Pada lewat petang hari ini, Isnin 4 November 2013, maka berhijrahlah kita ke tahun baharu, 1435. Jika dilihat suasana di sekitar kita, tidak ada gembar gembur kedatangan tahun baharu mengikut kalender Islam ini, seperti apa yang berlaku apabila menjelangnya tahun baharu kalender Gregory. Adakah perkara-perkara atau kesedaran yang berkaitan dengan Islam ini tidak begitu relevan atau semakin terpinggir? Tidak berani aku nak mentelahnya kerana semua itu merupakan perkara yang sensitif untuk diperkatakan, apa lagi jika ia keluar daripada mulutku yang sememangnya banyak kekurangan dari aspek agama ini.
Cuma yang sering diperkatakan ialah doa hujung tahun dan awal tahun. Ramai yang mewar-warkan melalui pelbagai media agar membaca doa ini dan menyebarkannya. Sememangnya, ia perkara yang baik cuma secara peribadi aku merasai kita seharusnya sentiasa berdoa dan bermohon kepada Allah setiap masa, termasuk di hujung atau awal tahun, dengan sepenuh dan seikhlas hati. Aku tertanya-tanya juga kalau-kalau ada nas yang mengatakan kewajipan membaca doa-doa ini pada waktu yang tertentu itu. Apabila aku melayari internet tentang perkara ini, memang ramai ustaz dan para ulama' yang menyatakan doa-doa ini harus dibaca dan bukannya wajib. Hanya mereka yang arif sahaja dapat mengupas perkara ini; aku tak mampu. Yang mampu bagiku ialah menerima kenyataan itu secara terus.
Walau bagaimanapun, perkara yang baik patut diikuti. Padaku berdoa itu baik, maka berdoa sahajalah. Yang pentingnya ialah keazaman diri kita dalam penghijrahan kita melangkah ke tahun baharu ini. Biarlah diri kita pada hari-hari mendatang lebih baik daripada hari-hari semalam dan tahun baru ini, dan tahun-tahun seterusnya, lebih baik daripada tahun-tahun yang lepas.
Sebagai insan yang semakin lanjut usia, dan mungkin esuk atau lusa putus nyawa, aku sendiri mempunyai keazaman untuk sentiasa memperbaiki diriku walau dari aspek apa sekalipun. Semoga Allah sentiasa memberikan hidayah dan bimbingan kepada diriku, keluargaku dan sahabat-sahabatku. Semoga kemesraan dan hubungan silaturrahim kami kekal hingga ke syurga. Semoga kami sentiasa didorong untuk menghampirkan diri kami kepada-Nya dengan lebih dekat lagi. Semoga Allah sentiasa memudahkan dan memberikan dorongan kepada kami untuk sentiasa melakukan amal ibadat dengan khusyu', kebaikan dan kebajikan, dengan penuh keikhlasan dan ketulusan. Semoga Allah menerima segala amal ibadah dan kebaikan serta kebajikan yang dilakukan itu dengan memberikan ganjaran yang sebaik-baiknya kepada kami. Semoga Allah permudahkan urusan dan perjalanan hidup kami di dunia ini. Semoga apabila sampai masanya kami dipanggil untuk kembali kepada-Nya nanti, Allah permudahkan kami menghadapi sakaratulmaut dan bertemu-nya dalam keadaan suci, rohani dan jasmani, dan dalam keredhaan-Nya. Semoga Allah permudahkan perjalanan kami di alam kubur dan di alam barzakh. Semoga Allah mengizinkan kami dapat syafa'at Nabi Muhammad SAW dan menempatkan kami bersama-sama orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi tempat di syurga-Nya. Aamiin Ya Rabb.
No comments:
Post a Comment