Sunday, October 27, 2013

Hari Raya Aidiladha, 10 Zulhijjah 1434 (Selasa 15 Oktober 2013)

Hari ini merupakan hari yang bersejarah bagi umat Islam di seluruh dunia, terutamanya bagi mereka yang berpeluang menjadi tetamu Allah. Bagi mereka yang lain, hari ini diraikan dengan melakukan qorban haiwan pilihan mereka. Kemeriahan tidaklah seperti Aidilfitri kerana persekolahan dan mereka yang bekerja hanya diperuntukkan cuti selama sehari. 

Bagiku, Aidiladha tahun ini amat bermakna kerana pertama kalinya aku dapat melakukan puasa sunat Wukuf bersama-sama Wati, dan melakukan qorban, selepas 55 tahun aku kembara di Bumi Allah ini, masya-Allah. Dua ekor lembu bakal tumbang; sesekor bagi pihakku dan seekor lagi bagi pihak adik ipar. Kebetulan Abah berada di darat, Abah balik ke kampung lebih awal untuk membantu mak dan adik-adik membuat persediaan menyambut Aidiladha dan qorban.

Lembu bagi pihakku

Lembu bagi pihak adik ipar

Aku dan anak-anak hanya balik pada pagi raya kerana Wani ada kelas, maka pagi-pagi selepas solat Subuh aku dan anak-anak bertolak ke kampung. Alhamdulillah, lalu lintas tidak sesak. Walau bagaimanapun, semasa kami sampai di kampung mereka di kampung dah pergi ke surau untuk solat.

Selepas mereka balik, bersedialah masing-masing untuk melakukan qorban. Lembu bagi pihakku adalah untuk aku, arwah abah, arwah mak dan anak-anak (Wati, Zafhri, Yana dan Wani). Abah tidak dapat join kerana dah cukup korum dan mengizinkan aku menghadiahkan qorban untuk arwah mak dan abah. Lembu yang seekor lagi adik nak buat qorban dan aqiqah, namun atas nasihat Tok Imam sebaik-baiknya kedua-duanya tidak dicampur-adukkan (jika qorban maka qorban sahaja dan jika aqiqah maka aqiqah sahaja). Oleh itu, lembu yang seekor lagi dibuat aqiqah sahaja. 

Sebaik-baiknya, kami yang tersenarai untuk qorban itu pergi mengusap haiwan kami itu dan melihat ia disembelih. Namun, aku tidak sanggup nak melihatnya. Nanti timbul pula rasa kasihan, lantas aku mewakilkan anak-anak sahaja. Cuma, sepatutnya aku pergi juga mengusik haiwan qorbanku itu ... apa nak buat, dah terlepas.

Selesai lembu untuk aqiqah disembelih, jiran-jiran di kampung sama-sama melapah dan menyiang daging untuk dimasak dan dimakan beramai-ramai. Bakinya disedekahkan kepada mereka yang hadir ...

Ibu-ibu menyiang daging untuk dibuat gulai

Selepas selesai penyembelihan lembu untuk aqiqah, maka giliran lembu qorban pula. Menurut Abah, lembu itu seperti redha dan bersedia untuk diqorbankan ... begitu mudah menguruskannya kerana haiwan itu mengikut sahaja. Alhamdulillah, rasa gembira dan terharu aku mendengarnya. Sememangnya, pada malamnya aku memohon doa kepada Allah agar dipermudahkan urusan qorban kami. Adik ipar dan anak-anak saudara menimbang semua bahagian untuk disedekahkan mengikut senarai nama yang telah disediakan ...

Menimbang daging dan lain-lain untuk disedekahkan

Alhamdulillah ... menurut Abah juga, lembu qorban itu banyak dagingnya dan dapat disedekahkan kesemuanya. Semoga Allah menerima qorban yang aku hadiahkan buat anak-anak, arwah abah dan arwah mak, aamiin Ya Rabb ... Semoga qorban ini dapat pula aku lakukan di Makkah bersama-sama Abah nanti. Aku berdoa dan memohon agar Allah dapat menjemput kami menjadi tetamu-Nya pada tahun depan ... Ya Allah, izinkanlah ...


... Aamiin ...


No comments:

Post a Comment