Friday, June 13, 2014

Selamat Hari Jadi, Asiah ...



Setahun ... 

umurku meningkat
aku mengembara dalam kehidupan yang sementara
aku menghampiri destinasi akhir, alam baka 


Pada hari itu, 9 Jun 2014, genaplah umurku 56 tahun. Alhamdulillah, Allah telah mengizinkanku untuk terus bernafas dan menikmati hidup dalam alam ciptaan-Nya ini hingga ke tahap ini. Dengan itu, genap juga 3 tahun 6 bulan aku hidup sebagai pesakit kanser usus. Dan ... genap juga 1 tahun 6 bulan aku menjadi pesara. Alhamdulillah ...

Setakat ini, tiada sesuatu yang serius berlaku berkaitan dengan penyakitku, namun aku harus sentiasa ingat yang sihatku berpenyakit. Mengharungi hidup sebagai seorang pesara merupakan sesuatu yang indah buatku, apa lagi Abah juga telah bersara. Kami sama-sama menghabiskan masa menguruskan tanah kami di kampung untuk dibangunkan menjadi kebun dengan sebuah rumah idaman kami, insya-Allah.

Tiada apa-apa sambutan yang istimewa buatku pada hari jadiku ini. Kehidupan diteruskan seperti biasa, iaitu berkebun bersama-sama Abah dan menggoreng pisang pada petangnya selepas penat menebas. Sungguh nyaman, dengan suasana yang nyaman di tepi sungai. Aku juga mengharapkan anak-anak pun tidak membelikan kek harijadi buatku. Sudah-sudahlah mengikut cara Barat menyambut hari jadi dengan kek dan meniup lilin. Hasratku setelah rumah siap dan kebun selesai nanti, harijadi anggota keluarga disambut dengan bacaan Yassin, tahlil dan doa selamat; lebih berkat lagi. Insya-Allah, moga Allah kabulkan niat yang baik itu.


Menggoreng dan menikmati pisang goreng di tepi sungai

Hasrat utamaku sekarang adalah supaya aku dan Abah dapat menunaikan haji. Semoga Allah menjemput kami menjadi tetamu-Nya. Semoga Allah memudahkan kami, memberikan kami kesihatan yang baik dan ilmu yang meluas untuk itu. Semoga Allah memberikan kami haji yang mabrur kelak, aamiin ... 


Jika Allah mencabut nyawaku... 
semoga dipermudahkan aku menghadapi sakaratulmaut, 
kembali kepada-Nya dalam keadaan redha-Nya,
dipermudahkan perjalananku di alam kubur dan hari akhirat
diberi syafaat Rasulullah SAW
dikumpulkan bersama-sama orang-orang yang beriman
diberi tempat di syurga-Nya bersama-sama ibu-bapaku dan keluargaku
Aamiin

No comments:

Post a Comment