Sesungguhnya Allah kasihkan kamu dengan memberikan ujian-Nya ...
Pada 31 Ogos 2013, kami GangLCE74/SMDAS74LCE, telah mengadakan Grand Gathering untuk mengeratkan kembali hubungan silaturrahim di antara kami, rakan-rakan yang sama-sama membesar mengenali dunia di zaman persekolahan, setelah sekian lama terpisah dan putus hubungan. Pada hari itu, aku menerima satu berita yang mengejutkan apabila sahabatku Zie memberitahu bahawa salah seorang sahabat kami, Rusnah Busu, tidak dapat hadir kerana kurang sihat; telah didiagnosis dengan kanser payudara! Allahuakbar ...
Aku terasa seperti di panah hililintar mendengar berita itu. Yelah ... dengan segala apa yang telah kualami semasa mula-mula didiagnosis dan menempuhi rawatan demi rawatan, aku amat memahami akan perasaan sahabatku itu untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang mendatang. Walau bagaimanapun, dengan kesibukanku bersama-sama kawan-kawan lain menguruskan persediaan majlis, gelora hatiku menerima berita itu dapat juga aku singkirkan seketika.
Setelah semuanya selesai dan kembali di rumah, perasaan gelora dan bercampur-aduk kembali menerjah. Apa lagi apabila aku menelefonnya keesukan harinya, beliau tidak pula mengangkat telefon. Oh, rupanya dah pukul 10.00 malam lebih dan pasti beliau dah tidur ... berehat.
Pada malam berikutnya, aku menelefon beliau kembali. Buat pertama kali aku mendengar beliau memberi salam aku bimbang mendengar nada suaranya, namun aku buat relax sahaja bercakap dengannya walaupun hatiku berkecamuk. Aku teringin sekali nak bertemu dengan Rusnah, melihat keadaannya dengan mata kepalaku sendiri. Memandangkan beliau akan masuk wad, terasa serba salah pula nak mengganggunya.
Aku meminta pandangan kawanku Zie (yang sangat rapat dengan beliau sejak sekolah) dan Ita untuk mengatasi kemelut hatiku. Alhamdulillah, Zie memberikan cadangan supaya kami pergi jer menziarahi Rosnah. Alhamdulillah juga, anak-anakku dengan senang hati bersedia untuk menjadi pemanduku. Lantas malam tadi, aku dan Ita pergi ke rumah Rusnah di Bagan Lalang dari Semenyih. Zie (dengan suami) dan Saba pula dari Seremban.
Kami sampai pada waktu yang sama ke rumah Rusnah, Alhamdulillah. Selepas masing-masing selesai menunaikan solat Maghrib, kami duduk bersembang sambil menikmati kuih raya. Memang betul kata Zie bahawa Rusnah sangat gembira; tergambar keceriaan dan kegembiraannya dengan kunjungan kami ...
Berbual mesra penuh keceriaan ...
sambil menikmati kuih raya
Setelah puas berbual di rumah Rusnah, kami keluar makan malam di Restoran Senandung Malam di Bagan Lalang, dan terus berbual lagi sambil makan-makan ...
Enak makanan di sini, terima kasih Ita dan Zie belanja
Yana (anakku), Rusnah dan Saba
Berbual punya berbual, dah pukul 11.00 lebih. Aku memang dah kepenatan, tapi seronok apabila timbul cerita demi cerita pada zaman persekolahan kami dulu, terutamanya daripada mulut murai Zie! Akhirnya, masing-masing pun dah penat. Sebelum balik, kami menulis Guest Book Rosnah ...
Saba
Ita
Zie
Hampir pukul 12.00 malam kami bersurai. Semasa bersalaman dan memeluk Rusnah, aku berasa sangat haru hendak meninggalkannya; apa lagi apabila Rusnah cakap dia sangat gembira dengan kedatangan kami dan tak teringat akan penyakitnya! Allahuakbar ... Doa dan harapanku semoga dia tetap tabah dan menyerahkan segala-galanya kepada Allah. Insya-Allah, kami akan menziarahinya lagi apabila beliau menjalani rawatan di Hospital Serdang nanti.
... Segala yang berlaku adalah kehandak dan izin Allah jua ...
Semoga sentiasa memelihara kami semua
Semoga Allah sembuhkan kami semua daripada pelbagai penyakit rohani dan jasmani
... Aamiin ...
No comments:
Post a Comment