Wednesday, October 15, 2014

Cuci Darah Ketiga

Pada hari Jumaat, 3 Oktober 2014, aku pergi cuci darah lagi buat kali ketiga, menghabiskan pakej pencucian darah sebanyak 3 kali. Memandangkan dah 2 kali menjalani proses cuci darah, aku rasa confident jer. Sebelum masuk cuci, aku dan anak singgah makan roti  canai dahulu kerana jika perut kosong mungkin lepas cuci akan sakit kepala, seperti yang berlaku pada pencucian yang pertama dahulu.

Lepas minum dan masuk klinik, petugas terus menguruskan pencucian darahku. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Toksin yang keluar ialah 300 ml. Alhamdulillah, semakin kurang toksin di dalam darahku. Petugas menasihatiku supaya berehat apabila balik ke rumah. Namun, memandangkan aku tak rasa sakit kepala atau apa-apa, aku dan anak balik ke kampung kerana abah berada di kampung atas urusan rumah. Petangnya barulah kami balik ke Semenyih.

Lewat petang aku dah rasa semacam. Masuk senja, aku dah mula berasa seram sejuk dan malam terasa sangat sejuk nak tidur dan sukar nak tidur. Tengah malam, aku mula rasa badan panas. Ya Allah, aku demam! Walau bagaimanapun, aku cuba melelapkan mata hingga pagi. 

Alhamdulillah, pada paginya demamku dah hilang. Akan tetapi, aku sakit kepala pula. Kebetulan hari Sabtu hari mantai (buat lemang dan rendang sempena menyambut hari raya korban) di kampung. Nampaknya, abah saja yang balik kampung. Aku ditemani anak-anak duduk rumah sahaja. Aku berdoa agar sakit kepalaku sembuh kerana keesukannya hari raya korban. Alhamdulillah, lewat petang sakit kepalaku hilang. Keesukannya, dapatlah aku balik kampung untuk beraya beramai-ramai ... Alhamdulillah ...