Tuesday, April 2, 2013

Kursus Persediaan Persaraan Staf PETRONAS

Suatu hari, Abah menelefonku dari platform bertanyakan sama ada aku nak menyertai kursus prapersaraan bagi staf non-executive Petronas ataupun tidak. Kursus ini perlu disertai oleh pasangan masing-masing. Memandangkan aku duk rumah aje, dah semestinya aku nak jer. Kursus diadakan selama tiga hari (Isnin-Rabu, 25-27 Mac 2013) di Bayview Beach Resort, Pulau Pinang. Wati dan Yana pun nak ikut. Wani tak dapat ikut sebab ada kelas dan Zafhri pun tak dapat ikut kerana ada kursus di NIOSH. Hari Ahad tengah hari kami gerak dari rumah dan sampai ke hotel petang. Terasa penat sebab dalam perjalanan cuaca panas, maka kami berehat saja dalam bilik. Pada malamnya barulah keluar makan. 

Hari Isnin pagi, lepas bersarapan, aku dan Abah mendaftar untuk kursus. Mungkin ramai yang hadir, maka kursus dibuat dalam dua kumpulan dan di dalam dua bilik kursus. Dalam kumpulan yang aku masuki terdapat 18 pasangan, yang majoritinya staf lelaki yang membawa pasangan masing-masing, kecuali dua orang yang tidak membawa pasangan. Kebetulan, sekali pula dengan En. Suhaili iaitu suami arwah Kak Kamsiah, bekas artis Dewan Bahasa dan Pustaka di Bahagian Reka Bentuk dahulu.


Kursus dibimbing oleh En. Rizal Ramli. Beliau memberikan panduan tentang perancangan untuk staf Petronas yang akan bersara supaya dapat mengendalikan ganjaran EPF yang akan diperolehi nanti. Aku sangat suka dengan kenyataan beliau "saya tidak mengajar abang-abang menjadi kaya, tetapi saya tak mahu abang-abang semua menjadi miskin". Wow!!! Bila difikir-fikirkan dan dilihat apa yang berlaku di sekeliling, memang ada kebenarannya. Ramai yang kehilangan duit EPF selepas bersara begitu sahaja kerana tidak diuruskan dengan cara yang bijak. En. Rizal juga memberikan beberapa contoh yang berlaku.

Dengan itu, beliau memberikan banyak maklumat dan pendedahan yang berkaitan dengan pelaburan wang dan banyak juga tentang pengurusan aset, termasuk juga yang berkaitan dengan wasiat, wasi dan penama. Dengan pengalaman beliau yang banyak dalam bidang pelaburan melalui pembelajaran beliau sebagai pemegang ijazah MBA dan pengalaman beliau sendiri, penyampaian beliau sangat berkesan dan bermanfaat kepada kami semua peserta. Cara penyampaian beliau juga tidak membosankan, penuh semangat dan jenaka. Inilah orangnya ...

En. Rizal Ramli keturunan "Jaia"

Mula-mula beliau memperkenalkan diri pun dah suspens. Beliau cakap beliau berketurunan "Jaia", macam Jakun dan lain-lain tu! Puaslah kami berfikir ingat kaum asli mana, rupa-rupanya Jawa + India! Bila bercakap kelemahan tentang orang Melayu (Jawa rumpun Melayu juga) atau India dia tak ngaku keturunan tu, bila bercakap tentang kekuatan pula dia mengaku! haha ... he's such a witty person. Yang paling best bila dia ada point mengenakan Abah sebab sepanjang kursus Abah suka mengacau dan mengenakan dia.  Last last, jadi kawan sebab dia pun dari Rincing. Aku menyarankan beliau menulis buku tentang segala apa yang telah disampaikan dan bersedia untuk membantu beliau nanti. Nampaknya, beliau sendiri berminat untuk menulis dan berkongsi pengetahuan beliau melalui buku yang akan diterbitkan nanti. Sebagai pembimbing kursus, beliau boleh menjual buku hasil tulisan beliau kepada peserta kursus nanti. Di hari akhir, aku dan Abah sempat juga bergambar dengan En. Rizal. 

Gambar kenangan dengan En. Rizal

Dalam satu slot lagi, kami diberi penerangan penjagaan kesihatan oleh Dr. Norman Mohd Norawi. Beliau banyak memberikan maklumat tentang penjagaan kesihatan pada usia emas melalui penjagaan pemakanan, bersenam dan menjalani gaya hidup yang sihat tanpa stres. Banyak maklumat tambahan yang ku perolehi daripada Dr. Norman. Aku berpeluang menanyakan beberapa soalan tentang ubatan dan kesihatan. Aku dapat lebih memahami dengan apa yang telah kuketahui melalui pembacaan sebelum ini. 

Dr. Norman yang mesra

Beliau juga telah membawa empat judul buku hasil tulisan beliau, dan aku membeli kesemuanya. Kesemua buku ini diterbitkan atas usaha beliau sendiri. Aku tidak keberatan untuk menawarkan khidmat penyuntingan kepada beliau dalam tulisan beliau yang akan datang, dapat juga aku membuat amal jariah.

Buku-buku tulisan Dr. Norman

Di akhir sesi beliau, aku dah Abah tidak melepaskan peluang untuk mengabadikan gambar kenangan

Bergambar kenangan

Peserta yang lain sempat juga bergambar. Walau bagaimanapun, aku hanya ada gambar-gambar yang berikut saja ...

Sebilangan peserta kursus, staf Petronas.

Sebilangan isteri peserta.

Di akhir kursus, kami semua amat berpuas hati dengan apa yang kami dapat daripada kursus ini. Secara peribadi, aku sendiri sangat berpuas hati kerana banyak maklumat yang selama ini tidak diketahui dapat digarap dan difahami. Dari segi tempat kursus pula, ia diadakan di resort tepi laut yang nyaman dengan staf yang mesra. Dan, yang paling aku kagumi ialah inilah pertama kali aku ketahui kursus prapersaraan perlu dihadiri oleh pasangan masing-masing, maka setiap pasangan dapat mengetahui maklumat yang sama dan mengendalikan kehidupan selepas bersara bersama-sama dengan lebih terancang. Aku bersyukur kerana dapat peluang keemasan ini, Alhamdulillah. Semoga apabila Abah bersara tahun depan, kami dapat meneruskan kehidupan usia emas kami dengan selesa, sihat dan penuh terancang untuk diri kami dan keluarga, aamiin ...

2 comments:

  1. Alhamdulillah, terima kasih kak asiah. Semoga pengalaman yang dikongsikan bersama boleh dimanafaatkan untuk kebaikan bersama. Saya banyak belajar dari pengalaman para peserta. Terima kasih yang tak terhingga....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Insya-Allah ... niat yang ikhlas melakukan kebajikan untuk manfaat bersama pasti mendapat keberkatan, dan diredhai Allah.

      Delete