Wednesday, May 14, 2014

Mendaftar di Hospital Putrajaya

Semasa menjalani pemeriksaan susulan di IKN, doktor onko telah mengeluarkan surat untuk aku menjalani prosedur colonoscopy di Hospital Putrajaya. Apabila memikirkan prosedur ni, hatiku memang pudar sikit dibuatnya. Pengalaman lalu menjalani prosedur ini datang kembali ... kena minum air untuk flush, berulang ke tandas, huishhh ... Namun, untuk kebaikan, cekalkanlah hati untuk menempuhinya nanti. Just go with the flow. Akan tetapi, aku perlu mendaftar di Hospital Putrajaya dahulu. 

Surat rujukan daripada doktor onko

Pada 24 Mach 2014, dengan berat hati aku ditemani anak-anak pergi ke hospital. Walaupun aku tidak ke HKL lagi, tapi memikirkan nak ke hospital, mmm ... Akan tetapi, keindahan pokok-pokok yang berbunga di tepi jalan di kawasan perumahanku menjadikan hatiku berbunga juga melihatnya. Begitu meriah dan indah sekali ... 

Sungguh cantik

Sampai di kawasan Putrajaya, aku tidak ketinggalan untuk klik klik sana sini dan menikmati keindahan alam sekitarnya  untuk meredakan gelora di hati ...

Dataran dan Masjid Putrajaya

Salah satu jambatan yang dilalui

Dari rumahku ke hospital Putrajaya agak jauh juga. Akan tetapi, jalannya tidaklah sesak seperti jika aku ke HKL. Akhirnya, kami sampai juga ke jalan masuk hospital dan hospital. Lorong ke hospital sama dengan jalan ke IKN kerana kedudukan kedua-duanya bertentangan ...

Jalan ke Hospital Putrajaya

Hospital Putrajaya

Memandangkan tempat parking agak terhad dan nampak penuh, maka anak menurunkan aku di lobi dahulu. Inilah pertama kalinya aku menjejakkan kaki di Hospital Putrajaya. Terngangak-ngagak aku jadi jakun dibuatnya! Akan tetapi, aku buat selamba dan macam dah biasa-biasa ajer, hehehe. Pandai-pandailah kamu mak cik Asiah! Nasib baik tempat bertanya betul-betul berdekatan dengan pintu masuk di lobi, dan jumpalah aku tempat mendaftar.

Turun di lobi

Sampai di tempat pendaftaran, alamak ramainya orang! Nampak kaunter banyak, tapi mana pulaklah nak ambil nombor? Ah ... buat selamba dan bodoh jerlah bertanya di salah satu kaunter tu. Ambil nombor, nah kau kena tunggu lama gamaknya ...


Akan tetapi, sekejap saja aku menunggu dipanggil untuk mendaftar. Di kaunter pendaftaran, hampir tak laku surat rujukan yang aku bawa kerana terlalu lama aku menunda masa untuk mendaftar dan buat janji temu prosedur. Selepas mendaftar, aku dirujuk ke Surgical Outpatient Department, dan perlu datang ke klinik untuk menemui doktor bagi janji temu prosedur pula pada 9 April 2014. Lega dah selesai, jom balik.

Dalam pada tu, kami anak-beranak pun dah lapar. Anak-anak ajak pergi makan di Padi Restaurant di Putrajaya juga. Dalam perjalanan ke tempat makan pun aku sempat juga klik klik sana sini ...

Salah satu jambatan di Putrajaya

Sebuah bangunan yang menarik perhatianku setiap kali ke kawasan ini

Disebabkan penat mental, aku tak berapa berselera makan; lebih kepada menemani anak-anak sahaja, yang kelaparan.

Posing sebelum balik; mood senang hati

Pintu utama Masjid Putrajaya

Jabatan Perdana Menteri

Pada 9 April 2014 (Rabu), aku tidak pergi ke hospital semula untuk buat janji temu prosedur pula kerana aku tersilap haribulan; ingatkan 10 hb. Seronok-seronok jer aku pergi mengaji dengan kawan-kawan. Malamnya, masa tengok surat baru perasan. Ish ... mak cik, mak cik. Tarikh dan hari pun lupa sejak bersara ni! Walau bagaimanapun, 10 hb. tu aku ditemani abah pergi juga. Malangnya, klinik dan doktor untuk prosedur ni pada hari Isnin dan Rabu sahaja. Aku pun mohon untuk menemui doktor pada hari Isnin yang berikutnya ... hai ... hai ...

Pada hari Isnin, 14 April 2014, aku dan abah pergi semula. Rasa-rasanya, kalau janji temu nak jumpa doktor mesti lambat, maka abah tinggalkan aku dan pergi menyelesaikan beberapa urusannya. Memang sah lambat. Nak daftar pun lambat kerana begitu ramai orang. Dah daftar kena ambil nombor lagi untuk bertemu doktor dan buat pemeriksaan awal - timbang berat, ambil tekanan darah dan denyutan nadi. Tengok-tengok nombor, ya Allah kena tunggu lebih kurang seratus orang lagi. Petugas kaunter pun menyuruh aku pergi makan tengah hari dulu. Memang aku pun dah lapar dan cafe pun berhampiran, aku makan dulu sorang-sorang ...

Lepas makan pun tunggu lama lagi. Dah hampir lunch break baru nomborku dipanggil. Doktor meneliti surat rujukan dan dokumen yang disertakan serta memeriksa perutku. Memandangkan aku pernah buat colonoscopy pada bulan Ogos 2013, maka sebagai annual survellance, doktor memberikan tarikh prosedur pada 11 Ogos 2014 yang akan datang.  

Sebelum balik, aku kena ambil cecair untuk flushing perut sebelum prosedur nanti. Ingatkan sekejaplah, tapi ambil nombor kena tunggu lagi, alahai ... Pukul 1 lebih barulah semuanya selesai. Abah pun dah selesai dengan urusannya dan menjemputku; terus balik rumah kerana dah keletihan. Selesailah satu episod di hospital. Kini, menunggu untuk janji temu di IKN pada 26 Jun 2014. Sebelum tu, aku perlu buat blood test dan menghantarnya ke IKN dahulu. Memikirkan nak kena cucuk sedut darah tu pun satu hal lagi. Buat jerlah mak jemah ...  Nak tempuh balik radio dan kemo kalau kanser aktif balik? Tak nak, tak nak. Sementara ni, berulanglah ke kampung dengan abah buat kebun dan tak lupa juga bekalan rohani; mengaji di surau dan masjid. 

Alhamdulillah ...

Bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan 

No comments:

Post a Comment