Friday, June 13, 2014

Demam oh Demam

Pada hari Selasa, sehari selepas harijadiku, seperti biasa aku ke kebun bersama-sama Abah, dengan Yana dan kawannya juga. Pada hari tu, kami mengerjakan kawasan semak yang agak tebal. Sudah menjadi kebiasaan bagiku, semasa mengerjakan kebun tidak terasa penatnya, tetapi setelah balik baru terasa sangat penat dan malamnya akan tidur begitu lena sekali.

Namun, pada hari itu aku terasa kepenatan dan sakit-sakit badan yang luar biasa sedikit. Semasa nak tidur pun terasa badan berat, namun ku abaikan sahaja. Selalunya, bangun dari tidur rasa berat badan dan kepala hilang, tetapi kali ni apabila bangun dari tidur kepalaku masih terasa berat. Mengikut jadual, aku dan Abah memang tak kebun pada hari Rabu kerana hari tu ialah hari kuliahku di madrasah.

Walaupun kepala sakit dan badan rasa berat, aku kuatkan juga semangat ke madrasah kerana dah 2 minggu aku tak hadir kuliah. Semasa kuliah, kepalaku bertambah sakit dan aku rasa sangat letih dan mengantuk; sampai tertidur sekejap semasa ustaz memberikan kuliah. Terasa begitu seksa menahan mengantuk, sakit badan dan kepala. Sampai rumah aku terus tidur. Memang aku rasa satu jihad betul nak mencari ilmu Allah kali ni! Semoga Allah memberkatiku, aamiin.

Aku hanya bangun untuk solat dan mengalas perut sahaja. Tidak ada rasa demam, tetapi kepala dan badan terasa begitu berat dan sakit-sakit. Aku makan panadol sahaja. Dalam keadaan begitupun, Alhamdulillah ... aku dapat tidur dengan lena kerana kepenatan dan berharap pada esuknya aku akan segar semula dan dapat ke kebun lagi kerana kami dah merancang untuk mengemaskan dahan kayu yang telah dipotong, dengan bantuan seorang adik iparku.

Perancanganku tak kesampaian apabila aku merasai sakit-sakit badan dan kepala yang makin teruk dan berasa lemah pula. Badan pun mulai rasa panas. Untuk mengatasinya, aku memakan ubat demam yang ada di rumah dan dan tidur sepanjang hari. Rasa tak larat sangat. Abah terpaksa juga pergi ke kebun kerana ada beberapa urusan yang mesti diselesaikan.  

Semasa Abah balik pada petangnya aku memang dah tak larat sangat. Malamnya, pergi ke klinik pun terpaksa dipegang semasa berjalan. Doktor mengatakan aku mengalami demam virus dan membekalkan antibiotik dan ubat demam. Jika dalam masa 3 hari masih tidak baik, doktor terpaksa mengambil darah untuk pemeriksaan lanjut.

Balik rumah, aku terus makan ubat yang diberi dan tidur. Alhamdulillah, apabila aku terjaga pada tengah malamnya, sakit kepala dan badan berkurangan walaupun masih berasa lemah. Seleraku juga datang maka dapat aku menikmati nasi dan lauk yang masih ada. Nampaknya, tak dapat aku nak melakukan lebih sikit amalan di malam nisfu Syaaban kali ni. Semua atas kehendak dan izin Allah jua. 

Hari ni, aku semakin pulih dan segar walaupun terasa bayang-bayang sekali sekala apabila berjalan. Selera pun dah seperti biasa, namun aku banyakkan berehat lagi. Kang tumbang balik, kan ke naya! Semoga aku sihat kembali untuk meneruskan aktivitiku bersama-sama keluarga, aamiin ...

No comments:

Post a Comment