Hari ni ialah hari kedua tahun 2014, dan 2013 telah berlalu dengan segala saat suka duka, pahit manis akan menjadi kenangan sepanjang hidup ... segala-galanya telah dilalui. Perkara yang sangat menggembirakanku sepanjang tahun 2013 ialah aku banyak menghabiskan masa dengan kawan-kawan sekolah dulu, dengan beberapa kali perjumpaan kami yang sangat mengujakan.
Dalam hal penyakit pula, tidak ada perkara yang serius berlaku. Alhamdulillah, sel-sel kanserku tidak aktif, cuma berlaku kerosakan pada hati yang disebabkan oleh fatty liver, mengikut hasil ultra sound yang telah dilakukan. Dan lagi, di akhir-akhir tahun 2013 aku menghidap batuk selsema dengan demam yang on and off selama lebih kurang 2 bulan. Perkara ini serba sedikit merisaukan kami sekeluarga. Namun, apabila dibuat chest X-ray dan berbincang dengan oncologist, tiada apa-apa yang serius, tetapi aku perlu berjaga-jaga.
Walau bagaimanapun, aku lebih risaukan keadaan salah seorang sahabatku yang menghidap kanser payudara dan kini telah mula merebak ke tulang, sehinggakan beliau terpaksa diinject dengan ubat setiap bulan. Seorang sahabatku lagi yang menghidap kanser payudara juga selalu menghidap sakit tulang pinggulnya, kemungkinan kanser juga telah merebak ke tulang. Begitu juga, salah seorang sahabatku telah mengalami perdarahan selama bererapa bulan setiap kali buang air besar. Selain itu, dia juga menghadapi ujian kerana penyakit yang menimpa ibu, ayah dan adiknya. Seorang sahabat pula diuji dengan penyakit yang dihidapi oleh anaknya selama beberapa bulan, tanpa diketahui puncanya sehingga akhirnya diketahui penyakit yang dihidapi oleh anaknya ialah TB. Dia juga diuji dengan penyakit bengkak hati yang dialaminya sendiri, dan penyakit yang dialami oleh ibu, abang dan sepupunya. Dalam keadaan begini, aku hanya dapat membantu dengan mendoakan mereka semua, semoga Allah memberikan kesembuhan.
Yang paling menyentap hatiku ialah salah seorang rakan kerjaku dulu meninggal kerana kanser yang dihidapinya. Aku selalu berhubungan dengannya melalui SMS atau Facebook. Yang terakhir aku meneriam berita yang dia berada di wad. Seterusnya, senyap sahaja. Di dalam hati terlintas juga yang dia semakin teruk kerana senyap jer dan asyik menangguhkan diriku untuk menghubungi dan menziarahinya, sehinggalah pada suatu hari salah seorang sahabat menghantar SMS mengatakan kawanku itu telah meninggal dunia ... daripada Allah kita datang, kepada Allah jualah kita kembali. Semoga rohnya ditempatkan bersama-sama roh orang-orang yang beriman dan diberi syurga Allah, aamiin ... Memang banyak kematian yang kudengar kerana kanser!
Dalam situasi menghadapi kesedihan di akhir-akhir tahun 2013, tidak ketinggalan juga perkara yang mengembirakan datang. Aku telah dimasukkan menjadi salah seorang ahli Kumpulan Yassin/Amal bandar Sunway Semenyih (KYABSS). Melalui kumpulan ini, aku dapat mengenali kaum ibu yang bermastautin di Bandar Sunway Semenyih ini, walaupun pada peringkat awalnya aku tidak dapat bersama-sama mereka dalam aktiviti yang telah dijalankan kerana faktor kesihatan. Namun pada tahun 2014 ini, aku akan sama-sama bergerak aktif dengan mereka dalam aktiviti yang akan diadakan, terutamanya sekali dalam pembelajaran yang berkaitan dengan agama. Pada tahun 2014 ini, aku berazam nak keluar dari sarang (salah seorang daripada mereka kata aku ni duduk dalam sarang jer!).
Selama ini, aku tak tahu ke mana nak dituju dan siapa kawan-kawanku untuk itu semua. Setaip hari aku berdoa, dan Alhamdulillah ... Allah mengabulkan doaku. Insya-Allah, telah lama aku memerap di rumah, dan sampailah masanya aku akan keluar ... Semoga Allah memberkati diriku akan usahaku untuk lebih mendekatkan diriku kepada-Nya. Aku juga sentiasa mendoakan keluargaku, saudara-mara dan sahabat handai sentiasa dilimpahi kurnia, rahmat dan rezeki oleh Allah SWT, aamiin ...
Selamat tahun baru..jaga kesihatan elok2..
ReplyDeleteTerima kasih.
Delete