Sunday, October 27, 2013

Hari Raya Aidilfitri, 1 Syawal 1434 (Khamis 8 Ogos 2013)

Aidilfitri pada kali ini agak sedih tetapi penuh kemeriahan bagi keluarga kami. Pada tahun ini, pertama kalinya kami tidak lengkap beraya kerana Abah terpaksa beraya di platform, tetapi Aidilfitri tahun ini paling meriah kerana dapat merayakan bersama-sama kawan-kawan sekolah yang telah lama terpisah. Sebenarnya, Abah boleh usahakan nak beraya di darat, tetapi memandangkan tahun ini ialah tahun akhir Abah bekerja (akan bersara pada bulan Mac 2014), maka elok juga Abah merasai suasana beraya di platform untuk dijadikan kenangan nanti. Dan lagi, jika Abah mengambil cuti raya, Abah hanya akan dapat menghabiskan masa beraya di darat sekejap sahaja. Aku dan anak-anak pula, walaupun terasa ketiadaan Abah, kami tidaklah berasa terkilan sangat kerana pada empat hari raya Abah akan berada di darat selama 3 minggu.

Pada malam raya, aku dan anak-anak menghabiskan masa di rumah kami di Semenyih dan tidak merasai suasana hari raya, seperti jika di kampung. Pada keesukannya, pagi-pagi barulah aku dan anak-anak balik ke kampung menjengah abah dan mak mertua, serta menjamu selera dengan lemang dan ketupat, bersama-sama rendang ...

Anak-anak dah siap nak balik kampung

Sampai di kampung, kami rasa biasa-biasa aje. Memang rasa tak lengkap dan terasa sedih juga di hati apabila melihat ipar duai semua lengkap dengan ahli keluarga masing-masing beraya. Tak mengapalah, kami cuma bersalam-salaman bermaafan, makan-makan dan bergambar ...

Ayah bonda mertua

Gambar beramai-ramai

Abah pulak mengirimkan gambarnya beraya di platform ...

Iyo, iyo jer ...

Selepas makan-makan dan bergambar, aku dan anak-anak pergi ke rumah kakak di kampung. Semasa balik, singgah pula di rumah Ita. Alhamdulillah, dapat aku berjumpa dan beramah mesra dengan keluarga Ita, terutamanya mak Ita. Jika aku bertembung dengan kakak Ita (Along) pasti aku tidak akan mengenalinya lagi. Begitu lama kami tidak berjumpa. Alhamdulillah juga, dapat makan pulut berlaukkan sambal daripada 'air tangan' Ita. Petangnya, aku dan anak-anak balik semula ke KL ...

Bergambar dengan Ita

Bergambar sebelum balik

Balik Semenyih, kami nak jalan pun tak ada mood, tanpa Abah. Pada hari raya kedua, aku anak-beranak keluar ke Alamanda, jalan-jalan menghabiskan masa dan makan ...


Makan di Shushi King

Seterusnya, kami hanya berehat-rehat aje di rumah. Pada hari Abah balik, kami ada jemputan di rumah Ayie di Seremban; beraya bersama-sama kawan-kawan. Abah tak sempat nak join sebab lewat sampai. Akan tetapi, anak angkatku (Ateh dengan isterinya Hidayah dan anaknya Ziha) yang balik dari kampung dapat join; kami bertemu di Seremban dan bergerak sekali ke rumah Ayie. Sampai-sampai, rupa-rupanya kami ialah tetamu yang terawal sampai. Dah lama kemudian, barulah kawan-kawan lain datang ... Bahariah, Zie dan suami, Ita dan suami (Joe), Normah, Eran dan isteri (Putih Fuziah).  ZulJ dan isteri (Nita) sampai masa aku dah balik. Kami dijamu dengan mee rebus. Terima kasih Ayie dan isteri (Zai) ...


Sambil makan, beghoghok!

Cucu angkat yang comel, Ziha, seronok bermain buaian di rumah Ayie

Dah puas menjamu selera dan behghoghok (borak-borak gempak) dengan kawan-kawan, barulah aku balik ke rumah, bersama-sama anak angkatku. Lepas rehat-rehat dan makan di rumah, barulah anak angkatku balik ke Banting ...


Bye Ziha, Dayah dan Ateh ... nanti datang lagi ye

Dah malam, barulah Abah sampai. Barulah kami terasa nak meraikan hari raya ... nak jalan-jalan dan menerima tetamu. Nasib baiklah masa Abah tak ada, tak ada orang yang datang beraya, hehe ...

Beraya Ke Rumah Amat  

Rumah pertama kami pergi beraya bila Abah ada ialah rumah Amat. Amat ialah salah seorang geng Abah ke darat, ke laut, ke sungai dan ke hutan untuk merayau memikat burung, memburu dan mencari ikan. Kawan-kawan yang turut serta ialah Saba dan keluarga, Salim dan keluarga, Bahariah dan Normah. Kamu dijamu dengan mee rebus yang yummy ...


Menjamu selera  sambil berborak

Bergambar kenangan di hadapan rumah Amat sebelum balik
(Dari kiri ke kanan: Amat, Baha, Normah, Aku, Saba, Abah, Salim)

Ke Rumahku 

Dari rumah Amat, kawan-kawan bertandang pula ke rumahku. Ita dan Joe pun datang join. Kami tak bersedia apa-apa; tunggang-langgang jugalah anak-anak menggoreng kuay teow, hehe. Abah nak beli satay, tetapi terlalu ramai orang pulak dan terpaksa menunggu lama. Makan jerlah apa yang ada, dan maaflah kawan-kawan dengan layanan yang tak seberapa dari segi makan. Sebenarnya, apabila berkumpul begitu kami, lebih nak berborak ...


Ini saja yang dapat dihidangkan

Santai-santai berborak

Apalah sajalah cerita Amat dengan Salim tu!

Kunjungan Adik Angkat 

Adik angkat kami, Saremah @ Manja, sekeluarga juga datang berkunjung ke rumah kami bersarapan pagi. Aku dan Abah masak nasi lemak untuk menjamu mereka. Alamak ... tak ada pulak gambar keluarganya ...


Aku dengan Manja

Abah dengan Manja

Kunjungan Kawan Sekolah 

Saat yang paling gembira juga ialah kunjungan yang tidak diduga kawan baik Abah yang bukan Islam masa sekolah dulu, Kim Tong, dengan rakan-rakannya. Dah lama juga mereka tidak bersua. Idan dan isteri pun turut serta. Aku dan Abah menjamu mereka makan tengah hari dengan masakan kampung. Nampak berselera sekali mereka makan, Alhamdulillah ...


Woon Kim Tong

Berselera sekali nampaknya 

Berehat, borak-borak lepas makan

Kunjungan Ke Rumah Ita 

Dah puas borak-borak dan rehat, kami pergi ke rumah Ita; saja-saja. Ita pun tak berjumpa dengan Kim Tong  lebih 40 tahun, dan masing-masing dah tak ingat rupa masing-masing. Ita susah hati sebab tiada persediaan juadah untuk dihidangkan kepada kami, namun tujuan kami hanya nak bersua dan berborak-borak setelah sekian lama berpisah. Kuih raya ada lagi kan ...

Ita and hubby, Joe

Borak-borak di rumah Ita 

Majlis Bertunang Anak Ita

Sahabat kami Ita sangat bertuah berhari raya tahun ni kerana bakal menerima seorang menantu lagi, sempena dengan pertunangan anak perempuannya. Nampak kegembiraan Ita kerana majlisnya kali ni dihadiri oleh ramai kawan-kawan sekolah dulu bersama-sama keluarga ... ZulJ dan keluarga, Saba dan anak-anak, Yan dan anak menantu serta cucu, Jala dan isteri, Salim dan keluarga, Amat dan isteri, Zie dan suami serta anak, Idan,  dan juga Normah, termasuklah aku dengan Abah dan anak-anak. Majlis diadakan pada sebelah malam. Makanannya sedap, yummy. Sangat meriah, dan macam majlis kawin pulak. Tahniah Ita bakal dapat menantu lagi ...

Singgahsana majlis bertunang, sweet. Comel si cucu berposing

Borak-borak sambil menikmati hidangan yang enak

Jamuan Raya di Rumah Yati dan Beraya ke Rumah Zul

Di hujung-hujung raya, tidak kurang meriahnya kami beramai-ramai beghoghok di rumah Yatie. Ramai kawan-kawan yang hadir dan sangat meriah ... Idan, Normah, Bahariah, Zie dan suami, ZulJ dengan isteri dan anak, Eran dan isteri, dan juga Saba dan anak-anak. Banyaknya makanan yang sedap-sedap, tapi aku moyok masa tu kerana sakit kepala sikit, namun seronok dapat berjumpa kawan-kawan ...



Makan-makan, borak-borak, posing-posing

Majlis di rumah Yatie diadakan selepas waktu Asar. Dah kenyang makan dan berborak, kami 'berarak' pula ke rumah Zul. Yang lain terus balik. Cuma aku, Idan, Saba, Baha dan Normah jer ke rumah Zul. Lepas solat Maghrib di rumah Zul, kami dijamu lagi dengan nasi impit, mee goreng, ayam rendang, kuih-muih dan kek istimewa Nita (Nita expert buat kek). Riuh-rendah pulaklah makan dan berborak lagi sampai tengah malam, baru masing-masing balik ...


Tq Zul dan Nita menjamu kami dengan makanan yang sedap-sedap

Grand Gathering GengLCE74

Kemuncak sambutan Aidilfitri tahun ni ialah pertemuan kami rakan-rakan sekolah dulu, GengLCE74, yang diadakan secara besar-besaran di kandang kuda Malik di Sungai Ramal. Kami buat kenduri macam orang nak menyambut menantu gamaknya! Beberapa pertemuan diadakan untuk menjayakan majlis ini. Beberapa hari sebelumnya pun dah sibuk membeli barang-barang keperluan dan kayu api untuk memasak. Sehari sebelum majlis, kawan-kawan datang ke rumahku lunch dan menyediakan bawang dan cili untuk dimasak pada keesukannya harinya. Rasakan kawan-kawan meleleh air mata potong bawang, hehe. Kemudian, pergi ke kandang kuda membuat persiapan lain. ...


Lunch dulu, masakan kampung

Menyediakan bawang dan lada

Pada pagi hari majlis berlangsung, orang-orang pangkal dah berkumpul dan masing-masing menjalankan peranan masing-masing. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar, cuma semasa sedang masak lauk hari hujan dengan lebatnya. Walau bagaimanapun, ramai kawan-kawan yang datang ke majlis. Makanan yang dimasak sedap-sedap semuanya, siap dengan cendol. Majlis bertambah meriah dengan adanya cabutan bertuah.
Kawan-kawan yang hadir (5 orang dah balik)
(Nanti ada masa buat entry khas untuk event ni)

Seronoknya ... kegembiraan kanak-kanak tua! Aku suka gambar ni 

Jeng, jeng, jeng ... aku dapat hadiah cabutan bertuah yang besar

Sesungguhnya, Aidilfitri pada tahun ini sangat meriah buatku. Selain daripada kawan-kawanku, kawan-kawan anak dan sedara-mara ada juga berkunjung ke rumah. Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja tetamu yang datang ke rumahku, Alhamdulillah (tak dapat dinukilkan semuanya). 

Kunjungan anak, menantu dan cucu arwah abang sulung

Suatu malam, rumah kami diserbu oleh kawan-kawan Wani ...

Kawan sekolah, BFF

Kawan kolej

Menjamu selera beramai-ramai

Satu perkara yang seronok lagi di bulan Syawal ini ialah 'acara' makan durian di rumah Saba. Saba dah beberapa kali suruh Abah singgah makan/ambil durian di rumahnya di kampung. Pada suatu malam tu, tanpa dirancang, aku dengan Abah serta Ita dan Joe pergi ke rumah Saba di kampung untuk makan durian. Selepas itu, Salim dan Zie dengan suami pula datang join. Kenduri durianlah kami sambil beghoghok. Kami juga dijamu dengan mee goreng dan kuih cekodok, meriahnya. Aku, yang hantu durian apa lagi ... bak kata orang, melantak! Dah melangkau tengah malam baru kami balik ke KL ...

Banyaknya

Sodap, sodap

Walau bagaimanapun, satu perkara yang kurang meriah buatku di bulan Aidilfitri tu ialah aku kena buat prosedur colonoscopy di PPHUKM untuk melihat keadaan ususku yang telah dibedah dulu, dan persediaan untuk membawa laporannya ke HKL semasa pemeriksaan susulan seterusnya. Walaupun ia saat yang tidak menyeronokkan, tetapi hikmahnya ialah aku dapat bertemu dengan salah seorang penulisku yang tidak pernah aku temui sebelum ini ...

Bergambar kenangan dengan Prof. Dr. Asma

Alhamdulillah ... Alhamdulillah ... Sesungguhnya Allah telah memberikan rahmat dan nikmat-Nya kepadaku; mungkin berkat ketabahan dan kesabaran kepada aku dan keluargaku menempuhi saat getir ujian daripada Allah suatu ketika dahulu. Semoga saat-saat suka yang ditempuhi ini sentiasa datang dalam hidupku dan keluarga, mudah-mudahan semua itu menjadi perangsang kepada kami untuk terus menjalani kehidupan ini dengan tenang, dan menjadi kenangan abadi dalam hidup kami ...


... Aamiin ...

No comments:

Post a Comment