 7.00 malam diikuti dengan minum air kosong yang banyak. Walaupun nampak sedikit tetapi rasa dan kesannya, mmmm ... Semasa minum, rasanya alahai dan seperti nak termuntah semula dengan perut dan kepala rasa semacam. Setengah jam selepas meminumnya, aku dah mula berulang ke tandas. Pada pukul 9.00 malam, aku mesti mengambil portion yang kedua, dan sehingga tengah malam tandas aku punya! Nasib baiklah lepas tu aku stabil semula dan dapat tidur dengan lena.

Esuknya, pagi-pagi aku pergi ke HUKM (Klinik Endoskopi) untuk menjalani prosedur. Lama juga nak menunggu giliran. Sementara tu, sempat jugalah aku bertemu dengan Prof. Asma di klinik ENT. Memang sudah lama aku ingin menemui dan mengenali beliau kerana selama ini kami berhubungan melalui telefon dan SMS jer. Akhirnya, sampai juga hasrat di hati bertemu Prof. Asma yang mesra ...

Prof. Asma

Kira-kira pukul 11.30 pagi, aku dipanggil untuk menjalani prosedur. Selepas menukar kain, aku masuk ke bilik prosedur dan diberikan suntikan ubat bius. Rasa-rasanya separuh bius kerana aku separuh sedar apabila doktor menunjukkan gambar di skrin.

Malangnya, walupun semua nampak ok, di satu bahagian kolonku tidak begitu bersih dan masih ada najis melekat di situ. Oleh sebab bahagian itu tidak dapat dilihat, maka doktor memutuskan supaya prosedur ini diulang sekali lagi sebelum janji temuku dengan doktor onkologi pada hujung bulan September nanti. Walau bagaimanapun, dibahagian yang telah dibedah dahulu bersih ...

Colonoscopy report

Keadaan bekas pembedahan, cantik

Keadaan sebelum pembedahan, menggerunkan dengan ketumbuhan

Tunggu sekali lagi colonoscopy, huhu ...

Tuesday, August 6, 2013

Ramadhan 1434H: Penuh Rahmat dan Ujian

1 Ramadhan 1434H merupakan saat yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam di dunia. Di Malaysia, bulan yang penuh berkat ini jatuh pada 10 Julai 2013. Rahmat bulan ini awal-awal lagi telah dapat dilihat apabila jerebu yang melanda negara ini hilang dan cuaca panas yang melanda dititipi juga dengan hujan, Alhamdulillah ...  

Bagi aku dan anak-anak, Ramadhan tahun ini pertama kalinya kami sambut tanpa Abah yang berada di platform. Kesihatanku pula akhir-akhir ini sering terjejas disebabkan oleh gastrik dan migrain. Keadaan ini serba sedikit menggugat emosi kami sekeluarga. Walau apapun halangannya, aku menguatkan semangat untuk menjalankan kewajipan berpuasa di bulan yang mulia ini.

Telah menjadi rutin dalam keluarga kami, setiap menyambut puasa keluarga di kampung akan membuat lemang dan rendang. Dengan hati yang tawar tanpa Abah , aku dan anak-anak balik jugalah ke kampung untuk bersama-sama membakar lemang dan membuat rendang ...

Lemang dilanggai

Untuk abah, kami dah siap simpan lemang dan rendang dalam freezer. Di malam pertama bersahur, Alhamdulillah ... aku dan anak-anak tidak patah selera. Aku berdoa semoga aku dapat menjalani ibadah puasa sebaik-baiknya.

Walau bagaimanapun, kita hanya merancang dan Allah melaksanakan. Pada hari pertama berpuasa gastrikku naik dengan begitu teruk sekali, namun aku gagahkan juga meneruskan puasa. Selepas berbuka, terasa lega sedikit. Pada esuk harinya aku tidak berpuasa dan ke klinik. Doktor mengesahkan darahku agak tinggi dan memberikan aku ubat darah tinggi. Insya-Allah, aku rasa ok sedikit. Akan tetapi, pada malamnya aku mengalami sakit kepala yang teruk lagi hingga ke pagi.

Aku agak panik kerana memandangkan aku ada kes kanser, terlintas juga di hati adakah kanser telah merebak ke otak? Ya Allah, aku berdoa agar itu hanya fikiran burukku sahaja. Aku menghubungi doktor yang membedahku dahulu untuk mendapatkan pandangan. Daripada penjelasan beliau, kemungkinannya sebenarnya sakit kepalaku itu disebabkan oleh kesan sampingan ubat darah tinggi yang ku ambil. Beliau menasihatkanku supaya bertukar kepada ubat lain. Alhamdulillah, sakit kepalaku tidak datang lagi setelah aku mengambil ubat lain yang disarankan itu. Dengan itu, 3 hari aku terlepas berpuasa. Selain itu, aku mencuba juga Sarimah SariAge yang disedekahkan oleh adik angkatku. Ini pun sebagai salah satu usahaku untuk menekan sel kanser tidak merebak ...


Semasa aku tidak sihat, dengan rahmat Allah anak-anak yang berpuasa tidak terlepas dapat menikmati makanan yang sedap-sedap dibekalkan oleh salah seorang sahabatku, Ita, yang tiap-tiap hari memberi kami juadah lauk-pauk dan kuih untuk iftar semasa ketiadaan Abah, yang selalu memasakkan makanan yang enak-enak untuk kami. Alhamdulillah, pada puasa keempat Abah dah balik ke darat dan kami dan Ita sering bertukaran juadah pula. Itulah salah satu nikmat di bulan Ramadhan ini.

Terima kasih kasih atas keprihatinan sahabatku Ita. Semoga Allah memberikan sebaik-baik pembalasan atas budi baikmu itu

Dengan adanya Abah di rumah dan kesihatanku yang baik, maka dapatlah kami sekeluarga menjamu tetamu beriftar di rumah kami. Alhamdulillah, adik ipar sekeluarga, adik angkat sekeluarga dan sebilangan sahabat GangLCE kami dapat sama-sama beriftar di rumahku ...

Menunggu waktu berbuka puasa

Sungguh meriah berbuka beramai-ramai

Hari-hari seterusnya, kesihatan yang baik mengizinkan aku dapat menjalankan kewajipan berpuasa dengan selesa walaupun Abah terpaksa bertugas ke Shanghai selama seminggu dan seterusnya naik ke platform sehingga 4 hari raya. Inilah juga pertama kalinya kami sekeluarga tidak dapat meraikan awal raya dengan Abah. Walau bagaimanapun, aku berasa puas kerana setelah Allah memberikan ujian yang agak getir pada awal puasa, namun aku dapat meneruskan ibadah ini sebaik-baiknya selepas itu, sehingga aku dapat khatam Al-quran pada malam 28 Ramadhan, Alhamdulillah. 

Pada malam-malam terakhir Ramadhan ini, aku sentiasa berdoa agar Allah menemukan aku dengan Lailatulqadar yang diburu oleh semua umat Islam, insya-Allah. Esuk ialah hari ke-29 puasa dan dijangkakan pada malam ini berlakunya Lailatulqadar. Semoga Allah mengizinkan aku dapat melakukan amal ibadah dengan sebaik-baiknya. Aku berdoa semoga aku dapat diketemukan lagi dengan bulan-bulan Ramadhan yang mendatang, dan segala amal ibadah yang aku pertingkatkan pada bulan yang mulia akan kekal dapat ku amalkan hingga ke hujung nyawa. Semoga Allah memudahkan aku dan keluarga mendekatkan diri kepada Allah-Nya dengan penuh keinsafan dan keikhlasan. Semoga Allah menerima segala amal ibadah kami, aamiin ...

Sunday, July 28, 2013

Kenikmatan Bergelar Pesara : Saat-saat Indah

Pada hari pertama aku bergelar pesara, hatiku masih was-was bagaimanalah keadaan kehidupanku agaknya. Walau bagaimanapun, hidup mesti diteruskan dan aku sentiasa mengingatkan diri bahawa semua yang berlaku adalah atas kehendak dan keizinan Allah jua; segala perancangan Allah terhadap hamba-Nya adalah yang terbaik bagi hamba-Nya itu. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya ...

Apa yang dapat aku fikirkan ketika itu ialah aku mempunyai masaku sendiri, bebas melakukan apa yang ingin aku lakukan. Dan paling utama, aku tak perlu nak menempuhi kesesakan lalu lintas, banyak berkata, banyak mendengar dan banyak melihat  - rasa lebih tenang. Aku hanya banyak menghabiskan masa dengan keluarga dan serba sedikit melakukan kerja-kerja penyuntingan atau penterjemahan secara bebas; kalau rajin!

Sememangnya, aku rasa lebih selesa dan tenang ... duduk di rumah dan bila-bila masa boleh keluar bersama-sama keluarga, sama ada berjalan-jalan atau bercuti. Disebabkan anak-anak semua ada di rumah bersama-samaku, aku sentiasa ada teman di rumah atau hendak kelaur jalan-jalan atau makan-makan. Selepas aku bersara juga kami dapat bercuti sekeluarga. Dapatlah kami sekeluarga bercuti bersama-sama ke Langkawi dan Sarawak. Telah lama kami tidak dapat bersama-sama begitu, atas kesibukan masing-masing. Teringin juga nak melakukan ibadah umrah sekali lagi sekeluarga; insya-Allah dan tengok rezeki juga. Yang paling penting, satu kewajiban yang paling besar perlu dipenuhi dahulu, iaitu menunaikan fardu Haji.

Walau bagaimanapun, yang paling mengujakan selepas aku bersara ialah aku dan Abah dapat bertemu kembali dengan rakan-rakan sekolah kami dahulu, dengan kemurahan hati salah seorang sahabat kami mewujudkan kumpulan WhatsApp bernama GangLCE74. Terima kasih Emran (atau Eran, salah seorang sahabat karibku di sekolah dulu) mengumpulkan kami kembali, walaupun pada awalnya secara maya sahaja. Merekalah rakan-rakan yang sama-sama membesar menempuhi pengalaman gila-gila dan bodoh-bodoh sebagai kanak-kanak yang sedang membesar, dengan kenakalan dan kerenah masing-masing yang kini menjadi kenangan manis kami semua. Kini telah berjaya dalam karier masing-masing, mempunyai keluarga sendiri dan ada yang dah bercucu...

BERTEMU ITA

Ita, atau Norzita Abd. Manaf, ialah salah seorang sahabat karibku semasa sekolah menengah dahulu. Kami berpisah setelah selesai menempuhi LCE tingkatan 3, apabila masing-masing meneruskan pengajian di tempat yang berasingan, seterusnya dengan karier dan kehidupan masing-masing. Apabila wujud GengLCE74, aku mendapat nombor telefon Ita daripada Eran, yang kebetulan bapa saudara Ita juga. Apabila dapat nombor telefon, apa lagi terus call Ita dan tak tentu arah rasanya kerana terlalu excited! Rupa-rupanya Ita tinggal di Saujana Impian, berdekatan dengan Bandar Sunway Semenyih. Ya Allah hai, Allhuakbar! Rupa-rupanya sahabatku so near and yet so far ... hehe

Kami berjanji untuk bertemu di The Mines Shopping Complex. Aku berdebar-debar ... bagaimanalah rupa Ita dan sikapnya terhadapku. Adakah Ita sama seperti dahulu atau sudah berubah? Tengok ajelah nanti ... Akhirnya, kami bertemu di The Mines Shopping Complex dan bersembang lama di Restoran Kenny Rogers ... Alhamdulillah dapat bertemu semula dengan sahabatku yang telah lama ku cari; lain rupa Ita dan kalau bertembung di jalan mesti tak perasan ...

Love and miss you so much dear Ita. Dah lama nak bertemu


BERCANDA DI RUMAH 

Melalui GengLCE74, ramai lagi rakan-rakan lain yang ditemui. Yang mula-mula sekali berkunjung ke rumah ialah Normah dan Saba (Sabariah). Normah ialah sepupu Abah dan memang telah pernah datang ke rumah dan selalu juga berjumpa di kampung. Saba pula telah lama menetap di Kuching, dan inilah kunjungan pertamanya ke rumahku, sungguh meriah.  ...

Normah dan Saba yang mula-mula sekali berkunjung ke rumah

Pada hari tu, sepatutnya Ita pun datang sekali tetapi last minute Ita ada hal. Oleh itu pada hari lain, Ita pulak datang dengan Saba, tapi Normah pulak tak ada ...

Ita dan Saba

Tak puas berborak di rumah, kami keluar pula ke Alamanda menjamu selera di Restoran Black Canyon ...

The ladies of leisures!

Gempak di kopitiam Bangi

Suatu hari, aku dan Normah nak pergi menziarah cucu Ita yang baru lahir (terlupa pulak nak snap foto!). Bukan acara menziarah cucu, tetapi jadi mini reunion yang sangat meriah dan gempak, apa lagi disertai oleh Yatie, Baha dan Yan. Riuh rendah rumah Ita dibuatnya. Tak puas di rumah Ita, sambung pulak kat rumahku ...

 Yan (Fuziah Ujud), Normah, aku, Yatie (Norhayati Md Nor) dan Baha (Bahariah Baharuddin)
Sahabat-sahabatku yang ceria 

Suatu hari, sebelum kami pergi ke gathering kami yang pertama beramai-ramai di kandang kuda seorang sahabat kami, Saba berkunjung dulu ke rumahku ...

Dengan Saba sebelum ke kandang kuda

Ita dan Normah pun ada juga berkunjung ke rumahku dengan cucu mereka yang sangat comel dan keletah. Aku numpang seronok melayan cucu-cuc mereka ...

Ita dengan cucunya

Normah dengan cucunya

Yang terakhir ialah kunjungan rakan-rakan ke rumahku semasa sebelum kami pergi dan balik dari majlis kenduri perkahwinan anak salah seorang sahabat kami, Hasnah. Sebelum pergi sempat berposing dulu dan bila balik 'pekena' teh dan cekodok pula. Eran cakap "apo tak kombang eh", hehehe ...

Berposing ala panca sitara sebelum pergi kenduri rumah Hasnah.
Ita, aku, Yatie dan Normah

Balik dari kenduri, 'mengeteh' pula dengan cekodok di rumah

GATHERING I DI KANDANG KUDA

Setelah GengLCE74 berWhatsApp secara maya, ada yang menyarankan kami mengadakan gathering. Sesiapa yang dapat datang tu datang jer, dan kami mengadakan pot luck di kandang kuda kepunyaan salah seorang sahabat kami, Malek. Sungguh meriah dan kemesraan kami tetap seperti dahulu walaupun dah lama berpisah dan kami dah menjangkau umur 5 siri. Kawan-kawan pun ada yang membawa anak dan cucu sekali ...


Santai borak-borak

Sebilangan rakan-rakan

Masa ni dapat berjumpa dengan dua orang lagi kawan karibku semasa di sekolah dulu ...

Rehan (Norihan Sulaiman)

Tipah (Latifah Abidin)

Dah puas berbual dan melepaskan rindu masing-masing, siap dengan karaoke lagi, hampir pukul 1 pagi barulah kami beredar pulang. Sebelum pulang, kami mengabadikan gambar ramai-ramai, walaupun dah ada yang pulang lebih awal ... 

Bergambar ramai sebelum balik 

PERTEMUAN DI MAJLIS PERKAHWINAN ANAK YATI 

Pertemuan GengLCE74 berlaku lagi di majlis perkahwinan anak Yati di TTDI. Sungguh teruja rasanya kerana inilah pertama kali aku bertemu Yati selepas lebih 40 tahun dan aku sendiri lupa akan rupa Yati. Namun, kemesraan tetap seperti dahulu, malah lebih mesra lagi ...

Curi mak pengantin sekejap untuk bergambar!

Wajah-wajah ceria bersama-sama pengantin, sebelum balik

Beredar dari rumah Yati, kami tidak terus balik, tapi singgah di rumah Zul (Zulkafli Jaalam) dulu untuk menunaikan solat. Sambung lagi gembak di rumah Zul sambil menikmati hidangan karipap bikinan Nita (Anita), isteri Zul ...

Sambung berbual di rumah Zul pulak

Macam-macam cerita yang keluar lagi

SEKELUARGA MENGUNJUNGI SABARIAH DI KUCHING

Pada akhir Mei, aku sekeluarga dapat melauangkan waktu berkunjung ke rumah Saba di Kuching. Sungguh indah saat-saat kami di sana bersama-sama keluarga Saba, walau pun dua orang anaknya tidak dapat bersama-sama kami. Kami berjalan-jalan menghabiskan masa bersama-sama menikmati bandar Kuching, alam semula jadi sebahagian daripada negeri Bumi Kenyalang itu dan jalan-jalan cari makan ...

Malam, sampai di Kuching

Jalan-jalan 

Bergambar kenangan sekeluraga di rumah Saba sebelum bertolak balik

Terima kasih Saba, budi baikmu tetap dikenang

MESYUARAT DI KANDANG KUDA UNTUK PERTEMUAN 31 OGOS 2013

Perjumpaan GengLCE74 berlangsung lagi di kandang kuda untuk membincangkan pertemuan yang besar selepas hari raya aidilfitri 2013. Saat-saat indah dan ceria ini kami habiskan bergurau senda dan menyorot kembali kenangan lama, sambil makan-makan makanan yang kami bawa masing-masing ...

The ladies 

The men

Mesyuarat, Zul sebagai presiden

BERKUMPUL DI RUMAH AYIE

Pertemuan-pertemuan GengLCE 74 sebelum ini tidak dapat dihadiri oleh Ayie (Zahiri Maulud), sedangkan Ayie akan berhijrah ke Mekah, dalam masa yang terdekat, dan tinggal di sana. Lantas, suatu hari kami berkumpul di rumah Ayie dari petang hingga malam dengan masing-masing membawa bekalan. Sungguh meriah perjumpaan kami itu, penuh mesra dan ceria, siap dengan live band sahabat kami, Azmi Rahman. Semoga saat indah itu juga akan menjadi kenangan Ayie setelah berhijrah nanti ...

Bergambar ramai

Biilaa larut malam ... carakuca, carakucakuca ...

Terima kasih Ayie dan isteri, Zai

Bergambar kenangan sebelum bersurai

MAKAN TENGAH HARI DAN BERKUNJUNG KE RUMAH YATI

Sebenarnya, aku nak keluar menghantar komputer yang rosak ke service center. Tiba-tiba, Yati yang kebetulan berada di KL setuju pulak bila aku mengajak makan tengah hari sekali. Kebetulan Saba dan Putih (Fauziah Md. Nor) pun nak turut serta. Untuk memudahkan, kami semua ke TTDI dan menjamu selera di Restoran Puteri di TTDI, dan terus ke rumah Yati untuk menunaikan solat sebelum pulang ...

Di depan Restoran Puteri TTDI

Menjamu selera, yummy ... yummy

Di rumah Yati

Terima kasih Yati kerana belanja kami makan dan menjemput kami ke rumah, Alhamdulillah

BERKUNJUNG KE RUMAH YATI DI JAKARTA

Setelah dua tahun lebih tinggal di Jakrta, sampailah masanya Yati dan keluarga kembali ke tanah air. Kami memenuhi jemputan Yati untuk berkunjung ke rumahnya sebelum dia balik ke Malaysia. Hanya aku, Normah, Putih dan Baha dapat pergi dan sempatlah kami shopping di Jakarta dan Bandung. Sungguh mesra dan ceria kami 5 sahabat ...


Bergambar dengan tokey Natrabu Jakarta

Di depan Restoran Natrabu

Tea di rumah Yati sebelum bertolak balik ke KL

MAJLIS PERKAHWINAN ANAK HASNAH GHANI

Suatu hari, Zie (Fuziah Bakar) memaklumkan dalam kumpulan Whatsapp GengLCE74 yang Hasanah Ghani akan menerima menantu. Yati berbesar hati untuk menjadi supir kami menghadiri majlis itu. Lantas, Yati, Ita, aku dan Normah pergi bersama-sama kerana kami pun dah begitu lama tidak bertemu Hasnah, sejak lepas tingkatan 3 juga. Zie juga datang dengan suaminya. Seronok dapat berjumpa kawan lama kami ...

Dah kenyang makan, senang hati

Bergambar dengan Hasnah sebelum balik

Sambung pulak makan cendol di Kuala Pilah - gempak, gerai kami punya!

Selain daripada keindahan bersama-sama GengLCE74, aku bertuah kerana Allah menemukan aku dengan bererapa orang yang menjadi keluarga angkatku ...

CUCU ANGKAT, ZIHA

Ia bermula semasa Yana menjadi trainee di Hotel Nilai Springs dan berjumpa dengan Ateh (Hamzah) dan seterusnya mengenali isterinya, Dayah (Nur Hidayah). Hubungan kami semakin akrab sehingga mereka menjadi anak angkatku dan mendapat cucu angkat, Ziha (Nur Eliyana Naziha), yang comel ...

Kunjungan pertama Ziha, berumur kira-kira 3 bulan

Kunjungan terbaru, Ziha kira-kira 8 bulan

Ziha dengan ibunya yang comel, Dayah

ADIK ANGKAT, SAREMAH

Melalui Face Book, aku dapat adik angkat bernama Saremah, dengan panggilan Manja. Kami mula-mula bertemu di pejabatnya di Putrajaya, makan tengah hari. Keakraban bertambah apabila kami kunjung-mengunjungi antara satu dengan dan mengenali anggota keluarga masing-masing ...

Manja (Saremah)

Pertemuan pertama aku dengan Manja

Kunjungan pertama Manja dan keluarga ke rumahku

MERAIKAN KAKAK IPAR BERANGKAT KE MEKAH

Sebagai pesara, aku rasa lebih mudah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dengan keluarga. Yang paling istimewanya, aku dapat sama-sama mengucapkan selamat jalan kepada kakak iparku (isteri awah abang sulungku), Kak Arah yang jarang kutemui (Sarah) yang menunaikan Umrah. Semasa bekerja dulu, perkara begini jarang dapat aku sertai ...

Dapat menemani Kak Arah yang berangkat di KLIA

Alhamdulillah ... Allah maha mengasihi dan mengasihani hamba-Nya. Sesungguhnya, semua perancangan dan ketentuan Allah itu adalah yang terbaik, dan aku sangat bersyukur dengan segala limpah kurnia dan rahmat-Nya. Semoga aku menjadi seorang yang sentiasa insaf dan mendekatkan diri kepada-Nya, aamiin ...

LIFE IS BEAUTIFUL