Monday, August 31, 2015

Pemeriksaan Susulan dan Kolonoskopi

Setiap kali aku perlu ke hospital untuk membuat pemeriksaan atau menjalani apa-apa prosedur yang berkaitan dengan penyakitku merupakan detik-detik yang menyiksakan bagiku hendak menghadapinya. Malahan, untuk menziarahi orang sakit di hospital pun aku rasa fobia. Selepas setiap pemeriksaan susulan, tarikh untuk menjalani pemeriksaan susulan seterusnya sentiasa memburu fikiranku, walaupun ianya akan aku hadapi enam bulan yang akan datang. Apo nak dikato ... ia perlu aku hadapi untuk kebaikan diriku walaupun aku merasai diriku telah sihat, seolah-olah telah bebas daripada kanser. Ada dalam kalangan pesakit kanser, apabila telah selesai menjalani rawatan dan berasa diri telah sihat selama beberapa tahun dan tidak pergi menjalani rawatan susulan atau mengambil langkah berjaga-jaga, tiba-tiba penyakit datang semula dan terpaksa menjalani rawatan semula ... Ya Allah, hindarilah aku daripada jadi begitu. Oleh itu, walaupun rasa fobia atau seksa hendak ke hospital, maka aku gagahkan jugalah ...


ISNIN, 22 JUN 2015

Pada hari Isnin, 22 Jun 2015, ialah tarikh pemeriksaan susulanku bagi tahun ini di IKN. Temu janji adalah pada jam 8.45 pagi. Untuk tidak lewat sampai ke hospital, aku dengan ditemani Wati keluar awal kerana pada waktu pagi selalunya berlaku kesesakan lalu lintas. Kami sampai di IKN tepat pada waktunya. Memandangkan tempat parking selalunya sukar diperoleh, maka Wati menurunkanku di pintu utama dan dia terus mencari tempat parking.   

Aku terus pergi ke tempat pendaftaran. Mungkin hari itu hari Isnin, maka terdapat ramai pesakit yang datang mendaftar unruk mendapatkan pelbagai peringkat pemeriksaan atau rawatan. Agak lama juga aku menunggu pendaftaran sebagai pesakit luar. Dalam hatiku berkata "Alamak! jenuhlah aku menunggu giliran untuk menemui doktor dan menyelesaikan sessi pemeriksaanku nanti" Memang benar, selama ini aku selesai menjalani pemeriksaan hampir waktu tengah hari.

Selesai, dan dapat slip pendaftaran pesakit luar.

Selesai pendaftaran sebagai pesakit luar, aku perlu mendaftar di klinik onko pula. Ops, nampaknya ramai juga pesakit yang menunggu untuk mendaftar dan berjumpa doktor ...

Menunggu giliran untuk berjumpa doktor.

Walau bagaimanapun, tanpa disangka-sangka sekejap sahaja menunggu aku telah dipanggil untuk berjumpa doktor. Berjumpa doktor pun sekejap sahaja kerana tiada apa-apa yang serius atau meragukan. Alhamdulillah, lebih kurang pukul 9.30 pagi aku telah selesai menjalani pemeriksaan susulan. Dalam masa aku menunggu, Wati pula menunggu di dalam kereta kerana tiada tempat parking. Nasib baik sahaja tidak begitu lama aku menunggu untuk untuk menjalani pemeriksaan susulan, seperti sebelum ini. Kalau tak, kesian sangat Wati menunggu.


... Alhamdulillah ...
Selesai pemeriksaan susulan dengan mudah


JUMAAT, 14 OGOS 2015

Hari Jumaat, 14 Ogos 2015, merupakan hari yang mendebarkan dan merisaukanku. Hari ini boleh dikatakan hari penentuan statusku sebagai survivor kerana pada hari ini aku perlu menjalani prosedur kolonoskopi untuk melihat keadaan penyakitku.

Tiga hari sebelumnya, aku tidak boleh makan makanan yang berserat, maka aku makan bubur sahaja. Bosan jer, tapi agar tidak mengganggu prosedur nanti aku bertahan dan tengok jerlah apa-apa makanan yang mengecurkan air liur berada di depan mata, hehe. Walau bagaimanapun, perkara ini tidak menjadi masalah kepadaku. Masalahnya ialah sehari sebelum prosedur. Sehari sebelum prosedur, aku perlu minum air garam yang dibekalkan oleh doktor untuk mencuci perutku. Aku dibekalkan dengan dua botol air ini. Satu botol hendaklah diminum kira-kira pada pukul 4.00 petang dan satu botol lagi pada pukul 8.00 malam ...  




Setiap kali aku hendak menjalani prosedur kolonoskopi, inilah saat yang paling kritikal dan seksa buatku. Apa tidaknya, walaupun setiap botol mengandungi hanya 45 ml, tetapi nak meminum jumlah yang begitu, hanya mereka yang pernah mengalaminya sahaja yang faham rasanya dan pengalamannya. Air garam ini hendaklah diminum dengan segelas air kosong atau jus, diikuti dengan sekurang-kurang 3 gelas air kosong atau jus lagi.

Kedengaran mudah, tetapi sebaik sahaja meminum air garam yang rasanya ya Allah ... tekak mula menolak dan rasa nak muntah dibuatnya. seksanya rasa nak minum lagi 3 gelas air. Pada minuman pertama, Insya-Allah ... aku berjaya meminum air garam diikuti dengan 3 gelas air dan terus tidur kerana badan rasa tak keruan, kepala rasa semacam dan aku rasa nak muntah. 

Setelah rasa tak selesa itu hilang, maka tibalah masanya aku berulang ke tandas ... yuhuuu ... perut kena flush. Keadaan ini tidak apa-apa bagiku berbanding dengan meminum air garam tu. Dan lagi, terasa perut lega kerana semua bahan dalam perut keluar ... semua toksin keluar dan perutku rasa selesa. Selepas minuman pertama, aku tidak boleh lagi makan apa-apa bahan pepejal kecuali cecair yang jernih. Sayogia, aku minum air bubur nasi sahaja untuk menahan rasa lapar dan minum banyak air. 

Belum hilang rasa air garam di tekak lagi, aku terpaksa minum dos yang kedua pada pukul 8.00 malam. Melihat botolnya pun aku rasa nak muntah dah! Aku cuba minum dengan air yogurt, Alhamdulillah berjaya. Aku berjaya juga minum 3 gelas air itu, tetapi selepas itu perut aku dah menggelodak dan bluekkk muntah ... isi perutku keluar. Risau juga kalau-kalau perutku tak bersih nanti semasa prosedur. Pukul 12 malam, aku tak boleh makan atau minum apa-apa lagi kecuali air kosong. Aku pun dah letih dek berulang ke tandas dan muntah, maka pukul 10.00 malam aku dah boom.

Pagi-pagi lagi aku ke Hospital ditemani oleh Wati dan Liyana (driver). Memandangkan susah parking, setelah menurunkan aku dan Wati, Yana terus balik dahulu. Aku terus mendaftar ke kaunter untuk masuk wad, walaupun sebagai rawatan harian sahaja. Alhamdulillah, masa yang diambil tidak lama. Selesai pendaftaran untuk masuk wad, aku perlu mendaftar di wad rawatan harian (day care) ...


 Kaunter rawatan harian.

Di sini, masa yang diambil agak lama sedikit. Selesai pendaftaran, kereka mengambil tekanan darah dan berat badan. Selepas itu, aku perlu menukar pakaian hospital dan memakai gelang nama. Selesai menukar pakaian, aku perlu menunggu giliran untuk menjalani prosedur. 

Menunggu giliran, ditemani Wati.

Prosedur yang akan aku tempuhi.


Semasa menunggu giliran, mereka menyuntik lenganku untuk memberi laluan memasukkan ubat bius semasa prosedur nanti. Ini pun satu detik yang menyukarkan juga buatku kerana sejak menjalani pembedahan dan rawatan, saluran darahku memang sukar didapati. Tiga kali cucuk barulah dapat saluran darahku, hai ... hai ...

Siap disuntik.

Suasana tempat menunggu dan pemulihan setelah menjalani prosedur.

Sambil menunggu sempat jugalah aku berbual-bual dengan seorang pak cik berumur 70+ tahun. Beliau perlu membuat kolonoskopi juga kerana terdapat ketumbuhan pada rektumnya. Berdasarkan penerangan beliau ketumbuhan itu ialah polyps, yang pernah aku abaikan dahulu sehingga pecah menjadi kanser. Penerangannya mirip dengan apa yang ku hadapi dahulu. Alhamdulillah, bagiku pak cik tu mendapat rawatan awal dan mudah-mudahan beliau tidak ke tahap menjadi kanser sepertiku.

Setelah beberapa lama menunggu, aku pun dipanggil untuk menjalani prosedur. Aku dibawa ke bilik prosedur dan disediakan ... Petugas mengambil tekanan darah dan menyambungkan beberapa wayar pada badanku. Apabila selesai, doktor yang menjalankan kolonoskopi pun datang. Seorang petugas menyuntik ubat bius, yang menjadikan aku terus mengantuk dan 'mati', huhu.

Sedar-sedar, aku telah berada di ruang pemulihan, Alhamdulillah. Memandangkan aku rasa pulih, aku pun bangun ke tempat menungguku yang mula-mula, lalu dihidangkan bubur dan air milo panas. Kini, aku perlu menunggu doktor selesai dengan laporannya dan memberikan tarikh janji temu untuk berjumpa pihak onko pula nanti. Apabila semuanya selesai, aku perlu daftar keluar dan selesailah prosedurku pada hari itu, dengan keputusan yang diberi secara verbal adalah normal, Alhamdulillah. 

Lega ... dah selesai.

Memandangkan hari pun dah tengah hari, aku dan anak-anak pergi ke Alamanda untuk makan tengah hari. Selesai makan, kami balik dan booommm ... Penat.


Tempat kami menjamu selera, Hei Shushi, di Alamanda.
(Ini adalah gambar terdahulu kami berkunjung ke  restoran ini)



... Alhamdulillah ...
Allah permudahkan urusanku
Keputusan kolonoskopi adalah normal